Selasa, Jun 10, 2008

'HADIAH' UNTUK RAKYAT SELANGOR

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.

Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.

Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.

Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Sambil meminta pemaju perumahan mengambil kira keperluan penduduk bukan beragama Islam agar menyediakan tapak yang lebih luas berbanding hanya 0.4 hektar sahaja ketika ini, beliau juga berjanji akan menambah peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam daripada RM3 juta ketika ini.

Dr. Xavier mungkin menyedari langkah itu bakal mendapat pujian masyarakat bukan Islam yang akan mengangkatnya sebagai 'pejuang', di samping menggunakan sepenuhnya peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri ketika pakatan pembangkang berkuasa.

Persoalannya di mana suara wakil-wakil Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang beragama Islam. Meskipun ia baru di peringkat cadangan, tetapi adakan disebabkan alasan untuk memenuhi keperluan penganut agama lain, mereka sedia bertolak-ansur mengenai perkara itu.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas negeri kini semakin menyimpang daripada matlamat membina negara Islam yang menjadi wadah perjuangan mereka selama ini, sehingga sanggup mendengar sahaja kenyataan seorang pemimpin yang satu 'selimut' dengan mereka mahu menghapuskan peraturan mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, sesuatu yang sentiasa tidak disenangi puak- puak cauvinisme.

TenggelamNada itu disuarakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat biarpun ada wakil Pas dalam barisan kerajaan negeri, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka, hatta terhadap masjid atau surau dengan rumah ibadat bukan Islam.

Baginya, cadangan itu sekiranya dipersetujui, seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum sedangkan selama ini peraturan yang hendak dihapuskan itu berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berupaya memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.

Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.

"Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.

"Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.

"Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina," katanya yang mengakui perkara itu pernah disentuh mesyuarat Exco tetapi belum ada kata putus dicapai.

Beliau menolak tanggapan Pas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan politik kerana menurutnya, jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk Melayu pula.

Apa pun, hakikatnya peraturan yang mengehadkan saiz itulah yang mahu dihapuskan Dr. Xavier, yang mungkin tidak disedari oleh Iskandar.

Tidak mustahil apabila dihapuskan peraturan itu, kita boleh melihat rumah ibadat bukan Islam yang menyamai keluasan Masjid Shah Alam memandangkan mereka sudah tentu tidak akan menghadapi masalah dari segi kewangan.

Sudah banyak orang Melayu beralah kepada tuntutan dan desakan kaum lain, jadi sebelum terlambat, kata putus perlu dicapai bagi memastikan suasana harmoni yang dinikmati sebelum ini, teguh terpelihara.

Setelah berkeras mahu melaksanakan projek ternakan babi yang didakwa menggunakan sistem termoden di Sepang, pakatan pembangkang di Selangor terus 'menunaikan janji' dengan menghadiahkan sesuatu yang tidak dijangka oleh umat Islam, semata-mata atas prinsip kesamarataan.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda