Popular Today

Memaparkan catatan dengan label Sukhoi dan Scorpene. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukhoi dan Scorpene. Papar semua catatan

Khamis, Mei 15, 2008

Najib jawab tohmahan

0 Komen!!!
Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 14 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas perbuatan segelintir ahli Parlimen pembangkang yang sengaja menimbulkan dakwaan-dakwaan palsu terhadap kerajaan berkaitan komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet pejuang Sukhoi, selain mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu.

Dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan usul ucapan terima kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat petang ini, Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tuduhan-tuduhan itu sebagai “satu rekaan yang diatur secara berterusan untuk kepentingan politik bagi mengelirukan rakyat.”

Katanya: “Tindakan ini tidak langsung memikirkan kesan-kesan buruk terhadap imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keselamatan negara... ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan menegakkan kebenaran.’’

Dalam penggulungannya, antara lain Najib menjelaskan:

- Kementerian Pertahanan tidak pernah membayar komisen sama ada secara langsung atau tidak langsung berjumlah RM500 juta (Euro 114.96 juta) kepada Perimekar Sdn. Bhd. berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

- Harga pembelian pesawat Sukhoi yang berbeza di antara Malaysia dan India disebabkan perbezaan konfigurasi dan bilangan pesawat yang dibeli.

Malaysia membeli hanya 18 buah pesawat Sukhoi menggunakan teknologi Thales dari Perancis manakala India membeli 180 buah pesawat jenis itu dengan 140 buah dibina di India menggunakan teknologi avionik Israel.

- Beliau tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan Altantuya, 28, yang mati dibunuh pada Oktober 2006.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, perkara itu telah beberapa kali diperjelaskan, tetapi ada sesetengah anggota pembangkang dengan sengaja cuba mengaitkan nama beliau dalam kes tersebut.

Menghuraikan secara lebih terperinci mengenai kapal selam Scorpene, Najib berkata, pembelian itu dibuat mengikut tatacara pelaksanaan kontrak perolehan peralatan pertahanan negara yang membabitkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga.

“Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas kelulusan kementerian dan setelah kontrak tersebut dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya.

Najib menyifatkan tuduhan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat kononnya berlaku rasuah dalam pembelian peralatan ketenteraan itu adalah tidak berasas sama sekali.

Ketika beliau berucap, Wan Azizah mencelah bertanya mengapa harga pembelian kapal selam itu oleh India dan Chile lebih murah daripada Malaysia.

Najib menegaskan, perbezaan harga itu berlaku kerana kelainan spesifikasi memandangkan India menggunakan teknologi Israel sedangkan Malaysia menggunakan teknologi Perancis sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, kontrak perolehan kapal selam Scorpene itu ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh kerajaan dengan syarikat DCNS dari Perancis dan Navantia dari Sepanyol selaku pembekal kapal selam, manakala syarikat Perimekar bertindak sebagai pembekal perkhidmatan projek.

“Nilai kontrak ialah Euro 1.084 bilion (RM5.5 bilion) yang dibahagi kepada dua iaitu pertama membabitkan kos berjumlah Euro 969.15 juta (RM4.94 bilion) merangkumi pembelian dua buah kapal selam dan latihan untuk warga kapal selam.

“Kedua, ia melibatkan perbelanjaan bernilai Euro 114.96 juta (RM586.3 juta) membabitkan Perimekar untuk perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Cherbourg, Perancis dan Cartagena, Sepanyol,” katanya,

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan Perimekar dalam konteks perolehan kapal selam Scorpene.

Syarikat itu, kata Najib, sebenarnya diberi kontrak perkhidmatan sokongan untuk tempoh enam tahun dengan nilai kontrak Euro 114.96 juta (RM586.3 juta).

Pada masa ini, Perimekar baru dibayar sebanyak Euro 95.54 juta (RM487.3 juta).

Najib memberitahu, Perimekar adalah syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Beliau menambah, skop kerja perkhidmatan sokongan yang diberikan oleh Perimekar adalah menyediakan kediaman untuk pasukan pegawai TLDM di Perancis dan Sepanyol.

Penyelenggaraan

“Syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan, kediaman serta kelengkapan untuk 156 anggota TLDM dan 30 kakitangan penyelenggaraan pangkalan.

“Ia juga menyediakan insurans, membayar elaun harian bernilai Euro 50 sehari (RM306), membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap anggota pasukan untuk tiga kali setahun serta menyediakan keperluan lain,” katanya.

Di samping itu, kata Najib, Perimekar juga menyediakan perkhidmatan koordinasi dengan memastikan syarikat Malaysia terlibat dalam pembinaan kapal selam serta terbabit dalam program off-set.

Katanya, syarikat itu juga membantu kontraktor utama dalam prosedur kerajaan serta menyelaras latihan krew kapal selam dan menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.

Menjawab isu yang ditimbulkan mengenai pembelian Sukhoi, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, kerajaan tidak membayar komisen kepada IMT Defence (M) Sdn. Bhd. yang merupakan wakil tunggal syarikat Rosoboronexport dari Rusia dalam pembelian pesawat pejuang Sukhoi.

Sehubungan itu, kata Najib, tuduhan yang dilemparkan oleh wakil rakyat pembangkang bahawa kerajaan telah membayar komisen bagi pembelian kapal selam dan pesawat pejuang Sukhoi adalah tidak benar.

Mengenai pembelian pesawat Sukhoi, beliau berkata, secara prinsipnya, harga pesawat Sukhoi yang ditawarkan oleh Rusia kepada Malaysia tidak banyak berbeza seperti yang ditawarkan kepada India.

Najib yang menjawab isu yang dibangkitkan oleh Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berkata, sebelum memuktamadkan harga dengan pihak Rusia berhubung perolehan tersebut, kerajaan telah membuat kajian termasuk perbandingan harga dengan Tentera Udara India.

Sementara itu, menjawab isu lain yang dibangkitkan oleh Wan Azizah bahawa terdapat unsur rasuah dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda generasi baru TLDM yang dibina di Lumut, Najib menegaskan, perkara itu tidak berlaku.

Katanya, kontrak itu diberikan kepada PSC-Nayal Dockyard kerana kerajaan berhasrat untuk membangunkan industri maritim negara dengan kemudahan infrastruktur yang ada dalam negara.

“Kontrak itu membabitkan pembinaan enam buah kapal dengan nilai RM5.35 bilion, namun syarikat itu gagal memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal yang hampir disiapkan.

“Kerajaan terpaksa meneruskan projek itu dengan LTAT mengambil alih PSC-Naval Dockyard bagi mengelakkan kerugian dan kemudian ditukar nama kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.,” katanya.

Berikutan itu, kata Najib, kerajaan terpaksa memberi kelulusan kenaikan nilai kontrak daripada RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion iaitu sebanyak RM1.4 bilion bagi memastikan pembinaan kapal itu berjalan lancar.

Beliau berkata, bayaran yang dibuat oleh kerajaan dalam projek itu adalah berasaskan kepada jadual siap kerja bagi keenam-enam kapal yang dibina serentak.

“Kerajaan juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran penalti kerana jika dikenakan ia tidak setimpal dengan usaha syarikat Boustead Naval Shipyard menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal tersebut,” katanya.

Laporan Utusan Malaysia

Rabu, Mei 07, 2008

Kementah jawap isu Scorpene, Sukhoi

0 Komen!!!
Kementerian Pertahanan hari ini ingin memberi penjelasan berhubung kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak- pihak tertentu tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Kementerian Pertahanan mendapati bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat terutama oleh parti- parti politik tertentu mengenai perolehan kelengkapan tersebut sejak akhir-akhir ini telah menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham dalam masyarakat.

Selain itu, ia juga menimbulkan persepsi negatif dan prasangka bahawa perolehan kelengkapan untuk keperluan Angkatan Tentera Malaysia telah dilaksanakan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan, tidak telus dan membazir.

Di sini, pihak kementerian ingin memaklumkan bahawa semua rundingan perolehan adalah dijalankan mengikut Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian-penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia.

Selain itu, rujukan juga dibuat kepada pihak Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma-terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditanda tangani selepas kelulusan kementerian kewangan diperolehi.

Berhubung dengan perolehan kapal selam Scorpene, Kementerian Pertahanan ingin menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan telah membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada Encik Abd. Razak Baginda merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali.

Kementerian juga ingin menegaskan bahawa dalam soal perolehan kapal selam Scorpene, TIDAK ADA sebarang komisen yang dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn. Bhd. seperti yang didakwa. Ini kerana perolehan kapal selam telah dibuat secara rundingan terus-selaras dengan tatacara perolehan kerajaan-dengan syarikat pembuat iaitu ARMARIS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Sebaliknya, syarikat Perimekar Sdn. Bhd yang didakwa menerima komisen, sebenarnya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh selama enam tahun. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak 114.96 juta Euro, yang dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan perlaksanaan projek.

Perimekar Sdn. Bhd. dimiliki bersama oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd.

Skop kerja perkhidmatan sokongan adalah seperti berikut:

l Menyediakan kemudahan kediaman berserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

l Menyediakan pejabat urusan dan kediaman berserta kelengkapan bagi krew kapal selam TLDM seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.

l Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

l Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak 50 Euro sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan 60 Euro sehari seorang untuk tiga tahun kedua.

l Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap empat bulan (tiga kali setahun).

l Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Perkhidmatan koordinasi pula melibatkan:

l Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off-set.

l Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung perlaksanaan kontrak.

l Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dan kerajaan.

l Menyediakan laporan koordinasi setiap enam bulan.

Jumlah kontrak 114.96 juta Euro bukanlah merupakan keuntungan bersih milik syarikat Perimekar Sdn. Bhd, sebaliknya jumlah ini adalah meliputi segala pembayaran kos langsung bagi skop perkhidmatan sokongan dan tanggungan ke atas kos tidak langsung bagi perkhidmatan koordinasi seperti yang ditetapkan dalam kontrak tersebut.

Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk melantik sebuah syarikat tempatan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi kerana kaedah tersebut dianggap lebih sesuai dan berkesan. Ia juga bagi tujuan melicinkan kerja-kerja Tim Projek membuat pemantauan ke atas pembinaan dan latihan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.

Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan perlaksanaan projek perolehan kapal selam memakan masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan anggota yang ramai.

Berdasarkan kepada keperluan tersebut, maka syarikat Perimekar Sdn. Bhd. telah dilantik untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan mengikut skop kerja yang ditetapkan.

Tentang perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan ingin menyatakan bahawa perolehan adalah dibuat dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Rusia.

Rundingan terus ini adalah selaras dengan dasar Rusia dan negara-negara lain yang mempunyai polisi bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara masing-masing agar tidak terlepas kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan senario tersebut, semua kontrak-kontrak perolehan peralatan pertahanan ditandatangani oleh wakil Kementerian Pertahanan bagi pihak Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat Principal Negara asing, termasuk dalam soal pembelian pesawat Sukhoi. Perolehan pesawat ini juga mematuhi Tatacara Perlaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Dalam soal pembelian pesawat Sukhoi, syarikat Rosoboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini. Justeru, Kementerian ingin menegaskan bahawa sebarang urusan perniagaan antara Rosoboronexport dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan kerajaan Malaysia.

Dengan penjelasan ini, maka Kementerian Pertahanan berharap agar semua pihak memahami keadaan sebenar dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Malaysia.

Cawangan Perhubungan Awam

Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur

Isu Sukhoi akhirnya dijawab - Beli Sukhoi, Scorpene ikut tatacara

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 6 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rundingan perolehan bagi pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kelulusan daripada semua peringkat serta mematuhi Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Katanya, rundingan mengikut prosedur itu melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian dibuat bagi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM.

“Semuanya telah diperiksa oleh agensi pusat sebelum kita menandatangani kontrak tersebut.

“Janganlah kita membuat tuduhan melulu, (sebaliknya) mesti fokus pada fakta sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat semalam yang meminta kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat rundingan perolehan kapal selam Scorpene dari Perancis dan pesawat Sukhoi dari Rusia.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media berhubung perolehan kapal selam Scorpene dan pesawat Sukhoi menjelaskan, rundingan perolehan tersebut turut dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.

Menurut kementerian itu, semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan.

Kenyataan itu memberitahu dakwaan Dr. Wan Azizah bahawa kerajaan membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda berhubung pembelian kapal selam Scorpene adalah tidak berasas kerana tiada sebarang komisen dibuat.

“Ini kerana perolehan kapal selam dibuat secara rundingan terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Armaris (Perancis) dan Navantia (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan daripada kerajaan masing- masing,” katanya.

Kementerian Pertahanan turut menjelaskan Syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen sebenarnya hanya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh enam tahun dan nilai kontrak sebanyak euro 114.96 juta itu dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

“Syarikat ini adalah kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan akaun syarikat itu diaudit dan semua pihak boleh melihat akaun syarikat berkenaan,” katanya.

Mengikut kenyataan itu, skop sokongan Perimekar ialah menyediakan kemudahan dan kelengkapan serta insurans kesihatan bagi 27 keluarga pasukan projek di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

Katanya, syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan dan kediaman berserta kelengkapan bagi krew kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis, menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga yang terlibat, membayar elaun harian dan krew kapal selam sebanyak euro 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan euro 60 sehari seorang pula untuk tiga tahun kedua.

Perkhidmatan koordinasi pula antaranya melibatkan tanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia berpotensi untuk menyertai off-set dan menyelaras latihan krew kapal selam.

Mengenai perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan berkata, perolehan dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Rusia.

“Syarikat Rosoboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini dan kementerian ingin menegaskan urusan perniagaan antara syarikat Rusia dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan kerajaan Malaysia.”

– Bernama

Kongsi Link Anda