Popular Today

Ahad, Disember 20, 2009

Dewan Pemuda PAS Kelantan desak Ariffahmi segera letak jawatan

0 Komen!!!
KOTA BHARU 19 Dis. – Dewan Pemuda Pas Kelantan akan mengadakan mesyuarat Isnin ini bagi membincangkan cadangan mendesak Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) lebih awal tanpa menunggu Mac depan.

Ketua Penerangannya, Dr. Rosli Allani Abd. Kader berkata, dewan itu mungkin akan membincangkan isu itu lebih mendalam termasuk mengadakan undian di kalangan ahli jawatankuasanya untuk membuat desakan tersebut.

Sebelum itu jelasnya, pihaknya akan memanggil menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu untuk kali kedua dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung peletakan jawatannya itu.

Menurutnya, keputusan memanggil Abdul Ariffahmi yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri itu dibuat pada mesyuarat harian dewan itu kelmarin walaupun sebelum ini beliau telah dipanggil.

Katanya, ia bagi memastikan isu tersebut tidak berlarutan kerana akan menjejaskan tumpuan parti dan kerajaan dalam membangunkan negeri ini.

“Isu ini perlu diselesaikan dengan cepat kerana ia menjejaskan parti. Apa yang kita buat ini adalah bersandarkan kepada konsep parti menguasai kerajaan bukannya kerajaan menguasai parti.

‘‘Lagi pun Abdul Ariffahmi ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas negeri,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

PMBK sebelum ini mengumumkan Abdul Ariffahmi akan meletakkan jawatan pada Mac depan selepas diarahkan Nik Abdul Aziz yang dinasihatkan berbuat demikian oleh kepimpinan Pas Pusat.

Bagaimanapun Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan keputusan tersebut kerana tempoh tiga bulan itu terlalu lama dan memberi ruang yang banyak kepada musuh untuk menyerang.

Rosli Allani berkata, keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat penuh tersebut menunjukkan ketegasan dewan itu supaya isu berkenaan diselesaikan secepat mungkin.

Mengulas mengenai tulisan isteri Abdul Ariffahmi, Nik Amalina di dalam blognya Seri Suri, beliau berkata, tindakan anak perempuan Nik Abdul Aziz itu betul untuk mempertahankan suaminya yang dianggap tidak bersalah selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman.

“Memang diakui tulisan yang meminta seorang Exco meletakkan jawatan sedikit sebanyak menjejaskan parti tetapi di sini ada dua isu yang berbeza terutama dalam mempertahankan institusi kekeluargaan.

“Sebagai kawan lama, saya melihat Nik Amalina ada hak untuk mempertahankan suaminya daripada terus dihukum oleh orang ramai tanpa diberikan peluang membuat penjelasan,” katanya. - utusan Malaysia

Kongsi Link Anda