Popular Today

Khamis, September 25, 2008

Gandingan Najib-Muhyiddin, apa kata ahli?

0 Komen!!!
Sebahagian besar Umno bahagian di Johor menyerahkan kepada para perwakilan untuk memutuskan dalam mesyuarat perwakilan masing-masing bulan depan, calon presiden dan timbalan presiden Umno.Tinjauan Malaysiakini di Johor mendapati ada bahagian yang akan mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing jawatan presiden dan timbalan presiden. Bahagian-bahagian berpendapat suara perwakilan perlu didengar, khususnya, dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti, kerana ia boleh menyelamatkan parti dan orang Melayu.

Ketua Pemuda Umno Sekijang, Ayub Rahmad berkata, parti perlu melihat keadaan persekitaran, iaitu apakah kehendak ahli teramai."Jika mereka mahukan perubahan kepimpinan utama, parti mesti melakukan perubahan tanpa terikat dengan tempoh tertentu."Walaupun kita menyokong pelan peralihan kuasa tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan hak ahli parti," katanya. Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian Tanjong Piai, Suhaimi Salleh pula berkata, bahagiannya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan calon presiden.

Angin pemilihan kerusi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO semakin panas. Cerita gandingan Ku Li semakin sejuk kini timbul pula cerita gandingan Najib dan Muhyiddin. Namun apa yang penting ini semua terletak di tangan bahagian untuk menentukan. Namun apa yang penting jika hasrat majoriti ahli untuk mengadakan pertandingan bagi kerusi peringkat tertinggi adakah pemimpin yang dicalonkan akan bertanding atau akan menarik diri. Jika menarik diri pastinya, ahli akan menganggap pemimpin tersbut tidak mendengar pandangan akar umbi.

Ahli hakikatnya memang mahukan perubahan, namun perubahan itu adakah akan membawa kebaikan atau sebaliknya perlulah difikirkan oleh semua ahli.... Apa yang penting parti UMNO mesti dahului dari apa-apa perkara sekalipun.. Khasnya dalan keadaan politik semasa yang agak mencabar ini. Apakah ciri kepimpinan yang terbaik yang ahli boleh dapatkan untuk mengangani situasi politik ini. Selepas itu, barulah bertanya, siapakah pemimpin yang boleh membawa aspirasi parti...

Isu Hak Melayu dan Institusi Raja - kegagalan PAS dan PKR untuk 'sekolahkan' DAP

0 Komen!!!
RAUB 24 Sept. - Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) bertitah, pemimpin politik dan orang Melayu perlu bersatu bagi mempertahankan hak mereka serta institusi raja yang semakin dipersoalkan banyak pihak pada masa ini.

Baginda bertitah, keadaan politik yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mempertikaikan hak orang Melayu dan institusi raja.

Titah baginda, hak orang Melayu dan institusi raja tidak seharusnya dipersoalkan lagi kerana ia telah termaktub dalam perlembagaan.

''Adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin politik Melayu tanpa mengira parti, sama ada UMNO, Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bersatu mempertahankan hak tersebut.

''Jika orang Melayu berpecah-belah, tidak mustahil hak keistimewaan dan institusi raja akan tergugat," titah baginda.

Hakikatnya ini berlaku kerana kegagalan PAS dan PKR untuk 'sekolahkan' DAP mengenai hak keistimewaan dan institusi raja sebab itu walau apapun kata Karpal Singh dan pemimpin DAP terhadap menghina Islam, Melayu dan Raja tetap tidak dikenakan tindakan disiplin oleh Pakatan Rakyat bahkan disokong.

Harga minyak turun lagi 10 sen

0 Komen!!!
Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan sebanyak 10 sen lagi harga minyak berkuatkuasa esok.

Berikutan itu, harga minyak petrol jenis RON 97 kini turun kepada RM2.45 seliter manakala harga RON 92 pula turun kepada RM2.30 seliter.

Kerajaan juga mengumumkan pengurangan minyak diesel, juga sebanyak 10 sen, kepada RM2.40 seliter. Harga minyak di pasaran dunia kini ialah sekitar AS$109 setong berbanding hampir AS$140 setong pada Mei lalu.

Ketika mengumumkan penurunan harga minyak tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini.

"Keputusan ini diambil setelah mengambil kira harga purata minyak dunia untuk tempoh sebulan terakhir ini," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Walaupun dilihat nilai 10 sen nampaknya macam terlalu sedikit hakikatnya harga minyak tetap turun. Dengan kadar inflasi yang meningkat, harapan rakyat adalah agar kerajaan berusaha secepat mungkin untuk mengurangkan kadar inflasi yang dialami oleh rakyat.

Mungkin ramai yang akan hentam kerajaan kerana kadar inflasi ini. Namun apa yang perlu rakyat lihat bahawa kerajaan telah merangka mekanisme dan formula untuk penentuan kenaikan harga minyak. Subsidi tetap kekal 30 sen bagi setiap liter dan pemantauan dibuat setiap hari dan penyelarasan akan dibuat setiap bulan. Ini adalah formula yang baik, kerana akhirnya rakyat menikmati juga penurunan harga minyak.

Kadar inflasi Ogos 8.5 peratus - tertinggi sepanjang 28 tahun

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Indeks Harga Pengguna (IHP), pengukur kadar inflasi, bagi Januari hingga Ogos mengembang 4.8 peratus kepada 110.4 daripada 105.3 yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan hari ini.

IHP Ogos meningkat 0.2 peratus kepada 114.9 daripada 114.7 pada Julai tahun ini dan indeks itu meningkat 8.5 peratus berbanding dengan 105.9 pada Ogos tahun lepas.

Jabatan itu dalam kenyataannya di sini berkata, peningkatan 4.8 peratus IHP itu dicatat berikutan kenaikan indeks kesemua indeks kumpulan utama kecuali pakaian dan kasut dan komunikasi.

Kenaikan utama antara kumpulan utama ialah pengangkutan (+8.6 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (+7.5 peratus), dan perumahan, air, elektrik dan bahan api lain (+1.4 peratus).

Tiga kumpulan utama itu secara bersama mencatatkan kenaikan keseluruhan 84.6 peratus yang dicatatkan bagi tempoh yang dikaji.

Sementara itu, indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol bagi Ogos 2008 berbanding dengan bulan yang sama pada 2007 menunjukkan kenaikan tinggi 11.7 peratus manakala indeks bukan makanan meningkat tujuh peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, indeks makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan kenaikan masing-masing 7.5 peratus dan 3.6 peratus, kata Jabatan itu.

Katanya, kenaikan 7.5 peratus indeks makanan dan minuman bukan alkohol adalah hasil kenaikan indeks makanan di rumah (+8.2 peratus); makanan di luar rumah (+6.4 peratus) dan kopi, teh, koko dan minuman bukan alkohol (+6.2 peratus).

Antara subkumpulan makanan di rumah yang menunjukkan kenaikan dalam tempoh itu ialah beras, roti dan bijirin lain (+15 peratus); susu, keju dan telur (+13 peratus); daging (+7.9 peratus); ikan dan makanan laut (+5.6 peratus) dan sayur-sayuran (+5.4 peratus).

Jabatan itu berkata, kenaikan 0.2 peratus berbanding dengan bulan sebelum itu disebabkan kenaikan kumpulan utama terpilih iaitu makanan dan minuman bukan alkohol (+0.8 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (+0.5 peratus); restoran dan hotel (+0.4 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+0.3 peratus); kesihatan dan pendidikan (masing-masing +0.2 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+0.1 peratus).

Sementara itu, penurunan ditunjukkan pada indeks pengangkutan (-0.7 peratus); pakaian dan kasut (-0.4 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (-0.2 peratus).

Indeks minuman beralkohol dan tembakau, dan komunikasi kekal tidak berubah masing-masing pada 120.6 dan 96.7.

Kenaikan indeks makanan dan minuman bukan alkohol pada bulan Ogos berbanding Julai ialah daun sup (+6.4 peratus); ayam (+5.9 peratus); peria (+5 peratus); brokoli (+3.7 peratus); kubis bulat (+3.3 peratus); telur ayam (+2.9 peratus); ikan kembung (+2.9 peratus) dan sotong (+2.8 peratus).

- Bernama

Kongsi Link Anda