Popular Today

Jumaat, Mei 30, 2008

Malaysia, Saudi kekal pasaran terbesar dunia aset Islam

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 29 Mei - Malaysia dan Arab Saudi masih merupakan dua pasaran terbesar di dunia bagi aset pengurusan Islam yang kini mencecah kira-kira AS$1.34 bilion (RM4.35 bilion).

Secara keseluruhannya, dana pelaburan berkonsep syariah di Negara Teluk dan Asia Timur kini mencecah AS$267 bilion (RM868.15 bilion), demikian menurut akhbar Arab Saudi Dar El Hayah yang memetik laporan Dana dan Pelaburan Islam Ernst & Young 2008 (IFIR) yang diterbitkan semalam.

Laporan itu diterbitkan sempena Persidangan Dana dan Modal Islam yang berakhir Selasa di Manama, ibu negara Bahrain.

Laporan itu merekodkan lebih 500 dana menepati Syariah diuruskan di seluruh dunia sehingga 31 Mac 2008.

Menurut laporan itu, terdapat sebanyak 134 dana bersama Islam di Malaysia, yang mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan aset dana pelaburan di Malaysia, manakala Arab Saudi sebanyak 120 dana atau 55 peratus daripada keseluruhan dananya.

"Namun, kedua-dua pasaran ini perlu cara berbeza dan lebih kreatif dalam mengatur strategi pelaburan" kata laporan itu.

"Jika di Arab Saudi, produk kewangan Islam masih merupakan alternatif selain sistem kewangan konvensional, di Malaysia pula, ia telah diterima pakai secara meluas. Bermakna, para pelabur sedia berurusan dalam kedua-dua jenis produk kewangan tersebut, sama ada konvensional mahu pun yang menepati hukum syarak", kata laporan itu.

"Menariknya, kepelbagaian sektor aset Islam di Malaysia telah mewujudkan suasana pelaburan Islam yang berdaya saing dan mampu menarik ramai pelabur termasuk yang bukan Islam", kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Ernst & Young Bahrain, Sameer Abdi berkata, negara Teluk kini sedang menikmati perolehan minyak dan akan kembali menarik lebih banyak dana Islam di peringkat global.

"Pertumbuhan tersebut masih di peringkat pertama," katanya, yang mengulas laporan IFIR.

Bagaimana pun, beliau mengakui bahawa sektor dana Islam di negara Teluk perlu dipelbagaikan dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing.

- Bernama

Tiga mungkin dihukum - Zaid, Mukhriz, Tajuddin ke Lembaga Disiplin langgar arahan parti

0 Komen!!!
PUTRAJAYA 29 Mei – Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

‘‘Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.

“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

Kerajaan kaji kurang tol bas ekspres

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin memberikan potongan kadar tol, cukai jalan, insurans serta sewa terminal untuk membantu mengurangkan kos operasi dan pengurusan syarikat bas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan sedar banyak syarikat bas rugi kerana terpaksa menanggung kos operasi serta pengurusan yang tinggi dan keadaan mereka bertambah buruk apabila harga bahan api meningkat.

Berikutan itu, katanya, kerajaan mengkaji beberapa langkah termasuk cadangan mengurangkan kadar tol untuk bas ekspres yang ketika ini terpaksa membayar pada harga penuh walaupun mereka sebenarnya menyediakan khidmat pengangkutan awam.

"Kita tengok teksi dapat 50 peratus (potongan kadar) tol tetapi bas ekspres perlu membayar penuh. Saya difahamkan pengusaha bas terpaksa membayar sehingga jutaan ringgit untuk tol, jadi kita cadang untuk mengurangkannya.

"Kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan memberi pengurangan cukai jalan dan insurans untuk membantu meringankan beban kos operasi syarikat bas sekali gus membantu industri pengangkutan awam di negara ini," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas permohonan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk menaikkan tambang bas ekspres dan bas henti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.

Kelmarin, Pengerusi PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan terbabit kepada kementerian dengan alasan kenaikan tambang perlu untuk membolehkan pengusaha menampung peningkatan harga diesel dan alat ganti.

Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005. Bagaimanapun, dalam tempoh itu, harga diesel sudah dinaikkan tiga kali manakala kos alat ganti semakin bertambah.

Noh berkata, kerajaan juga bercadang meminta pengusaha terminal bas supaya mengkaji semula kemungkinan

menurunkan kadar sewa yang dikenakan mereka kepada syarikat bas bagi membantu mengurangkan beban pengusaha.

"Kita akan cuba beri pengurangan contohnya di Hentian Puduraya di ibu negara yang terletak di bawah UDA. Kita akan minta UDA mengkaji balik supaya kadar sewa yang mereka kenakan dapat dikurangkan lagi," katanya.

Mengenai perkhidmatan bas bagi laluan di kawasan perumahan dan luar bandar yang tidak menguntungkan beliau berkata, kementeriannya mengkaji untuk menggunakan konsep bas mini yang diselia sepenuhnya oleh syarikat kerajaan.

"Kita akan gunakan bas yang dibiayai kerajaan dan ia mungkin diberi kepada syarikat seperti Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) di bandar dan yang dikendalikan Mara di kawasan luar bandar.

"Kita juga bercadang mewujudkan bas mini di luar bandar, malah mungkin memperkenalkan sistem seperti van kerana kaedah itu boleh dilaksanakan di luar bandar seperti untuk membawa murid sekolah atau penumpang biasa," katanya.

Noh berkata, kementerian juga akan meneliti semula mekanisme pemberian permit bas bagi memastikan ia tidak dikeluarkan secara berlebihan sehingga boleh mewujudkan persaingan tidak sihat yang menjejaskan daya maju.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lee Sing Chooi di Dewan Negara, semalam, Noh berkata, semua maklumat pemandu bas ekspres di negara ini akan didaftarkan di dalam satu pangkalan data bagi memudahkan pemantauan dibuat.

"Langkah itu perlu kerana ketika ini tiada pemantauan khusus dibuat terhadap pemandu bas ekspres yang kadang kala dipaksa bekerja lebih masa sehingga mendedahkan mereka kepada risiko membahayakan nyawa penumpang jika berlaku kemalangan.

"Kita juga ingin mahu membuat penjenamaan semula untuk melahirkan pemandu bas ekspres yang lebih profesional, diberikan lesen memandu kenderaan awam (PSV) serta menetapkan gaji minimum untuk mereka," katanya.

Berita Harian 30/5/08

Kongsi Link Anda