Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan soal akidah Islam mesti dipertahankan tanpa kompromi walaupun negara berkongsi nilai sejagat dengan pelbagai bangsa dan masyarakat.
Serentak dengan itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman liberalisme dan pluralisme yang dihadapi umat Islam di negara ini.
Menurutnya, fahaman yang sedang menular itu mengancam keharmonian dan kestabilan kehidupan beragama dan bermasyarakat, berikutan silap tafsir mengenai konsep kemajmukan.
Ada pihak tertentu yang ternyata silap mengenai konsep kemajmukan, dan ini menjurus kepada mereka melihat semua agama mempunyai nilai yang sama, katanya pada majlis ramah mesra bersama warga pondok dan pelancaran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) di Ampang, Khamis.
Bernama melaporkan Najib berkata: "Sungguh malang kerana ada golongan yang mengamalkan fahaman ini, disokong pula oleh pihak berkepentingan yang bersekongkol dengan golongan yang berfahaman demikian."
Dalam pada itu, Najib berkata mutakhir ini, banyak tuduhan dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dibuat pihak tertentu mengenai agama Islam yang tidak berdasarkan ilmu, sebaliknya bagi memenuhi agenda atau kepentingan tertentu.