Popular Today

Selasa, Disember 30, 2014

TIDAK PERLU GANTI PENANGGUHAN SEMINGGU 2015

0 Komen!!!
DUNGUN – Permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara yang ditangguhkan selama seminggu tidak perlu diganti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ia tidak perlu diganti kerana ia masih dalam tempoh yang bersesuaian untuk persekolahan, bukannya cuti persekolahan itu ditambah tetapi masalah tertentu kita terpaksa tangguhkan.
“Kita harap ini akan disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan SK Kampung Nyior di sini hari ini.
Turut bersama dalam lawatan beliau ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah serta Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah.
Dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan (Isnin).
Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Jan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang, sehingga semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati 340 buah sekolah di tujuh buah negeri terlibat banjir atau yang terlibat sebagai Pusat Pemindahan Sementara.
“Ada juga sekolah-sekolah itu digunakan sebagai pusat penempatan mangsa banjir dan masih beroperasi. Banjir masih berlarutan, jadi sebahagian sekolah tidak dapat digunakan.
“Malah ada guru yang masih berada di kampung dan mereka tidak boleh pulang sekarang untuk mengajar. Justeru atas dasar-dasar ini, kita putuskan untuk tangguhkan sementara pembukaan sesi persekolahan waktu ini bagi membantu keluarga untuk pemulihan dan buat persiapan,” katanya.
Muhyiddin turut mengarahkan KPM menyegerakan pengagihan bantuan awal persekolahan RM100, keutamaan kepada mangsa banjir seawal minggu depan.
Menurut Muhyiddin, pihaknya kini sedang meneliti prosedur bantuan awal persekolahan yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat kepada KPM berikutan bencana tersebut yang menyebabkan segala persiapan musnah atau rosak dihanyutkan banjir.
“Walaupun prosedur kewangan mengatakan kita boleh belanja pada awal 2015, tetapi dengan penangguhan ini, kita boleh laksanakan dan keutamaannya kepada mangsa di negeri-negeri terjejas banjir.
“Kita akan tangani sebaik mungkin selewat-lewatnya awal minggu depan atau satu hingga dua hari ini, cuma masalah sekarang, ada bank masih tutup dan kalau kita bagi cek pun ia mungkin tidak boleh ditunaikan (di sebahagian kawasan banjir),” katanya.
Muhyiddin turut meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk membuat taksiran mengenai kerugian harta benda dan kerosakan bangunan yang mungkin dialami ekoran bencana itu. – Bernama

Kongsi Link Anda