KOTA BHARU 26 Dis. - Dewan Ulama Pas menyifatkan pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini bukan menjadi keutamaan parti tersebut sekiranya pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan.
Ketuanya, Datuk Mohamed Daud berkata, perkara utama yang harus ditekankan jika pakatan pembangkang memerintah ialah keamanan dan keadilan kepada rakyat di negara ini.
Beliau berkata, hudud dan qisas sukar untuk dilaksanakan secepat mungkin kerana masih ramai yang tidak memahami kebaikan hukum tersebut.
"Apa yang penting kita hendak mencari keamanan dan keadilan dahulu, selepas itu kita akan memberikan penerangan kepada semua pihak agar mereka dapat menerimanya. Ini hukum Allah bukan hukum yang direka oleh Pas.
"Pun begitu ia tidak lari daripada dasar perjuangan Pas sendiri. Apabila pakatan memerintah tidak jadi masalah untuk dilaksanakan cuma perlu sedikit masa saja lagi supaya semua dapat memahaminya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian parti itu dalam melaksanakan hudud dan qisas di negara jika pakatan pembangkang memerintah.
Sebelum ini, ketika Wacana Transformasi Politik Malaysia, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan pembangkang dapat memerintah.
Bagaimanapun pendirian beliau mula goyah apabila mendapat tentangan daripada rakan pakatannya, DAP yang tidak dapat menerima pelaksanaan hukum tersebut.
Mohamed merupakan salah seorang daripada panel yang merangka Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan sewaktu parti itu mengambil alih pemerintahan negeri ini pada tahun 1990.
Bekas Exco Kerajaan Pas Kelantan itu berkata, dasar parti itu tetap diperjuangkan cuma ia memerlukan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.
"Kita pernah memberikan penerangan kepada DAP berhubung isu ini, tetapi yang faham hanya mereka yang datang, yang tidak datang tetap tidak faham.
"Insya-Allah selepas ini Dewan Ulama akan mengadakan kempen besar-besaran untuk memberikan penerangan mengenai hudud dan ia tambah mudah sebab kita menguasai lima negeri," katanya.
Katanya, parti itu akan terus memberikan penerangan tentang kebaikan hukum hudud dan qisas sehingga semua pihak dapat menerimanya walaupun ia terpaksa mengambil sedikit masa.
"Kita akui memang hudud dan qisas tidak dapat dilaksanakan serta merta sekiranya dapat memerintah negara ini," katanya.