: Mahkamah tinggi membenarkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Keputusan itu dibuat selepas timbalan pendaftar, Mohamad Nasruddin Mohamed mendapati writ saman yang difailkan oleh plaintif Mohd Shamsul Mat Amin pada 27 Februari lalu tidak mengikut prosedur mahkamah.
Plaintif, Mohd Shamsul juga tidak hadir berikutan kematian ibunya malam tadi dan diwakili peguamnya, A Vasudevan.
Asmuni memberitahu, dalam sesi pendengaran itu, mahkamah bersetuju dengan dua hujah yang dikemukakan pihak defendan bahawa penyampaian writ saman oleh plaintif itu tidak sempurna, justeru menetapkan tarikh 18 Mei depan untuk pembelaan dan pengurusan kes sebelum perbicaraan penuh dimulakan.
Menurutnya, penyampaian writ saman itu tidak sempurna malah tidak diketahui akan kewujudan penerimanya dan perkara itu tidak dapat dibuktikan pihak plaintif.
Selain itu katanya, perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta itu didapati tidak lengkap dan tidak mengikut peraturan mahkamah dan atas alasan itu pihak mahkamah mengetepikan perintah itu.
"Mahkamah telah membuat keputusan membatalkan (penghakiman ingkar tersebut). Selepas ini akan ada pendengaran penuh kes tersebut.. namun tarikhnya lama lagi," kata Asmuni.
Menurut beliau, pihak defendan juga diarahkan memfailkan memorandum kehadiran serta memfailkan pembelaan dalam tempoh 14 hari.
Katanya, alasan pembatalan atau pengenepian penghakiman tersebut adalah kerana dua alasan, iaitu penyerahan saman yang tidak teratur kerana menyerahkan kepada pihak yang tidak wujud; dan langkah plaintif tidak mengikut kaedah mahkamah 2012.
Berikutan alasan-alasan itu, Asmuni telah memfailkan permohonan membatalkan atau mengetepikan perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada keesokan hari.
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Februari telah
mengarahkan Abdul Hadimembayar saman berjumlah RM2,000,000 dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh calon PKR Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5 peratus faedah dari writ yang difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Perintah tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Mohd Shamsul sebelum ini.
Mohd Shamsul memfailkan saman terhadap Abdul Hadi ekoran dakwaan yang dibuat ahli parlimen Marang itu bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.