Popular Today

Khamis, Mei 15, 2008

ANWAR YANG LULUSKAN

0 Komen!!!
Oleh Agenda Daily

Tuduhan wujudnya unsur rasuah dalam pemberian kontrak kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada PSC Naval Dockyard oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr, Wan Azizah Wan Ismail mengundang padah apabila Dewan Rakyat diberitahu Menteri Kewangan yang meluluskan penswastaan projek berkenaan kepada syarikat itu ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setahu saya Menteri Kewangan pada masa itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat. Saya tidak mahu menyalahkannya, tetapi mungkin ada sesuatu yang luar dari jangkaannya. Maknanya janganlah salah semua orang. Kita juga sedikit sebanyak ada kelemahan juga,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong hari Rabu bagi pihak Kementerian Pertahanan berhubung dengan dakwaan wujudnya amalan rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda TLDM oleh Dr. Wan Azizah.

Berdasarkan penjelasan yang diberikan oleh Najib, kontrak perolehan 27 buah kapal itu diberikan kepada PSC Naval Dockyard pada 11 Disember 1995 untuk tempoh 15 tahun.

Menurut perjanjian, syarikat berkenaan diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan TLDM di samping mereka bentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru.

Di bawah kontrak awal, kerajaan membuat tempahan enam buah kapal pronda dengan nilai kontrak sebanyak RM5.35 bilion tetapi kontrak dengan PSC dibatalkan pada tahun 2006 apabila gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal sahaja yang hampir disiapkan pada tahun 2006.

Kesannya bagi memastikan enam buah kapal tersebut dapat diteruskan pembinaannya, kerajaan telah melantik Lembaga tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil alih syarikat PSC dan nilai kontrak terpaksa dinaikkan kepada RM6.75 bilion ekoran peningkatan kos.

Pada tahap ini, Dr. Wan Azizah bangun bertanya apakah kriteria untuk memilih syarikat yang hendak diberikan kontrak itu pada awalnya.

Bingkas bangun sebelum Najib menjawab Ahli Palrimen Pontian, Ahmad Maslan yang menyatakan soalan Dr. Wan Azizah tidak ada kaitan.

“Tadi yang Amat Berhormat menyatakan bahawa penswastaan PSC Naval Dockyard diluluskan pada 11 Disember 1995. Kita tahu bahawa tidak ada satu penswastaan pun di Malaysia ini tanpa kelulusan daripada Perbendaharaan dan Kementerian Kewangan, Saya ingin tanya soalan pendek sahaja, siapakah Menteri Kewangan pada ketika itu,” tanyanya.

Ekoran soalan itu beberapa Ahli Parlimen BN kedengaran berkata “jawab…jawab”.

Maka, Najib menjawab “Setahu saya Menteri Kewangan pada ketika itu ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat”.

Dalam penggulunggannya juga Najib menjelaskan semua tuduhan yang dikaitkan dengan amalam rasuah dalam pembelian kapal selam oleh TLDM dan jet pejuang Sukhoi oleh TUDM.

Najib juga pada kesempatan itu turut menyentuh mengenai cubaan mengaitkan dirinya dengan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu.

“Alhamdulillah saya masih dapat bertahan dengan segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan, dengan niat untuk mencemarkan nama saya.

“Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita yang dimaksudkan dalam kes ini,” tegasnya. – AGENDA DAILY/ 14/5/2008

Najib jawab tohmahan

0 Komen!!!
Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 14 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas perbuatan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang sengaja menimbulkan dakwaan-dakwaan palsu terhadap kerajaan berkaitan komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi, selain mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat petang ini, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai “satu rekaan yang diatur secara berterusan untuk kepentingan politik bagi mengelirukan rakyat.”

Katanya: “Tindakan ini tidak langsung memikirkan kesan-kesan buruk terhadap imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keselamatan negara... ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan menegakkan kebenaran.’’

Dalam penggulungannya, antara lain Najib menjelaskan:

- Kementerian Pertahanan tidak pernah membayar komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung berjumlah RM500 juta (Euro 114.96 juta) kepada Perimekar Sdn. Bhd. berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

- Harga pembelian pesawat Sukhoi yang berbeza di antara Malaysia dan India disebabkan perbezaan konfigurasi dan bilangan pesawat yang dibeli.

Malaysia membeli hanya 18 buah pesawat Sukhoi menggunakan teknologi Thales dari Perancis manakala India membeli 180 buah pesawat jenis itu dengan 140 buah dibina di India menggunakan teknologi avionik Israel.

- Beliau tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan Altantuya, 28, yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu telah beberapa kali diperjelaskan, tetapi ada sesetengah anggota pembangkang dengan sengaja cuba mengaitkan nama beliau dalam kes tersebut.

Menghuraikan secara lebih terperinci mengenai kapal selam Scorpene, Najib berkata, pembelian itu dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara yang membabitkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga.

“Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas kelulusan kementerian dan setelah kontrak tersebut dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya.

Najib menyifatkan tuduhan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat kononnya berlaku rasuah dalam pembelian peralatan ketenteraan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Ketika beliau berucap, Wan Azizah mencelah bertanya mengapa harga pembelian kapal selam itu oleh India dan Chile lebih murah daripada Malaysia.

Najib menegaskan, perbezaan harga itu berlaku kerana kelainan spesifikasi memandangkan India menggunakan teknologi Israel sedangkan Malaysia menggunakan teknologi Perancis sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, kontrak perolehan kapal selam Scorpene itu ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh kerajaan dengan syarikat DCNS dari Perancis dan Navantia dari Sepanyol selaku pembekal kapal selam, manakala syarikat Perimekar bertindak sebagai pembekal perkhidmatan projek.

“Nilai kontrak ialah Euro 1.084 bilion (RM5.5 bilion) yang dibahagi kepada dua iaitu pertama membabitkan kos berjumlah Euro 969.15 juta (RM4.94 bilion) merangkumi pembelian dua buah kapal selam dan latihan untuk warga kapal selam.

“Kedua, ia melibatkan perbelanjaan bernilai Euro 114.96 juta (RM586.3 juta) membabitkan Perimekar untuk perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Cherbourg, Perancis dan Cartagena, Sepanyol,” katanya,

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan Perimekar dalam konteks perolehan kapal selam Scorpene.

Syarikat itu, kata Najib, sebenarnya diberi kontrak perkhidmatan sokongan untuk tempoh enam tahun dengan nilai kontrak Euro 114.96 juta (RM586.3 juta).

Pada masa ini, Perimekar baru dibayar sebanyak Euro 95.54 juta (RM487.3 juta).

Najib memberitahu, Perimekar adalah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Beliau menambah, skop kerja perkhidmatan sokongan yang diberikan oleh Perimekar adalah menyediakan kediaman untuk pasukan pegawai TLDM di Perancis dan Sepanyol.

Penyelenggaraan

“Syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan, kediaman serta kelengkapan untuk 156 anggota TLDM dan 30 kakitangan penyelenggaraan pangkalan.

“Ia juga menyediakan insurans, membayar elaun harian bernilai Euro 50 sehari (RM306), membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap anggota pasukan untuk tiga kali setahun serta menyediakan keperluan lain,” katanya.

Di samping itu, kata Najib, Perimekar juga menyediakan perkhidmatan koordinasi dengan memastikan syarikat Malaysia terlibat dalam pembinaan kapal selam serta terbabit dalam program off-set.

Katanya, syarikat itu juga membantu kontraktor utama dalam prosedur kerajaan serta menyelaras latihan krew kapal selam dan menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.

Menjawab isu yang ditimbulkan mengenai pembelian Sukhoi, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kerajaan tidak membayar komisen kepada IMT Defence (M) Sdn. Bhd. yang merupakan wakil tunggal syarikat Rosoboronexport dari Rusia dalam pembelian pesawat pejuang Sukhoi.

Sehubungan itu, kata Najib, tuduhan yang dilemparkan oleh wakil rakyat pembangkang bahawa kerajaan telah membayar komisen bagi pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukhoi adalah tidak benar.

Mengenai pembelian pesawat Sukhoi, beliau berkata, secara prinsipnya, harga pesawat Sukhoi yang ditawarkan oleh Rusia kepada Malaysia tidak banyak berbeza seperti yang ditawarkan kepada India.

Najib yang menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, sebelum memuktamadkan harga dengan pihak Rusia berhubung perolehan tersebut, kerajaan telah membuat kajian termasuk perbandingan harga dengan Tentera Udara India.

Sementara itu, menjawab isu lain yang dibangkitkan oleh Wan Azizah bahawa terdapat unsur rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda generasi baru TLDM yang dibina di Lumut, Najib menegaskan, perkara itu tidak berlaku.

Katanya, kontrak itu diberikan kepada PSC-Nayal Dockyard kerana kerajaan berhasrat untuk membangunkan industri maritim negara dengan kemudahan infrastruktur yang ada dalam negara.

“Kontrak itu membabitkan pembinaan enam buah kapal dengan nilai RM5.35 bilion, namun syarikat itu gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal yang hampir disiapkan.

“Kerajaan terpaksa meneruskan projek itu dengan LTAT mengambil alih PSC-Naval Dockyard bagi mengelakkan kerugian dan kemudian ditukar nama kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.,” katanya.

Berikutan itu, kata Najib, kerajaan terpaksa memberi kelulusan kenaikan nilai kontrak daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion iaitu sebanyak RM1.4 bilion bagi memastikan pembinaan kapal itu berjalan lancar.

Beliau berkata, bayaran yang dibuat oleh kerajaan dalam projek itu adalah berasaskan kepada jadual siap kerja bagi keenam-enam kapal yang dibina serentak.

“Kerajaan juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran penalti kerana jika dikenakan ia tidak setimpal dengan usaha syarikat Boustead Naval Shipyard menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal tersebut,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia

Kongsi Link Anda