Ia juga membuktikan parti-parti pembangkang kehabisan isu yang boleh digunakan terhadap kerajaan, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi Robotec oleh pelajar-pelajar sekolah dalam kawasan Parlimen Pagoh di Muar hari ini. Muhyiddin (kiri) adalah juga Anggota Parlimen Pagoh.
"Saya fikir Lim Kit Siang tidak faham tentang pendirian saya (tentang gagasan 1 Malaysia) kerana di dalam kepalanya penuh dengan pelbagai masalah, ditambah pula dengan masalah yang dihadapi oleh parti pembangkang."
"Kesemua masalah ini meletakkan Kit Siang dalam keadaan tertekan dan sebab itulah beliau mahu mengalihkan perhatian rakyat," kata Muhyiddin.
Menurutnya lagi, kabinet dan semua pihak tahu bagaimana beliau dan rakan-rakan dalam kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik untuk menjayakan gagasan 1Malaysia.
"Saya harap kita semua tidak terjebak dengan politik mereka yang mahu melaga-lagakan pemimpin-pemimpin kita. Ini adalah cara mereka sejak dari dahulu lagi," katanya.
Muhyiddin berkata beliau sememangnya menyokong gagasan 1Malaysia kerana ia bersandarkan kepada prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, Malaysian Insider memetik Lim sebagai mencabar Muhyiddin supaya menyatakan pendiriannya mengenai 1Malaysia selain mendakwa kononnya Muhyiddin sering membuat kenyataan yang bertentangan dengan Najib berhubung gagasan itu.
- Bernama