KOTA BHARU - DAP hari ini diselar kerana disifatkan sengaja buat-buat tidak faham mengenai pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan 2015) oleh kerajaan negeri Kelantan pimpinan Pas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata bukan Islam sepatutnya bersetuju dengan pelaksanaan hudud kerana ia tidak melibatkan mereka dan hukuman hanya dikenakan terhadap orang Islam sahaja.
"Sepatutnya tak timbul dia (DAP bantah) sebab kita pinda mengikut kehendak dia (undang-undang tidak terpakai kepada bukan Islam), sepatutnya dialah yang paling setuju.
"Alih-alih dia pula yang lawan. Jadi bukan mereka tak faham, (tapi) mereka buat-buat tak faham," katanya pada Majlis Dialog dan Berbuka Puasa Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Pengamal Media di sini, malam tadi.
Persidangan Dewan Rakyat yang berakhir 18 Jun lepas masih belum membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang dikemukakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan kerana memberi laluan kepada agenda dan urusan kerajaan lain.
Mohd Nassuruddin berkata dalam rundingan yang dilakukan bersama DAP dan PKR sebelum ini, Pas telahpun menyatakan hasrat parti untuk memperkasakan syariat Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan negara.
"Dalam Perlembagaan negara disebut dalam Perkara 3 iaitu Islam bagi agama Persekutuan, manakala agama-agama lain bebas diamalkan. (Selain itu) Perkara 11 juga sebut setiap orang berhak mengamalkan kepercayaan masing-masing.
"Hudud ini kepercayaan agama Islam dan jelas disebut dalam al-Quran (termasuk hukuman yang perlu dikenakan kepada pesalah)," katanya.
Katanya, Pas sentiasa terbuka dalam membincangkan perkara ini dan sentiasa memberi penjelasan lanjut kepada mana-mana pihak yang mahukan pencerahan berhubung hukum hudud berkenaan.
"Jadi saya pun tak faham kenapa mereka tak faham, saya pun tak reti kenapa mereka tak reti. Tapi saya reti kenapa mereka buat tak reti. Kita terbuka dan memang sentiasa beri penjelasan ... bukan kita tak bagi," katanya.
RUU itu dicadangkan susulan keputusan Dun Kelantan yang sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II Enakmen 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac lepas bagi pelaksanaan hudud di negeri itu. - Bernama 8 Julai 2015