Popular Today

Rabu, Disember 09, 2009

SPRM pelajari teknik terkini agensi pencegahan rasuah antarabangsa

1 Komen!!!
KUALA LUMPUR 9 Dis — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi pencegahan rasuah antarabangsa dalam mempelajari teknik latihan terkini mereka dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Samarajoo Manikam berkata usaha itu dijalankan bagi mengukuhkan kebolehan dan kewibawaan pegawai SPRM dalam menangani kes-kes rasuah yang disiasat.

"Usaha berterusan untuk menangani gejala ini memerlukan komitmen semua pihak dan kerjasama bersama agensi antarabangsa mengadakan kursus latihan dapat mendedahkan pegawai kepada pengajaran teknik terkini dalam usaha membanteras rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menutup South East Asia Financial Crime Prevention and Anti-Corruption Forum di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya SPRM akan menggunakan pendekatan konsep pembelajaran berterusan untuk pegawainya dalam siasatan kes-kes SPRM bagi persediaan menghadapi situasi mencabar pada masa akan datang.

"Kita akan berusaha menguatkan kepercayaan orang ramai kepada SPRM untuk mengubah persepsi masyarakat tentang kewibawaan agensi ini. SPRM pasti berjaya dan orang ramai patut menyokong SPRM sebagai institusi membanteras rasuah,” katanya.

Beliau berkata konsep pembelajaran berterusan itu dibuktikan dengan mengadakan forum tiga hari itu hasil kerjasama bersama International Financial Crime Prevention and Compliance Training (IFCCT).

"Maklum balas yang kita terima daripada peserta menunjukkan mereka mendapat manfaat terbaik mempelajari teknik dan kaedah terbaru mencegah jenayah kewangan seperti “forensic accounting” dalam menyiasat kes rasuah,” katanya.

Seramai 51 pegawai termasuk 39 dari Malaysia serta Timor Leste, Filipina dan Bhutan menyertai forum itu yang bermula Isnin lepas.

— BERNAMA

Dasar pak turut !!!!.... Kelantan pula tolak BTN

2 Komen!!!
KOTA BHARU: Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tata Negara (BTN).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.

Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam. Menurutnya, beliau bersama dua negeri di bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.

"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim. Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk ''mengharamkan'' pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.

Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lalu melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.

Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.

"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. - Bernama

Ariffahmi abaikan nasihat Mahfuz?

3 Komen!!!
kemaskini 6.40pm Menantu Datuk Nik Aziz Nik Mat kelihatannya enggan mendengar nasihat Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang menggesa peneraju utama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak lagi campur tangan dalam urusan penting syarikat terbabit.

Difahamkan, ketua pegawai eksekutif PMBK, Abdul Ariffahmi Ab Razak, semalam mengeluarkan memo dalaman, mengarahkan semua urusan harian terus dilaporkan seperti biasa kepadanya sehingga tarikh pengundurannya pada Mac tahun depan.

"Segala urusan rasmi dan urusan surat-menyurat perlu dilapor dan dialamatkan kepada ketua pegawai eksekutif untuk sebarang tindakan susulan.

"Prosedur ini akan berkekalan sehingga tarikh akhir perkhidmatan saya pada 7 Rabiulakhir 1413H, bersamaan dengan 23 Mac 2010," memo yang ditandatangan Abdul Ariffahmi dipetik.

Ia diedarkan sehari selepas Mahfuz menggesa Nik Aziz, sebagai pengerusi PMBK, mengarahkan menantunya berundur segera atau berhenti membuat keputusan yang boleh mengikat penggantinya dalam soal-soal kewangan atau projek.

Ahli parlimen itu berkata, kedudukan Abdul Ariffahmi harus ditamatkan dengan serta-merta bagi memelihara etika korporat PMBK.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada memo ini, yang turut diterima Malaysiakini pagi tadi, dibuat sebagai reaksi kepada kenyataan pemimpin kanan PAS itu.

Abdul Ariffahmi enggan mengulas perkara ini ketika dihubungi tadi.

Beliau, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, memaklumkan untuk menghantar notis peletakan jawatannya di PMBK pada 24 Disember ini, sebulan selepas mengumumkan untuk meletakkan jawatan 23 November lalu.

Katanya, beliau perlu memberi notis 90 hari untuk berbuat demikian seperti dalam syarat pelantikannya, selain ingin menyiapkan kerja-kerja sedia ada dan bagi membolehkan menteri besar mencari penggantinya.

Tidak jelas memo satu halaman Abdul Ariffahmi itu ditujukan kepada siapa kerana ia hanya bertulis "senarai edaran" dalam bahagian penerimanya.

Bagaimanapun, memo itu mengingatkan, arahan itu mesti dipatuhi semua pengurus dan kakitangan PMBK serta anak syarikatnya.

Satu salinan memorandum itu turut dilampirkan kepada Nik Aziz sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu.

Sumber : Malaysiakini

Kongsi Link Anda