Popular Today

Sabtu, Mei 30, 2009

1 Malaysia tidak lupa Kekejaman Komunis

0 Komen!!!
Jangan lupa kekejaman komunis.. jangan lupa pembunuhan yang telah mereka lakukan.. mereka bukan untuk memerdekakan negara tetapi merekahendak menjajah negara dengan penindasan dan kezaliman..

Namun rakyat perlu berhati-hati dengan pihak tertentu yang cuba memuja komunis sseperti OKR dan DAP serta segelintir dari Gerakan... Propaganda pembangkang

KONSEP 1 Malaysia nampaknya menerima ujiannya yang pertama. Maka tunjukkan semangat 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Masa telah tiba untuk semua rakyat Malaysia bersatu menunjukkan rasa benci pada Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM), bukan kerana prejudis terhadap identiti kaum atau agamanya, tetapi kerana semangat mempertahankan kestabilan dan kemakmuran negara.

Apabila Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr. Teng Hock Nan mencadangkan kepada kerajaan membenarkan pemimpin PKM Chin Peng kembali ke Sitiawan, Perak, agaknya apalah niat yang cuba disampaikan.

Tindakan kurang bijak ini bukan sahaja mengguris hati seluruh anggota pasukan keselamatan yang menggadai nyawa untuk menjaga keamanan termasuk keselamatan Hock Nan dan keluarganya. Tetapi seperti cuba melukakan kembali parut lama yang sudah sembuh sepenuhnya.

Seperti biasa masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu begitu sabar dan matang menguruskan kebiadaban pemimpin Gerakan ini.

Tidak benar jika kemarahan orang ini dianggap sebagai orang Melayu bersifat perkauman.

Sebagai Pengerusi Parti Gerakan peringkat negeri yang menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), jelas sekali tindakan beliau sangat tidak kena pada tempatnya. Nampaknya beliau sengaja cuba mencabar kewibawaan Senator Tan Sri Koh Tsu Koon, Pengerusi Kebangsaan Parti Gerakan yang kebetulan dipertanggungjawabkan menjaga soal perpaduan dan hubungan etnik di negara ini.

Hock Nan seolah-olah cuba 'memalukan' ketuanya di mata rakyat dan pemimpin komponen BN yang lain.

Seperti ada sesuatu yang sangat tidak kena sejak setahun yang lalu berkaitan perpaduan serta integrasi kaum di negara ini. Seolah-olah sudah ada rancangan yang teratur oleh pihak tertentu cuba untuk menghuru-hara kestabilan negara. Bermula dengan isu-isu kontrak sosial, tuntutan pemansuhan hak masyarakat Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu hinggalah kepada kedudukan raja-raja Melayu yang dilihat lebih bersifat dalaman, kini konflik ini sudah berkembang dengan menggunakan isu luaran seperti cadangan menerima kembali Chin Peng.

Janganlah berlagak seolah-olah tidak tahu sentimen rakyat Malaysia terhadap pengganas komunis. Masih ramai lagi generasi darurat yang masih hidup hingga ke hari ini. Sebagai pengajaran, pencadang kepada usul ini sepatutnya dikenakan tindakan yang berat supaya cadangan berbentuk hasutan ini jangan sekali-kali dijadikan mainan untuk populariti politik.

Bagi mencegah sentimen ini berterusan, langkah jangka panjang seelok-eloknya tindakan menjadikan 1 Malaysia sebagai pendidikan harus dimulakan. Satu Malaysia tidak boleh dijadikan sekadar slogan untuk perpaduan.

1 Malaysia perlu diisi dengan pengetahuan sejarah negara, nilai benci kepada propaganda politik dan anasir yang cuba menggugat kestabilan negara.

1 Malaysia seharusnya dikembangkan sejak di sekolah rendah dan menengah sebagai satu bidang ilmu baru yang mengarah kepada pembentukan masyarakat yang boleh memahami struktur dan sejarah pembentukan negara, kontrak sosial serta bagaimana untuk menghindari bencana perkauman pada masa depan.

Melalui pendidikan 1 Malaysia sama ada sebagai satu mata pelajaran atau dibina merentas kurikulum sedia ada, perlu dijadikan ilmu wajib kepada semua pelajar.

Jangan pandang rendah kekuatan BN di Manik Urai

1 Komen!!!
Barisan Nasional (BN) akur akan berhadapan saingan sengit daripada parti pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai Julai ini namun kekuatan BN tidak boleh dipandang rendah.

Pengarah pilihan raya BN bagi DUN itu, Datuk Mustapa Mohamed berkata walaupun BN turun selaku ’underdog’ (bukan pilihan) pada pilihan raya kecil kali ini, ia tidak langsung menjejaskan semangat BN dan Umno untuk merampas kerusi itu.

“Kita tahu sebelum ini mereka (PAS) menang di sini, itu menjadikan kita underdog. BN mampu memberi saingan sengit pada pilihan raya kecil kali ini,” katanya Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan jentera BN DUN Manik Urai di Sekolah Kebangsaan Manik Urai, di sini, semalam. - Bernama

1Malaysia-Berpaksikan Perlembagaan

0 Komen!!!
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

SEWAKTU Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1 Malaysia pada 3 April lalu, perkiraan awal banyak pihak ia mampu mengimbangi desakan dan tuntutan yang menjurus kepada kepentingan kaum.

1 Malaysia antara lain menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan di kalangan rakyat tanpa menafikan apa yang hak dan apa yang wajar dikongsi bersama dalam semangat bangsa Malaysia.

Sebelumnya atau lebih tepat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, isu-isu sensitif yang melangkaui batas perkauman dihidupkan silih berganti oleh segelintir pihak.

Namun, selepas beberapa penjelasan dari pelbagai sudut dibuat dalam memahami semangat 1 Malaysia, hakikatnya ia masih belum dapat diterima dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebaliknya, 1 Malaysia telah diterjemah mengikut sejauh mana ia mendatangkan manfaat atau kelebihan kepada diri atau kumpulan tertentu.

Lebih malang, ia diambil kesempatan pula untuk mewajarkan sesetengah tuntutan yang kononnya selari dengan konsep 1 Malaysia meskipun jelas melanggar batas-batas perkauman.

Desakan untuk membawa pulang pemimpin komunis, Chin Peng misalnya, secara jelas membelakangkan semangat patriotik dan nasionalisme yang menjadi tunjang kepada 1 Malaysia.

Biar dari sudut mana sekali pun, sejarah tidak pernah mencatatkan perjuangan komunis sebagai sesuatu yang berjasa kepada negara.

Sebaliknya ia lebih banyak menyimpan memori hitam dan penderitaan lebih-lebih kepada mereka yang pernah hidup sewaktu zaman Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) berkuasa.

Justeru apa rasionalnya apabila ada sesetengah pihak cuba menukar Chin Peng menjadi hero negara dengan membawanya pulang ke tanah air? Begitu juga dengan perdebatan mengenai peruntukan biasiswa kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

Isu ini juga sudah dibincangkan merentasi zaman, dan penjelasannya juga tidak pernah berubah sesuai dengan objektif pelaksanaannya. Bantuan itu adalah bagi pelajar yang layak meneruskan pengajian dari keluarga miskin, yang kebanyakannya merupakan orang Melayu.

Lalu tidak timbul soal keistimewaan dalam pemberian biasiswa pendidikan sementelah ia juga mematuhi apa yang ditetapkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian, Satu Malaysia melangkaui usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan peremuafakatan antara kaum.

Apa yang penting di bawah gagasan besar itu ialah pemahamannya perlu berpaksikan kepada Perlembagaan, semangat Rukunegara dan persetujuan bersama di bawah kontrak sosial.

Dalam erti kata yang lain, 1 Malaysia perlu mempunyai nilai pengorbanan dan kompromi yang tinggi.

Usaha di bawah 1 Malaysia juga adalah untuk memastikan tidak ada kelompok masyarakat yang terpinggir dan terkebelakang.

Dalam masa yang sama, ia bertujuan memastikan dalam mana-mana kelompok etnik sekalipun, jurang intra dan inter etnik tidak besar seperti hari ini.

Sivamurugan menambah, dalam keadaan politik yang tidak menentu, pasti ada usaha menekan kerajaan dengan pelbagai cadangan dan pendapat yang tidak berasas.

''Mereka yang mendesak wajar menilai semula sejarah dan menyemai nilai patriotisme dan nasionalisme sebelum membuat sesuatu cadangan. Lebih parah desakan dan cadangan itu datangnya dari ahli komponen BN sendiri!," katanya.

Dalam kedudukan hari ini, semua ahli komponen sewajarnya berpegang kepada prinsip kolektif dan cuba membina kekuatan bersama.

Bukannya menjadi gunting dalam lipatan kerana dalam jangka panjang, ia boleh meruntuhkan apa yang sudah dibina sekian lama.

Jelas Sivamurugan, apa yang mahu diatasi dalam konsep 1 Malaysia adalah penaungan politik.

Yang mahu dicapai pula adalah kebergantungan ke atas nilai-nilai yang boleh menjadi penghubung kepada usaha meraikan kepelbagaian.

Bukan penghalang atau pemusnah ke atas hubungan antara etnik dan perpaduan.

Perpaduan yang bertunjangkan kepada penerimaan ke atas perbezaan dan menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan sebenarnya adalah roh kepada 1 Malaysia.

1 Malaysia selanjutnya tambah Sivamurugan, tidak melihat kepada latar belakang etnik.

Tetapi memastikan bahawa setiap warga Malaysia bangga menjadi bangsa Malaysia dan berpegang kepada kesemua lapan prinsip 1 Malaysia.

''Walaupun berbeza dari segi pemahaman dan kepercayaan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk terbelenggu dengan gaya hidup yang mundur, miskin dan hidup melarat," katanya.

Apa yang dimahukan oleh kerajaan ialah dengan berpegang kepada slogan ini, kesemua warga Malaysia akan hidup dalam keadaan rukun dan damai serta berkualiti.

Bagaimanapun Sivamurugan tidak menolak, 1 Malaysia masih dalam mencari acuan yang terbaik untuk memenuhi komposisi kependudukan negara ini.

Justeru, penerangan mengenainya perlu dijalankan secara berterusan dalam melahirkan keyakinan di bawah satu gagasan besar dan payung 1 Malaysia yang menyeluruh.

Barangkali, ramai yang terlalu seronok dengan slogan ini tanpa menyelami inti pati dan makna yang cuba disampaikan.

Maka lahir pelbagai tafsiran dan kekeliruan serta kritikan dan penolakan daripada pelbagai pihak.

Apa yang penting tambah Sivamurugan, keyakinan dan kepercayaan bahawa 1 Malaysia bukan bersifat retorik dan kosmetik semata-mata hanya dapat dibuktikan menerusi pencapaian dalam bentuk pelaksanaan.

Untuk itu, kerajaan perlu mencipta program dan aktiviti untuk menjayakannya supaya mencapai kumpulan sasar.

Sama ada di bandar atau luar bandar atau di setiap peringkat lapisan masyarakat.

Paling utama, agensi kerajaan sendiri serta kakitangan awam perlu memahami sejelas-jelasnya konsep 1 Malaysia supaya ia boleh diterjemah dalam bentuk dasar yang berterusan dan tidak bersifat bermusim.

Kongsi Link Anda