Popular Today

Jumaat, Februari 07, 2014

Foto Ngeri.. senjata makan tuan..

0 Komen!!!

KOTA SAMARAHAN: Ibarat ‘senjata makan tuan,’ seorang lelaki putus pergelangan tangan kiri selepas terkena parangnya sendiri ketika mengamuk di sebuah rumah di Sadong Jaya, dekat sini lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa, 27, bersama seorang rakannya pergi ke rumah terbabit di Kampung Pelanduk Laut, sekitar jam 6.30 petang.

Difahamkan, mangsa dan rakannya yang bersenjatakan parang mengamuk di rumah berkenaan, namun berjaya dihalang oleh tuan rumah serta memujuk kedua-dua mereka untuk menyerahkan parang kepadanya.

“Dua lelaki itu berjaya dihalang dan parang yang digunakan juga telah dirampas.

“Tetapi semasa kedua-dua mereka dibawa keluar dari rumah, tuan rumah tadi bertindak melibas parang yang dirampas ke arah mangsa menyebabkan pergelangan tangan kirinya putus ketika cuba mengelak,” kata sumber.

Ekoran kecederaannya, mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh kedua-dua pihak.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Lee Chong Chern semasa dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

“Kita ada menerima laporan berhubung kejadian dan mangsa yang parah juga telah dikejarkan ke HUS untuk rawatan segera,” katanya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Manakala mangsa dan rakannya pula disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” jelas Lee.

Kongsi Link Anda