Popular Today

Selasa, Jun 10, 2008

KERAJAAN PKR SELANGOR 'MEMBUNUH' DAN MERENDAHKAN MARUAH DAN MARTABAT AGAMA ISLAM

0 Komen!!!
Penghapusan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam di negeri Selangor semakin membuka mata kepada orang Melayu mengenai Pakatan Pembangkang ini.

Hari ini, Kerajaan Selangor yang dipimpin PKR secara langsung 'membunuh' dan merendahkan maruah dan martabat agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Seterusnya menyamaratakan antara Masjid dan rumah ibadah dan lain. Tidak pernah berlaku lagi perkara sejak zaman BN memerintah.

Hak dan martabat agama Islam semakin direndahkan oleh kerajaan PKR Negeri Selangor

Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya orang Melayu di Selangor kini mula sedar bahawa mereka terpaksa menanggung padah kerana salah memilih kerajaan.

Menurut beliau, ini berikutan keputusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Beliau berkata, walaupun Menteri Besar Selangor beragama Islam tetapi tidak mempunyai kuasa sebaliknya keputusan yang diambil ditentukan oleh barisan Exco negeri itu.

''Apabila kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas memerintah Selangor, bidang kuasa adalah di tangan Exco kerana kekuasaan dan keputusan ditentukan oleh mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2007 di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Tetap Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri Selangor telah memberikan jaminan untuk melaksanakan sistem akidah Islamiah.

''Tetapi apa yang boleh dilakukan melainkan terpaksa bersetuju kerana suara mereka hanyalah suara minoriti.

''Cuma saya ingin beritahu orang Islam di Selangor, itulah harga mahal yang terpaksa mereka bayar kerana salah memilih kerajaan,'' katanya.

Beliau yang juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dengan keputusan kerajaan campuran negeri Selangor itu.

Menurutnya, keluasan sesuatu rumah ibadat bukan Islam hanya ditentukan oleh kerajaan negeri dengan melalui pihak berkuasa tempatan.

Kata beliau, wujud satu garis panduan khas kerana Islam adalah agama rasmi negara dan mempunyai garis panduan tertentu tanpa mengetepikan agama lain.

'HADIAH' UNTUK RAKYAT SELANGOR

0 Komen!!!
KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.

Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.

Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.

Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Sambil meminta pemaju perumahan mengambil kira keperluan penduduk bukan beragama Islam agar menyediakan tapak yang lebih luas berbanding hanya 0.4 hektar sahaja ketika ini, beliau juga berjanji akan menambah peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam daripada RM3 juta ketika ini.

Dr. Xavier mungkin menyedari langkah itu bakal mendapat pujian masyarakat bukan Islam yang akan mengangkatnya sebagai 'pejuang', di samping menggunakan sepenuhnya peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri ketika pakatan pembangkang berkuasa.

Persoalannya di mana suara wakil-wakil Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang beragama Islam. Meskipun ia baru di peringkat cadangan, tetapi adakan disebabkan alasan untuk memenuhi keperluan penganut agama lain, mereka sedia bertolak-ansur mengenai perkara itu.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas negeri kini semakin menyimpang daripada matlamat membina negara Islam yang menjadi wadah perjuangan mereka selama ini, sehingga sanggup mendengar sahaja kenyataan seorang pemimpin yang satu 'selimut' dengan mereka mahu menghapuskan peraturan mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, sesuatu yang sentiasa tidak disenangi puak- puak cauvinisme.

TenggelamNada itu disuarakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat biarpun ada wakil Pas dalam barisan kerajaan negeri, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka, hatta terhadap masjid atau surau dengan rumah ibadat bukan Islam.

Baginya, cadangan itu sekiranya dipersetujui, seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum sedangkan selama ini peraturan yang hendak dihapuskan itu berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berupaya memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.

Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.

"Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.

"Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.

"Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina," katanya yang mengakui perkara itu pernah disentuh mesyuarat Exco tetapi belum ada kata putus dicapai.

Beliau menolak tanggapan Pas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan politik kerana menurutnya, jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk Melayu pula.

Apa pun, hakikatnya peraturan yang mengehadkan saiz itulah yang mahu dihapuskan Dr. Xavier, yang mungkin tidak disedari oleh Iskandar.

Tidak mustahil apabila dihapuskan peraturan itu, kita boleh melihat rumah ibadat bukan Islam yang menyamai keluasan Masjid Shah Alam memandangkan mereka sudah tentu tidak akan menghadapi masalah dari segi kewangan.

Sudah banyak orang Melayu beralah kepada tuntutan dan desakan kaum lain, jadi sebelum terlambat, kata putus perlu dicapai bagi memastikan suasana harmoni yang dinikmati sebelum ini, teguh terpelihara.

Setelah berkeras mahu melaksanakan projek ternakan babi yang didakwa menggunakan sistem termoden di Sepang, pakatan pembangkang di Selangor terus 'menunaikan janji' dengan menghadiahkan sesuatu yang tidak dijangka oleh umat Islam, semata-mata atas prinsip kesamarataan.

ELAUN KERAIAN MENTERI DIPOTONG 10 PERATUS

0 Komen!!!
Mulai 1 Julai ini, elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet akan dipotong sepuluh peratus.

Menteri Kabinet juga dilarang bercuti di luar negara kecuali di negara Asean. Cuti mereka juga tidak lebih daripada seminggu.

Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, tugas rasmi menteri-menteri ke luar negara juga akan dihadkan kepada persidangan dan mesyuarat antarabangsa.

Katanya, untuk tugasan itu, menteri hanya layak diiringi tiga orang pegawai kementerian, manakala timbalan menteri hanya dibenarkan membawa tiga orang pegawai.

“Pegawai yang hadir hendaklah terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Ketua Setiausaha Kementerian tidak dibenarkan menyertai bersama dalam rombongan menteri untuk tugas rasmi di luar negara kecuali bagi mesyuarat berjadual tertentu,” katanya.

Larang Pakai Songkok - DAP biadap

0 Komen!!!
Selain keris, songkok juga merupakan simbol utama dan kebesaran bangsa Melayu. Menolak pemakaian songkok boleh dianggap sebagai menolak ketuanan Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Sikap ekstrem DAP terhadap Melayu semakin hari semkain jelas. Satu persatu tindakan mencabar kedaulatan dan maruah bangsa Melayu.

DAP bersikap berdolak-dalik mengenai arahan larangan pemakaian songkok kepada empat orang wakil rakyat parti itu di Johor pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu minggu depan.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, wakil rakyat perlu mengikut keadaan di negeri masing-masing.

''Ini isu sensitif. Kita perlu memandang kepada keadaan setiap negeri dan terserah kepada mereka untuk mematuhinya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam yang menyatakan empat wakil rakyat parti itu telah menerima arahan daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang meminta mereka tidak memakai songkok pada pembukaan sidang DUN 19 Jun ini.

Empat wakil rakyat tersebut ialah ADUN Skudai, Dr. Boo Cheng Hau yang juga Presiden DAP Johor; Gwee Tong Hiang (Bentayan); Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng dari Senai.

Arahan tersebut telah membuatkan kesemua wakil rakyat itu berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai atau tidak songkok pada majlis yang akan dihadiri oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.

Menurut Seng Giaw, terdapat wakil rakyat DAP di negeri seperti Perak dan Selangor yang memakai songkok sewaktu angkat sumpah atau pembukaan sidang.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen ketika ditanya adakah benar wujud sebarang arahan yang melarang mana-mana ahli DAP memakai songkok.

Seng Giaw turut meminta keempat-empat wakil rakyat DAP di Johor supaya menghubungi ibu pejabat parti itu bagi mendapatkan penjelasan.

''Berhubung dengan Pusat supaya boleh bagi keterangan jelas mengenai perkara tersebut,'' ujarnya.

Sementara itu, Penasihat parti berkenaan, Lim Kit Siang pula enggan memberikan sebarang komen tetapi menuntut agar bukti mengenai arahan tersebut diberikan kepadanya.

''Tunjuk saya arahan baru itu baru saya boleh komen. Mana saya tahu itu arahan betul-betul dari CEC,'' katanya.

Kongsi Link Anda