Popular Today

Memaparkan catatan dengan label Institusi Pendidikan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Institusi Pendidikan. Papar semua catatan

Selasa, Disember 30, 2014

TIDAK PERLU GANTI PENANGGUHAN SEMINGGU 2015

0 Komen!!!
DUNGUN – Permulaan sesi persekolahan 2015 di seluruh negara yang ditangguhkan selama seminggu tidak perlu diganti, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ia tidak perlu diganti kerana ia masih dalam tempoh yang bersesuaian untuk persekolahan, bukannya cuti persekolahan itu ditambah tetapi masalah tertentu kita terpaksa tangguhkan.
“Kita harap ini akan disesuaikan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dan SK Kampung Nyior di sini hari ini.
Turut bersama dalam lawatan beliau ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah serta Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu Roslina Ngah.
Dengan penangguhan itu, tarikh baharu sesi permulaan persekolahan tahun depan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Jan (Ahad), manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Jan (Isnin).
Sebelum ini, sesi persekolahan bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dijadual dibuka pada 4 Jan manakala bagi negeri-negeri lain adalah 5 Jan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata berikutan banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung sekarang, sehingga semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati 340 buah sekolah di tujuh buah negeri terlibat banjir atau yang terlibat sebagai Pusat Pemindahan Sementara.
“Ada juga sekolah-sekolah itu digunakan sebagai pusat penempatan mangsa banjir dan masih beroperasi. Banjir masih berlarutan, jadi sebahagian sekolah tidak dapat digunakan.
“Malah ada guru yang masih berada di kampung dan mereka tidak boleh pulang sekarang untuk mengajar. Justeru atas dasar-dasar ini, kita putuskan untuk tangguhkan sementara pembukaan sesi persekolahan waktu ini bagi membantu keluarga untuk pemulihan dan buat persiapan,” katanya.
Muhyiddin turut mengarahkan KPM menyegerakan pengagihan bantuan awal persekolahan RM100, keutamaan kepada mangsa banjir seawal minggu depan.
Menurut Muhyiddin, pihaknya kini sedang meneliti prosedur bantuan awal persekolahan yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat kepada KPM berikutan bencana tersebut yang menyebabkan segala persiapan musnah atau rosak dihanyutkan banjir.
“Walaupun prosedur kewangan mengatakan kita boleh belanja pada awal 2015, tetapi dengan penangguhan ini, kita boleh laksanakan dan keutamaannya kepada mangsa di negeri-negeri terjejas banjir.
“Kita akan tangani sebaik mungkin selewat-lewatnya awal minggu depan atau satu hingga dua hari ini, cuma masalah sekarang, ada bank masih tutup dan kalau kita bagi cek pun ia mungkin tidak boleh ditunaikan (di sebahagian kawasan banjir),” katanya.
Muhyiddin turut meminta Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk membuat taksiran mengenai kerugian harta benda dan kerosakan bangunan yang mungkin dialami ekoran bencana itu. – Bernama

Isnin, Oktober 20, 2014

Komen pedas Ridhuan Tee mengenai isu sekolah vernakular

0 Komen!!!
Saya sudah dapat menjangkakan apa jawapan ultra kiasu apabila isu sekolah vernakular dibangkitkan. Belum apa-apa lagi mereka sudah melompat dengan mengatakan tidak boleh sama sekali sekolah ini dihapuskan. Lebih serius lagi, mereka samakan kedudukan sekolah vernakular dengan kedudukan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Peliknya, boleh dikatakan tidak ada kenyataan balas selepas itu. Maklumlah takut hilang kuasa.

Ketika AGM ultra kiasu, banyak kali saya dengar berbagai perkara dibincangkan menyentuh hak istimewa Islam dan Melayu dan perkara sensitif. Adakah ketika itu UMNO memberi amaran jangan bincangkan perkara ini. Siapa yang lebih bersifat terbuka?

Kenyataan ini dikeluarkan sebab ada masalah. Sebab itu UMNO mahu membincangkan. Adakah kita tidak nampak langsung masalah yang ditimbulkan oleh sekolah vernakular?

Saya tidak nampak UMNO begitu berani untuk memansuhkan sekolah vernakular kerana ada implikasi politiknya. Sekolah vernakular akan terus kekal.

Apa yang perlu dilakukan adalah penambaikan, sebab kerajaan telah membelanjakan wang yang begitu banyak untuk sekolah vernakular sehinggakan statusnya hampir sama seperti sekolah kebangsaan. Adakah kedudukan sekolah ini tidak boleh dibahaskan langsung.

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian adalah

Pertama, masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) mesti ditambah. Wajibkan P&P BM setiap hari. Paling kurang 2 jam satu hari.

Tidak kira ditentang macam mana sekalipun, anak-anak bukan Melayu mesti dipandaikan dengan bahasa negara demi masa depan.  Sekiranya mereka gagal, syarat-syarat mesti dikenakan. Misalnya, tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam komunikasi dan tulisan.

Begitu juga mata pelajaran sejarah, wajibkan diajar dalam BM, bukannya bahasa ibunda sebagaimana yang berlaku pada masa kini.

Perpaduan nasional tidak akan tertegak jika generasi akan datang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa negara.

Kedua, saya ingin memetik pendapat Nordin Kcd (6.1014), yang memberi respon kepada MCA. Nampaknya MCA masih dibuai mimpi dengan kejayaan lampau mereka kerana mendapat hak keistimewaan dalam pendidikan vernakular bagi kaum mereka. Hasilnya hari ini MCA sendiri melahirkan generasi baru kaum Cina yang tidak fasih menguasai bahasa kebangsaan negara sendiri. MCA masih lagi mengagong-agongkan bahasa kebangsaan dari negara luar hanya kerana kaum mereka berasal dari negara tersebut.

Ada dua sebab utama kenapa pemimpin MCA terdahulu menuntut hak pendidikan vernakular Cina ini dikekalkan. Pertama, kaum Cina ketika itu anggap Malaya hanya tempat untuk mereka cari makan. Setelah mereka jadi kaya mereka akan pilih untuk kembali dan mati di negara Cina, negara tempat asal usul mereka. Sebab itu mereka perlu tahu bahasa dari negara asal usul mereka.

Kedua, kaum Cina takut diperlakukan sama seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina, yang mana kaum mereka dipaksa untuk diasimilasikan mengikut budaya dan bahasa tempatan sehingga identiti bangsa mereka sebagai kaum Cina terus hilang.

Sebagai timbal-balas keatas pengiktirafan yang mereka berikan terhadap hak keistimewaan orang Melayu terutama dalam bidang ekonomi, mereka turut menuntut hak keistimewaan yang setara terutama dalam bidang pendidikan diberikan kepada kaum mereka.

Sebab itu MCA hingga kini begitu sensitif mempertahankan hak keistimewaan kaum Cina ini walau pun ia meninggalkan kesan negatif kepada kaum mereka untuk beridentitikan "orang tempatan".

Menurut Nordin lagi, bagi MCA menghapuskan sekolah Cina samalah seperti menghapuskan sejarah kejayaan lampau parti mereka yang mereka guna untuk meraih sokongan kaum mereka kepada MCA.

Akibatnya hari ini generasi baru kaum Cina masih gagal menguasai bahasa kebangsaan negara sendiri seperti mana kaum mereka di Thailand, Indonesia dan Filipina. Malah pendatang asing dari Bangladesh dan Myanmar lebih fasih menguasai bahasa kebangsaan Malaysia berbanding warganegara Malaysia yang berbangsa Cina ini.

Pada satu sudut, MCA berjaya mengekalkan sekolah vernakular Cina tetapi di sudut yang lain MCA gagal meletakkan anak bangsa mereka setara dengan bangsa lain yakni beridentitikan “anak jati tempatan” atau “Anak bangsa Malaysia”.

Hari ini kaum India nampaknya lebih berjaya menguasai bahasa kebangsaan berbanding kaum Cina. Itu yang patut MCA fikirkan kerana orang Melayu sendiri lebih senang berkawan dengan kaum India kerana mereka boleh berkongsi satu bahasa dan memahami antara satu dengan yang lain.

Ketiga, kerajaan mesti memantau sekolah vernakular setiap masa, setiap ketika. Garis panduan dan indeks penunjuk prestasi (KPI) mesti diwujudkan. Pastikan operasinya tidak lebih Cina dari negara China.

Rakan saya dari negara China, menggeleng-geleng kepala melihat betapa beruntungnya Cina di Malaysia mendapat hak pendidikan di sini, seolah-olah membenarkan wujudnya negara dalam negara. Di negara merekapun tidak secina di sini. Saya semakin menjadi tidak faham, kenapa dalam sebuah negara yang mendaulatka BM, ada segelintir yang mahu menjadi secina-cinanya. Pernahkan mereka terfikir soal pembangunan negara bangsa?


Akhirnya, saya amat mengharapkan masyarakat Cina di Malaysia tidak terlalu mendesak atau menekan kerajaan. Jika tidak pasti akan wujud banyak lagi Perkasa dan Isma.

Sabtu, Mac 20, 2010

Edisi Panas Punggung!! : Bukti Pakatan Aljuburi gunakan mahasiswa!!

0 Komen!!!

Selalunya mahasiswa buat program terselindung bersama pembangkang.. kini mahasiswa nampaknya lebih berani untuk bersama pembangkang secara terang-terangan.

Walaupun telah dilarang Universiti Malaya (UM) dilaporkan melarang pelajarnya menghadiri program anjuran SMM sebagai propembangkang. Kongres tersebut didakwa bakal membincangkan isu-isu politik yang bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). [rujuk sini]

Dikatakan program dijalankan secara sederhana, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini meneruskan kongres gerakan mahasiswa anjuran mereka dengan penuh daif kerana menyewa dewan yang mahal, sehingga pesertanya terpaksa duduk bergelimpangan di lantai.

Walaupun program tersebut berlangsung di tempat yang penuh selesa di sebuah dewan milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kumpulan tersebut mendakwa kerana “mahalnya” dewan itu, mereka tidak lagi mampu menyewa kerusi.

Tapi yang menarik ialah perasmi majlis tersebut ialah Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Pantai. Dalam ucapannya, beliau antaranya mengimbau kembali detik-detik ketika bapanya Datuk Seri Anwar Ibrahim bergelut dalam gerakan reformasi sepuluh tahun lalu.

APa agaknya mesej yang mahu disampaikan oleh penuntut SMM ini.. pertama tentang halangan samada dari pihak universiti, halangan ini memang jelas kerana ianya memang bertentangan dengan Auku..

Yang kedua ialah program dijalankan dalam keadaan daif di tempat yang selesa iaituebuah dewan milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).. Sebenarnya jika YB pembangkang buat kerja pastinya perkara ini tidak akan terjadi.. isu mahal tidak jadi halangan kerana Kerajaan PKR yang berkuasa di Selangor. Sepatutnya mereka boleh arah MBPJ untuk kurangkan bayaran atau tidak membayar langsung.

Selain itu, inilah peranan yang patut dimainkan oleh YB pembangkang hulurlah duit sikit kalau dah datang nak rasmi.. takkan air liur aje kot.. mana yang dikatakan kebajikan rakyat!!

Ini semuanya hanya nak dijadikan isu.. bagi mahasiswa ini untuk dijadikan hero di universiti masing-masing... selain menanamkan kebencian melalui hasutan terhadap kerajaan.

Program ini membuktikan SMM sangat berhubungan dengan PKR dan mempunyai idealogi yang sama. Jadi ianya bukanlah tuduhan lagi bahawa SMM pro pembangkang.. hakikatnya SMM memang pro pembangkang... jika tidak kenapa Nurul Izzah merasmikan program tersebut.

Dalam masa yang sama SMM juga ialah kader dan jentera Pakatan ALjuburi yang boleh dikerah pada bila-bila masa. Manakan tidak, mahasiswa telah ditanam dengan idealogi perjuangan Pakatan ALjuburi..

Ini adalah bukti yang jelas bahawa Pakatan ALjuburi telah mula masuk ke dalam Universiti dan seterusnya menggunakan mahasiswa untuk kepentingan politik mereka.

Oleh itu, Universiti berkenaan perlu bertindak tegas kepada mahasiswa yang dah dirosakkan ini, bawakan kembali mereka ke pangkal jalan.. jika tidak mahu kembali ke pangkal jalan.. hentikan sahaja bagi mereka ikut jalan sendiri..

Ini Universiti Malaya yang dibina oleh kerajaan BN untuk orang Melayu berjaya dan membina dan membangunkan orang Melayu.. jika mereka tidak mahu bersama Universiti ini, mereka boleh cari universiti lain.. masuklah Unisel beramai-ramai.. atau universiti swasta..

Rabu, Januari 06, 2010

Menjawab Isu Sekolah Agama Rakyat

2 Komen!!!
Takrif

1. Apakah yang dimaksudkan dengan SAR?

- SAR adalah sekolah persendirian yang menawarkan pendidikan formal dan sepenuh masa di peringkat rendah dan menengah dalam bidang agama Islam.

- SAR tertakluk di bawah Enakmen Negeri dan perlu berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri.

2. Adakah ini bermaksud semua sekolah agama di bawah pentadbiran negeri adalah SAR?

- Tidak. SAR adalah berbeza dengan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN)

- Ia juga berbeza dengan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) yang ditadbir oleh Kementerian Pendidikan.

3. Berapakah jumlah SAR di seluruh negara?

- SAR (Rendah) -: Bilangan Sekolah (43), Bilangan Murid (8,078), Bilangan Guru (520)

- SAR (Menengah) -: Bilangan Sekolah (225), Bilangan Murid (66,375), Bilangan Guru (4,429)

4. Negeri manakah yang mempunyai paling banyak SAR?

- Kelantan -: SAR (Rendah) 17, SAR (Menengah) 75

5. Jika benar SAR merupakan sekolah persendirian, kenapa selama ini ia mendapat bantuan per kapita dari kerajaan?

- Seksyen 52 Akta Pendidikan 1996 membenarkan Menteri Pendidikan menghulurkan sumbangan kepada mana-mana institusi agama Islam walaupun persendirian.

Sebab Bantuan Dihentikan

6. Kenapakah kerajaan mahu menutup SAR?

- Tidak benar. Kerajaan tidak pernah membuat keputusan untuk menutup SAR.

- Kerajaan hanya menghentikan bantuan per kapita bukan mahu menutup SAR.

- SAR boleh terus beroperasi sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan negara bagaimanapun mungkin perlu didaftarkan dulu di bawah Akta Pendidikan 1996 sebagai institusi pendidikan agama swasta.

7. Bukankah dengan tidak memberi bantuan per kapita, itu menampakkan keinginan kerajaan untuk menutup SAR?

- Tidak benar. Jika kerajaan mahu menutup SAR, kerajaan tidak akan membenarkannya untuk terus beroperasi.

- SAR masih boleh beroperasi tetapi seperti mana-mana sekolah persendirian, SAR boleh berusaha untuk mendapatkan sumber kewangannya sendiri.

8. Kenapa kerajaan mahu menghentikan bantuan per kapita kepada SAR?

- SAR telah mensia-siakan bantuan yang diberikan oleh kerajaan yang berbentuk kewangan, kebendaan dan pembiayaan kursus-kursus latihan.

- Prestasi pelajaran di SAR amat menyedihkan akibat pentadbiran sekolah yang lemah, kualiti guru yang rendah dan prasarana yang daif.

- Terdapat juga SAR yang telah berubah menjadi isntitusi politik yang melahirkan golongan militan.

9. Apakah yang menyebabkan prestasi pelajar SAR merosot?

- Masalah ini ada kaitannya dengan kualiti guru, prasarana dan kualiti pengurusan SAR itu sendiri.

Kajian-Kajian Penting

10. Apakah ada kajian yang membuktikan perkara ini?

- Perkara ini ada disebut di dalam kajian Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan dalam tahun 1996.

11. Apakah yang dilaporkan oleh kajian itu mengenai kualiti guru?

- 90 % guru tidak mempunyai kelayakan ikhtisas perguruan

- 73.2 % guru tidak berijazah

- 26.5 % guru hanya mempunyai sijil Sekolah Menengah Agama atau SPM atau Empat Thanawi sahaja.

12. Apakah hasil kajian mengenai kemudahan dan prasarana SAR?

- 44.9 % daripadanya mempunyai bangunan yang daif, bilik darjahnya kecil

- 91 % tidak mempunyai makmal sains

- 25 % tidak mempunyai perpustakaan, dan

- 68 % tidak mempunyai padang permainan.

13. Apakah ada kajian yang lain?

- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Keselamatan Sekolah-Sekolah Swasta dan Agama di Semenanjung Malaysia yang menjalankan kajian dalam tahun 1987 ekoran kebakaran sebuah SAR di Yan, Kedah yang meragut 20 nyawa, menyebut - prasarana dan kemudahan di kebanyakan SAR adalah daif, dibina bersesak-sesak dan tidak akur kepada piawai kesihatan dan keselamatan.

- Terdapat juga beberapa siri kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik dari universiti-universiti tempatan di dalam tahun 1999 yang mendedahkan tentang sikap guru, pelajar, ibu bapa dan pentadbiran SAR.

14. Apakah hasil dapatan kajian yang dibuat oleh penyelidik-penyelidik ini?

- Penyelidik 1 - Jabatan Penyelidik Sekolah Pembangunan Sosial UUM;

- 64% guru didapati tidak pernah menggunakan alat bantu mengajar (ABM).

Penyelidik 2 - Dr. Syed Mohd Dawilah Syed Abdullah al-Edrus (USM) & Shukri Ahmad (UUM):

- 90% pelajar tidak pernah menggunakan komputer kerana tidak ada kemudahan.

- 45% pelajar mendakwa guru hanya memberi kerjasama sekali-sekala.

- 65% pelajar, menyebut guru kadangkala ponteng.

Penyelidik 3 - Dr. Hj. Shahril @ Charil b Hj. Marzuki (1999), UM :

- 65% pengetua mempunyai pengalaman pentadbiran kurang dari 5 tahun

- 67% pengetua belum mengikuti kursus kewangan sekolah

- 875 sekolah tidak mempunyai pembelajaan yang cukup untuk operasi sekolah

- Pembelajaan sekolah tertumpu kepada pembaikan bangunan (24%), bil elektrik (24%), bil telefon (22%) dan bil air (11%)

- Kebanyakan sekolah mengalami kekurangan kewangan untuk mengurus dan membangunkan sekolah. Implikasinya, (90%) sekolah tdak cukup alat sains dan matematik, (94%) tidak cukup buku rujukan, (80%) tidak cukup kakitangan pembantu guru.

Penyelidik 4 - Prof. Madya Dr. Ismail Jusoh, Che Mat Isa Che Omar & Aminuddin Osman (1999), Universiti Sains Malaysia.

- Hanya 12% sahaja yang beranggapan korikulum Sekolah Agama Rakyat (SAR) bersifat pembinaan akhlak.

Penyelidik 5 - Prof. Madya Mohd. Daud Kamzah, Prof. Madya Dr. Ishak Ramly, Dr. Idris mohd Noor (1999), USM.

- Pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR), mempunyai kecenderungan bersekolah yang rendah berbanding Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

- Pelajar perempuan Sekolah Agama Rakyat (SAR), mempunyai tahap kecenderungan terendah

Penyelidik 5 - Tuan Hj. Ismail b Saad (1999) Pusat Urus Zakat Majlis Agama Islam Pulau Pinang

- Amalan pengurusan kewangan tidak seragam dan berlaku kesilapan rekod kewangan.

- Wang masuk dan keluar tidak dijustifikasikan. Wang yuran tunai tidak di akaunkan dan tidak ikut etika. Contoh, pembayaran gaji guru

- Tanah wakaf (untuk tapak sekolah) atau derma individu tidak direkodkan

15. Kenapakah kajian ini dikatakan AMAT PENTING?

- Semua kajian ini dibuat lama sebelum SAR menjadi satu isu.

- Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Keselamatan Sekolah-Sekolah Swasta dan Agama di Semenanjung Malaysia dibuat pada tahun 1987.

- Kajian Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan di buat dalam tahun 1996.

- Manakala kajian-kajian seterusnya di buat dalam tahun 1999.

- Oleh itu amat TIDAK ADIL untuk mengatakan tindakan kerajaan ini bermotif politik. Lebih adil untuk mengatakan yang SAR tidak mengambil inisiatif untuk berubah.

16. Kenapa bantuan diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan, tetapi tidak kepada SAR?

- SAR adalah sekolah persendirian.

- Sebaliknya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) merupakan sekolah bantuan kerajaan (sekolah bantuan modal).

17. Apakah perbezaan SAR dengan sekolah bantuan kerajaan?

- Dalam sekolah bantuan kerajaan, pengetua dan guru-guru disedia, dilantik dan digajikan oleh kerajaan.

- Bantuan per kapitanya lebih besar dikira bukan sahaja mengikut bilangan pelajar tetapi juga mengikut jenis mata pelajaran yang diajar.

- Sebahagian besar prasarana dan kemudahannya dibiayai oleh kerajaan termasuk komputer.

- Guru-gurunya diberikan latihan berkala supaya pengetahuan dan kemahirannya dalam pengajaran dan pembelajaran sentiasa terkini.

18. Kenapakah SAR tidak dijadikan sekolah bantuan kerajaan?

- Telah banyak usaha dibuat untuk menjadikan SAR sekolah bantuan kerajaan sejak tahun 1977 lagi.

- Bagaimanapun maklum balas daripada SAR menampakkan bahawa SAR lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan tetapi tidak mahu menyerahkan pentadbiran SAR kepada kerajaan seperti yang dilakukan di SJKC dan SJKT.

19. Di manakah silapnya?

- Salahnya harus diletakkan kepada SAR sendiri dan orang-orang yang berkepentingan yang mahu SAR terus menjadi sekolah persendirian kerana tidak mahu hilang pengaruh walaupun sedar pelajar-pelajar mungkin teraniaya.

20. Apakah penarikan ini bermaksud kerajaan tidak mengiktiraf peranan SAR melahirkan tokoh-tokoh ulama dan pemimpin negara?

- Tidak benar. Kerajaan tidak pernah menafikan peranan SAR dalam melahirkan cerdik pandai dan ulama. Cuma kebanyakan SAR sekarang tidak sebaik dan secemerlang SAR dulu.

21. Kenapa? Apakah perbezaan SAR sekarang dan dulu?

- SAR pada masa dahulu berpegang teguh kepada prinsip bahawa pendidikan harus bebas daripada politik dan pengaruhnya supaya matlamat pendidikan tidak terjejas.

22. Bukankah itu bermaksud, penarikan bantuan SAR adalah bermotifkan politik?

- Tidak benar. Jika benar kerajaan bermotif politik, mungkin kerajaan akan menutup terus SAR bukan sekadar menarik bantuan per kapita.

- Lagipun, segala tafsiran yang salah berkenaan ajaran Islam datang dari guru-guru di SAR. Jika benar kerajaan hendak bertindak di atas motif politik yang sempit, sudah tentu guru-guru ini tidak ditawarkan sama sekali untuk ke Sekolah Kebangsaan.

23. Kenapa kerajaan mengaitkan SAR sebagai sarang pengganas?

- Tidak benar. Tidak semua SAR bermasalah, tetapi keadaan SAR memudahkan pelajar-pelajarnya terdedah kepada anasir-anasir yang boleh merosakkan masa depan anak-anak yang tidak berdosa.

24. Adakah dakwaan kerajaan ini berasas?

- Penangkapan 25 orang ahli Kumpulan Militan Malaysia dalam tahun 2001 mendedahkan bahawa 19 daripada mereka adalah pada suatu ketika dahulu pernah belajar di SAR atau pondok dan kemudiannya ada menjadi guru di SAR.

- Mereka mengakui bahawa ciri-ciri militan yang diperoleh mereka ditanam semasa belajar di SAR dan diperkembangkan semasa menuntut di negara-negara lain.

- Pengasas Pertubuhan Persaudaraan Al-Maunah, Mohd. Amin juga adalah bekas penuntut SAR.

25. Apakah sebab yang memungkinkan mereka berfikiran begitu?

- Pelajar-pelajar ini telah didoktrin sejak kecil lagi. Mereka diajar menghayati `ikrar Islam' yang menyelitkan mati syahid sebagai suatu harapan dan matlamat.

- Mereka juga diajar menghayati lagu-lagu seperti `Pemuda Islam' yang di antara lain mengajak mereka merelakan darah mereka mengalir ke bumi sebagai darah para syuhada.

- Pelajar-pelajar SAR sering digalakkan menghadiri ceramah-ceramah politik dan mengadakan majlis pidato sekali seminggu berdasarkan topik-topik yang berunsur penentangan kepada kerajaan.

- Guru-guru juga digalakkan oleh pentadbir-pentadbir sekolah mengadakan tazkirah berunsur politik di mana pemimpin-pemimpin kerajaan dihina dan dicaci.

- Di beberapa SAR pula, semangat patriotik dimatikan apabila lagu kebangsaan dilarang dari dinyanyikan semasa perhimpunan sekolah kerana dikatakan tidak digalakkan dalam Islam.

Kesan Penarikan Bantuan

26. Apakah yang ingin kerajaan capai melalui penarikan bantuan per kapita ini?

- Kerajaan berpendapat adalah lebih baik wang bantuan itu digunakan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan.

- Melalui langkah ini, kerajaan berpendapat nasib pelajar-pelajar dan guru-guru SAR akan lebih terbela jika mereka memasuki sekolah kebangsaan.

- Kerajaan berharap sekurang-kurangnya tindakan menarik bantuan per kapita ini dapat menyedarkan SAR tentang tanggungjawabnya terhadap Bangsa Melayu dan umat Islam negara ini yang selama ini diabaikan.

27. Tidakkah masa depan pendidikan Islam anak-anak akan terjejas?

- Tidak. Kerajaan telah mempelawa pelajar SAR belajar di sekolah kebangsaan yang mempunyai kelengkapan yang lebih baik dan dapat memberikan pendidikan yang sempurna, bermutu dan seimbang di antara tuntutan fardu ain dan fardu kifayah.

- Di peringkat sekolah rendah, ibu bapa yang merasakan perlu menokok tambah pendidikan agama anak-anak mereka boleh menghantar anak-anak mereka mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sebelah petang yang dianjurkan oleh Jakim. Jikalau di negeri Johor, mereka boleh menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas agama anjuran kerajaan negeri.

- Di peringkat sekolah menengah pula, selain semua pelajar Islam perlu mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam.

- Jika mereka mahu mendalami pendidikan agama, mereka boleh memohon memasuki SMKA atau SMAN atau mengikuti Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah kebangsaan biasa.

Kesan-kesan penutupan SAR :

1. Adakah dengan penutupan SAR, perjuangan Islam akan tandus?

- Umat Islam akan dipandang tinggi oleh orang Barat kerana melahirkan ramai pakar dalam pelbagai bidang

- Islam dipandang mulia

- Menjadikan umat Islam sentiasa bersedia bagi menghadapi cabaran dunia dan akhirat

2. Adakah penutupan SAR suatu tindakan emosi?

- Penutupan SAR berdasarkan beberapa fakta iaitu 47 % daripada pengetuanya tidak mempunyai ijazah, 91 % sekolah tidak punyai makmal, 44.9% mempunyai bangunan yang daif, hanya 26.5 % guru berkelulusan SPM atau 4 thanawi

- Keputusan PMR dan SPM sangat rendah berbanding SMKA, SMK dan SMAN.

- Menjaga kepentingan Islam

- Menjaga kepentingan dan masa depan pelajar-pelajar SAR.

- Melahirkan pelajar yang berkualiti dari segi duniawi dan ukhrawi

3. Dengan penutupan SAR dapatkah kerajaan mempertingkatkan bilangan ahli professional?

- Pelajar akan lebih terdedah dengan pelbagai ilmu dan kepakaran terkini

- Minda pelajar akan lebih luas dan berfikiran rasional dalam tindakan

- Penguasaan bahasa pelajar akan lebih meluas selain mahir berbahasa Melayu, Bahasa Arab, bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa utama dunia.

- Pelajar tidak akan merasa inferiority complec apabila berhadapan dengan orang luar

- Bijak menguruskan masa, punyai daya kepemimpinan dan tahu melaksanakan kerja dengan penuh tanggungjawab

- Bergerak sejajar era globalisasi dan teknologi maklumat

4. Adakah penutupan SAR boleh melemahkan ketuanan Melayu?

- Dapat mempertingkatkan tahap pendidikan yang lebih terjamin kepada pelajar-pelajar.

- Dapat membela nasib para pelajar dari segi kemudahan pembelajaran

- Dapat melahirkan semangat perpaduan di antara semua kaum.

5. Adakah dengan penutupan SAR,peluang pendidikan golongan miskin meningkat?

- Dapat mengatasi jurang kemiskinan dengan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan

- Dapat memeberi kemudahan pembelajaran yang lebih baik kepada golongan yang tidak berkemampuan.

- Taraf kehidupan menjadi lebih baik dari segi ekonomi dan pendidikan.

6. Apakah tanpa SAR, golongan ulama akan terhakis?

- Akan lahir ulama berpendidikan kebangsaan

- Lahir lebih ramai ulama yang akan dapat mendokong wawasan kerajaan

7. Mungkinkah dengan penutupan SAR, jati diri bangsa Melayu terjejas?

- Minda bangsa melayu lebih terbuka dan cenderung ke arah perkembangan sains dan teknologi.

- Bangsa Melayu menjadi bangsa yang maju seimbang dari segi ekonomi dan kerohanian(dunia dan akhirat adalah seimbang)

- Bangsa Melayu mula menjadi pemikir kepada Islam moden.

8. Betulkah dengan penutupan SAR, ia boleh mengurangkan penderitaan golongan miskin di luar Bandar?

- Golongan pelajar yang miskin mempunyai peluang yang terbuka luas untuk mempelajari bidang teknologi maklumat, kejuruteraan, sains dan teknologi di samping bidang agama yang terdapat di sekolah-sekolah kerajaan.

- Golongan ini dapat merasai kemudahan infrastruktur yang lebih sempurna di sekolah kerajaan berbanding di SAR.

- Golongan ini lebih terdidik,terpelajar dan terbimbing disebabkan guru-guru di sekolah kerajaan kesemuanya berkelulusan dan berkelayakan di dalam bidang yang di ajari serta tahu teknik asas perguruan.

9. Apakah andaian penutupan SAR melemahkan ibadat fardu kifayah?

- Bangsa melayu lebih rasa bertanggungjawab dan mula mengambil peranan dari segi penguasaan ekonomi.

- Bangsa melayu tidak ketinggalan berbanding bangsa lain dari segi persaingan ekonomi, perkembangan ilmu teknologi dan juga sahsiah hidup yang tinggi.

10. Benarkah penutupan SAR akan menghancurkan pendidikan Islam di Malaysia?

- Tidak benar. Pendidikan Islam masih diajar di Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah Agama Negeri.

- Kualiti pendidikan di sekolah-sekolah ini lebih terjamin dan boleh melahirkan lebih ramai pelajar Melayu yang cemerlang dari segi akademik.

11. Apakah pilihan yang ada kepada SAR?

- Menjadi sekolah bantuan kerajaan.

- Kekal sebagai institusi pengajian swasta yang berdaftar dengan Akta Pendidikan 1996.




Sumber : Pemuda UMNO

Ahad, November 22, 2009

Jangan politikkan pendidikan

1 Komen!!!
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

SAYA amat berharap kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengiktiraf sijil yang dikeluarkan.

Cukuplah dengan lebih 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang sedia ada dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya. Apakah ini semangat 1Malaysia?

Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran.

Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?

Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita.

Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.

Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1).

Kuasa baru

Menurut mereka, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang daripada pendidikan pra- sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).

Sebenarnya, Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding Akta Pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain.

Kepada golongan ultra kisu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini.

Sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negara China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu?

Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.

Saya berharap mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka?

Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular.

Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM, kedua, peratus kegagalan BM, ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM, keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu.

Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan Kementerian Pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan SJKC.

Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar?

Simplistik

Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu.

Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?

Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah.

Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.

Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing.

Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu.

Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman. Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Selasa, Disember 02, 2008

DAP, MIC, MCA dan GERAKAN : ambil tindakan ke atas Mukhriz

1 Komen!!!
Kemaskini DAP, MIC, MCA dan GERAKAN meminta supaya Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap Mukhriz Tun Mahthir di atas cadanganya untuk menutup sekolah Vernakular.

Presiden MIC mendakwa bahawa Mukhriz telah melanggar Perlembagaan Negara yang membenarkan hak kaum lain mempunyai aliran sistem pendidikannya sendiri. Walaupun hampir 99% negara di dunia ini hanya mempunyai satu aliran sistem pendidikan kebangsaan sahaja.

Presiden MIC juga mendakwa bahawa mukhriz telah membangkitkan isu sensitif demi untuk berkempen dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan datang.

Beliau mengatakan “He can contest the UMNO Youth chief post but he should not point a dagger at the hearts of the other communities to win the post,” he said, adding that the MIC had never questioned the rights of the Malays as enshrined in the Constitution.

“I am surprised by his statement. Even the great leader Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz’s father who was prime minister for 22 years, strictly adhered to the Federal Constitution and provided assistance to vernacular schools,” he said.

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang pula berkata, sejak pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1971, seseorang yang mencadangkan penutupan sekolah vernakular pernah dikenakan tindakan seperti Utusan Malaysia pada tahun itu.

mukhriz tamil school chinese schoolAhli parlimen Sabah, Mark Koding pernah didapati bersalah menghasut apabila membangkitkan saranan menutup sekolah Cina dan Tamil di Dewan Rakyat pada 1978.

Pindaan itu meletakkan kesalahan tersebut bawah Seksyenn 3(f) Akta Hasutan.

Lim menambah, jika wujud kemerdekaan sistem pentadbiran keadilan di negara, Mukhriz boleh didakwa menghasut dan jika didapati bersalah, beliau boleh dilucutkan keanggotaannya di Dewan Rakyat jika didenda RM2,000 atau dipenjara setahun.

Pemuda DAP Pulau Pinang dipercayai akan membuat laporan polis hari ini berhubung kenyataan kontroversi Mukhriz di Parlimen semalam.

Sementara itu MCA menganggap kenyataan anak mantan perdana menteri itu Tun Dr Mahathir Mohamad demi menguatkan kedudukannya menjelang pemilihan Pemuda Umno, Mac depan

Pemuda DAP Pulau Pinang dipercayai akan membuat laporan polis hari ini berhubung kenyataan kontroversi Mukhriz di Parlimen semalam.

Sementara itu MCA menganggap kenyataan anak mantan perdana menteri itu Tun Dr Mahathir Mohamad demi menguatkan kedudukannya menjelang pemilihan Pemuda Umno, Mac depan

Kita nampak sekarang bagaimana kaum lain terus sahaja melenting jika menyentuh hak mereka.... Apatah lagi kalau hak tersebut telah tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun niat Mukhriz itu baik demi memantap dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini... Namun dari kesimpulan yang boleh diambil dari kata Presiden MIC itu, jika mana-mana kaum di negara ini tidak mempertikaikan hak kaum lain apa perlunya sekolah satu sistem?

Malangnya terdapat segelintir orang Melayu yang ingin menjual 'bangsanya sendiri'.. pelik bukan... Sedangkan orang Melayu tidak pernah pun mempertikaikan hak kaum-kaum lain.. tetapi hak Melayu diperdagangkan demi mendapatkan undi kaum lain... walaupun kaum Melayu sekarang dihina dan dipijak mereka bergelak gembira dan tersenyum,.... salahkan orang melayu mempertahankan tanah airnya sendiri iaitu tanah asal anak Melayu sekarang ini.. ataupun tanah ini bukan lagi milik Melayu? Salahkan orang Melayu membantu orang Melayu yang masih memerlukan bantuan...

Artikel berkaitan :
Mukhriz: Implement Single Structure In School To Enhance Unity
DAP: Dakwa Mukhriz menghasut

Kongsi Link Anda