SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam semalam mengesahkan bahawa beliau akan melepaskan salah satu jawatan yang dipegangnya dalam Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi hari ini.
Beliau berkata, keputusan tersebut adalah muktamad sebagai langkah awal untuk keluar dari parti berkenaan selepas berlaku pergeseran dengan seorang lagi pemimpin sebuah parti dari PR.
Katanya, tindakan tersebut diambil sebagai membuktikan beliau adalah seorang pemimpin yang ‘cakap serupa bikin’ dan bertanggungjawab terhadap tindakannya.
“Saya sahkan kenyataan saya kepada anda (Sinar Harian) baru-baru ini adalah betul. Saya akan melepaskan salah satu jawatan saya nanti, apa jawatan itu akan saya umumkan esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut beliau, surat peletakan jawatannya itu juga telah disiapkan dan telah diserahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor/Wilayah petang semalam.
“Saya tak mahu beritahu (jawatan) sekarang, tunggu pengumuman rasmi esok (hari ini) sempena pertemuan lebih 50 pemimpin India dari kesemua negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, masa itu saya umumkan jawatan apa.
“Saya akan bercuti bermula 5 Januari depan dan akan membuat tindakan susulan termasuk mengadakan pertemuan empat mata dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tamat cuti nanti, perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Manikavasagam yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor akan menghadiri forum anjuran Jawatankuasa Perhubungan Masyarakat India hari ini yang bakal disertai lebih 50 pemimpin India dalam PR bagi menentukan ala tuju kedudukan dan sokongan mereka dalam ikatan pembangkang itu.
Forum itu membincangkan rasa tidak puas hati masyarakat India yang didakwa ‘didiskriminasi dan dipinggirkan’ oleh kepimpinan ikatan pembangkang itu termasuk isu hasrat Manikavasagam keluar PKR.
Mengenai kekeliruan mengaitkan kenyataan tidak konsistennya untuk meninggalkan parti itu dan spekulasi beliau akan menyertai parti tertentu, Manikavasagam menegaskan pendirian tersebut tidak pernah berubah sebaliknya kekeliruan timbul selepas sesetengah media menyalahtafsirkan kenyataannya.
“Saya tetap dengan pendirian saya dan segala berita serta khabar angin mendakwa saya telah bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Abdul Razak), pemimpin MIC dan UMNO lain beberapa hari lalu adalah tidak berasas, sama juga dengan spekulasi mendakwa saya akan menyertai MIC dan bakal dilantik menggantikan (Datuk Seri) S Samy Vellu, itu juga tidak benar.
“Apa yang dilaporkan itu adalah tidak benar dan semua yang terbabit itu langsung tidak masuk dalam urusan ini (keluar PKR),” katanya.
Sinar Harian 24 Disember lalu melaporkan Ahli Parlimen Kapar itu bersedia untuk meninggalkan PKR kerana kesal dengan sikap sesetengah pemimpin PR Selangor yang cuai menjaga kepentingan Rakyat.
Kata beliau, keputusan tersebut terpaksa dilakukan selepas merasakan sesetengah pemimpin dalam PR berlagak sombong dan enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang diketengahkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan