Popular Today

Memaparkan catatan dengan label Tun Mahathir. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tun Mahathir. Papar semua catatan

Isnin, Februari 27, 2012

Tun Mahathir bidas Anwar kerana bermuka-muka mengenai isu Israel

0 Komen!!!
1. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato Seri Anwar merupakan percubaan untuk mengalih perhatian terhadap pendiriannya iaitu, “Saya sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel” (I support all efforts to protect the security of the State of Israel) kepada soal pengiktirafan negara itu.

2. Israel telah mengambil sikap bahawa untuk keselamatan negara, ia akan mengganas lebih daripada pengganas (out terrorise the terrorists). Sebab itu kita lihat tindakan Israel apabila menuduh pihak Palestin melaku keganasan kepadanya, ialah dengan serangan yang keterlaluan.

3. Demikian kerana kononnya Israel diserang oleh puak Palestin, Israel melancar serangan yang dahsyat supaya penduduk Jenin sebuah bandar kecil Palestin terbunuh beramai-ramai dan bangunan-bangunan diroboh semasa penduduk-penduduk masih ada dalam ruman dan bangunan. Penduduk Jenin yang terdiri daripada orang awam, lelaki, perempuan, tua dan muda termasuk kanak-kanak di bunuh. Ini adalah balasan Israel untuk kepentingan sekuritinya.

4. Demikian juga di Gaza. Demi sekuriti bagi Israel, tenteranya telah melanggar masuk Gaza, membunuh lebih daripada seribu orang Palestin, menghancurkan hospital, sekolah dan ruman-rumah kediaman. Bekalan air dan api di hancurkan.

5. Kemudian walaupun atas desakan masyarakat antarabangsa tentera Israel berundur, tetapi sekatan diadakan supaya tidak ada bekalan makan dan ubat-ubatan yang dapat masuk Gaza. Bangunan-bangunan yang telah roboh akibat bedilan tentera Israel tidak dapat dibaiki kerana bahan-bahan binaan dihalang oleh Israel daripada dibawa masuk Gaza.

6. Penduduk yang rumah mereka telah dimusnah terpaksa tinggal dalam khemah atau rumah yang tidak berbumbung atau dinding. Di musim sejuk mereka menggigil kesejukan. Yang tua dan anak kecil boleh mati kerana kesejukkan.

7. Walaupun sudah undur dari Gaza bedilan roket dan meriam diadakan hampir setiap hari.

8. Apabila Malaysia dan Turki membawa barangan makanan, ubat-ubatan dan bahan binaan dengan kapal, tentera Israel menyerang kapal MV Marmara di perairan antarabangsa dan membunuh sembilan orang Turki yang tidak bersenjata.

9. Sekatan yang dibuat oleh Israel tidak sah dari segi undang-undang antarabangsa. Sudah tentu serangan dan pembunuhan orang awam yang sedang mengerjakan kerja kebajikan adalah salah dari segi undang- undang antarabangsa. Namun Israel tidak sedikit pun mengaku bersalah dan Amerika menyokong Israel dengan pendirian dan perbuatannya.

10. Kenapakah semua ini dilakukan. Israel mendakwa bahawa mereka sedang mempertahan keselamatan atau sekuriti negara mereka.

11. Israel memasuk dalam tahanan beribu rakyat Palestin tanpa sebab dan tanpa bicara. Tujuannya ialah supaya jika seorang dari askar Israel ditawan oleh rakyat Palestin, maka Israel akan menebus rakyatnya dengan melepaskan 500 orang tahanan.

12. Israel tidak memperdulikan garisan sempadan yang ditentukan oleh masyarakat antarabangsa. Sebaliknya Israel menawan lebih banyak wilayah Palestin dan dengan angkuhnya mendiri perumahan bagi rakyatnya di wilayah Palestin. Jalan dibina dalam kawasan Palestin yang orang Palestin tidak dibenar menggunanya.

Baca selanjutnya di blog chedet

Sabtu, Disember 04, 2010

Ekonomi : Ini baru tuan penasihat...

1 Komen!!!
Ada orang tu, masa mula dilantik sebagai penasihat ekonomi dilihatkan sebagai seorang yang hebat...

Namun yang paling hebat.. rakyat tidak pernah dengar dia apa bendanya yang mamat Aljuburi nasihat... tapi nak jadi tuan penasihat.. dengan kata lain mamat ni memang gila jawatan dan gelaran.. tapi kerja tak reti buat pun..

Tapi beza dengan musuh mamat ni.. dia ni takpun dilantik sebagai penasihat ekonomi.. tapi banyak nasihat yang telah diberikan.. sebab tu dia ni.. berjaya megharungi krisis ekonomi masa tahun 1998 dahulu.

Yang dimaksudkan ialah Tun Dr Mahathir, sebagai orang muda pastinya tertarik dengan pemikiran analitikal Tun Mahathir.. walaupun umur dah cecah lebih 80 tahun.. namun alhamdulillah masih diberi kesihatan dan mampu memberi nasihat yang baik kepada rakyat dan negara.

Cuba lihat bagaimana Tun mengingatkan kerajaan mengenai negara akan mengalami gelembung aset berikutan banyak bangunan dan rumah-rumah yang tidak dibeli atau disewa sekitar Kuala Lumpur [klik sini].

Kesannya adalah pemaju kepada bangunan dan rumah-rumah itu sudah tentu tidak memperoleh pendapatan bagi membayar balik pinjaman bank. Apabila keadaan itu berlaku, bank akan menghadapi beberapa kes pinjaman tidak berbayar dan keadaan serupa telah berlaku di Hong Kong, Jepun dan Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Sekiranya peminjam tidak mampu membayar balik, bank terlibat akan menjadi muflis dan kesannya turut akan dirasai oleh rakyat,”

Inilah yang dinamakan penasihat ekonomi... boleh memberi analisis keadaan ekonomi semasa.. bukanlah merapu macam si Aljuburi tu...

Penasihat Ekonomi sepatutnya bertindak menjadi ekonomi negara dan rakyat lebih mantap.. bukan buat pelabur asing lari.. mana tak lari.. kalau pergi ke luar negara bukan atas alasan cari pelabur.. tapi tak habis-habis berpolitiking untuk diri sendiri.. tak ke membazir duit rakyat sahaja...

Patutnya Anwar letak jawatan sahaja sebagai penasihat ekonomi... pelantikan beliau sikitpun tak membantu membawa pelabur masuk ke dalam negara...

Jumaat, Oktober 08, 2010

Terkini : Dr Mahathir berlepas pulang tengah hari ini

3 Komen!!!
MELBOURNE 8 Okt. — Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual pulang ke Kuala Lumpur tengah hari ini dengan menaiki sebuah pesawat khas.

Pesawat berkenaan dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Tullamarine di sini kira-kira 3 petang (1 tengah hari waktu Malaysia).

Dr Mahathir dimasukkan ke Hospital Epworth di sini Sabtu lepas kerana jangkitan di dada.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada Selasa dan kemudiannya berehat di sebuah hotel di sini.

Bekas Perdana Menteri, yang diiringi isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dijadual berucap kepada pelajar Malaysia dalam sebuah bengkel di sini pada Sabtu namun dibatalkan selepas beliau sakit.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Dr Mahathir pada seminar itu.

Seorang pembantu kepada Dr Mahathir, ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau akan pulang ke tanah air lewat hari ini. — Bernama

Selasa, Oktober 05, 2010

Tun Dr. Mahathir keluar hospital

0 Komen!!!
MELBOURNE Australia 5 Okt. — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Hospital Epworth di Melbourne pagi ini.

Beliau dimasukkan ke hospital itu sejak Sabtu lalu akibat jangkitan kuman.

Menurut seorang jurucakap hospital, Dr. Mahathir keluar dari hospital dengan semangat yang tinggi.

Beliau telah berada di hotel penginapannya dan akan kembali ke tanah air minggu ini. -Bernama

Rabu, Oktober 21, 2009

Saman Anwar terhadap Dr M ditolak

1 Komen!!!
Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah RM100 juta terhadap mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hakim Datuk Abdul Malik Ishak yang mengetuai panel tiga hakim yang mendengar kes tersebut membenarkan permohonan peguam Datuk VK Lingam yang mewakili Dr Mahathir, untuk menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal. Dua lagi hakim ialah Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad.

Abdul Malik juga berkata, ia keputusan sebulat suara serta mengarahkan Anwar membayar kos.

Sebab teknikal tersebut ialah peguam Anwar tidak menyediakan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Malaysia.

Lingam juga berhujah bahawa peguam Anwar juga tidak menandatangani memorandum tersebut dan oleh itu, ianya menjadi cacat.

Dengan keputusan hari ini, maka rayuan Anwar tidak akan didengar pada 2 November seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Anwar telah menyaman fitnah matan perdana menteri itu berhubung kenyataan yang dibuatnya di satu sidang akhbar Suhakam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan saman Anwar itu pada Julai 2007 tanpa mendengar merit kes tersebut dan begitu dengan rayuan hari ini.

Sumber: Malaysiakini

Sabtu, April 04, 2009

Maklumat terkini ceramah Tun Mahathir di Bukit Gantang! (Updated)

2 Komen!!!
kemaskini 12.20 tgh : Tun Mahathir sah telah serahkan borang kemasukan UMNO kepada DS Najib di Putrajaya mulai hari ini!


"DO WE NEED A STRONG GOVERNMENT?"

Yes We Do! .... Bukit Gantang Voters







Nampaknya penantian untuk rakyat Perak mendengar ceramah Tun Mahathir akan tercapai pada hari Isnin ini.

Kepada semua pengundi Bukit Gantang khasnya dan rakyat Perak amnya....
jom kita ramai-ramai pakat dengar ceramah Tun Mahathir!

Kemenangan Insya Allah milik BN! Undilah BN..

Hidup BN!, Hidup UMNO!.... 1 Malaysia!, Bangsa Malaysia Bersatu!

UMNO, Melayu dan Islam Sehati Sejiwa! 

Isnin, Mac 23, 2009

Pakatan Rakyat lebih merbahaya dari Malayan Union ? - Dr Mahathir

2 Komen!!!
Agaknya itulah yang Tun mahathir mahu sampaikan apabila beliau menyebut keadaan Melayu hari ini lebih merbahaya dari Malayan Union

Katanya pada masa itu orang Melayu boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh mereka sebagai racist.

“British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum lain yang berhak membuat apa-apa perjanjian.”katanya.

Dalam ucaputamanya di perhimpunan dan sidang kemuncak Pribumi Perkasa Negara di Kuala Lumpur Ahad beliau berkata sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

Menurut Dr Mahathir negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India.

“Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai.

“Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja,”katanya.

Pkatan Rakyat umumnya dan DAP khasnya patut dilabelkan racist/ perkauman kerana menghasut kaum Cina takutkan kepada UMNO, menabur pelbagai fitnah dan tohmahan kepada UMNO supaya kaum Cina membenci UMNO. sebab itu mereka kini lebih bahaya dari Malayan Union..

Ahad, Mac 22, 2009

Ucapan Tun Dr. Mahathir Di Perhimpunan Dan Sidang kemuncak Pribumi Perkasa Negara

4 Komen!!!
1. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada penganjur perhimpunan ini kerana menjemput saya dan memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada hadirin.

2. Saya yakin ramai daripada kita yang hadir, terutamanya orang Melayu dan bumiputra lain, hadir kerana kita berasa kita berada dalam keadaan cemas, keadaan yang merbahaya, keadaan terancam.

3. Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak.

4. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang.

5. Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan.

6. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain.

7. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar Ekonomi Baru lagi.

8. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.

9. Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain.

10. Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan ini Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist. Malays harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Mereka juga boleh tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walaupun kesalahan dilaku oleh orang lain.

11. Demikianlah situasi yang mereka hadapi sehingga mereka berasa mereka bersalah, tergamam dan tak dapat berkata apa-apa.

12. Keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum laim yang berhak membuat apa-apa perjanjian.


13. Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India. Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu saja. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja.


14. Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.

15. Namun saya memberanikan diri untuk bercakap sedikit berkenaan orang Melayu di Malaysia walaupun akan dituduh sebagai racist. Saya beranikan diri kerana sesungguhnya orang Melayu berada dalam keadaan cemas, dilanda oleh bermacam-macam masalah dan ancaman. Jika orang Melayu tidak dibenar bercakap berkenaan masalah mereka, maka mereka mungkin jadi kaum yang terlucut hak (dispossessed) di negara mereka sendiri. Bahaya ini benar kerana kita sudah lihat tekanan dan kehinaan terhadap bangsa kita apabila mereka dijadikan bangsa minoriti di wilayah yang dahulu adalah sebahagian daripada negeri-negeri Melayu.

16. Keadaan ini boleh berlaku kepada orang Melayu bukan sahaja kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu sendiri. Mereka suka membinasakan diri mereka.

17. Mereka tidak mahu merebut peluang yang disedia bagi mereka. Tempat di universiti tidak diambil. Peluang perniagaan diselewengkan. Belia Melayu tidak ingin belajar, lebih berminat dengan melepak atau jadi Mat Rempit.

18. Majoriti daripada rakyat Malaysia yang terlibat dengan dadah terdiri daripada orang Melayu, yang mendapat penyakit HIV Aids kebanyakan adalah Melayu, kes rogol dan jenayah lain juga ramai orang Melayu.

19. Yang gagal dalam perniagaan juga Melayu, tidak bayar hutang Melayu, tak selesaikan kontrak juga Melayu.

20. Gejala jualan AP pun melibatkan Melayu.

21. Kita tak suka dengar semua ini. Kita malu. Tetapi jika tidak disuarakan masalah tidak akan hilang dengan sendirinya. Orang lain tahu juga. Lebih baik malu jika kita dapat sedarkan beberapa kerat daripada kita dan mereka mengubah tabiat supaya tidak melakukan yang salah lagi.. Tak mungkin kita dapat sedarkan semua.
22. Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya dalam jangkamasa 20 tahun kita akan dapat bahagian kita sebanyak 30%. Tetapi sekarang sudah hampir 40 tahun. 20% yang dikatakan kita dapat pun dapat kerana badan-badan yang mewakili Melayu, bukan orang Melayu sendiri. Kita hendak supaya DEB diteruskan. Apa gunanya jika kita tidak mahu guna peluang yang diwujudkan? Apakah kita mahu DEB kerana nak jual AP, kontrak, lesen dan sebagainya? Lebih baik DEB tidak diteruskan dan kita tidak dapat selewengkannya. Sekurang-kurangnya kita tak akan malu kerana pelbagai ejekan yang akan dibuat kepada kita.

23. Kita bernasib baik kerana dalam bidang politk kita cekap, kita kuat, kita dapat menguasai Kerajaan selama 50 tahun. Walaupun Melayu berpecah kepada beberapa parti, bermusuh sesama sendiri, tetapi majoriti Melayu masih dapat kekalkan kuasa mereka. Mereka dihormati dan disegani.

24. Tetapi itu pun sudah terlepas daripada genggaman kita. Sekarang kita tidak kuat lagi. Parti Melayu yang terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12. Parti Melayu yang menangpun berada dalam ketakutan jika parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang tidak lagi hormat kita. Apa sahaja yang dituntut orang lain, baik yang menang, baik yang kalah akan kita layan. Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap sikit kita minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu.

25. Sesungguhnya pemimpin kita yang perjuangkan kemerdekaan, yang menebus maruah kita sudah kita khianati. Mereka berjuang bermati-matian supaya kita hidup bahagia. Mereka korbankan apa sahaja yang ada pada mereka. Pemimpin Melayu hari ini, pengikut –pengikut mereka tidak tahu mengenang budi. Mereka khianati pejuang-pejuang dahulu dengan melupakan perjuangan asal kerana utamakan kepentingan diri sendiri. Biar bangsa hancur asalkan dapat kemenangan bagi diri sendiri, dapat jadi Menteri, Perdana Menteri, dapat kontrak, dapat duit.

26. Kononnya nak jadi Perdana Menteri termuda. Bukan nak majukan bangsa dan negara, hanya jawatan tertinggi untuk diri sendiri seawal mungkin. Dengan apa cara sekalipun, halal atau haram, tak mengapa asalkan boleh jadi Perdana Menteri termuda.

27. Jika kita sudah sanggup jual bangsa kita, kita jual untuk dapat duit sedikit, untuk jawatan kecil dan besar, untuk isi temolok kita, alamatnya apa? Yang dikejar tidak akan dapat, yang dikilik akan berciciran. Lepas itu kita tidak ada apa-apa yang boleh diraih lagi. Semuanya akan dikuasai orang. Pada masa itu kita jadi hamba sahaja, kita akan meminta-minta sepanjang masa.

28. Ada pula yang dibawah bertanya, orang yang mereka sokong dapat jadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar – dapat kereta, dipanggil Yang Berhormat, elaun besar, terbang sana, terbang sini.

29. Kita dapat apa? Duduk di takuk tu juga. Lebih baik kita ambil sedikit bagi diri kita, sementara ada peluang.

30. Salahkah kalau kita terima duit sedikit? Mungkin kita tidak undi orang yang menyogok. Dia bukan tahu. Tetapi Tuhan tahu. Kamu membuat sesuatu yang haram. Kamu bukan sahaja jual bangsa. Kamu menolak agama kamu yang melarang, yang mengharamkan perbuatan kamu. Kamu berdosa.

31. Tapi tak mengapa. Masih muda, tak akan mati lagi. Bila dekat nak mati pakai kopiah putih dan sembahyang kuat-kuat.

32. Tetapi yang haram, haram juga. Kalau makan daging babi haram, makan duit rasuah lebih haram, kerana ia akan binasakan bukan kita sahaja, tetapi kaum bangsa kita yang semuanya beragama Islam.

33. Pengundi salah, samada undi penyogok atau tidak. Salah kerana sudah terima jenayah rasuah sebagai budaya kamu. Apabila rasuah dibudayakan, percayalah bangsa dan negara mungkin dijajah oleh penyogok secara langsung atau tidak langsung. Bangsa akan dihina oleh dunia, akan dipandang rendah, akan dipermainkan orang. Akhirnya yang makan suap, mereka sendiri akan jadi mangsa, mereka sendiri akan terpaksa hulur untuk mendapat apa yang sebenarnya hak mereka. Inilah nasib bangsa yang menjadikan rasuah sebagai budaya biasa.

34. Sesungguhnya Melayu mudah lupa. Kita lupa betapa kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap berkenaan ketuanan Melayu. Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta orang, tukang masak orang.

35. Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba, dianggap tidak layak mentadbir negara sendiri, tidak layak merdeka.

36. Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negara-negara jiran yang lebih kuat.

37. Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk dipersembahkan kepada negara penaung-penaung kita.

38. Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk membukti kesetiaan diri dan negeri kepada negara penanung.

39. Kata orang Kedah “Terkerempun-kerempun” apabila berhadapan dengan orang asing. Mungkin ramai yang tidak faham. Tanyalah orang Kedah. Itulah “body language” kita dahulu walaupun hari ini ada juga, tetapi pada Raja yang tak bertakhta.

40. Saya biasa lihat seorang orang tua Melayu berbasikal di tendang jatuh oleh askar Siam semasa Kedah diberi kepada Siam oleh Jepun. Kesalahan orang tua ini ialah kerana tidak berhenti dan menghormati lagu kebangsaan Siam.

41. Saya biasa lihat orang Melayu ditempeleng dan disuruh panjat pohon kelapa seperti kera oleh Jepun. Inilah nasib orang yang tidak merdeka, tidak memerintah negara sendiri. Boleh ditendang, boleh ditempeleng.

42. Dan yang lihat diam sahaja, tak dapat buat apa-apa, termasuk saya. Dalam kehinaan ini muncul kesedaran dan semangat untuk menebus balik maruah bangsa. Dan bergabunglah orang Melayu untuk menangkis rancangan Malayan Union British, untuk mengekalkan perhambaan orang Melayu. Tidak siapa yang bertanya “apa yang saya akan dapat bagi diri saya” pada ketika itu. Yang kita tumpukan ialah untuk membebaskan bangsa dan negara daripada dijajah dan dihina. Kalau dalam proses ini kita terkorban, atau kita berada seperti biasa, itu tidak mengapa. Yang kita utamakan ialah maruah bangsa kita, tidak lagi akan ditendang, tidak lagi akan ditempeleng – tetapi akan dihormati oleh kawan dan lawan.

43. Sekarang kita merdeka. Perjuangan pengasas negara telah berjaya. Kita tidak akan ditendang dan ditempeleng lagi. Kita bebas daripada kehinaan. Memang pun keadaan terhormat ini sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Bagi ramai dari kita ia datang bergolek. Ia datang melayang. Ia tidak akan dipisah dari kita.

44. Perjuangan orang dahulu adalah perkara lama, tidak perlu diingati. Yang jelas kita sudah merdeka, dapat pelajaran dan kaya sedikit. Soal tendang, tempeleng, itu cerita lama. Pepatah Melayu berkata sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Apa pun kita buat merdeka tetap merdeka. Sekarang ialah masa untuk kita “enjoy”. Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita.

45. Apa dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya? Bukankah kita sudah berjaya? Hendak semangat buat apa lagi? Masuk parti untuk apa? Perjuangan sudah selesai dengan jayanya.

46. Tidak bermakna masuk parti jika tidak dapat sesuatu bagi diri sendiri. Kita sokong orang dapat jadi Yang Berhormat, jadi Menteri, dapat peluang raih duit kerajaan dan lain-lain. Kita tak bolehkah dapat sikit bagi diri kita?

47. Tetapi benarkah kita akan merdeka selama-lamanya? Memang benar. Walaupun kita tidak buat apa-apa untuk mengekalkan kemerdekaan, bukankah sudah 50 tahun kita merdeka? Apa yang hendak dikhuatirkan? Lima puluh tahun, 100 tahun lagi pun kita akan merdeka walau apa pun kita lakukan. Takkanlah kerana kita ambil 100 Ringgit duit sogokan maka akan hilanglah kemerdekaan kita? Kita boleh sembahyang hajat dan terima 100 Ringgit lagi. Orang lain terima lebih daripada kita., katanya satu juta. Masih kita merdeka. Tidak benar kerana sedikit rasuah kemerdekaan akan hilang.

48. Tetapi ingatlah penjajahan tidak selalu berbentuk penaklukan secara langsung. Penjajahan boleh berlaku walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia boleh berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi kuasa oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang lain, samada dari dalam negeri atau dari luar. Atau takut jiran marah.

49. Pemerintah yang mengikut telunjuk orang lain bukan bebas lagi. Pemerintah yang menjadi pemerintah melalui rasuah akan benar diri mereka disogok kerana perlu mendapat kewangan yang cukup untuk membeli sokongan lagi supaya kedudukan mereka sebagai pemerintah akan kekal.

50. Untuk mendapat sogokan yang cukup mereka akan sanggup ikut arahan penyogok. Dengan perkataan lain mereka akan jadi alat pada penyogok.

51. Kepentingan penyogok tidak sama dengan kepentingan kita, atau kepentingan bangsa dan negara.

52. Kita sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai pemerintah, ada yang sanggup layan apa sahaja arahan, tuntutan, desakan oleh pihak yang menentukan jawatan bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan orang Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan, walaupun sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak berkuasa pun.

53. Jika kita terjemah keadaan ini kepada jawatan yang didapati kerana disogok apakah yang tidak sanggup kita buat? Jual bangsa, jual negara pun kita sanggup.

54. Apabila kita sudah jual bangsa dan negara apakah kita merdeka lagi? Sudah tentu tidak.

55. Justeru itu tidak benar kepercayaan kita bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka. Pada permukaannya kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita sudah kembali dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu.

56. Itulah kenyataan yang sebenar.

57. Melayu mudah lupa. Kata seorang ahli falsafah; “Mereka yang lupa akan sejarah mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.

58. Inilah hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan kita tidak suka diperingati akan sejarah kita. Apa kena-mengena peristiwa 50 tahun dahulu? Apa kena-mengena dengan kita akan kemiskinan Melayu, dengan kedaifan mereka dalam bidang ilmu dan profesyen di masa dahulu? Itu dahulu, ini sekarang. Sudah tentu sejarah penjajahan kita dahulu tidak ada kena mengena dengan keadaan kita sekarang. Tidak ada pelajaran yang akan kita dapati daripada sejarah 100, 500 tahun dahulu. Itu semua cerita dongeng.

59. Apa yang kita lakukan sekarang, kita lakukan kerana kita sudah merdeka dan selamat. Buatlah apa pun kita tetap selamat, tetap merdeka.

60. Jadi penagih dadah, jadi pelepak, jadi “Mat Rempit”, jadi penjenayah pun tak mengapa.

61. Bukankah kita yang memilih dan membentuk Kerajaan? Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kita. Jika kerana amalan buruk kita, sesuatu yang tidak baik menimpa kita, bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan pilihan kita untuk menyelamatkan kita?

62. Jika kita diserang orang bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan yang kita pilih untuk menangkis serangan ini?

63. Jika kerana Kerajaan yang kita pilih terdiri daripada orang yang sogok duit pada kita dan mereka pula disogok oleh orang lain dan mereka berasa lebih terikat kepada yang menyogok mereka dan kurang bertanggungjawab kepada kita kerana sokongan kita mereka dapati kerana kita terima sogokan, apakah yang dapat kita buat? Tak banyak. Hanya menerima sahaja.

64. Akan menjadi lebih buruklah nasib kita sepanjang masa.

65. Hakikat yang sebenar ialah sokongan kita, undi kita yang kita jual tidak lagi mengikat mereka yang kita pilih untuk jadi Kerajaan.

66. Mereka akan anggap balasan kepada sokongan kita sudah pun dibuat melalui wang sogokan daripada mereka.

67. Sesungguhnya nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib ini tidak baik kitalah yang harus berusaha untuk memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman yang Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya.

68. Apakah kita sedang berusaha untuk memperbaiki nasib kita? Tidak ternampak satu pun usaha ke arah ini. Yang kita lihat ialah perbuatan merosakkan lagi keadaan nasib yang sudah buruk ini.

69. Kita tahu yang kita lakukan bukan untuk memperbaiki keadaan. Tetapi kita lakukan juga untuk kepentingan semasa kita. Masa depan soal lain.

70. Pejuang-pejuang kemerdekaan telah pilih demokrasi sebagai cara kita memerintah. Kenapa?

71. Sebabnya ialah kerana mereka percaya majoriti daripada rakyat tentulah bijak dalam amalan mereka, tentulah tahu antara yang baik dengan yang buruk, tentulah bijak semasa membuat pilihan.

72. Pengasas kemerdekaan percaya majorti akan tahu pilih apa yang baik bagi mereka. Sudah tentu mereka akan menolak orang yang hanya bergantung kepada sogokan untuk dipilih.

73. Tetapi mereka tidak sangka pewaris mereka, sebilangan yang tidak kecil akan tolak kebaikan dan mengutamakan sogokan untuk menentukan siapa akan memerintah mereka.

74. Pejuang kemerdekaan yang sedar betapa sukarnya bagi orang Melayu mendapat peluang dan bantuan dahulu dan dengan kerana itu Melayu tidak berjaya.

75. Dengan kesedaran ini mereka merangka untuk mengadakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada bangsa mereka supaya bangsa mereka boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain, bahkan dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka percaya semua peluang dan sokongan akan direbut oleh pewaris daripada bangsa mereka.

76. Ya, mereka ini kebanyakan sudah tidak ada, sudah tinggal kita. Tetapi jika mereka ada apakah perasaan mereka? Tentulah mereka akan kecewa dan hampa amat sangat kerana segala-gala yang mereka ilhamkan sudah dipermainkan oleh pewaris mereka, tidak dihargai oleh pewaris mereka.

77. Mereka melihat bagaimana peluang dan bantuan disalahgunakan atau ditolak dengan begitu sahaja. Sepatutnya dengan peluang belajar di semua peringkat bangsa mereka sudah jadi bangsa yang berilmu. Dengan peluang berniaga mereka sudah jadi kaya, atau sekurang-kurangnya tidak miskin.

78. Tetapi tidak. Peluang bukan sahaja tidak direbut tetapi peluang digunakan secara yang boleh merosakkan bangsa. Mereka lepak, mereka jadi Mat Rempit, yang lakukan jenayah yang kadang-kadang menyebabkan kematian mangsa mereka.

79. Diberi peluang berniaga, diberi modal, diberi latihan tetapi kerana ingin kaya cepat mereka memperdagangkan peluang, kontrak, lesen, permit dan sebagainya.

80. Modal mereka guna untuk belanja bagi memenuhi nafsu, hutang mereka tidak dibayar. Kerana kelakuan beberapa daripada mereka, bangsa mereka dicap sebagai bangsa yang tidak beramanah, dan tidak boleh dilayan, tidak boleh diharap dengan duit ringgit.

81. Dan banyaklah lagi perbuatan mereka yang tetap mengecewakan pejuang bangsa dahulu.

82. Kata mereka, jangan buka pekong di dada.

83. Malu kata mereka.

84. Tetapi tidakkah lebih malu apabila mereka lakukan apa yang telah saya sebutkan. Tak buka pekong pun busuk juga. Biarlah pekong di dada dibuka supaya kerana bau terlalu busuk kita akan cuba melepaskan diri daripadanya. Jika tidak ia akan menjadi lebih busuk di dalam dan akan bunuh kita.

85. Semua yang disebut ini menjadi pengkhianatan kepada pejuang bangsa dahulu. Kerosakan kerana ini lambat laun akan merosakkan masa depan kita.
86. Tetapi yang terdahsyat diantara amalan buruk kita ialah rasuah, terutama rasuah politik. Politiklah yang dapat memberi kuasa walaupun pada yang lemah dan miskin. Politik kita sewaktu perjuangan untuk kemerdekaan berjaya memberi kekuatan kepada Melayu sehingga mereka yang daif ini dapat mengalahkan kuasa besar dunia. Hanya dengan bersatu dan bertindak bersama, hanya dengan pendirian yang tegas kelemahan dapat diatasi dan kejayaan dicapai. Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib.

87. Selagi ada kuasa ini kepada kita, percayalah kita akan dapat pulih segala-galanya, kita akan dapat mengatasi kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan kita.

88. Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib kita demikian sehingga kita dianggap sebagai contoh kepada bangsa-bangsa lain di dunia.

89. Bandingkan negara kita 50 tahun dahulu di waktu kita mencapai kemerdekaan dan negara kita sekarang. Negara dagang yang ke-17 terbesar di dunia. Kemiskinan dikurangkan daripada 70 peratus kepada lima peratus. Bandar sebesar bandar di negara maju, penuh dengan pencakar langit. Bekalan air, api dan kenderaan yang terkini.

90. Pendapatan per kapita yang 20 kali lebih tinggi dari 50 tahun dahulu dan lain-lain.

91. Semua ini adalah hasil kuasa politik semata-mata. Kerana kuasa politik, negara berbilang kaum, ugama, budaya dan bahasa dapat distabilkan. Dan sesungguhnya kita sudah dapat berdiri hampir sama tinggi dengan kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain.

92. Tetapi sekarang kita lakukan perbuatan untuk menghakis dan menghapus kuasa politik kita.

93. Kerana wang yang sedikit, kerana 100-200 Ringgit kita jual kuasa politik, kita serah nasib kita kepada perasuah, perasuah yang akan jual bangsa dan negara.

94. Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik terlucut daripada kita? Apakah kita akan terus merdeka? Saya fikir tidak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

95. Perhimpunan Melayu hari ini memang menjadi hak bagi kita kerana kita menghadapi masalah-masalah yang besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah.

96. Kita semua berasa cemas. Di mana-mana sahaja orang Melayu sedang berhimpun untuk membincang masalah mereka, kecemasan yang mereka rasai.

97. Jika pada hari ini kita dapat menyedarkan akan musibah yang sedang dan akan timpa keatas kita, jika kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak keras terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah ini, jika kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi ancaman terhadap kita yang terbesar sekali, maka ralatlah perhimpunan ini, berjayalah perhimpunan ini.

98. Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan kita sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita tegas dan tidak membenarkan mereka.

99. Maju mundurnya bangsa kita terpulanglah kepada kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita melainkan kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

100. Oleh itu berusahalah mengubah nasib diri sendiri setelah kita berhimpun di sini untuk membincang masalah yang kita hadapi. Saya percaya perbincangan kita akan membuahkan pemikiran dan tindakan yang boleh menyelamatkan kita.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Khamis, Jun 26, 2008

Mahathir Tanya Sama Ada Kerajaan Akan Siasat Ian Chin

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan tribunal untuk menyiasat Hakim Ian Chin Hon Chong atas dakwaan melanggar kod etika hakim.

Bekas Perdana Menteri mendakwa Chin tidak mendedahkan bahawa terdapat laporan polis dibuat terhadapnya kerana mendengar kes yang beliau sendiri mempunyai kepentingan peribadi.

Dr Mahathir memberitahu sidang akhbar di pejabatnya di sini hari Khamis bahawa Chin telah mendengar satu kes melibatkan hartawan Sabah yang beliau (Chin) percaya bertanggungjawab terhadap penahanan bapa dan saudara lelakinya 20 tahun lepas.

Hartawan berkenaan pada masa itu ialah penasihat kepada Ketua Menteri Sabah pada ketika itu Tun Mustapha Harun.

Merujuk kepada dakwaan Chin bahawa hakim dihantar ke "kem pemulihan", Dr Mahathir berkata: "Kem pemulihan itu sebenarnya bukan kem pemulihan. Ia adalah Kursus Tatanegara yang telah dihadiri oelh beribu-ribu kakitangan awam, eksekutif perniagaan dan ahli politik tanpa sebarang rungutan."

Dr Mahathir juga mendakwa kenyataan Chin baru-baru ini kelihatan seperti beliau cuba mengampu kerajaan dengan memburuk-burukkan perdana menteri terdahulu.

Sementara itu, peguam Matthias Chang hari ini membuat laporan polis terhadap Chin berhubung dua kenyataannya yang dibuat secara terbuka di mahkamah di Sibu Sarawak iaitu menggunakan perkataan yang tidak wajar bagi seorang hakim dan kenyataan memfitnah terhadap Dr Mahathir.

"Saya berpendapat hakim ini telah melakukan perbuatan menghina mahkamah berikutan perbuatannya itu telah mencemarkan mahkamah dan menyebabkan badan kehakiman dipertikaikan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

Selasa, Jun 17, 2008

TDM - tiada pertandingan kerusi Presiden UMNO

0 Komen!!!
Menurut TDM bahawa tiada pertandingan kerusi Presiden UMNO pada pemilihan yang akan datang.

Manurut beliau, nampaknya kompromi antara Pak Lah dan Najib menyebabkan tiada pertandingan. Katanya di dalam blog beliau :"Sesungguhnya dengan pengisytiharan persefahaman antara dirinya dengan Dato Seri Najib, Dato Seri Abdullah telah berjaya mematahkan segala cabaran terhadap dirinya. Disember ini Dato Seri Abdullah tetap menang tanpa bertanding".

Jumaat, Jun 06, 2008

Dr M: K'jaan mampu kekal subsidi

0 Komen!!!
Syed Jaymal Zahiid | Jun 5, 08 8:59pm
Berdasarkan kepada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat minyak negara, Petronas, kerajaan sebenarnya mampu untuk mengekalkan subsidi bahan bakar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan perdana menteri itu yang juga penasihat Petronas menulis dalam blognya hari ini bahawa langkah mengurangkan subsidi secara berperingkat adalah pilihan lebih baik memandangkan beban kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong dieksport, yang memberi pulangan RM27 juta.

"Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang.

"Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.

"Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan kerajaan," tambahnya.

Ekoran kenaikan harga tersebut, katanya, semua barangan pengguna yang lain, perkhidmatan dan barangan mewah, akan turut mengalami peningkatan harga.

Ini, katanya, akan disusuli oleh peningkatan kos sarahidup, akan tercetus inflasi dan taraf hidup rakyat akan menurun.

"Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat," katanya.

Apung ringgit

Dr Mahathir juga menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengapungkan ringgit sebagai satu keputusan yang tidak baik kerana kenaikan harga bahan api telah meningkatkan beban rakyat.

"Pertamanya, Kerajaan tidak patut mengapungkan Ringgit. Kadar apungan menyebabkan ketidak-tentuan nilai Ringgit dan kita tidak akan meraih apa-apa keuntungan daripada kekuatan Ringgit.

"Sudah tentu rakyat tidak menikmati peningkatan kuasa membeli walaupun terdapat peningkatan nilai Ringgit dari segi tukaran dengan Dollar Amerika," katanya.

Menjelas lebih lanjut mengenainya, Dr Mahathir berkata jika Kerajaan teruskan sistem tambatan kadar dan menaikkan nilai Ringgit pada kadar 10 peratus pada satu masa, kos import, dalam Ringgit boleh dipantau dan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Pada kadar kenaikan 20 peratus, kos import patutnya turun 20 peratus.

"Tetapi kita tahu harga barangan import dan perkhidmatan tidak kurang. Ini bermakna kita bayar 20 peratus lebih tinggi untuk import termasuk bagi bahan mentah dan komponen untuk industri," tambahnya.

K'jaan tunduk pada IMF

Kerajaan, dakwa Dr Mahathir, sebaliknya hendak turut Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, dengan mengapung Ringgit dan akibatnya, kekuatan Ringgit hanya meningkatkan kos export tanpa memberi sebarang keuntungan kepada rakyat menerusi kekurangan kos import.

"Ini bukanlah kecerdikan selepas sesuatu itu terjadi. Saya telah beritahu seorang menteri kerajaan supaya Ringgit tidak diapungkan tiga tahun lalu. Memanglah saya bukan pakar dan saya hanya tahu serba sedikit tentang rejim kewangan antarabangsa," tambahnya dalam nada sinis.

Dr Mahathir berkata, dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai Dollar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan.

"Malaysia juga akan terjejas kesan daripada semua masalah ini. Saya tertanya-tanya adakah Kerajaan bersedia untuk menghadapi semua ini," tulisnya.

Bagaimanapun, katanya, mesti mestilah ada cara untuk mengatasinya agar beban yang terpaksa ditanggung rakyat dapat dikurangkan.

"Saya harap yang kerajaan tidak akan melepaskan sahaja segala masalah ini kepada rakyat seperti yang digambarkan cadangan untuk menilai harga minyak setiap bulan," katanya.

Jumaat, Mei 23, 2008

Pengumuman Keluar Dari UMNO - Tun Mahathir

0 Komen!!!
Post asal www.chedet.com

Hari ini, Mei 19, 2008 saya mengumumkan keputusan saya untuk keluar daripada UMNO. Isteri saya turut bersama.

Keputusan ini dibuat kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuh 62 tahun dahulu yang berjuang untuk bangsa Melayu, Agama Islam dan Negara Malaysia (Malaya); UMNO yang menggagalkan Malayan Union, memperjuangkan kemerdekaan Malaya dan Malaysia dan membangunkan Malaysia sehingga menjadi Negara yang termaju di antara Negara membangun di dunia.

UMNO yang ada sekarang hanya wujud untuk menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, keluarganya dan tindakan serta dasar yang tidak secocok dengan kepentingan bangsa, agama dan negara.

Kepimpinan Dato Seri Abdullah jelas membawa kekalahan dan bencana kepada Barisan Nasional, UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Kemenangan UMNO di Sabah dan BN di Sarawak bukan kerana kepimpinan Dato Seri Abdullah.

Saya akan jelas satu persatu dasar-dasar dan tindakan Dato Seri Abdullah yang menjadikan Kerajaan pimpinannya dan parti BN dibenci oleh ahli-ahli parti komponen sendiri.

Walaupun sebelum perisytiharan ini saya adalah ahli UMNO tetapi sebenarnya selepas saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri saya tidak dilayan sebagai ahli UMNO.

Saya tidak dibenarkan berjumpa ahli UMNO dan ahli UMNO tidak dibenarkan hadir apa-apa perhimpunan di mana saya dijemput sebagai jurucakap atau penyampai ucapan.

Menteri-Menteri yang dahulu berada dalam Kabinet saya tidak dibenarkan atau tidak berani atau tidak mahu jumpa saya lagi.

Jemputan oleh UMNO dan bukan UMNO kepada saya diarah ditarik balik oleh Mneteri Besar dan Polis.

Ramai pemimpin UMNO melepaskan kata-kata kesat kepada saya dan ada yang menyuruh saya keluar daripada UMNO walaupun mereka baru sahaja masuk UMNO. Tidak ada pemimpin UMNO yang pertahankan saya secara terbuka.

Wakil ke Perhimpunan Agong tidak dibenarkan menyuara pendapat mereka. Mulut semua orang ditutup.

Yang didengar hanyalah media arus perdana yang memuji Dato Seri Abdullah sehingga dia percaya dia begitu popular dan akan sapu bersih parti lawan dalam pilihanraya umum ke-12.

Hasilnya ialah kekalahan yang teruk bagi Barisan Nasional. Malangnya mesej yang hendak disampaikan oleh pengundi dan penyokong BN tidak dapat difahami oleh Dato Seri Abdullah.

Dia masih berkata dia menang. Ini sukar diterima oleh orang Kedah, orang Pulau Pinang, orang Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Oleh kerana Dato Seri Abdullah buta mata dan pekak telinga dan tidak faham mesej ahli BN, oleh kerana ahli UMNO pun turut bersama, oleh kerana proses demokrasi tidak berjalan, oleh kerana UMNO yang ada sekarang bukan lagi UMNO yang ditubuhkan 62 tahun dahulu, saya berpendapat penyertaan saya sebagai ahli UMNO tidak bermakna dan tidak berguna lagi.

Justeru itu saya ingin umumkan bahawa saya sudah keluar daripada UMNO.

Saya ingin tegaskan bahawa saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan.

Saya akan pohon untuk masuk UMNO apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah berhenti daripada menjadi Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr Mahathir bin Mohamad (bekas ahli UMNO No 1)
Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali (bekas ahli UMNO No 2)

Dr M: Jangan libatkan Agong

0 Komen!!!
May 22, 08 7:19pm
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak perlu dilibatkan dalam usaha membantu menyelesaikan kemelut antara beliau dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Ini soal politik Umno, kita tak akan bawa kepada Agong," katanya apabila diminta mengulas mengenai cadangan itu oleh veteran Umno Tan Sri Aziz Tapa.

Abdul Aziz memberitahu Bernama bahawa kemelut antara dua pemimpin itu telah mencapai tahap yang memerlukan penglibatan Yang di-Pertuan Agong sebagai "orang tengah" untuk menyelesaikannya.

Veteran Umno itu berkata hanya menerusi campur tangan Tuanku Mizan sebagai wakil Raja-raja Melayu, kedua-dua pemimpin itu boleh duduk berbincang bagi mengatasi perselisihan pendapat antara mereka.

Menurut Bernama, Dr Mahathir, yang berada di Tokyo bagi menghadiri persidangan antarabangsa Nikkei, juga berkata beliau tidak ada halangan jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin menemui beliau.

Kemelut antara Dr Mahathir dan Abdullah memuncak selepas bekas perdana menteri itu mendesak Abdullah meletak jawatan setelah Umno dan Barisan Nasional mengalami prestasi buruk dalam pilihanraya umum lepas.

Isnin lepas Dr Mahathir mengumumkan tindakannya untuk keluar Umno dan berkata akan hanya kembali jika Abdullah berundur.

Rabu, Mei 21, 2008

UMNO dahulu pernah diharamkan, adakah sejarah akan berulang.?

0 Komen!!!
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan pengumuman Tun Dr mahathir serta isterinya keluar dari UMNO. Banyak sebab yang disebutkan khasnya berkaitan dengan pentadbiran kerajaan Abdullah Badawi.

Nampaknya isu ini tidak selesai-selesai antara TDM dan Pak Lah. Agaknya inilah nasib menjadi bekas perdana menteri, nasihat dan pandangan tidak didengar lagi maklumlah tidak ada kuasa lagi. Tidak tahulah Pak Lah selepas ini macam mana?. Sebab orang kata kita hidup ini umpama roda, apa yang berlaku pada orang mungkin berlaku pada kita langsung atau tidak langsung.

Pesanan kepada pemimpin-pemimpin kita, bawa-bawalah berbincang. Seronok tengok Lee Kuan Yew walaupun telah lama meninggalkan pemerintahan singapura tetapi masih dihargai dinegara sendiri.

Agaknya Pak Lah akan jumpa TDM ke untuk berbincang dari hati ke hati?. Kalau adakan pertemuan.. baguslah. Kalau tidak semakin parah agaknya negara kita akan datang.

UMNO dahulu pernah diharamkan, adakah sejarah akan berulang.?

Selasa, Mei 13, 2008

Tun perjelas punca kegagalan BN

0 Komen!!!


Inilah antara yang ditulis Tun Mahathir di dalam Blognya, "saya mengaku bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi UMNO dan Barisan Nasional".

Beliau mengulas antara punca kegagalan BN pada Pilihanraya Umum yang lalu. Ikuti laporan penuh www.chedet.com

Isnin, Mei 12, 2008

Kontrak sosial tidak wujud, kata Ungku Aziz

0 Komen!!!
Rahmah Ghazali & Abdul Rahim Sabri | May 11, 08 7:12pm
Prof diraja Dr Ungku Abdul Aziz hari ini mendakwa bahawa tidak wujud kontrak sosial secara fizikal antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Bercakap selaku salah seorang panelis forum ulangtahun ke-25 Dasar Pandang Ke Timur di Shah Alam hari ini, beliau berkata tidak wujud kontrak sosial seumpama itu.

Panelis lain termasuklah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Ismail Adam.

Sebaliknya, kata Ungku Aziz, sosial kontrak itu merupakan satu fantasi yang diwujudkan oleh ahli-ahli politik bergantung kepada kepentingan mereka.

Ungku Aziz berkata, kontrak sosial itu sepatutnya dipanggil ‘kontrak' untuk menjustifikasikan tindakan afirmatif dalam bidang pendidikan dan kesihatan untuk kumpulan paling memerlukannya.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut dan berkata beliau akan berbuat demikian di forum yang lain.

Dr Mahathir tidak setuju

Bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, Dr Mahathir bagaimanapun tidak bersetuju dengan Ungku Aziz dan menegaskan bahawa kontrak sosial wujud walaupun tidak dalam bentuk bertulis.

Jelasnya, kontrak sosial memang tidak ditulis secara rasmi, tetapi kefahaman tentangnya memang wujud di kalangan pemimpim utama Perikatan - Tengku Abdul Rahman dan pemimpin Perikatan yang lain ketika itu.

"Kefahaman kontrak sosial itu, yang harus di kongsi bersama ialah bagaimana Tengku Abdul Rahman memberikan satu juta kerakyatan kepada bangsa Cina, dengan harapan mereka memberi sokongan dalam usaha untuk menuntut kemerdekaan," katanya.

Katanya, kefahaman kontrak sosial itu juga memberi kesan terhadap perlembagaan apabila ia memberi hak kepada orang Melayu dan juga memberi hak kepada orang Cina dan India.

"Bukan sahaja Melayu akan menjadi bahasa rasmi yang diajar di sekolah-sekolah kebangsaan, tetapi bahasa Cina dan India juga diajar di sekolah-sekolah masing-masing.Dan itu hak-hak yang diberikan," jelasnya yang juga mantan presiden Umno.

Hak semua kaum

"Dan orang Melayu tidak boleh mempersoal dan mencabar hak kewarganegaraan orang Cina dan India dan di situ kita dapat melihat keseimbangannya," tambahnya.

Beliau berkata, begitu juga dengan agama. Islam yang telah menjadi agama rasmi negara dan semua orang bebas untuk mempraktikkan kefahaman agama mereka tanpa perasaan takut.

"Rakyat selalu bercakap tentang hak orang Melayu dalam parlimen, tetapi tidak melihat hak orang Cina (dan India) dalam perlembagaan," tambahnya.

Menurutnya, kontrak sosial ini meliputi perkongsian kuasa, kuasa dalam politik, perkongsian ekonomi dan pertumbuhannya.

Dan daripada pertumbuhan itu, katanya, ia diagihkan sebahagian besar kepada orang Melayu dan bumiputera. Kontrak sosial itu memang tidak ditulis tetapi ia termasuk semua aspek sosialisasi dalam negara ini.

Laporan Malaysia Kini 12/5/08

Kongsi Link Anda