Khamis, Disember 11, 2008

Akhirnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ditubuhkan

Sebagai bukti kesungguhan kerajaan menangani gejala rasuah kini BPR telah dinaikkan taraf kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sebagaimana struktur ICAC Hong Kong.

Kerajaan hari ini membentangkan di Dewan Rakyat Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 – mengotakan apa yang dijanjikannya untuk membawa pembaharuan terhadap integriti bidang kehakiman dan agensi membanteras rasuah di negara ini.

INTIPATI RANG UNDANG-UNDANG

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman

*Ia dibentangkan bertujuan mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman negara.

*Di bawah peruntukan tersebut, Perdana Menteri mestilah mendukung kebebasan berterusan badan itu dengan mengambil kira keperluan mempertahankannya dan badan kehakiman mempunyai sokongan yang perlu untuk membolehkannya menjalankan fungsi serta peranannya.

*Sekiranya diluluskan, rang undang-undang itu akan membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) yang berfungsi memilih hakim mahkamah atasan untuk pertimbangan Perdana Menteri.

Suruhanjaya Cegah Rasuah

* Matlamat utama adalah untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab.

* Rang undang-undang itu memberi perlindungan penuh kepada pemberi maklumat rasuah.

* Di bawah Seksyen 65 rang undang-undang tersebut, sebarang aduan yang diterima oleh Suruhanjaya berhubung kegiatan rasuah, maklumat mengenainya dan identiti sumber hendaklah menjadi rahsia antara pegawai yang membuat aduan dan pemberi maklumat itu.

* Seksyen itu menyatakan bahawa segala-gala yang terkandung dalam maklumat itu, identiti pemberi dan hal lain yang berkaitan tidak boleh didedahkan atau diperintah supaya didedahkan dalam sebarang prosiding mahkamah, tribunal atau kepada pihak berkuasa lain.

Apa yang penting ialah, rakyat mahu kesungguhan ini diterjemahkan kepada tindakan dan bukan lagi dipolitikkan isu-isu yang berkaitan rasuah. Jika mempunyai bukti yang kukuh mengenai rasuah, maka perlulah pihak berkenaan melaporkan pihak Suruhanjaya.

Integriti kerajaan dan rakyat perlu tipertingkatkan dan diperkukuhkan lagi... bukankah ini ajaran Islam yang tulen.

1 ulasan:

kifli berkata...

PUTRAJAYA: Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 yang dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat semalam bakal mencetuskan masalah dalam pemilihan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata masalah tersebut timbul apabila mesyuarat pemilihan dalam suruhanjaya itu akan dianggotai oleh orang-orang yang sama yang mempunyai kepentingan bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan.

“Saya cuma menarik perhatian dan membangkitkan perkara ini untuk difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan mereka,” kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

“Diperhatikan bahawa mengikut peruntukan rang undang-undang ini, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mempunyai bidang kuasa melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Hakim Mahkamah Tinggi.

“Juga diperhatikan bahawa suruhanjaya ini akan dianggotai oleh sembilan orang anggota termasuk lima hakim kanan di mana empat daripadanya adalah hakim-hakim yang paling kanan di negara ini.

Beliau merujuk kepada fasal 5 rang undang-undang tersebut yang memperuntukkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dianggotai sembilan ahli terdiri daripada Ketua Hakim Negara sebagai pengerusinya, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Persekutuan serta empat orang yang terkemuka yang dilantik oleh Perdana Menteri.

Menurut fasal 21 rang undang-undang itu, suruhanjaya tersebut akan bertanggungjawab bagi memilih calon yang sesuai dan wajar untuk dilantik sebagai hakim mahkamah atasan.

Calon yang layak untuk pemilihan itu pula perlulah memenuhi beberapa kriteria termasuk mempunyai peribadi moral yang baik, berintegriti serta mempunyai kebolehan menguruskan kes dengan baik.

Dalam temu bual itu, Abdul Hamid berkata, mengikut peruntukan rang undang-undang tersebut, pemilihan pelantikan seorang pesuruhjaya kehakiman, hakim mahkamah tinggi, hakim mahkamah rayuan, hakim mahkamah persekutuan, hakim besar Malaya dan hakim besar Sabah dan Sarawak tidak akan menimbulkan masalah, tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi pemilihan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

“Dalam pemilihan Presiden Mahkamah Rayuan, anggota suruhanjaya iaitu Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak malah Hakim Mahkamah Persekutuan adalah orang-orang yang berkepentingan untuk menjawat jawatan tersebut yang bererti bahawa mereka terpaksa mengecualikan diri.

“Oleh sebab rang undang-undang ini mengkehendaki kuorum (bagi mesyuarat pemilihan) seramai tujuh orang, maka ada kemungkinan kuorum itu tidak boleh dicapai.

“Keadaan menjadi lebih rumit mengenai pemilihan Ketua Hakim Negara. Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak adalah orang-orang yang berkepentingan dan mereka juga terpaksa dikecualikan.

“Ini bererti bahawa korum tujh orang tidak boleh diperolehi juga,” kata Abdul Hamid, yang telah bersara Oktober lalu.

Malah katanya, jika Ketua Hakim Negara tidak ada pada masa mesyuarat pemilihan hendak diadakan maka mesyuarat itu akan berjalan tanpa kehadiran Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

“Ini akan memberikan dua akibat, pertama kuorum tidak akan diperolehi. Kedua ini bererti untuk pelantikan hakimhakim yang lebih rendah, mesyuarat pemilihan akan dianggotai sepenuhnya oleh ahli-ahli termasuk empat hakim paling kanan tadi, sebaliknya untuk pelantikan hakim yang paling kanan iaitu Ketua Hakim Negara, keempatempat hakim yang terkanan tidak akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.

“Ini juga bererti untuk pemilihan Ketua Hakim Negara, mesyuarat itu hanya akan dihadiri oleh anggota yang paling tinggi iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan bersama-sama empat anggota bukan hakim yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Adakah ini tujuan sebenar rang undang-undang ini? Saya cuma membangkitkan perkara ini untuk difikirkan oleh ahli-ahli Parlimen sama ada itulah tujuan sebenar mereka yang kelak akan menjadi tujuan Parlimen,” tegas beliau.

Ketika ditanya pendapatnya mengenai cadangan penubuhan suruhanjaya itu, Abdul Hamid enggan mengulas sama ada ia patut diadakan atau tidak kerana berpendapat ia adalah soal dasar yang terletak di bawah bidang kuasa Parlimen untuk diputuskan.

Penubuhan Suruhanjaya Kehakiman Malaysia dikatakan bakal mendukung kebebasan berterusan badan kehakiman selain melindungi kepentingan awam berhubung perkara-perkara berkaitan badan kehakiman serta pentadbiran keadilan.

Kongsi Link Anda