Popular Today

Jumaat, Jun 06, 2008

Gerakan tunduk lagi pada Umno?

0 Komen!!!
Ng Ling Fong | Jun 6, 08 3:55pm
Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dr Tan Kee Kwong berkata tindakan pimpinan parti itu menggantung keahliannya - selepas menerima tawaran jawatan dalam kerajaan Selangor - menunjukkan seolah-oleh parti itu "sekali lagi tunduk sekali kepada tekanan Umno".

Katanya, ini kerana tindakan terhadapnya mula diambil selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesanya keluar dari Gerakan kerana menerima tawaran jawatan tersebut.

Najib dilaporkan berkata, pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan itu tidak boleh mengekalkan kedudukannya dalam komponen BN setelah menyertai kerajaan pembangkang.

"Adakah kita tunduk sekali lagi kepada tuntutan Umno. Saya ingin bertanya kepada pucuk pimpinan (Gerakan), adakah kita yang menguruskan parti kita atau Umno yang menguruskannnya?" soalnya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan malam Rabu lalu, untuk menggantung keahliannya sementara menunggu tindakan disiplin diambil terhadapnya.

Menurut Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chia Kwang Chye, mengikut Artikel 17 perlembagaan parti itu, Tan juga diminta memberi sebab mengapa beliau tidak patut disingkirkan dari Gerakan.

"Beliau diberi tempoh satu (1) minggu untuk menjawabnya," kata Chia dalam satu kenyataan hari ini.

Berkhidmat untuk rakyat

Bulan lalu, Tan menerima pelantikan mengetuai pasukan petugas bagi memperbaiki pentadbiran dan dasar berhubung masalah pemilikan tanah di Selangor.

Tan, 61, yang juga bekas timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi, mengikut jejak langkah bekas timbalan setiausaha agung Datuk Lee Kah Choon yang sebelum ini menerima tawaran kerajaan Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat bagi mengetuai dua agensi kerajaan negeri - investPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Lee kemudiannya mengumumkan keluar dari Gerakan.

Tan menjelaskan bahawa beliau menerima tawaran parti Gerakan sebelum ini untuk menyertai politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat.

Tan digugurkan dari bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Segambut dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Atas alasan yang sama, tegasnya, beliau menerima tawaran daripada Menteri Besar Selangor kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengetuai pasukan bertugas tersebut.

Pulih kekuatan parti

Lagi pula, tambah Tan, sebelum ini pun, ada pemimpin pembangkang, antaranya Tan Sri Lee Lam Thye dan Kerk Kim Hock - yang ketika itu merupakan pemimpin DAP - menerima tawaran menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BN.

Sementara itu, Tan berkata, beliau telahpun menjawab surat tunjuk sebab dari pucuk pimpinan parti, pada 4 Jun lalu.

"Sejak menerima surat tunjuk sebab itu, ramai ahli yang meminta saya supaya jangan keluar parti dan membantu memulihkan kekuatan Gerakan.

"Mereka juga menyarankan supaya saya bertanding jawatan naib presiden atau timbalan presiden atau presiden dalam pemilihan parti Oktober depan," katanya lagi.

Tan sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak keluar dari parti itu.

Atas dakwaaan yang beliau tidak berbincang dengan pucuk pimpinan Gerakan berhubung perkara tersebut, Tan berkata:

"Sejak satu setengah tahun yang lalu, saya mahu berbincang dengan pucuk pimpinan, termasuk Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengenai keadaan (Gerakan) Kuala Lumpur...selama satu setengah tahun itu saya tidak berjaya mendapatkan temujanji...jadi untuk apa berbincang dengan mereka?" tambahnya.

Pengerusi Gerakan WP digantung

0 Komen!!!
Jun 6, 08 3:16pm
Parti Gerakan telah menggantung keahlian Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dr Tan Kee Kwong sementara menunggu tindakan disiplin diambil terhadapnya kerana menerima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chia Kwang Chye berkata, ia diputuskan oleh jawatankuasa kerja pusat Gerakan yang bermesyuarat malam Rabu lalu.

"Mengikut Artikel 17, beliau (Tan) juga diminta memberi sebab mengapa beliau tidak patut disingkirkan dari Gerakan.

"Beliau diberi tempoh satu (1) minggu untuk menjawabnya," kata Chia dalam satu kenyataan hari ini.

Sasaran kritik

"Jawatankuasa pusat telah membincangkannya beberapa faktor secara mendalam sebelum membuat keputusan tersebut," kata Chia dalam satu kenyataan hari ini.

Chia berkata, sebagai ahli jawatankuasa pusat, Tan sendiri sepatutnya tahu pendirian parti itu yang tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin atau ahli yang menerima tawaran memegang jawatan dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, Tan menjadi sasaran kritikan pemimpin Gerakan apabila menerima tawaran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengetuai sebuah badan petugas mengenai halehwal tanah.

Chia berkata, Tan telah menerima tawaran tersebut tanpa terlebih dahulu berbincang atau memaklumkannya kepada pucuk pimpinan Gerakan, malah rakan-rakan senegeri dengannya.

Katanya, pihak parti juga tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikan oleh Tan untuk menerima tawaran tersebut.

Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Tan supaya keluar dari Gerakan selepas menerima tawaran jawatan tersebut.

Chia juga berkata, pihak parti juga memandang berat tindakan Tan yang mengkritik pucuk pimpinan sebelum dan seleaps menerima tawaran tersebut.

Rosak imej parti

Menurutnya, kenyataan Tan kepada pihak media selepas menerima jawatan tersebut juga berniat untuk merosakkan imej parti itu.

"Ekoran sikap dan pendekatan negatif Tan, maka jawatankuasa pusat memutuskan bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadapnya mengikut Artikel 17 perlembagaan parti itu.

"Oleh itu, keahliannya dalam Gerakan telah digantung dan (Tan) telah diminta memberi sebab-sebab mengapa dia tidak harus dipecat dari Gerakan," katanya.

Sebelum ini, seorang lagi pemimpin Gerakan, Datuk Lee Kah Choon, yang juga bekas timbalan setiausaha agung parti itu, turut menerima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Beliau menerima jawatan di Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang dan InvestPenang.

Tan digugurkan dari bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Segambut dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Lagi demo bantah harga minyak

0 Komen!!!
Abdul Rahim Sabri | Jun 6, 08 5:11pm
Satu lagi demonstrasi kecil membantah kenaikan mendadak minyak diadakan di hadapan sebuah masjid di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya sejurus selepas solat Jumaat hari ini.

Demonstrasi aman itu - keempat diadakan seluruh negara sejak semalam - yang dianjurkan oleh Angkatan Muda (AMK) PKR bahagian Petaling Jaya Selatan (PJ selatan) disertai lebih kurang 50 orang.

Ia disertai ahli parlimen PJ selatan, Hee Loy Sian, timbalan ketua bahagian tersebut Shariffudin Budin dan wakil AMK bahagian Mahhrul Ismail.

Demonstrasi lebih kurang 15 minit bermula 2 petang, sejurus orang ramai selesai menunaikan solat, turut menarik perhatian ahli kariah dan pengguna jalan raya. Kira-kira 60 orang lagi menyaksikan perhimpunan tersebut.

Hee mengajak rakyat menukar kerajaan BN dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka. "Adakah kita berpuas hati?" katanya. "Mari tumbangkan kerajaan."

Shariffudin (foto bawah) turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel RM1 sejak kelmarin, dengan mengangkat satu keratan akhbar The Star hari ini kepada orang ramai.

"Apakah tanda ini? Kalau tak turun harga petrol, rakyat akan turunkan kerajaan," katanya, sambil mengangkat keratan berita 'Shahrir: Why now and not in August'

"Kita membantah sekeras-kerasnya kenaikan harga minyak."

Sepanduk-sepanduk yang dijulang dalam perhimpunan itu, antaranya, 'Pemimpin munafik berkata... tiada kenaikan minyak untuk tahun ini?', 'Kerajaan Pakatan Rakyat akan turun minyak 24 jam', 'Undilah BN untuk kenaikan harga minyak' dan 'Tahniah! Kepada pengundi BN, inilah hadiah untuk anda'

Ditemui selepas itu, Shariffudin berkata demontrasi itu bertujuan melihat reaksi awal daripada penduduk di situ. Wajah penduduk di situ memang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak, tambahnya.

Desak kaji semula - Rakyat anggap harga baru petrol, diesel membebankan

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan diminta mengkaji semula harga baru petrol dan diesel yang masing-masing naik 78 sen dan RM1 seliter kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Saranan supaya kenaikan itu disemak kembali dibuat kerana orang ramai menjangkakan kenaikan harga petrol dan diesel akan menyebabkan harga barangan keperluan, kos perkhidmatan dan tambang pengangkutan awam akan menjadi bertambah mahal.

Orang ramai yang ditemui hari ini menghargai langkah kerajaan terus memberikan subsidi kepada mereka berikutan kenaikan harga bahan api itu tetapi berharap harganya diturunkan sedikit kerana kenaikan kali ini terlalu tinggi.

Kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter merupakan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 63 peratus berbanding harga sebelumnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa negeri termasuk di Kedah, Johor, Pahang dan Pulau Pinang mendapati orang ramai mengakui kenaikan harga barangan akibat penstrukturan semula subsidi minyak tidak dapat dielakkan.

Kenaikan harga minyak, menurut mereka, akan menyebabkan kos yang ditanggung oleh pelbagai pihak khususnya peniaga meningkat menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos pengangkutan.

Seorang peniaga kedai runcit di Johor Bahru, Tan Lian Chu, 40, berkata, kenaikan harga minyak memberi impak besar kepada pengguna, peruncit dan pemborong yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Bahan mentah selalunya tidak menentukan harga kerana ia sekejap naik, sekejap turun, tetapi apabila harga petrol naik, pasti akan berlaku kenaikan harga,” katanya.

Protes beri kerajaan tempoh 5 minggu tarik balik harga minyak

0 Komen!!!
Nyza Ayob | Foto Nasir Sudin
Thu | Jun 05, 08 | 6:07:04 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Hrkh) - Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) memberi tempoh lima minggu kepada kerajaan untuk menarik balik kenaikan harga minyak serta bertindak positif terhadap permintaan rakyat sebelum gabungan tersebut mengadakan demonstrasi besar-besaran pada 12 Julai 2008 ini.

Amaran tersebut dilontarkan Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli melalui persetujuan yang dicapai melalui mesyuarat sekretariat Protes bagi mengambil tindakan dan langkah seterusnya bagi menyedarkan dan meminta kerajaan untuk menurunkan semula harga minyak.

Mesyuarat tersebut dihadiri beberapa orang wakil NGO dan parti politik yang bertempat di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hatta dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut berkata, perhimpunan di KLCC pada jam 3 itu dijangka menghimpunkan lebih 100,000 rakyat.

"Kami juga mempunyai masa lima minggu untuk merancang menggerakkan rakyat sepertimana menggerakkan himpunan Bersih tahun lepas. Tindakan kami tidak jauh beza sewaktu kenaikan harga minyak 30 sen yang lalu. Walaupun kami ditekan dengan pelbagai insiden termasuk 'Bloody Sunday' dalam siri-siri bantahan kami, namun ia akan tetap diteruskan.

"Ada yang mengatakan apa ada pada demonstrasi kerana menyusahkan rakyat, sehingga ada yang terpaksa menutup kedai mereka kerana tidak dapat berniaga pada hari tersebut. Tetapi kesannya ialah keputusan pilihan raya ke-12 lalu. Rakyat sudah faham akan isu ini dan mengambil tindakan pada pilihan raya," katanya.

Katanya, sebagai gerakan pertama bantahan Protes, satu perhimpunan akan diadakan di Seremban pada 14 Jun ini (Sabtu) diikuti 'road show' ke setiap negeri berdasarkan tarikh yang akan ditetapkan nanti.

Tambahnya pada setiap siri bantahan tersebut, Protes akan mengedarkan risalah yang mengandungi hujah-hujah bagi menangkis kenyataan kerajaan berkenaan kenaikan harga bahan api itu.

Dalam pada itu katanya orang ramai juga boleh melayari blog Protes, hargaminyak@blogspot.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya yang akan mengemas kini tindakan yang diambil oleh Protes dari semasa ke semasa.

Selain itu katanya, Protes juga akan meminta Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mendapatkan sokongan daripada parti Pakatan Rakyat bagi mengadakan aktiviti bantahan kenaikan harga minyak ini di tempat masing-masing.

Jelasnya Protes juga akan menghubungi negeri-negeri yang dinaungi Pakatan Rakyat bagi tindakan bersama. Beliau percaya kelima-lima negeri tersebut mempunyai kuasa untuk mempengaruhi rakyat dan boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat kerajaan pusat.

Sementara itu katanya, Protes juga menggalakkan sebarang organisasi bagi melaksanakan bantahan kerana isu ini bukan hanya melibatkan golongan tertentu tetapi melibatkan semua golongan masyarakat.

Selain itu katanya Protes juga mengalukan mana-mana pihak untuk mengadakan bantahan setiap minggu seperti selepas solat Jumaat di kawasan masing-masing.

"Kemarahan ini menyeluruh dan bukan tindakan politik semata-mata. Kesannya dirasai oleh semua, hinggakan kita dapat melihat bagaimana keadaan kelam kabut apabila rakyat agak terdesak dengan mengisi minyak sebelum tengah malam tadi.

"Jika kerajaan memikirkan masa depan politiknya, seharus kerajaan mengambil tindakan di atas bantahan rakyat ini. Jika kerajaan tidak prihatin juga dengan segala bantahan kita melalui siri ceramah dan demonstrasi, kami akan meneruskan tindakan selanjutnya selepas perhimpunan 12 Julai nanti," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika kerajaan mengambil tindakan menolak segala hasrat rakyat, Protes akan akan mengorak langkah lagi bagi menganjurkan beberapa tindakan massa yang boleh memberi petunjuk kepada kerajaan.

Beliau menaruh keyakinan dengan kenaikan mendadak tersebut usaha yang dilakukan Protes itu akan memberi impak kepada kerajaan.

Kenaikan tersebut katanya sewaktu kerajan tidak bersedia melaksanakan polisi-polisi yang membantu rakyat terlebih dahulu untuk menyediakan mereka yang berdepan dengan suasana tidak mempunyai subsidi.

"Kerajaan tidak meluluskan tuntutan gaji minima yang dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) dan Pakatan Rakyat dengan memberikan pelbagai alasan. Kerajaan tidak menyediakan tahap gaji yang sama seperti negara maju yang lain. Contohnya Singapura sebelum berhujah bahawa harga minyak Malaysia lebih rendah daripada Singapura.

"Gaji kakitangan awam tidak setimpal dan kesan kenaikan bahan api yang tinggi ini tentu tidak akan dapat 'offset' dengan gaji yang sedia ada termasuk kenaikan harga barang sebelum ini yang menyusahkan rakyat. Tabung Pemberhentian Kerja yang dicadangkan MTUC juga ditolak, sedangkan ini merupakan salah satu cara membantu rakyat yang kehilangan kerja," katanya.

Jelasnya tindakan kerajaan menolak tuntutan rakyat ini, tidak memberi keadaan adil kepada rakyat apabila berlaku kenaikan harga minyak dan barang.

Sementara itu mengulas mengenai rebet yang disediakan oleh kerajaan, beliau berkata ia umpama 'umpan' pilihan raya untuk menakluk hati rakyat. "Setiap kali pilihan raya ada 'umpan' seperti ini untuk memujuk rakyat. Dengan RM50 mereka mengundi BN dan mereka menderita lima tahun hanya kerana 'umpan' RM50 itu. RM625 untuk menyelamatkan 800 liter minyak, dalam masa sebulan atau dua akan habis.

"Janganlah rebet ini digunakan untuk 'menggula-gulakan' seolah-olah kerajaan bersimpati dengan rakyat. Kami menganggap ini merupakan salah satu cara untuk memujuk rakyat supaya menerima 'malapetaka' yang lebih besar," katanya yang mengharapkan rakyat tidak terpukau dan tertipu dengan pemberian rebet tersebut. - mns

Minyak: Protes besar-besaran 12 Julai

0 Komen!!!
Andrew Ong | Jun 5, 08 3:27pm
Ribuan orang akan digerakkan untuk menyertai protes membantah kenaikan besar harga minyak di Menara Berkembar Kuala Lumpur pada jam 3 petang 12 Julai.

Penganjur Gabungan Anti-Inflasi (Protes) berharap dapat menghimpun 100,000 orang untuk mendesak kerajaan supaya mengurangkan harga minyak ke paras asalnya, sebelum ini.

"Kami percaya, dengan kenaikan drastik harga minyak, kami akan mendapat sokongan rakyat...

"Ini tidak sama dengan perhimpunan anjuran Bersih. Ia akan lebih besar. Impaknya juga akan lebih besar," kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli dalam sidang akhbar hari ini.

Hatta menjelaskan bahawa Menara Berkembar KLCC dipilih sebagai tempat protes tersebut kerana ia merupakan ibupejabat syarikat minyak negara, Petronas.

Menurutnya, Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan keuntungan yang dicatatkan oleh Petronas sepetutnya digunakan untuk meringan beban rakyat, akibat kenaikan harga minyak.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga petrol naik 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 manakala harga diesel naik RM1 atau 63.3 peratus kepada RM2.58.

Kenaikan harga minyak itu adalah antara langkah drastik kerajaan untuk menangani kenaikan subsidi minyak, yang dijangka mencecah RM56 bilion tahun ini.

Selepas membuat pengumuman tersebut, Abdullah berharap rakyat Malaysia tidak mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api itu.

Dr M: K'jaan mampu kekal subsidi

0 Komen!!!
Syed Jaymal Zahiid | Jun 5, 08 8:59pm
Berdasarkan kepada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat minyak negara, Petronas, kerajaan sebenarnya mampu untuk mengekalkan subsidi bahan bakar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan perdana menteri itu yang juga penasihat Petronas menulis dalam blognya hari ini bahawa langkah mengurangkan subsidi secara berperingkat adalah pilihan lebih baik memandangkan beban kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong dieksport, yang memberi pulangan RM27 juta.

"Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang.

"Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.

"Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan kerajaan," tambahnya.

Ekoran kenaikan harga tersebut, katanya, semua barangan pengguna yang lain, perkhidmatan dan barangan mewah, akan turut mengalami peningkatan harga.

Ini, katanya, akan disusuli oleh peningkatan kos sarahidup, akan tercetus inflasi dan taraf hidup rakyat akan menurun.

"Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat," katanya.

Apung ringgit

Dr Mahathir juga menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengapungkan ringgit sebagai satu keputusan yang tidak baik kerana kenaikan harga bahan api telah meningkatkan beban rakyat.

"Pertamanya, Kerajaan tidak patut mengapungkan Ringgit. Kadar apungan menyebabkan ketidak-tentuan nilai Ringgit dan kita tidak akan meraih apa-apa keuntungan daripada kekuatan Ringgit.

"Sudah tentu rakyat tidak menikmati peningkatan kuasa membeli walaupun terdapat peningkatan nilai Ringgit dari segi tukaran dengan Dollar Amerika," katanya.

Menjelas lebih lanjut mengenainya, Dr Mahathir berkata jika Kerajaan teruskan sistem tambatan kadar dan menaikkan nilai Ringgit pada kadar 10 peratus pada satu masa, kos import, dalam Ringgit boleh dipantau dan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Pada kadar kenaikan 20 peratus, kos import patutnya turun 20 peratus.

"Tetapi kita tahu harga barangan import dan perkhidmatan tidak kurang. Ini bermakna kita bayar 20 peratus lebih tinggi untuk import termasuk bagi bahan mentah dan komponen untuk industri," tambahnya.

K'jaan tunduk pada IMF

Kerajaan, dakwa Dr Mahathir, sebaliknya hendak turut Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, dengan mengapung Ringgit dan akibatnya, kekuatan Ringgit hanya meningkatkan kos export tanpa memberi sebarang keuntungan kepada rakyat menerusi kekurangan kos import.

"Ini bukanlah kecerdikan selepas sesuatu itu terjadi. Saya telah beritahu seorang menteri kerajaan supaya Ringgit tidak diapungkan tiga tahun lalu. Memanglah saya bukan pakar dan saya hanya tahu serba sedikit tentang rejim kewangan antarabangsa," tambahnya dalam nada sinis.

Dr Mahathir berkata, dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai Dollar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan.

"Malaysia juga akan terjejas kesan daripada semua masalah ini. Saya tertanya-tanya adakah Kerajaan bersedia untuk menghadapi semua ini," tulisnya.

Bagaimanapun, katanya, mesti mestilah ada cara untuk mengatasinya agar beban yang terpaksa ditanggung rakyat dapat dikurangkan.

"Saya harap yang kerajaan tidak akan melepaskan sahaja segala masalah ini kepada rakyat seperti yang digambarkan cadangan untuk menilai harga minyak setiap bulan," katanya.

Mukhriz bantah kenaikan harga minyak

0 Komen!!!
Jun 5, 08 5:14pm
Anggota exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir meminta kerajaan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak secara mendadak, berkuatkuasa hari ini, kerana kenaikan itu terlalu tinggi dan membebankan rakyat.

Ahli Parlimen Jerlun itu - pemimpin Umno pertama yang menyuarakan bantahan secara terbuka - berkata, rakyat belum mampu menangani masalah kenaikan itu pada ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.

Sepatutnya, kata beliau, kenaikan itu dilaksanakan secara berperingkat dan diumumkan tarikh kenaikan lebih awal agar rakyat tidak terlalu terbeban.

Bernama memetik Mukhriz sebagai berkata keputusan yang dibuat semalam bagi menaikkan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini, terlalu drastik dan tidak boleh diterima rakyat.

Tambahan pula, kenaikannya terlalu tinggi, kata anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Mukhriz berkata implikasi kenaikan harga minyak dan diesel itu bukan sahaja dirasakan penduduk luar bandar tetapi juga di bandar yang akan turut berhadapan dengan kenaikan harga barangan makanan dan kos pengangkutan.

"Saya agak terkilan dengan kenyataan perdana menteri yang meminta rakyat agar sesuaikan cara hidup dengan keadaan semasa.

"Jika dilihat di kawasan pedalaman seperti di Jerlun, kebanyakan masyarakat hidup kais pagi makan pagi. Bagaimana lagi mereka ingin sesuaikan dengan kenaikan harga minyak sekarang,"
katanya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan membantah keputusan kerajaan itu yang beliau sifatkan sebagai membebankan rakyat dan yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Beliau berkata bahawa selepas kenaikan harga minyak, akan menyusul pula kenaikan harga tarif elektrik yang sudah pasti mengakibatkan keadaan rakyat sbertambah parah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang pula berkata rebat tunai yang diberi kepada pemilik kenderaan tertentu tidak akan mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat berpendapatan rendah dan sederahana

Azizah: Rakyat tertipu isu minyak

0 Komen!!!
Siti Nurul Zahra Hamdan | Jun 5, 08 1:19pm
Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan masing-masing 40 dan 63 peratus harga petrol dan diesel amat mengecewakan seluruh rakyat sehingga mereka "terasa tertipu", kata presiden PKR.

"Dalam pada kononnya kerajaan simpati dengan beban yang ditanggung rakyat atas kenaikan harga barang, tindakan kerajaan ini barang pasti akan melonjakkan lagi harga tanpa mampu dibendung dan ditanggung rakyat," kata Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hujah kerajaan bahawa kenaikan tersebut akibat kenaikan harga minyak mentah dunia dan kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi sebagai "alasan basi" dan tidak dapat diterima rakyat.

"Bukan setakat itu sahaja, kenyataan bercanggah beberapa menteri berkenaan jumlah subsidi minyak, banyak menimbulkan persoalan.

"Datuk Shahrir Samad baru-baru ini mengatakan subsidi minyak adalah sebanyak RM56 billion manakala semalam Tan Sri Nor Mohamad Yakcop mengatakan subsidi minyak sekadar RM28 billion.

"Apatah lagi menurut Laporan Kewangan Kerajaan 2007, anggaran keseluruhan subsidi 2007 adalah RM12.0 billion, justeru itu kami menganggarkan bahawa jumlah subsidi petrol adalah hanya sekitar RM8-10 billion," katanya.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pula menggesa duit sebanyak RM13.7 bilion hasil penjimatan bagi mengurangkan beban kos sara hidup pengguna.

Gabungan itu mencadangkan kerajaan meningkatkan khidmat pengangkutan awam dan menyelaraskan kadar perkhidmatan lain dengan tarif baru elektrik.

“Di samping tarif elektrik, tarif dan kadar-kadar (caj) perkhidmatan telekomunikasi, air, cukai jalan, tambang pengangkutan awam, (yuran) kesihatan, pendidikan dan perumahan harus diselaraskan supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat keselesaan hidup," kata setiausaha agungnya Muhammad Sha’ani Abdullah.

Beliau juga berkata, kerajaan harus menggesa bank-bank menjadualkan semula bayaran balik pinjaman, termasuk kemudahan kad kredit dan overdraf yang bermasalah.

Fomca turut mencadangkan ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Persekutuan (KWSP) diberikan pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang rendah melalui Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk golongan berpendapatan rendah.

Wan Azizah juga berkata, Malaysia adalah negara pengeksport minyak mentah, justeru harga petrol dalam negara perlu dibandingkan dengan negara-negara pengeksport minyak seperti Emirian Arab Bersatu atau Nigeria (lihat jadual).

Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini.

Guan Eng, yang kini dalam lawatan ke Korea, berkata kenaikan mendadak ini “tidak efisyen dari segi sosial dan tidak adil dari segi ekonomi” kerana ia tidak mengambil kira masalah meningkatkan produktiviti dan penjimatan tenaga.

Beliau juga menganggap kenaikan itu “pro-orang kaya dan menghukum si miskin” selagi syarikat besar seperti pengeluar tenaga independen terus dibekalkan subsidi.

Katanya, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus mengkaji sama ada langkah yang dilaksanakan ini benar-benar dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) pula menuntut kerajaan menjelaskan kedudukan perbelajaan Petronas dengan lebih telus dan mewujudkan satu polisi berhemat penggunaan pendapatan negara.

Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid melahirkan rasa bimbang dengan ketirisan keuntungan Petronas yang menunjukkan kerajaan tidak bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat.

"Kami khuatir dengan gejala ketirisan perbelanjaaan Negara serta keuntungan besar Petronas yang masih dibelanjakan dengan keadaan tidak telus membuat rakyat mempunyai prasangaka besar bahawa kerajaan tidak bertindak bijak ke atas kebajikan rakyat," katanya.

Demo bantah harga minyak di KL, Ipoh

0 Komen!!!
Syed Jaymal Zahiid | Jun 5, 08 1:04pm
Kira-kira 50 orang menyertai protes yang diadakan secara aman di Jalan Pasar Pudu, Kuala Lumpur pagi ini kerana membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan semalam.

Kira-kira 100 orang lagi berhimpun di situ sambil menyaksikan protes tersebut diadakan.

Peserta protes tersebut berarak kira-kira 200 meter sebagai tanda kemarahan mereka dengan kenaikan 41 peratus harga petrol yang berkuatkuasa tengah malam tadi.

Protes tersebut yang diketuai oleh Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai diawasi oleh kira-kria 15 anggota polis, termasuk enam anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Tan juga mengingatkan kerajaan bahawa lebih banyak protes akan berlaku sekiranya kerajaan tidak menyemak semula kenaikan harga bahan tersebut.

Hadir sama ialah pemimpin DAP yang lain termasuk Tan Seng Giaw, Lim Lip Eng, Fung Kui Lun dan Janicee Lee.

Protes di Kampung Baru esok

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen - dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter.

Manakala harga diesel pula naik sebanyak RM1 - naik 63.3 peratus dari RM1.58 kepada RM2.58 seliter.

Kenaikan harga tersebut adalah antara langkah drastik yang diambil kerajaan untuk menangani peningkatan subsidi, yang dijangka mencecah RM56 bilion tahun ini.

Selepas membuat pengumuman tersebut, Abdullah berharap rakyat Malaysia tidak mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman dilaporkan berkata kumpulan itu bersurai pada 12.30 tengah hari dan tiada tangkapan dibuat.

Selain di Kuala Lumpur, DAP Perak juga turut menganjurkan protes yang sama di Ipoh pagi ini.

Syabas: Tiada air percuma di S'gor

0 Komen!!!
Jun 5, 08 4:50pm
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan terus mengeluarkan bil air seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi, kata ketua pegawai eksekutifnya Datuk Ruslan Hassan.

Katanya, perbincangan antara syarikatnya dengan kerajaan negeri Selangor masih belum mencapai keputusan untuk membolehkan pemberian air percuma kepada pengguna mulai bukan ini.

Ruslan berkata, Syabas belum menerima arahan bertulis dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat ataupun satu akujanji dari kerajaan Selangor atau agensi kerajaan negeri untuk membayarnya jumlah harga 20 meter padu yang dijanjikan itu.

Oleh itu, dalam satu kenyataannya, beliau berkata, pengeluaran bil Syabas akan berjalan seperti biasa dan pengguna dinasihatkan untuk membayar bil air mengikut jumlah dalam bil masing-masing.

Laporan Bernama menyebut, Ruslan berkata, kenyataan tersebut bagi menjelaskan laporan media yang mengatakan kesan pemberian air percuma akan dilihat dalam bil air di Selangor mulai bulan ini.

Ruslan berkata, perbincangan antara dua pihak itu belum mencapai keputusan kerana banyak perkara yang perlu diambil kira dan diputuskan, terutama mengenai soal perundangan, kos serta berkaitan kelulusan kerajaan pusat.

Sebagai makluman, kata Ruslan, pendirian dan dasar Syabas adalah jelas berkaitan dengan perkara ini - perkhidmatan bekalan air bersih syarikatnya tertakluk kepada perjanjian penswastaan yang telah ditandatangani oleh Syabas dengan Selangor dan kerajaan pusat.

Menurut perjanjian penswastaan bekalan air bagi Selangor, katanya, Syabas hanya dibenarkan untuk membekal air kepada para pengguna berdasarkan kadar tarif yang telah diwartakan.

Oleh itu, katanya, sebarang tindakan yang bakal diambil oleh Syabas bukan sahaja perlu mendapat kelulusan kerajaan Selangor, malah ia perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Air, dan Komunikasi (KTAK) bagi pihak kerajaan pusat.

Berkaitan pemberian air percuma kepada rakyat Selangor, kata Ruslan, Syabas ingin memaklumkan bahawa, sehingga kini, perbincangan hanya terhad antara Syabas dengan Selangor dan sebarang perbincangan dengan kerajaan pusat masih belum dijalankan.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, katanya, pengguna dinasihatkan menghubungi terus Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) Syabas yang beroperasi 24 jam di talian bebas tol 1 800 88 5252 bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Khalid pula kata dapat air percuma

0 Komen!!!
Jun 5, 08 9:14pm
Isu pemberian 20 meter padu air percuma kepada penduduk Selangor seperti yang dijanjikan oleh kerajaan negeri dianggap selesai dan akan diteruskan, kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Esok, selesailah dan saya rasa, Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) akan memasukkannya dalam akaunnya," katanya kepada pemberita.

Beliau ketika diminta mengulas kenyataan Syabas hari ini bahawa perbincangan syarikat itu dengan kerajaan Selangor belum mencapai keputusan untuk membolehkan 20 meter padu air diberi percuma kepada pengguna di negeri itu.

Bermula 1 Jun, seramai 1.5 juta pengguna individu di Selangor akan menerima air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan atau bersamaan RM11.40 sebagai memenuhi satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Rakyat dalam kempen pilihanraya umum lalu.

Menurut Bernama, Syabas dalam kenyataannya turut memaklumkan akan mengeluarkan bil air kepada pengguna di negeri itu seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi sehingga ada arahan bertulis daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Mengulas perkara itu, Abdul Khalid berkata: "Ini adalah kerana terdapat persoalan mengenai siapa yang mengeluarkan arahan kepada Syabas memandangkan kita melakukan ini menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)."

KDEB merupakan anak syarikat milik Selangor yang dipertanggung- jawabkan menguruskan penyusunan semula industri air di negeri itu

Sumber : Malaysia Kini

Exco: 90% JKKK S'gor digugurkan

0 Komen!!!
Jimadie Shah Othman | Jun 6, 08 10:33am
Lebih 90 peratus ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor sekarang akan digugurkan perkhidmatan mereka atas alasan enggan berkerjasama, kata exco kerajaan negeri Yaakob Sapari.

"Mereka ini tidak memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri. Program menteri besar pun mereka tidak turun," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Kita akan hantar surat tamat perkhidmatan. Kita hendak (ahli JKKK) yang setia pada kerajaan. Semua JKKK akan terima surat tamat perkhidmatan."

Manakala hampir 10 peratus lagi daripada 364 orang yang tamat perkhidmatan pada akhir Jun ini "dipertimbangkan" untuk disambung semula, katanya.

Selain tidak melibatkan diri di majlis-majlis yang dihadiri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tambah Yaakob, mereka juga enggan ikut serta dalam pertemuan anjuran kerajaan negeri dengan semua ahli JKKK bulan lalu.

"Kita menyusun pertemuan dengan mereka 20 Mei lepas. Tetapi pengerusi ketua kampung menelefon beritahu enggan bertemu (dengan kerajaan negeri)," kata Yaakob selaku pengerusi jawatankuasa tetap permodenan pertanian, pengurusan sumber alam dan pembangunan usahawan Selangor.

Ditanya tujuan pertemuan itu dianjurkan, beliau berkata: "Kita hendak menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri kepada mereka."

Perak dan Kedah, dua lagi negeri Pakatan Rakyat, turut mengalami masalah seumpamanya sejak kerajaan-kerajaan baru itu mengambil alih pentadbiran selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Malaysiakini semalam melaporkan, satu sumber PKR mendakwa Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengarahkan ketua kampung dan ahli JKKK di Selangor agar tidak meletakkan jawatan dan menerima elaun daripada kerajaan negeri tetapi tidak menjalankan tugas.

Beliau, yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri, didakwa turut mengarahkan mereka agar tidak memberikan kerjasama kepada setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah.

Langkah-langkah itu didakwa disampaikan dalam satu pertemuan dengan ketua kampung dan ahli JKKK tidak lama selepas Muhammad dilantik sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah pada Mac lalu.

Dalam pertemuan itu, beliau didakwa turut meminta ahli JKKK "mengacau" setiausaha politik kepada menteri besar Nik Nazmi Nik
Nik Ahmad.

Dihubungi hari ini, wakil rakyat Seri Setia berkata beliau tidak pernah mengalami sebarang "gangguan" sehingga kini.

"Tak ada apa. Setakat ini belum ada," kata Nik Nazmi.

Beliau juga mengakui mendapat sedikit maklumat tentang pertemuan Muhammad itu daripada satu sumbernya minggu lepas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut maklumat tersebut.

"Tetapi tidak terperinci macam dilaporkan (semalam) itu," kata Nik Nazmi.

Ditanya tindakan kerajaan Selangor jika kerajaan persekutuan melantik JKKK sendiri, di samping JKKK yang ditadbir oleh negeri, Nik Nazmi berkata:

"Kita akan lantik JKKK kita dan bekerja macam biasa. Mereka tidak hendak buat (kerja) tidak apa. Kita buat kerja kita.

"(Dengan dua JKKK) ada banyak saluran, (itu) positif dalam satu segi," katanya.

"Tetapi yang saya risaukan, rakyat menjadi kelam-kabut. Tidak tahu hendak meminta (bantuan) dari (pihak) mana. Lebih senang rujuk pada satu wakil saja."

Sumber : Malaysia Kini

Kongsi Link Anda