Chew Mei Fun, seorang calon Mudah dihubungi, senang didekati
KAJANG 11 Mac - Jika ada perkara yang perlu diambil kira 
masyarakat Kajang dalam menilai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi 
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun, ialah 
rekod perkhidmatan dan pengalamannya, baik dalam kerajaan mahupun parti.
Berdasarkan rekod, Chew berpengalaman luas sebagai anggota 
pentadbiran kerajaan dan telah memegang pelbagai jawatan bermula sebagai
 setiausaha parlimen bagi Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat 
dari 2004 hingga 2008.
Beliau pernah dilantik sebagai pengerusi Kaukus Pemimpin Wanita Cina
 Malaysia yang bertanggungjawab untuk menggalakkan perhubungan dan 
pertukaran antara pertubuhan wanita masyarakat Cina dan kementerian itu.
Chew juga telah membawa ke tengah pertubuhan-pertubuhan bukan 
kerajaan mengenai wanita (NGO Wanita) untuk membincangkan dasar wanita 
negara dan mengemukakan memorandum mengenai isu-isu wanita kepada pihak 
berkuasa.
Semangat dan kesungguhan beliau dalam menjuarai isu-isu wanita, baik
 sebagai anggota kerajaan mahupun parti, telah mendorong Perdana Menteri
 Datuk Seri Najib Tun Razak melantik beliau sebagai timbalan menteri 
Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 2009.
Selain memperjuangkan hak wanita, Chew yang kini merupakan naib 
presiden MCA, aktif dalam kerja kemasyarakatan yang mendorong beliau 
menubuh dan mengetuai Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) yang terlibat 
dalam bantuan krisis dan bantuan sosial.
Di arena politik, Chew pernah menjadi anggota Parlimen Petaling Jaya
 Utara selepas menewaskan Liu Tian Khiew (DAP) dan Wee Chek Aik (MDP) 
dengan majoriti 2,481 undi pada pilihan raya umum 1999.
Beliau mengekalkan kerusi yang disandang bagi penggal kedua selepas 
menewaskan Liu dengan majoriti 15,043 undi, namun gagal mempertahankan 
kerusi itu pada 2008.
Pada 8 April 2010, Chew mencipta kontroversi apabila mengumumkan 
keputusannya melepaskan semua jawatan sebagai ketua Wanita MCA dan ketua
 Wanita MCA Selangor serta ketua Skuad Bantuan MCA berkuat kuasa serta 
merta akibat perselisihan dengan pucuk pimpinan parti.
Dalam kegigihannya memberi perkhidmatan kepada rakyat, Chew mengakui
 tidak kisah dilemparkan label seperti anggota parlimen longkang, 
asalkan masalah rakyat dapat diselesaikan.
Malah, dalam beberapa pertemuan awalnya menjelang pilihan raya 
kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, jadual Chew turut diisi dengan 
aktiviti pencegahan wabak denggi selain menunjukkan tekad untuk 
mewujudkan persekitaran lebih baik bagi warga Kajang.
Pada pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac, Chew yang merupakan 
anak jati Selangor akan berdepan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan 
Ismail yang merupakan calon bidang terjun setelah mengambil tempat 
suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada asalnya dikatakan akan 
bertanding kerusi berkenaan.
Anwar terpaksa membatalkan hasratnya bertanding susulan tindakan 
Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya 
Jumaat lepas atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari 
Azlan pada 2008.
Kerusi DUN Kajang dikosongkan penyandang daripada PKR iaitu Lee Chin
 Cheh, dipercayai untuk memberi peluang kepada Anwar bertanding dan 
seterusnya merebut jawatan menteri besar Selangor.