Rabu, Jun 04, 2008

Minyak oh Minyak......

1 Komen!!!

Tiada kawalan harga minyak mulai Ogos

Tiada kawalan harga akan dikenakan ke atas petrol dan diesel dengan pelaksanaan mekanisme subsidi bahan api itu Ogos
ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan dua mekanisme subsidi bahan api iaitu "pendapatan tunai" dan penetapan kuota.

Menurutnya, dengan cara itu, harga bahan api di Malaysia akan mencerminkan harga pasaran global, demikain menurut laporan Bernama.

"Ia bergantung kepada harga pasaran global," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pembinaan Malaysia Pertama 2008 di Kuala Lumpur hari ini.

"Kita sedang menuju ke arah inflasi yang memerlukan keseluruhan sistem subsidi diubah, dan ini akan dilakukan menjelang Ogos. Tetapi apa yang akan berlaku esok adalah suatu langkah ke arah itu.

"Kita akan melakukannya secara beransur-ansur kerana satu sistem subsidi sepenuhnya tidak boleh dilaksanakan serta merta sekarang.

"Esok harus dilihat dan dianggap sebagai sebahagian daripada perubahan keseluruhan itu," katanya.

"Kita tidak boleh naikkan harga tanpa memberikan suatu bentuk subsidi kepada rakyat Malaysia. Kita sedang memikirkan untuk menaikkan harga runcit dalam pasaran. Pada masa yang sama, kita perlu menghentikan penyeludupan dan penyalahgunaan yang berlaku," katanya.

Shahrir berkata kerajaan menjangka untuk menaikkan subisidinya ke atas komoditi itu hingga di antara RM55 bilion dengan RM56 bilion tahun ini, bergantung kepada harga minyak dunia.

"Harga minyak terus meningkat, jadi peruntukan subsidi juga terus bertambah," katanya.

Tindakan berani

Sementara itu, dalam ucaptamanya dalam Rundingan Meja Bulat ke-22 Asia Pasifik di ibunegara hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa komuniti antarabangsa supaya mengambil langkah berani yang belum pernah berlaku untuk memerangi kenaikan melampau harga makanan, minyak dan komoditi.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, beban kenaikan harga kini yang ditanggung sebahagian besarnya oleh negara membangun dan miskin, boleh dengan mudah melimpah kepada masyarakat maju.

"Protes, demonstrasi dan rusuhan makanan telah tercetus di banyak negara di dunia membangun termasuk di rantau kita.

"Bagaimanapun kebimbangan ini tidak begitu ketara dilihat di dunia negara maju, kecuali berkaitan dengan kenaikan harga bahan api," katanya.

Beliau memberi contoh tindakan berani Jepun dalam menangani kenaikan harga beras, dan mencadangkan langkah yang sama diambil oleh pasaran minyak.

"Untuk mengelakkan tawaran spekulatif, Jepun telah menggantung perdagangan beras dalam pasaran hadapan," katanya.

Bekalan beras

"Kita patut mengkaji langkah sedemikian bagi kemungkinan ia dilaksanakan untuk pasaran minyak, yang merupakan penyumbang penting melonjakkan harga komoditi lain. Kesemua langkah ini akan tentunya memerlukan rundingan dan perjanjian di peringkat antarabangsa," katanya.

Abdullah juga berkata Asean Campur Tiga (10 negara Asean dan China, Jepun serta Korea Selatan) juga boleh memainkan peranan dengan mewujudkan Simpanan Jaminan Makanan Asean memandangkan ia kini tidak mempunyak stok yang cukup bagi menstabilkan secara berkesan harga dan bekalan beras dalam kalangan negara anggota.

"Langkah juga perlu diambil untuk menggerakkan Simpanan Beras Kecemasan Asia Timur yang kini masih di peringkat projek perintis. Ia harus menjadi skim simpanan beras yang berdaya maju yang mendapat komitmen penuh daripada semua negara peserta," katanya.

Abdullah berkara harga beras, makanan ruji penduduk Asia, telah meningkat 76 peratus dalam tempoh lima bulan sejak Disember tahun lalu hingga April tahun ini, sementara harga keseluruhan makanan, meningkat 83 peratus sejak tiga tahun lepas dan harga minyak meningkat empat kali ganda sejak enam tahun lalu.

"Para penganalisis berkata harga itu sudah pada puncaknya. Pada satu ketika tidak syak lagi ia mesti berlaku. Tetapi buat masa ini ia kekal pada harga yang amat tinggi," katanya.

Sumber : Malaysia Kini 4/6/08

Belajar kejatuhan institusi Raja Nepal

0 Komen!!!
DR. GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur

SAYU dan hiba hati saya menatap berita di Utusan Malaysia (29 Mei 2008) mengenai tamatnya sebuah monarki yang berkuasa selama 230 tahun. Akhirnya Raja Gyanendra tunduk juga kepada 'pakatan rakyat' yang mahu raja disingkirkan.

Apabila Pergerakan Mao dan golongan yang sepertinya mula menguasai Parlimen, maka raja hanya tinggal dalam kenangan sejarah. Raja terpaksa meninggalkan istananya dan memohon simpati rakyat.

Rakyat pula seakan-akan berpesta meraikan kejayaan menumbangkan rajanya. Inilah pengajaran paling besar yang perlu diambil iktibar oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia khususnya orang Melayu.

Perlu diingat bahawa rakyat Nepal sebelum ini adalah orang yang taat kepada rajanya tetapi hari ini mereka bersorak-sorak kegembiraan meraikan tumbangnya tonggak kekuasaan mereka.

Apakah pelajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa ini? Kepada orang Melayu, raja adalah simbol perpaduan dan perlindungan kepada rakyat. Raja disebut 'payung negeri' iaitu institusi yang bertanggungjawab menjadi tumpahnya kesetiaan rakyat.

Di dalam Rukun Negara, prinsip kedua menyebut, "Kesetiaan kepada Raja dan Negara." Maka raja kekal mewarisi pemerintahan dari dahulu hingga kini.

Selepas merdeka, negara kita mengamalkan pemerintahan Raja Berperlembagaan yang mewujudkan suasana aman dan harmoni dalam negara kita.

Apa yang kita harapkan jangan ada pihak yang cuba memperkecilkan institusi beraja di Malaysia. Rakyat dan raja mestilah dalam keadaan berpisah tiada. Tiada rakyat, tiadalah raja. Begitulah sebaliknya.

Jangan mempersendakan raja khususnya dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam. Pemimpin dan raja mestilah sentiasa berbincang mencari jalan terbaik agar rakyat dan negara terus kekal harmoni.

Apabila raja dan rakyat tiada sepakat, maka berlakulah peristiwa hitam sebagaimana yang terjadi kepada Raja Gyanendra. Sebuah kerajaan yang lama akhirnya luruh di tangan rakyat. Rakyat pula janganlah bangga menjatuhkan rajanya.

Kita lihat banyak negara-negara maju masih mengekalkan sistem monarkinya. Mereka bangga berdiri di atas tradisi dan warisan sejarah rajanya yang panjang.

Sistem monarki mewujudkan satu cara hidup yang tertib dan bersopan lengkap dengan adat istiadat. Lihatlah Jepun dan England, sistem monarki telah melalui pelbagai cabaran dan hingga kini utuh menjadi lambang kebesaran bangsa mereka.

Marilah kita pelihara institusi beraja di Malaysia kerana ia menjadi naungan dan simbol taat setia rakyat jelata. Tanpa raja, rakyat dan pemimpin menjadi sama.

Rakyat pula akan menjadi tuan dan itulah yang disebut 'ketuanan rakyat'. Hindarkan perkataan itu dari kamus bangsa kita!

Batuan Tengah akan dicantum!.

0 Komen!!!
PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Kementerian Luar dijangka mengemukakan cadangan mengenai masa depan Batuan Tengah yang termasuk kemungkinan menyambung dua batuan itu atau menubuhkan pusat penyelidikan saintifik, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Kita mengemukakan satu laporan pada Kabinet esok mengenai kesinambungan aktiviti itu berikutan dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang beribu pejabat di The Hague, (Belanda)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sekeping cek kepada China untuk mangsa ribut salji di sini hari ini.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa pakar telah diarahkan untuk mengumpulkan data dan maklumat mengenai Batuan Tengah dan beliau akan mengumpulkan laporan itu untuk makluman Kabinet esok.

Menurutnya beliau telah menghubungi Menteri Luar Singapura baru-baru ini, dan "kita fikir ia adalah idea yang baik untuk kedua-dua negara tidak menjadikannya isu politik mengenai Batuan Tengah dan Batu Puteh sehingga sesetengah orang terlalu memikirkan dan salahfaham dengan keputusan itu."

Beliau berkata sebuah stesen peninjau cuaca kemungkinan boleh dibina di Batuan Tengah termasuk kemudahan lain bagi membantu nelayan menjalankan kegiatan tradisi memancing mereka.

"Tetapi semua ini akan dibentangkan pada jawatankuasa bersama dengan Singapura dan kita telah meminta untuk satu data bagi ditetapkan supaya kedua-dua pihak boleh membincangkannya secara mesra dan carta yang perlu dibuat.

"Kita akan terus membangunkan atau mencadangkan perkara-perkara berkaitan masa depan Batuan Tengah sementara Singapura mungkin juga mencadangkan atau memberikan pandangan mengenai masa depan Batu Puteh," kata beliau.

Mengenai soalan faedahnya menyambungkan Batuan Tengah, Rais berkata: "Sudah tentu jika anda menyambungkan kedua-duanya, akan lebih besar daripada apa yang ada sekarang."

-- BERNAMA

Enam saranan MB Perak

0 Komen!!!
Bagi mempertahankan kemenangan 6+6 ini, saya menegaskan dalam ucapan di hadapan kira-kira 700 orang pemimpin PAS Perak pada malam tersebut bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dan tugas kewajipan yang besar untuk dilaksanakan, antara lainnya:

Betapa pentingnya PAS diperkasa kerana hanya dengan kekuatan PAS, segala gerak kerja parti dan kerajaan akan berhasil.

Mindset ahli-ahli PAS di semua peringkat mesti berubah. Mereka mesti berfikir bahawa mereka bukan lagi sebagai pembangkang tetapi sebagai kerajaan. Justeru, mereka perlu menunjukkan sikap adil, bijaksana dan rendah diri. Mereka hendaklah berusaha menerangkan kepada rakyat berbilang kaum dan agama bahawa kerajaan baru Pakatan Rakyat adalah sebuah kerajaan yang adil saksama, beramanah, telus dan bermaruah.

Ahli PAS harus memperkukuh hubungan baik dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat serta menunjukkan sikap ramah mesra dan ambil peduli akan nasib rakyat di peringkat akar umbi. Jangan harapkan kerajaan saja untuk ambil peduli nasib rakyat berbilang kaum, tetapi pendokong PAS sendiri mesti menunjukkan sikap prihatin terhadap mereka.

Menerusi Program Khidmat Masyarakat wakil rakyat PAS, pendokong PAS boleh membantu memberitahu dasar kerajaan baru Perak yang sangat prorakyat. Wakil rakyat PAS harus sentiasa mesra rakyat, sentiasa peduli dengan nasib rakyat berbilang kaum dan agama.

Program tarbiyah, mesti menekankan aspek pengukuhan pengisian kemenangan (tamkin), iaitu melaksanakan idealisme atau cita-cita kita hendak melaksanakan kerajaan yang adil, telus, berkebajikan dan beramanah, sesuai dengan manifesto PAS.

Untuk memperkukuh aspek tarbiyah, usrah cawangan dan kawasan hendaklah diadakan sekerap mungkin, di samping program bulanan liqa�ul fikri peringkat negeri diadakan.

Pada akhir program malam tersebut Menteri Besar, Dato� Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin menyampaikan taklimatnya dengan mesej menyeru semua pihak bersama membantu menjayakan kerajaan baru Perak Darul Ridzuan.- tajdid

Sumber Harakah Ddaily 4/6/08

Proses sudah bermula - pembangkang mula tukar pegawai

0 Komen!!!
Senyap-senyap sehaja, beberapa negeri yang dikuasai pakatan pembangkang selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu kini mula menunjukkan sikap agresif dengan menukar pegawai serta menghalau keluar agensi kerajaan dari bangunan yang ditadbir mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan negeri Selangor telah mengusir Radio Selangor FM di bawah Jabatan Penyiaran.

''Mereka juga menukar pegawai-pegawai di masjid dan turut menukar ketua-ketua kampung.

''Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan kepada nazir masjid dan guru-guru agama, kita dapati tindakan mereka ini tidak adil,'' katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan diraja bagi kementeriannya.

Tambahnya, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri berkenaan juga tidak dibenarkan merasmikan majlis anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

''Bukan itu sahaja, malah balai raya juga tidak dibenarkan diguna. Bagaimana kalau kita tidak beri anak-anak mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan yang di bawah Kerajaan Persekutuan. Macam mana,'' katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, adalah wajar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) ditubuhkan di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

''Ia untuk memastikan projek-projek pembangunan kerajaan Persekutuan di peringkat kampung berjalan lancar,'' katanya.

-----------------------------------------------------------------
P.s; Pakatan Pembangkang mula meletakkan orang-orang mereka di jawatan-jawatan penting dibawah negeri pentadbiran mereka. Pengerusi Surau, pengerusi masjid, ketua kampung dan lain-lain jawatan akan dijawat oleh orang parti mereka. Selepas ini semakin ramai lagi akan ditukar nampaknya. Tunggu sahajalah... Sesal dahulu pendapatan sesal sekarang tidak berguna.

Kouta JPA - Akibat Orang Melayu Menyokong PAS dan PKR.

0 Komen!!!

Ramai orang Melayu yang tidak setuju dengan kouta yanhg diberikan oleh JPA kepada bukan Melayu yang naik kepada 45% dari 10%. Manakala bagi yang bukan Melayu ianya sesuatu yang perlu disokong.

Sebenarnya inilah hakikat apabila suara Melayu semakin sedikit di dewan Rakyat khasnya yang diwakili oleh UMNO. Kerana dari dahulu lagi hanya UMNO sahaja yang mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu.

Hakikatnya ramai anak-anak Melayu yang masih perlu bantuan kerajaan lagi. Akhirnya anak Melayu juga yang rugi. Kita pun tahu berapa ramai dari profesional kita berjaya yang betul-betul ikut meritokrasi pada masa dahulu. Semuanya hasil kouta dari kerajaan yang memberi peluang kepada anak-anak Melayu untuk berada di IPTA dalam dan luar negara.

Dalam isu biasiswa JPA ini memang diketahui umum bahawa orang Melayu di dalam PAS dan PKR tidak berani bersuara demi 'berkawan' dan mendapatkan sokongan DAP.

Adalah amat sukar untuk kerajaan mempertahankan kouta ini sekiranya tidak mendapatkan sokongan dari orang Melayu sendiri khasnya dari PAS dan PKR.

Jadi ingatan kepada orang Melayu yang bersandarkan harapan kepada PAS dan PKR dalam memperjuangkan hak orang Melayu hanyalah sia-sia sahaja.



Kuota JPA: GPMS mahu jumpa Najib

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bercadang menemui timbalan perdana menteri berhubung isu kenaikan kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan Bumiputera daripada 10 peratus kepada 45 peratus.

Presidennya Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata pertemuan itu diharapkan diadakan secepat mungkin dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga ketua penasihat GPMS.

Majlis Tertinggi GPMS dan semua pengerusi GPMS negeri sebulat suara membantah kenaikan itu, lapor Bernama.

"Saya mahu tekankan di sini bantahan itu bukanlah bersifat perkauman tetapi berdasarkan tuntutan kesamarataan," beliau dilaporkan berkata selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi gabungan itu di pejabat GPMS hari ini.

Beliau berkata kesamarataan yang dimaksudkannya ialah peluang mendapatkan pendidikan bermutu dalam kalangan pelajar di luar bandar dan di bandar.

Reezal Merican berkata latar belakang seseorang pelajar perlu diambil kira dan tidak hanya berdasarkan merit keputusan peperiksaan pelajar.

"Kami mahukan sosioekonomi pelajar itu juga diambil kira kerana jurang antara bandar dan luar bandar tentunya berbeza," katanya.

Beliau berkata, kenaikan peratusan biasiswa kepada bukan bumiputera itu tidak mencerminkan komposisi kaum di negara ini iaitu 65 peratus bumiputera dan 35 peratus bukan bumiputera.

Sementara itu Pemuda DAP hari ini mengecam pendirian beberapa pertubuhan Melayu, termasuk GPMS.

Sambil menyifatkan penentangan terhadap langkah kerajaan itu "suara-suara retrogresif", setiausaha pergerakan itu Loke Siew Fook menggesa kerajaan agar bertegas dengan keputusannya itu.

"Pemuda DAP percaya biasiswa mestilah diberikan berasaskan dasar meritokrasi dan pelajar yang layak sama ada mereka bumiputera atau bukan bumiputera tidak boleh dinafikan hak mereka melanjutkan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan.

"Sekali lagi kad perkauman dimainkan bagi melemahkan tujuan-tujuan meritokrasi dalam pendidikan Malaysia."

Minggu lalu menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa JPA akan menaikkan kuota pemberian biasiswa ke luar negara untuk pelajar bukan bumiputera daripada 10 kepada 45 peratus mulai tahun ini.

Selain GPMS, langkah ini ditentang oleh Pemuda Umno, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Manakala Pemuda MCA pula menyokongnya.


Kuota: Pemuda DAP kecam badan Melayu

Pemuda DAP mengecam penolakan beberapa pertubuhan Melayu terhadap kenaikan kuota 45 peratus biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar bukan bumiputera seperti diumumkan minggu lepas.

Sambil menyifatkan penentangan terhadap langkah kerajaan itu "suara-suara retrogresif", setiausaha pergerakan itu Loke Siew Fook menggesa kerajaan agar bertegas dengan keputusannya itu.

"Pemuda DAP percaya biasiswa mestilah diberikan berasaskan dasar meritokrasi dan pelajar yang layak sama ada mereka bumiputera atau bukan bumiputera tidak boleh dinafikan hak mereka melanjutkan pelajaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sekali lagi kad perkauman dimainkan bagi melemahkan tujuan-tujuan meritokrasi dalam pendidikan Malaysia."

Minggu lalu menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa JPA akan menaikkan kuota pemberian biasiswa ke luar negara untuk pelajar bukan bumiputera daripada 10 kepada 45 peratus.

Pengenalan langkah ini ditentang oleh beberapa pihak, termasuk Pemuda Umno, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Loke, yang juga ahli parlimen Rasah, berkata pelajar bumiputera masih mempunyai banyak peluang mendapatkan biasiswa, termasuk yang disediakan oleh Majlis Amanah Mara (Mara) walauupun kuota biasiswa JPA telah dikurangkan daripada 90 kepada 55 peratus.

Semalam sambil menyokong kuota 45 peratus, Pemuda MCA berkata JPA sentiasa menambah jumlah biasiswa yang ditawarkannya dari tahun ke tahun.

Tahun ini 2,000 pelajar mendapat biasiswa itu berbanding 900 tempat pada 2004, 1,200 (2005), 1,500 (2006) dan 1,800 (2007).

Ketua biro pendidikan Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, menolak hujah rakan sewajatannya dalam Pemuda Umno yang mendakwa langkah JPA itu menyebabkan "700 biasiswa untuk pelajar bumiputera telah hilang."

Ketua biro pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail, tidak bersetuju dengan kaedah pengagihan itu, namun bersetuju lebih banyak biasiswa wajar diberikan kepada bukan bumiputera.

"Kami tidak bersetuju dengan langkah menaikkan nisbah itu (daripada 10 peratus) tanpa menambah jumlah biasiswa," beliau dipetik sebagai berkata.

Loke berkata, semua lapisan masyarakat mestilah "membuang mentaliti berasaskan kuota" bagi mencapai kecemerlangan akademik dan meningkatkan daya saing negara.

Presiden GPMS Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, pemberian biasiswa perlu mengambil kira bukan sahaja soal merit pencapaian, tetapi juga persoalan merit sosioekonomi rakyat.

Abim menyifatkan langkah itu tidak akan memberikan "keadilan sosial" dan bercanggahan pula dengan semangat hak keistimewaan Melayu.

PKPIM pula membantahnya dengan mencadangkan peruntukan biasiswa diberikan kepada semua.

Islam hadhari: Mufti ulas Dr Hassan

0 Komen!!!
Jimadie Shah Othman (Malaysia Kini) May 30, 08 7:37pm
Mufti Perlis mencadangkan kerajaan Selangor yang mengharamkan Islam hadhari supaya menilai perkara itu secara objektif dan menerima aktiviti dan dasarnya yang baik.

"Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

"Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."

Melalui laman webnya 'Minda Mufti', beliau mengulas kenyataan exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali awal minggu ini, termasuk isu pengharaman arak dan hiburan.

Isnin lalu, kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Dr Hassan berkata semua masjid dan surau diarah tidak lagi mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup," katanya.

Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:

"Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini.

"Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'."

Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab:

"Alangkah baik jika disebut: 'kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti' atau seumpamanya."

Dr Hassan, yang juga pesuruhjaya PAS, menafikan parti itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan termasuk kilang arak dalam pilihanraya umum lalu.

Bercakap ketika membuat penggulungan di akhir akhir DUN Selangor, beliau mencabar sebarang pihak agar mengemukakan bukti yang menunjukkan pemimpin PAS pernah membuat janji sedemikian.

"Jika ada yang mendakwa saya dan ahli PAS lain yang membuat janji ini, saya cabar mereka kemukakan, tunjukkan bukti daripada mana-mana sumber.

"Jika mereka ada bukti, sila tunjukkan kepada saya bahawa PAS ada membuat janji-janji ini kerana kita tidak pernah membuat janji sedemikian."

-------------------------------------------------------------------------
P.s; PAS kini bersuara berbeza dari dahulu, ini namanya hipokrasi, kalau dahulu PAS lah yang memperjuangkan dan mempersoalkan tentang hasil negara dari genting dan kilang arak dan mahu menutupnya sekira memerintah.

Kini bunyinya dah lain pula, PAS nampaknya semakin 'hancur', agama hanya dipergunakan untuk kepentingan parti politik mereka yang sempit dan tidak konsisten dalam pendirian. Malang untuk orang Melayu yang menyokong mereka. Hukum sentiasa berubah.

Kongsi Link Anda