Popular Today

Rabu, Mei 28, 2008

Isu Islam Hadhari - Pembangkang cakap tak serupa bikin

0 Komen!!!
Semalam negara kita dimainkan isu penolakan pelaksanaan Islam Hadhari oleh kerajaan PKR Selangor dan diikuti dengan Pulau Pinang dan hari pakatan pembangkang menyeru kerajaan negeri Perak untuk menolak pelaksanaan Islam Hadhari.

Rupanya dalam diam-diam Islam Hadhari telah dilaksanakan. Apa yang dirisaukan sangat sebenarnya oleh pakatan pembangkang. Apa yang ada dalam Islam Hadhari yang mahu ditinggalkan adakah Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah, Kerajaan Adil dan Beramanah,
Rakyat Berjiwa Merdeka, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif, Kehidupan Berkualiti, Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita,
Keutuhan Budaya dan Moral, Pemeliharaan Alam Semulajadi dan Kekuatan Pertahanan.

Pakatan patut terangkan dengan lebih jelas di mana, prinsip apa Islam Hadhari yang perlu ditinggalkan.

Cuma hendak tanya PAS yang bising sangat konon hendak pertahankan Islam, bagaimana dengan hasrat mereka untuk penubuhan Negara Islam. Rasanya tidak selesai lagi dengan DAP. Takut sangat ke DAP dan karpal Singh tu ke?.. Sehingga Karpal pertikai kuasa Sultan pun masih mempertahankan lagi..

Dia pernah berada di dua parti...UMNO yang terbaik

0 Komen!!!
Kemas Kini : Agenda Daily

Bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor sah memohon untuk menyertai semula UMNO apabila menyerahkan borang permohonan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang Rabu dengan yuran sebanyak RM100 untuk menjadi ahli seumur hidup parti itu.

Abdullah dalam sidang media selepas pertemuan kita-kira setengah jam dengan Ezam berkata, kemasukkan Ezam boleh memperkukuhkan perjuangan UMNO.

“Ya dia mohon untuk masuk UMNO… pada saya kalau masuk UMNO tentu akan membantu untuk kebaikan dan kekuatan UMNO kalau tidak buat apa masuk UMNO tentu ada niat untuk sama-sama berjuang dalam UMNO… UMNO parti politik bukan syarikat kalau syarikat tentu nak cari untung,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan-soalan wartawan berhubung hasil pertemuan beliau dengan Ezam yang berlangsung di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Menjelaskan kepada beberapa soalan, Abdullah berkata, Ezam ingin kembali kepada UMNO dan akan terus berjuang dalam parti sesuai dengan matlamat serta perjuangan parti itu.

Ditanya adakah Ezam akan menjadi ‘musuh dalam selimut’ kepada UMNO kerana beliau terlalu rapat dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah menjelaskan “ Tak de lah, saya ingat dia ikhlas…bila dia nak masuk saya terimalah dan boring yang diserahkan akan dihantar kepada cawangan berkenaan”.

Ditanya adakah Ezam akan diberikan tanggungjawab khusus untuk menawan semula Selangor, Abdullah menjelaskan, tiada tugas khusus diberikan kepada Ezam buat masa ini.

Kepada satu soalan apakah keistimewan Ezam hingga membawa kepada penerimaanya kembali semula ke UMNO, Presiden UMNO itu berkata “Keistimewaannya dia dah berada di kedua-dua parti dan akhirnya melihat UMNO lebih baik”.

Ditanya adakah akan ada bantahan khususnya dari Pemuda UMNO terhadap penerimaan kemasukan semula Ezam ke dalam UMNO, beliau berpendapat perkata itu tidak timbul.

Terdahulu semasa tiba di bangunan Parlimen, Ezam berkesempatan bertemu dengan beberapa ahli Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Antaranya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Bendahari UMNO, Datuk Seri MOhd Azim Zabidi.

Ezam yang datang diiringi oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Wan Salleh.- 28/5/2008

Badrul tidak berhasrat masuk Umno

0 Komen!!!
May 28, 08 4:52pm (Malaysia kini)

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyertai Umno dan menolak sebarang kaitan dengan kemasukan semula bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor ke dalam Umno.

Ezam telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang tadi.

"Saya juga menafikan bahawa Ezam ada memujuk saya memasuki Umno dan jauh lagi menawarkan habuan untuk saya memasuki Umno atau keluar PKR," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini sebuah blog mendakwa "satu pertemuan sulit" berlangsung antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.

Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".

"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut dari mesej emel yang dikirimkan kepadanya.

"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno," kata blog itu lagi.

Enggan komen

Badrul Hisham dan Ezam aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini Isnin lalu bertanyakan mengenai perkara tersebut, Badrul Hisham menjawab: "Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam. Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen."

Dalam kenyataan hari ini, Badrul Hisham berkata, beliau kurang pasti niat mengenai laporan pelbagai media yang melaporkan ada pertemuan sulit antara beliau dengan Ezam.

"Memang diakui saya ada bertemu beliau dan kerap berhubung dengan beliau mutaakhir ini, sebagai seorang teman. Tiada pertemuan sulit.

"Kami membincangkan secara serius mengenai masa depan GERAK sebuah gerakan muda yang memfokuskan usaha pembanterasan rasuah dan pemerkasaan demokrasi yang saya terlibat membantu Ezam menubuhkanya.

"GERAK telah diserahkan kepada sekumpulan anak muda untuk mengekalkan sikap non-partisan demi matlamat kelahirannya yang lebih besar," tambahnya.

'Ezam masih teman saya'

Sebelum ini, kata Badrul Hisham, beliau mengelak memberikan komen kerana melihat perkembangan Ezam yang sememangnya sudah setahun lebih keluar parti, tidak perlu diperbesarkan.

"Saya tidak mahu terperangkap untuk memberi komen dalam peristiwa yang kurang penting. Saya selaku MPT yang dipilih melalui pertandingan parti, tidak akan sekali kali mengkhianati mandat yang diberikan kepada saya oleh perwakilan parti.

"Ezam masih teman saya. Semoga beliau tidak 'hanyut' dalam Umno," tambahnya.

Badrul Hisham berkata, beliau percaya rakan-rakan MPT yang lain juga sedang secara serius dan bersungguh-sungguh mempersiapkan PKR dan Pakatan Rakyat yang berada di peringkat akhir untuk mengambil alih kerajaan pusat.

"Saya menyeru seluruh pimpinan, ahli parti dan aktivis reformasi terus bekerja keras demi merealisasikan agenda pemerkasaan kedaulatan rakyat," tambahnya.

Kemasukan Ezam dalam Umno tanpa syarat, keistimewaan: PM

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor kembali ke dalam Umno.

"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Ezam menemui beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata Majlis Tertinggi Umno tidak membantah kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.


Ditanya sama ada langkah Ezam itu memberi satu semangat baru kepada Umno beliau berkata kemasukan orang menyertai Umno tentulah membantu kepada kekuatan Umno.

"Kalau tidak, buat apa nak masuk Umno. Tentulah ada niat untuk berjuang sama-sama dalam Umno.

"Umno adalah parti politik bukan sebuah syarikat. Kalau syarikat, nak (cari) untung,” katanya.

Ditanya sama ada sumbangan daripada Ezam mungkin berbeza berbanding jika anggota biasa menyertai Umno kerana sebelum ini beliau memegang jawatan kanan dalam PKR, Abdullah berkata: “Oh gitu ka? Kita tengoklah nanti apa akan berlaku.” - Bernama

kemas kini

Ezam sertai semula Umno - Malaysia Kini
Muda Mohd Noor May 28, 08 11:54am
Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno hari ini.

Bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyerahkan borang keahlian tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau menyerahkan borang tersebut ketika mengadakan pertemuan dengan presiden Umno itu di bangunan Parlimen petang tadi.

Perkara tersebut diumumkan oleh Abdullah selepas pertemuan selama 30 minit dengan Ezam itu.

Ezam yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut tidak membuat sebarang kenyataan. Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar esok.

Abdullah juga berkata, Ezam menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat atau keistimewaan.

Sebelum ini, Ezam dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas menyertai semula Umno.

Abdullah berkata, Ezam mahu kembali semula kepada Umno dan parti itu mengalu-alukannya.

"Dulu dia di luar dan kritikal terhadap parti. Kini sudah ubah fikiran, mungkin kerana merasa Umno adalah landasan lebih baik untuknya," kata perdana menteri.

'Kabinet reformasi' mesti luluskan PSM

0 Komen!!!
Jimadie Shah Othman (Malaysia kini)| May 28, 08 3:44pm
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula keputusannya menolak pendaftaran parti itu berikutan sikap kerajaan yang lebih positif dalam bidang reformasi sistem kenegaraan selepas pilihanraya umum lalu.

Gesaan itu disampaikan dalam satu memorandum yang diserahkan oleh pengerusi penaja PSM Dr Mohamed Nasir Hashim dan setiausaha agungnya S Arutchelvan kepada kementerian di Putrajaya pagi ini.

"Seluruh negara dan dunia mengakui wujudnya parti PSM. Ada wakil PSM (di dewan undangan negeri dan Dewan Rakyat, masing-masing) Dr Nasir dan Dr Jayakumar (Devaraj) di Sungai Siput.

"Semua pihak merujuk kita sebagai PSM. Masalahnya hanya menteri belum bagi kita pendaftaran,” kata Arutchelvan selepas menghantar memorandum itu.

Dr Mohamed Nasir dan Dr Jayakumar masing-masing menang di kerusi-kerusi negeri Kota Damansara, Selangor dan parlimen Sungai Siput, Perak atas tiket PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Memorandum itu menuntut PSM didaftarkan segera tanpa pilih kasih selepas menunggu sepuluh tahun dan setelah melalui proses mahkamah yang panjang.

Parti itu menganggap KDN "berniat jahat" dan mencabul hak berpersatuan apabila enggan meluluskannya sedangkan beberapa parti boleh didaftarkan dengan dalam beberapa bulan sahaja, seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) pimpinan Datuk KS Nallakaruppan.

Dalam usaha melemahkan PBS di Sabah pada 1994, menurut memorandum PSM lagi, beberapa parti mendapat kelulusan pendaftaran dengan begitu pantas antara 24 jam hingga dua minggu, masing-masing SPP, PDS dan SUPP.

Arutchelvan juga menyifkan keengganan KDN sebagai "diskriminasi, berniat jahat, pilih kasih dan bermotifkan politik."

"Kalau kita tengok baru-baru ini parti Nallakaruppan diberi pendaftaran hanya kerana parti itu akan menyertai BN. Semua parti yang dibenarkan pendaftaran adalah yang pro-BN.

"Jadi kita nak, apa yang dipanggil sebagai 'kabinet reformasi' ini dapat melihat hal sebagai sebuah hak," katanya.

Selepas BN tewas teruk dalam pilihanraya umum ke-12, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan barisan anggota jemaah menteri sebagai “kabinet reformasi”.

Abdullah turut mengambil langkah perubahan seperti tuntutan popular, antaranya meluluskan permit penerbitan akhbar PKR, membayar ex-gratia kepada bekas hakim-hakim kanan yang terlibat dalam krisis 1988, dan merombak semula Badan Pencegah Rasuah (BPR).

PM terima permohonan Ezam masuk Umno

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penyerahan borang itu disampaikan sendiri oleh Ezam kepada Abdullah yang juga Perdana Menteri di bangunan Parlimen, hari ini. - Utusan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor kembali ke dalam Umno. - Bernama

Idris Jusoh letak jawatan Pengerusi UMNO Negeri

0 Komen!!!
28/05/2008 4:48pm


KUALA TERENGGANU 28 Mei _ Bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagi mengukuhkan kekuatan UMNO di negeri ini.- Utusan

Kecoh wakil pembangkang berbisik kepada Yang Dipertua

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 27 Mei - Selepas 'pesta suka ria' di lobi Parlimen minggu lalu, seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini melakukan satu lagi kejutan apabila bertindak naik ke tempat duduk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semasa dewan sedang bersidang untuk membisikkan sesuatu ke telinga beliau.

N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bertindak demikian dengan alasan untuk menjelaskan kepada Pandikar Amin perkataan Tamil 'okkaru' (bererti duduk) yang disebut oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron semasa meminta Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) untuk duduk.

Insiden itu menimbulkan bantahan penyokong kerajaan yang menyifatkan ia sebagai biadap dan ala samseng serta tidak boleh dimaafkan kerana perbuatan itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah Dewan Rakyat.

Perkataan Tamil itu digunakan oleh Idris pada sesi soal jawab bagi menyuruh Mohd. Nasir duduk setelah beliau terus bangun mencelah kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri itu.

Ia menaikkan kemarahan wakil rakyat pembangkang termasuk Gobalakrishnan dan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) kerana sebutan tidak tepat boleh membuatkan maknanya bertukar menjadi lucah.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang marah dengan perilaku wakil rakyat pembangkang itu yang disifatkan sebagai ala samseng bangun membangkitkan Fasal 36 (12) Peraturan Mesyuarat.

Fasal itu membolehkan Gobalakrishnan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk dikenakan tindakan.

"Saya sudah tiga penggal di Dewan ini, inilah pertama kali kejadian seperti ini berlaku," tegas Bung Mokhtar.

Desakan Bung Mokhtar itu mendapat sokongan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang menyokong supaya Gobalakrishnan dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Kulasegaran yang tidak berpuas hati kemudian bangun mencelah supaya Idris memohon maaf serta menarik balik kenyataannya itu.

"Bahasa lucah sudah digunakan. Mungkin Yang Berhormat (Idris) tak tau nak sebut dengan betul.

"Kalau tak tau jangan gunakan perkataan itu kerana bila salah sebut ia membawa maksud lain," kata Kulasegaran.

Bangun mempertahankan diri, Idris meminta dua wakil rakyat pembangkang berkenaan membetulkan sebutannya yang dianggap lucah itu kerana yang dimaksudkan sebenarnya ialah duduk.

Idris kemudiannya menggunakan perkataan Mandarin kepada Kulasegaran pula iaitu 'zuo xia' yang juga bermaksud duduk.

Kekecohan reda apabila Ketua Whip wakil rakyat pembangkang, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun dan meminta Gobalakrishnan meminta maaf kepada Yang Dipertua dan berharap perkara itu tidak berulang.

''Setelah saya merujuk kepada Ketua Pembangkang (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), saya dengan ini memohon Yang Berhormat Padang Serai untuk bangun meminta maaf atas tindakannya sebentar tadi," tegasnya.

Gobalakrishnan kemudiannya bangun dan meminta maaf dengan membuat kenyataan ringkas: '' Saya pohon maaf kerana saya buat tanpa sedar."

Pandikar Amin kemudiannya mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak menggunakan perkataan yang tidak selaras dengan etika Parlimen.

Katanya, Gobalakrishnan tidak perlu bertindak demikian kerana ia tidak selaras dengan etika Parlimen.

"Lama-lama Parlimen kita akan jadi macam Parlimen negara lain sehingga pembangkang dan wakil kerajaan melempar kasut, buku dan kerusi. Speaker juga diserang nasib baik yang berhormat Padang Serai tidak serang, dia cuma berbisik," katanya.

Sementara itu, Gobalakrishnan yang ditemui di lobi Parlimen mempertahankan tindakannya bukan perbuatan yang salah.

"Saya minta maaf kerana ini yang dimahukan penyokong kerajaan dan kerana tidak mahu kekecohan dipanjangkan sehingga 15 minit lagi," jelasnya.

Tukar pegawai masjid perpecahan Melayu

0 Komen!!!
TINDAKAN Kerajaan Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat untuk membentuk ahli jawatankuasa masjid baru bagi menggantikan yang sedia adalah semata-mata untuk meletakkan masjid dan surau di bawah kuasa politik sepenuhnya.

Tindakan tersebut boleh dilihat angkuh memandangkan wakil Pas dan wakil PKR Melayu tidak mencerminkan kuasa majoriti orang Melayu khasnya orang Islam di Selangor.

Langkah sedemikian akan memecahbelahkan lagi orang-orang Melayu di Selangor.

Sebarang pertukaran AJK masjid perlu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang-orang Islam. Oleh itu perlu dikaji terlebih dahulu semua masalah berhubung dengan pentadbiran masjid.

Pertukaran AJK masjid yang dicadangkan oleh Selangor perlu berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bukan sebaliknya menambah masalah yang sedia ada.

Penyalahgunaan masjid untuk kepentingan politik merupakan masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam.

Masalah menggunakan masjid untuk kepentingan politik adalah perkara biasa berlaku di masjid dan surau yang mempunyai AJK yang terdiri daripada penyokong-penyokong Pas.

Majlis yang sepatutnya bertujuan menyampaikan ilmu selalu bertukar menjadi majlis memaki-hamun.

Ayat-ayat suci al-Quran diselewengkan untuk kepentingan parti. Contoh yang paling ketara ialah mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan pendirian mereka. Khutbah Jumaat digunakan untuk memaki hamun pemimpin negara, memfitnah dan memburuk-burukkan orang bertujuan menghasut kariah membenci orang-orang tertentu.

Malah banyak lagi perkara yang melanggar peraturan agama yang dilakukan oleh orang-orang yang diamanahkan untuk mengembangkan agama dan menyatupadukan orang Islam. Jelas penyelewengan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Soalnya bolehkah pertukaran AJK Masjid yang dicadangkan oleh Pas yang bertanggungjawab mengwujudkan masalah mempolitikkan masjid dapat menyelesaikan masalah yang yang diyatakan tadi? Langkah Exco Hal Ehwal Agama, Dr. Hassan Ali perlu dikaji dengan teliti oleh pihak Istana selaku institusi diraja yang menjaga hal ehwal agama Islam.

Sudah tiba masanya pihak istana bertegas untuk melarang surau-surau dan masjid dipolitikkan demi menjaga perpaduan ummah.

Biarlah ceramah politik diadakan di markas-markas parti politik sahaja dan bukan di masjid dan surau. Kalau mahu ditukar, tukarlah AJK masjid dan surau yang sewenang-wenangnya menggunakan surau dan masjid secara tidak amanah dan mempolitikkan aktiviti surau dan masjid.

DilarangImam-imam yang menyeleweng membaca khutbah sepatutnya disenarai hitamkan. Begitu juga penceramah yang mempolitikkan institusi agama sepatutnya dilarang menyampaikan ceramah agama.

Sistem melantik AJK masjid dan surau yang diamalkan perlu diteruskan demi menjaga perpaduan orang Islam. Berilah kuasa kepada kariah tempatan melantik orang yang mereka percaya untuk menguruskan masjid dan surau. Bagaimanapun Jabatan Agama Islam perlu tegas memantau perjalanan pengurusan surau dan masjid supaya tiada penyelewengan berlaku.

Mesyuarat tahunan surau dan masjid perlu dijalankan mengikut masa dan penyata kewangan dan laporan tahunan perlu dihantar ke jabatan setiap tahun.

Pihak jabatan pula perlu menyiasat segala aduan yang dibuat oleh ahli kariah. Insyaallah jika semua peraturan diikuti, penyelewengan tidak akan berlaku. Masjid dan surau akan kembali ke fungsi asal iaitu tempat beribadat dan menimba ilmu yang benar-benar memanfaatkan umat Islam.

ABDULLAH M

Selangor

Luluskan projek mega ternak babi tetapi haramkan Islam Hadhari?

0 Komen!!!
SAYA dan mungkin umat Islam yang lain berasa kesal dengan tindakan Datuk Dr. Hassan Ali yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor mengharamkan segala aktiviti dan program yang bersangkutan dengan Islam Hadhari di Selangor.

Aksi beliau semasa berhujah boleh disaksikan dalam Buletin Utama TV3. Begitu bersemangat sekali beliau memperjuangkan untuk mengharamkan apa yang tidak diharamkan. Sempat lagi membacakan ayat-ayat al-Quran untuk menguatkan lagi tindakan beliau itu. Pesanan saya biarlah Majlis Mufti yang mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan segala aktiviti yang berkaitan dengan Islam Hadhari.

Selepas sahaja saya menyaksikan aksi beliau di kaca televisyen, terlintas di fikiran saya mengapa aksi bersemangat begitu tidak ditunjukkan semasa isu projek ternakan babi di Sepang yang telah pun diluluskan oleh Kerajaan Selangor tempoh hari.

Jika beliau ikhlas untuk menegakkan kebenaran Islam di negeri Selangor mengapa beliau tidak menentang sekeras-kerasnya kelulusan projek tersebut. Terdapat banyak ayat al-Quran yang memberitahu kepada semua umat manusia bahawa babi adalah tergolong dalam najis berat dan haram disentuh apa lagi untuk dijamah dagingnya. Mengapa tidak terbaca ayat-ayat tersebut sedangkan al-Quran itu untuk dibacakan kebenarannya kepada seluruh umat manusia tidak kira agama dan bangsa.

Jika hendak menentang sesama Islam begitu berani dan tegas tetapi amat mendukacitakan apabila menjadi penakut dan bacul untuk menentang apa yang terang-terangan adalah haram di sisi Islam.

Kepada Yang Berhormat Hassan, cubalah menjadi hero kepada umat Islam di Selangor khasnya dan di seluruh Malaysia amnya. Tentanglah projek ternakan haram itu.

Antikhinzir Bayan Lepas, Pulau Pinang

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

0 Komen!!!
AWANG hanya senyum apabila mendapat tahu para pemimpin Pakatan Rakyat melancarkan kempen memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tindakan tersebut diambil kerana mereka mendakwa kedua-dua akhbar itu mengapi-apikan sentimen perkauman sehingga menimbulkan kemarahan orang Melayu terhadap pembangkang.

Sesungguhnya Awang tidak ambil serius tindakan sedemikian. Bukan kali pertama parti politik mengancam dan melancarkan kempen memboikot akhbar.

Itu hak sesiapa sahaja termasuk pembangkang dan biarlah rakyat menilai.

Jika pemimpin Pakatan Rakyat ada perspektif mereka, Awang pun ada perspektif sendiri. Begitu juga masyarakat khususnya orang Melayu.

Malah ramai orang Melayu tanpa membaca Utusan dan Mingguan Malaysia sekalipun, dengan mudah boleh membuat pertimbangan terhadap pembangkang.

Apa pun, kempen untuk memboikot akhbar tempat Awang bekerja ini, tidak akan sedikitpun menjejaskan semangat mempertahankan kepentingan nasional (semua kaum) berteraskan kedaulatan Melayu.

Kedaulatan dan survival Melayu adalah ‘nadi’ kepada keselamatan negara kita. Itulah realitinya di tanah air ini.

Awang – Tak khianati bangsa.

P.s : Tahniah Utusan kerana berani bersuara demi kepentingan bangsa.

Kerajaan negeri terlalu angkuh - Mohamad Khir

0 Komen!!!
SHAH ALAM 27 Mei - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini menyifatkan kenyataan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Ali semalam yang mengharamkan sebarang program Islam Hadhari di negeri itu sebagai angkuh dan sombong.

Beliau berkata, kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang kononnya memperjuangkan Islam kerana Islam Hadhari merupakan satu konsep yang digunakan oleh Kerajaan Pusat untuk meningkatkan kualiti umat Islam di negara ini termasuk di Selangor.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menegaskan, Islam Hadhari bukan satu ajaran Islam baru, tetapi ia sebagai salah satu pendekatan untuk memurnikan agama itu dan telah diakui serta diterima pakai oleh negara-negara Islam lain.

''Saya anggap dia (Hassan) tidak faham atau- pun sengaja buat-buat tidak faham dengan konsep Islam Hadhari ini kerana pelaksanaannya langsung tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Mungkin dia berfikiran demikian kerana konsep ini dibuat oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN),'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hassan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam yang mengharamkan semua program Islam Hadhari di negeri itu.

Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri hari ini seakan-akan lupa peranan Kerajaan Pusat dalam pentadbiran negara ini.

''Cara mereka memerintah seperti mereka bukannya sebahagian daripada negara ini. Malah, mereka hari ini dilihat terlalu angkuh dan sikap seperti inilah yang kita kesalkan,'' katanya.

MemperjuangkanDalam pada itu, Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang turut mempersoalkan, sekiranya Pas mahu memperjuangkan ajaran Islam sebenar di Selangor, kenapa pemimpin parti itu termasuk Hassan tidak menutup terus kilang arak dan ladang babi di negeri itu.

Katanya, perkara itu telah dicanang oleh me- reka ketika kempen pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, mereka membiarkan sahaja kilang arak dan ladang babi setelah berjaya me- menangi pilihan raya dan membentuk kerajaan negeri di Selangor bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

''Mereka (Pas) tak tutup kilang arak dan ladang babi seperti mereka janjikan kepada rakyat sebelum ini kerana kedua-dua perkara itu diharamkan dalam Islam.

''Sebaliknya, mereka hari ini haramkan Islam Hadhari yang merupakan salah satu usaha yang diterapkan untuk pembangunan umat Islam,'' jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Exco Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat negeri, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, sepatutnya kerajaan negeri tidak menganggap bahawa konsep Islam Hadhari itu sebagai satu unsur yang boleh merosakkan akidah, perpecahan dan pelbagai perkara negatif lain ke atas umat Islam.

''Mereka haramkan Islam Hadhari yang kononnya menyesatkan umat Islam. Tetapi, mereka tidak tumpukan kepada ancaman sebenar iaitu ajaran sesat yang semakin berleluasa di negeri ini,'' katanya.

Malah, tambahnya, ancaman sedemikian termasuk peningkatan aktiviti penceramah tidak mempunyai tauliah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), selain tidak melaksanakan arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang sebarang aktiviti politik di masjid dan surau di negeri itu.

''Ini yang berlaku pada hari ini, kerajaan negeri memberi penumpuan yang tidak kena pada tempatnya. Ini yang akan menjadi masalah kepada perpaduan umat Islam negeri ini pada masa depan sekiranya kerajaan negeri terus bersikap seperti ini,'' ujarnya.

P. Pinang haramkan Islam hadhari

0 Komen!!!
Jimadie Shah Othman (Malaysia Kini) | May 27, 08 12:42pm
Pulau Pinang akan mengikut jejak Selangor yang melarang sebarang bentuk program mempromosikan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini hari ini.

Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.

Beliau bersetuju dengan langkah yang diambil oleh exco hal-ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali seperti diumumkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Wakil rakyat Gombak Setia itu dilaporkan berkata, semua masjid dan surau di Selangor diarah tidak mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal perdana menteri sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," katanya.

Mohammad Fairus, yang juga exco hal-ehwal Islam Pulau Pinang, berkata langkah negeri ini tidak bermotifkan politik, sebaliknya untuk "mengembalikan ajaran Islam yang sebenar."

Beliau, juga seorang lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata konsep Islam hadhari menyalahi prinsip sebenar Islam.

"Ajaran Islam sekarang sudah sempurna (seperti dinyatakan dalam al-Quran). Jadi, tidak perlu dibuat sebarang tokok tambah lagi," katanya.

Mohammad Fairus juga menganggap pendekatan Islam hadhari seolah-olah mewujudkan mazhab baru dalam Islam.

"Sedangkan kita tahu, (kemunculan) mazhab dalam Islam diketuai oleh ulama-ulama besar," katanya.

Beliau juga berkata "Islam hadhari" itu salah dari sudut penggunaan bahasa Arab.

"Mana ada Islam hadhari, yang ada hadharah Islamiah (ketamadunan Islam). Kalau orang Arab datang ke Malaysia, dia pun tak faham maksudnya (Islam hadhari)," katanya.

Bagaimanapun Perak, sebuah lagi negeri Pakatan Rakyat, belum membuat sebarang keputusan berhubung larangan tersebut.

"Isu menyokong atau tidak Islam hadhari belum timbul lagi (di Perak), tidak dibincangkan," kata pengerusi jawatankuasa tetap agama, pendidikan Islam, wanita dan kebajikan negeri, Mohd Zainuddin Mohd Yusof.

"Kita ada hal lain yang perlu dibuat dan diberikan keutamaan."

Beliau berkata isu tersebut elok diulas oleh mufti Perak.

Sementara itu, Dr Hassan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata, keputusan Selangor tidak melibatkan negeri-negeri lain dalam Pakatan.

"(Larangan) ini adalah pandangan kita sendiri. Negeri lain (dalam Pakatan), terpulanglah kepada mereka.

"Negeri Selangor bukanlah hendak menjuarai tindakan ini. Biarlah mereka (negeri lain) sendiri yang tentukan," kata, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Mengulas lanjut pengharaman itu, katanya: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program-program keagamaan."

Menurut Harakahdaily.net hari ini, Hassan mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari akan ditarik balik tauliahnya.

Beliau juga dilaporkan berusaha mengembalikan jawatan penguatkuasa pencegahan maksiat yang dinamakan Badan Amar Makruf Nahi Munkar (Badar) yang dimansuhkan ketika BN mentadbir negeri tersebut.

Pakatan Pembangkang semakin terdesak

0 Komen!!!
Pakatan Pembangknagh mendakwa, akhbar paling teruk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya masih menggunakan cara tidak adil untuk mengkritik dan merosakkan Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya, seolah-olah kempen pilihanraya masih berjalan.

Kenyataan itu juga mendakwa, Utusan cuba mengapi-apikan sentiman perkauman sempit, terutama membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya.

Oleh sebab sikap yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab itu, maka Pakatan menggesa semua orang mulai hari ini memboikot dua akhbar kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd.

P.s; Sepatutnya pakatan pembangkang tidak perlu takut kepada Akhbar Utusan, jika apa yang dilaporkan tidak betul saman sahajalah buat apa nak boikot. Syabas Utusan sebagai lidah dan perjuangan orang Melayu. Lainlah macam Harakah lagilah syok sendiri, dan menyokong membabi buta.

Kepada orang Melayu apa lagi, sokonglah utusan!..

Pakatan Pembangkang gesa boikot Utusan

0 Komen!!!
May 27, 08 12:53pm
Pakatan Rakyat menggesa pembaca dan pengiklan supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya terus-menerus menyiarkan laporan yang cuba merosakkan gabungan tersebut.

Gesaan itu terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Ketika membaca kenyataan tersebut di bangunan Parlimen pagi ini, Wan Azizah berkata, kini nampaknya sudah ada "pembukaan kecil" dalam laporan media arus perdana terhadap berita-berita mengenai Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu lagi, media perdana masih bersikap tidak adil dan terus menyiarkan lebih banyak laporan untuk BN berbanding dengan Pakatan.

Namun begitu, tegasnya, laporan mengenai Pakatan mempunyai unsur-unsur keterlaluan dan bersifat merosakkan parti-parti dan para pemimpin gabungan tersebut.

Kenyataan itu mendakwa, akhbar paling teruk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya masih menggunakan cara tidak adil untuk mengkritik dan merosakkan Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya, seolah-olah kempen pilihanraya masih berjalan.

Kenyataan itu juga mendakwa, Utusan cuba mengapi-apikan sentiman perkauman sempit, terutama membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya.

Oleh sebab sikap yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab itu, maka Pakatan menggesa semua orang mulai hari ini memboikot dua akhbar kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd.

Dalam kenyataan itu, mereka menggesa para pengiklan yang prihatin supaya segera berhenti daripada mengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan.

Kenyataan Karpal

Berhubung isu kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh, ketiga-tiga pemimpin berkenaan sependapat bahawa menteri besar mempunyai hak untuk menukar kakitangan kerajaan tetapi pada masa yang sama, harus mengiktiraf peranan Sultan dalam isu-isu mengenai Islam.

"Pakatan berpendapat, semua pihak patut menerima bahawa menteri besar mempunyai kuasa untuk menukar pegawai-pegawai dalam negerinya," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kata mereka, dalam isu jawatan ketua agama negeri, Sultan sebagai pemimpin agama negeri, patut diminta pandangan terlebih dahulu.

Dalam kenyataan itu lagi, Pakatan menegaskan bahawa pandangan Karpal bersifat peribadi yang berdasarkan kepada undang-undang.

Katanya, Pakatan menerima penjelasan Karpal bahawa beliau tidak berniat menghina Sultan.

Sehubungan itu, mereka berharap semua pihak dapat menerima penjelasan tersebut dan berhenti daripada mengapi-apikan isu itu bagi mengelak ketidakstabilan dalam hubungan kaum.

Dalam kenyataan yang sama, Pakatan membidas media yang dikuasai oleh BN dan pemimpin Umno kerana mempolitikkan isu tersebut.

Pengharaman Islam Hadhari tindakan politik

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 27 Mei - Tindakan kerajaan campuran Selangor yang mengharamkan sebarang program berkonsepkan Islam Hadhari adalah semata- mata bertujuan mempolitikkan konsep tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tanggapan bahawa Islam Hadhari tidak diperlukan di Selangor ialah pendapat kerajaan campuran Selangor semata-mata.

"Itu adalah pendapat dia (kerajaan campuran Selangor). Dia hendak politikkan Islam Hadhari. Kita sudah jelaskan Islam Hadhari merupakan satu konsep pembangunan tamadun yang terancang.

"Konsep tamadun yang dibawa Islam Hadhari adalah berdasarkan ajaran agama Islam ,'' katanya.

Najib ditemui pemberita selepas mengadakan dialog dengan komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, kerajaan campuran Selangor mengharamkan sebarang program yang dikaitkan dengan konsep Islam Hadhari di negeri tersebut.

Menurut Hassan, konsep Islam Hadhari tidak diperlukan di Selangor memandangkan ajaran Islam yang diamalkan di seluruh negara sudah pun lengkap dan meliputi pelbagai bidang kehidupan manusia.

Keputusan ICJ Cetuskan Isu Pertindihan Hak Kawasan Antara Malaysia-Singapura - MB Johor

0 Komen!!!
JOHOR BAHARU, 24 Mei (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda semalam yang memberikan Singapura hak ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia terhadap Terumbu Karang Tengah, berkemungkinan mencetuskan isu pertindihan hak kawasan antara kedua-dua negara itu, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata isu pertindihan hak kawasan antara Malaysia dan Singapura itu timbul berikutan kedudukan Pulau Batu Puteh dan Terumbu Karang Tengah yang terlalu hampir antara satu sama lain.

"Saya percaya kerana keputusan mahkamah sebegitu rupa sehingga berkemungkinan ada pertindihan kawasan sempena dengan kedaulatan yang telah pun diberikan kepada Malaysia terhadap Terumbu Karang Tengah dan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh."

"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang bahan-bahan reka bentuk lanskap "Masiff Design" di sini, hari ini.

ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura menetapkan bahawa negara jiran itu mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Berdasarkan penghakiman, keputusan ICJ terhadap Pulau Batu Puteh itu dibuat merujuk surat pegawai yang mewakili setiausaha kerajaan negeri Johor pada 1953 yang dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan pulau itu kepada Singapura.

Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatin adalah milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura. Jarak antara Terumbu Karang Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km manakala Terumbu Karang Selatin dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km.

Abdul Ghani berkata kini jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan oleh kedua-dua negara untuk mengkaji kesan perundangan dan melaksanakan keputusan ICJ itu perlu menyelesaikan dahulu isu pertindihan hak kawasan terbabit.

Ditanya sama ada kerajaan perlu bertindak membesarkan Terumbu Karang Tengah melalui kaedah penambakan bagi membolehkan ia dihuni manusia, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan keputusan itu kepada kerajaan pusat.

Dengan penyelesaian oleh ICJ terhadap tuntutan bertindih di tiga pulau itu, Abdul Ghani berkata selepas ini tidak timbul lagi isu berbangkit berkenaan pemilikan dan kedaulatan melibatkan pulau-pulau lain di perairan Johor, termasuk Pulau Pisang.

"Kedaulatan dan hak milik Pulau Pisang adalah jelas, pendaftaran tanah (Pulau Pisang) itu adalah jelas hak milik Johor," katanya.

Pulau Pisang yang terletak di perairan Pontian itu turut menempatkan sebuah rumah api yang kini diuruskan oleh pihak berkuasa Singapura.

Di MELAKA, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berharap jawatankuasa teknikal bersama Malaysia dan Singapura dapat menentukan sempadan baru perairan dengan secepat mungkin.

"Sempadan perairan ini penting untuk nelayan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama baru Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggantikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan di sini, hari ini.

Menurutnya terdapat lebih 1,500 nelayan di Pengerang, Johor yang selama ini berharap untuk beroperasi di kawasan Pulau Batu Puteh, tidak kesampaian berikutan keputusan ICJ itu.

-- BERNAMA

Batu Putih hak Singapura - ICJ juga putuskan Middle Rocks kepunyaan Malaysia

1 Komen!!!
Daripada NORAINI ABD. RAZAK


MILIK SINGAPURA... Pemandangan dari udara, Pulau Batu Putih yang kedaulatannya diserahkan oleh ICJ kepada Singapura semalam. Pulau itu yang dikenali di Singapura sebagai Pedra Branca terletak 7.7 batu nautika dari Johor dan 25 batu nautika dari Singapura. – Reuters








THE HAGUE, Belanda 23 Mei – Pertikaian mengenai status Pulau Batu Putih yang berlarutan selama 28 tahun akhirnya diputuskan hari ini oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dengan menyerahkan kedaulatan pulau tersebut kepada Singapura.

Dalam penghakiman kira-kira sejam 45 minit itu, ICJ turut memutuskan bahawa Middle Rocks yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika di selatan Pulau Batu Putih menjadi milik Malaysia manakala status satu lagi bentuk maritim iaitu South Ledge akan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pemangku Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh ketika membaca keputusan kes tuntutan bertindih itu berkata, status mengenai kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih diputuskan oleh majoriti 12-4 hakim, manakala majoriti 15-1 hakim pula bersetuju berhubung kedudukan Middle Rocks dan South Ledge.

Penyerahan kedaulatan Pulau Batu Putih yang dari sudut sejarahnya adalah milik Kesultanan Johor diputuskan oleh ICJ berdasarkan kepada surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyebut Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca, iaitu nama dalam bahasa Portugis bagi Pulau Batu Putih.

“Jawapan balas itu adalah berkaitan dengan pulau tersebut secara keseluruhannya dan bukan semata-mata rumah api.

“Apabila surat itu dibaca dalam konteks permintaan oleh Singapura mengenai maklumat status Pulau Batu Putih, adalah menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyentuh isu kedaulatan pulau tersebut.

“Oleh itu mahkamah menyimpulkan bahawa surat jawapan itu jelas menunjukkan bahawa mulai tahun 1953, Johor maklum ia tidak lagi mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat yang mempengerusikan persidangan ICJ bagi memutuskan tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Beliau bersidang bersama 15 orang hakim lain.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula pada 14 Februari 1980 apabila Singapura mengemukakan nota bantahan kepada Malaysia menuntut pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

Tuntutan Singapura ke atas Middle Rocks dan South Ledge pula hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua-dua negara berhubung pertikaian Pulau Batu Putih.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia dan Singapura melalui satu perjanjian yang dimeterai di Putrajaya pada 6 Februari 2003 bersetuju untuk merujuk pertikaian sempadan berhubung Pulau Batu Putih kepada ICJ.

Perjanjian yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura. Kedua-dua negara akan menerima keputusan mahkamah sebagai muktamad dan mengikat kedua-dua pihak.”

Selepas menghantar memorial (hujah bertulis), kedua-dua negara memulakan hujah lisan pada 6 hingga 23 November lalu.

Memetik penghakiman kes tersebut secara lebih terperinci, Shawkat berkata, fakta kes menunjukkan bahawa sebaik sahaja menerima surat balasan dari Johor, Setiausaha Koloni Singapura telah menghantar satu memorandum dalaman kepada Peguam Negara yang menyebut bahawa beliau berpendapat “berdasarkan kekuatan surat jawapan itu, kita boleh menuntut Pedra Branca.”

Selain surat dari Johor pada 1953, mahkamah turut berpandukan kepada fakta kes berhubung tindak tanduk United Kingdom dan Singapura di Pulau Batu Putih yang menurut ICJ tidak terbatas kepada penyelenggara rumah api semata-mata.

Shawkat berkata, mahkamah berpendapat bahawa tindakan-tindakan Singapura termasuk menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya jelas menunjukkan wujud a titre de souverain (tindak tanduk yang menunjukkan ia mempunyai kedaulatan) terutama selepas tahun 1953.

Malaysia, katanya, tidak menunjukkan tindak balas dalam bentuk apa sekali pun terhadap kegiatan-kegiatan Singapura malah pihak berkuasa Johor gagal melakukan sebarang tindakan ke atas Pulau Batu Putih bermula dari Jun 1850.

Lebih daripada itu, jelas beliau, keputusan mahkamah memihak kepada Singapura didorong oleh fakta republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih.

Tuntutan

“Tindak tanduk itu dilihat menunjukkan wujudnya kedaulatan dan memberi sokongan yang amat penting kepada tuntutan Singapura terhadap kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih,” kata Shawkat.

Shawkat yang mengetuai kumpulan 16 hakim termasuk dua hakim ad hoc yang masing-masing dilantik oleh Malaysia dan Singapura turut menarik perhatian mahkamah mengenai kegagalan Malaysia membantah pengibaran panji-panji British dan Singapura di Rumah Api Horsburgh di pulau itu yang turut memberi kesan kepada kes tuntutan bertindih itu.

Selain itu, enam peta yang dikeluarkan oleh Malaysia antara tahun 1962 dan 1975 yang dipertikaikan oleh Singapura kerana tertera perkataan ‘Lighthouse, P. Batu Puteh, (Horsburgh) (SINGAPORE) atau (SINGAPURA)' di Pulau Batu Putih turut menjadi rujukan ICJ yang disifatkan oleh barisan hakim sebagai mengesahkan bahawa Malaysia menganggap pulau itu adalah di bawah kedaulatan republik berkenaan.

“Mahkamah membuat kesimpulan berdasarkan titre de souverain Singapura, selain tindak-tanduk Malaysia termasuk kegagalannya untuk bertindak balas terhadap tindakan-tindakan republik itu, bahawa pada 1980 kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih telah diserahkan kepada Singapura,” katanya.

Mengenai Middle Rocks, Shawkat berkata, bentuk maritim itu mempunyai status undang-undang yang sama dengan Pulau Batu Putih dari sudut sejarahnya iaitu kedaulatannya adalah di bawah kesultanan Johor.

Katanya, mengambil kira fakta tersebut, penyerahan Pulau Batu Putih kepada Singapura yang didorong oleh surat pada 1953 dan kegagalan Malaysia bertindak balas terhadap tindak tanduk republik itu tidak memberi kesan kepada Middle Rocks.

Oleh itu, jelas Shawkat, hak milik asal Middle Rocks kekal kepada Malaysia yang mewarisi kesultanan Johor, kecuali terbukti sebaliknya di mana mahkamah mendapati Singapura tidak mengemukakan sebarang bukti yang bertentangan.

Dalam keputusan mengenai hak milik South Ledge pula, kata Shawkat, mahkamah berpendapat bentuk maritim itu berada di perairan bertindih antara Pulau Batu Putih yang kini menjadi milik Singapura dan Middle Rocks yang kekal bersama Malaysia.

“Mahkamah hanya diminta untuk memutuskan kedaulatan ketiga-tiga bentuk maritim itu secara berasingan dan pada masa yang sama mahkamah tidak diberi kuasa untuk menetapkan garis persempadanan wilayah perairan Malaysia dan Singapura.

“Dalam hal ini, mahkamah merumuskan kedaulatan South Ledge adalah milik negara yang perairannya terletak bentuk maritim itu,” kata beliau.

Delegasi Malaysia ke ICJ hari ini diketuai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ejen Malaysia dan Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad; Ejen Bersama, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd. Isa; dan Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Negeri Johor.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia pula terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill. Lauterpacht bagaimanapun tidak hadir hari ini.

Singapura pula diwakili antara lain oleh Timbalan Perdana Menteri, S. Jayakumar; Ketua Hakim, Chan Sek Keong; Duta Kembara, Tommy Koh; dan Duta Anil Kumar Nayar.

– Utusan

Kongsi Link Anda