Popular Today

Khamis, Jun 12, 2008

Kumpulan pendapatan rendah dan perniagaan kecil dapat bantuan tambahan

0 Komen!!!
Seminggu lagi kerajaan akan menyediakan bantuan tambahan kepada perniagaan kecil dan kumpulan berpendapatan rendah sebagai usaha untuk mengurangkan beban mereka berikutan kenaikan harga bahan bakar, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

"Dalam masa seminggu, akan ada pengumuman mengenai bantuan itu. Ini merupakan pendekatan yang digunakan pada masa ini," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan program sarjana kewangan Islam INCEIF di sini.

Dr Zeti bagaimanapun tidak menyatakan bentuk bantuan yang akan diberikan itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga pengerusi Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan membuat pengumuman berhubung perkara itu.

Berikutan lonjakan harga minyak mentah, minggu lalu kerajaan mengumumkan kenaikan 78 sen atau 41 peratus dalam harga petrol, dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter, dan kenaikan RM1 atau 63 peratus dalam harga diesel, dari RM1.58 kepada RM2.58 seliter.

Bagi mengurangkan beban rakyat, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion sebagai rebat tunai bagi kenderaan tahun ini. - Bernama

Hanya perlu MyKad tuntut rebat tunai

0 Komen!!!
Pemilik kenderaan persendirian hanya perlu membawa kad pengenalan asal atau MyKad sewaktu membuat tuntutan bayaran rebat tunai di salah satu daripada 683 pejabat pos seluruh negara, mulai Sabtu ini.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bayaran rebat tunai sebanyak RM625 setahun kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2,500cc.

Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun.

Bayaran tunai akan dibuat apabila pemilik kenderaan membayar atau memperbaharui cukai jalan

berkuat kuasa 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

- Utusan.

Naik harga minyak atau naik bajet defisit

0 Komen!!!
Kerajaan juga akan mengkaji semula unjuran bajet defisit sebanyak 3.1 peratus dalam Bajet 2009 kerana sasaran awal yang ditetapkan tahun ini dibuat berdasarkan harga purata minyak sebanyak AS$70 (RM228.9) setong.

Kajian semula perlu dibuat kerana harga minyak sekarang melonjak melebihi AS$139 (RM454.5) setong dan ada kemungkinan harga bahan api itu mencecah AS$150 (RM490.5) tidak lama lagi.

Beliau berkata, Malaysia mencatatkan bajet defisit sebanyak 5.5 peratus pada 2000 tetapi kadar itu telah berjaya dikurangkan kepada 3.2 peratus tahun lalu.

Nor Mohamed berkata, negara boleh mencatatkan bajet defisit enam peratus pada tahun ini sekiranya kerajaan terus meningkatkan jumlah pemberian subsidi.

RM5 bilion bayar rebat kenderaan

0 Komen!!!
Peruntukan sebanayak RM5 bilion pada tahun ini untuk pembayaran rebat kenderaan bagi mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, bayaran rebat tunai RM625kepada pemilik kenderaan persendirian di bawah 2000cc yang memperbaharui cukai jalan boleh dituntut di Pejabat Pos mulai Sabtu ini. Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun.

Menurut beliau, jumlah rebat yang dibayar oleh kerajaan itu dibuat selepas mengambil kira anggaran jarak perjalanan pengguna kenderaan itu sejauh 50 kilometer sehari.

“Rebat ini dibayar supaya dapat melegakan rakyat berikutan kesan kenaikan harga petrol dan diesel, masing-masing dinaikkan kepada RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter,’’ katanya pada taklimat media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan

0 Komen!!!
Kabinet semalam memutuskan harga pasaran petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi sepanjang tahun ini, manakala gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan iaitu pada pertengahan dan hujung bulan, mulai Ogos.

Keputusan mengekalkan harga pasaran petrol dan diesel walaupun harga petroleum mentah dunia terus meningkat, bertujuan meringankan beban rakyat yang masih menyesuaikan diri dengan peningkatan harga bahan api itu sejak minggu lalu.

Bayaran ansuran gaji kakitangan awam pula bagi membantu pengurusan perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga minyak. Potongan seperti cukai pendapatan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilakukan dalam pembayaran separuh kedua gaji pada hujung bulan.

Dua langkah itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada sidang media khas di pejabatnya di sini, petang semalam

p.s: Lepas ini apa pula agaknya

Tiada kenaikan lagi harga minyak sehingga hujung 2008

0 Komen!!!
Pak Lah semalam mangatakan bahawa harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini walaupun harga minyak di pasaran dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi mengurangkan beban rakyat kerana kerajaan sedar rakyat sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi.

“Harga petrol dan diesel sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong pada tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Itulah sebenarnya yang rakyat harapkan dan kalau boleh pada 2009 harga minyak juga tidak dinaikkan langsung. Rakyat tidak mampu lagi untuk menanggung beban kenaikan harga minyak. Apatah lagi kenaikan harga minyak juga secara langsung menaikkan juga harga barang.

Rakyat berharap kerajaan membuat perancangan secara tersusun khasnya bagi menghadapi kenaikan harga minyak dunia. Rakyat sangat menghargai jikalau kerajaan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan beban rakyat.

Wakil PAS dikritik 'gagal' debat minyak

0 Komen!!!

Abdul Rahim Sabri (Malaysia Kini)

kemaskini 8:55pm Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini menjadi sasaran kritikan penyokongnya sendiri apabila didakwa "gagal" dalam perdebatannya dengan Datuk Shahrir Samad berhubung isu kenaikan harga minyak.

Perdebatan ahli parlimen Kubang Kerian dengan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna disiarkan secara langsung selama sejam di RTM1 jam 9.30 malam tadi.

Beberapa pembaca mengkritik kelemahan Salahuddin di laman web Tranungkite.net, milik Pemuda PAS Dungun, Terengganu hari ini dan semalam.

"Apa yang saya harapkan dari perdebatan ... tidak langsung mencapai tujuan, ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan terus gagal dimanafaatkan Salehuddin, sungguh mengecewakan," kata seorang pembaca web itu, 'Reformis Muda'.

"Saya mencadang selepas ini (ahli parlimen PKR) Saifuddin Nasution (Ismail) ataupun (naib presiden PAS) Husam Musa dihantar mewakili Pakatan Rakyat, kerana Saifuddin lebih bersedia dalam soal fakta dan gaya penyampaian yang sinis. Manakala Husam dilihat lebih berani menyanggah," katanya.

Sementara seorang lagi penulis yang menyumbang kritikan menyatakan hujah-hujah Salahuddin "banyak terdapat di dalam blog-blog internet" dan menyarankan ahli parlimen itu menjalankan kajian awal sebelum menghadiri program tesebut.

"Saya tidak salahkan penonton-penonton apabila kecewa dengan hujah-hujah daripada Salahuddin... Kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin pernah terbaca oleh saya (di internet).

"Pada saya, Salahuddin sepatutnya menggunakan hujah beliau sendiri dan boleh menggunakan fakta internet itu sebagai sokongan sahaja," kata 'Ciklee'.

Penulis itu juga menyifatkan Salahuddin gagal "memberikan pukulan KO (kalah terus) kepada Shahrir" yang menyebabkan penonton tidak berpuas hati.

'Pemuda Sabah' menyifatkan ahli parlimen itu suka membuat kesilapan fakta.

"Kadangkala Salahuddin cuba untuk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah, malahan Shahrir nampak senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yang didakwa oleh Salahuddin," tulisnya di laman web itu, yang diasaskan sejak 1999.

"Salahuddin sendiri terperangkap dalam data statistik yang disebut oleh beliau apabila kurang memberi perhatian terhadap perbezaan antara 'keuntungan' dengan 'pendapatan'," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, penghujahan wakil PAS itu "agak tercapai" apabila Shahrir kelihatan "tidak mampu memberi satu jawapan konkrit" berhubung isu tersebut.

"Beliau lebih banyak bermain kata-kata dan bercakap tentang teori semata-mata," tulis 'Pemuda Sabah'.

Selepas menganggap Salahuddin gagal menggunakan istilah-istilah umum yang difahami semua, 'Tinta Islam' pula kecewa kerana wakil PAS itu tidak berjaya menimbulkan isu-isu kesusahan orang ramai.

"Namun bagi pihak rakyat, ana (saya) merasa sedikit kecewa kerana Salahuddin tidak dapat membangkitkan hujah-hujah bagi menyuarakan kesusahan dan keperitan hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak yang melampau," tulisnya.

'Reformis Muda' bersetuju dengan pandangan ini dan mencadangkan "kita perlu menyampaikan dengan bahasa yang mudah dan senang diterjemah dan dirasai rakyat."

"Gaya bahasa dan rentak beliau bercakap seperti seorang profesor yang didatangkan dari Universiti Tokyo untuk menyampaikan kuliah sains," katanya.

'Reformis Muda' menambah, tidak sesuai Salahuddin membincangkan isu carigali Petronas tetapi seharusnya mengupas "tentang kesannya kepada rakyat."

'Topeng Perak' turut membangkitkan persoalan yang sama.

"Saya kira golongan (berpendapatan rendah) ini amat-amat kecewa dengan Salahuddin kerana beliau juga seolah lupa pada golongan ini. Pada saya kesilapan Salahuddin ialah, terlalu cepat dan gopoh dalam memenangi isu ini," katanya.

Beliau mencadangkan ahli parlimen itu berbincang dengan semua golongan sebelum bertindak sebagai "duta besar" di program TV itu.

Seorang penulis yang dikenali 'Matlan75' menganggap ulasan Salahuddin "terlalu berhati-hati" sehingga "mood penonton hilang apabila mendengar hujahnya."

"Penonton mahu hujah yang kuat dan boleh membuatkan Shahrir jadi bisu dan terus masuk PAS. Itu yang rakyat mahu," katanya.

Kongsi Link Anda