Popular Today

Isnin, Julai 21, 2014

Polis siasat wanita Korea pakai baju tertera ayat al-Quran - KPN

3 Komen!!!
KUALA LUMPUR: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat wanita warganegara Korea yang memakai baju tertera ayat al-Quran di sebuah pasar raya di Ampang dekat sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. "PDRMsia (PDRM Malaysia) peka dengan apa yg berlaku. Insya-Allah kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada. Percayalah.

"PDRMsia tidak akan bias (berat sebelah). Semua kesalahan akan disiasat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Kita semua perlu hormat kepada sistem undang-undang kita," katanya dalam entri terbaharu Twitter beliau.

Khalid berkata wanita itu, yang baru tiba di Malaysia, dipercayai membeli baju berkenaan ketika melancong di India.

Sejak semalam, laman sosial Facebook menyiarkan gambar dan catatan mengenai wanita itu sedang dimarahi seorang lelaki berketurunan Arab di sebuah pasar raya di Taman Dagang, Ampang dekat sini kerana memakai pakaian yang tertera ayat al-Quran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad yang mengesahkan kejadian itu berkata laporan polis sudah dibuat sejurus gambar wanita berkenaan tersebar dalam Facebook.
"Kami sendiri yang membuat laporan polis kerana tiada orang awam yang membuat laporan dan siasatan sudah dijalankan", katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 298A (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

- BERNAMA 

Kongsi Link Anda