Popular Today

Khamis, November 13, 2008

Jawatan PM atas sokongan majoriti

3 Komen!!!
Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 12 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad membidas pihak tertentu yang cuba membangkitkan persoalan tentang keperluan mempunyai seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atas alasan agar negara tidak dilihat mengamalkan perkauman.

Bagi beliau, tindakan membangkitkan persoalan tentang Perdana Menteri bukan Melayu itu sendiri sebenarnya adalah bersifat perkauman.

‘‘Tidak sepatutnya soalan itu ditanya, sama ada Melayu atau bukan Melayu. Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, jika seseorang itu diterima oleh rakyat Malaysia, dia layak untuk menjadi Perdana Menteri.

‘‘Sudah tentu berbeza dengan Singapura, tidak ada pemimpin bukan Cina yang boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada siri syarahan Perdana ‘Bangsa Malaysia’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut bekas Perdana Menteri, undang-undang negara menetapkan sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri dan tiada sebarang spesifikasi bahawa pemimpin negara mesti diketuai oleh orang Melayu.

‘‘Tetapi spesifikasinya ialah orang yang layak menjadi Perdana Menteri adalah pemimpin kepada sebuah parti yang majoriti, jadi janganlah tanya sama ada dia Melayu, Cina atau India.

‘‘Sepatutnya tanyalah kepada pakatan pembangkang, kenapa pilih (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi pemimpin, mengapa tidak orang Cina,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemerintahan yang dikuasai oleh parti berasaskan kaum masih lagi relevan bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin apatah lagi ia ternyata berjaya mengurangkan perdebatan perkauman sejak 50 tahun lalu.

‘‘Di Malaysia, kita yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh bekerjasama secara politik dan sebarang usaha untuk menghapuskan amalan itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan bukannya mengejut,” katanya.

Beliau berkata, parti berasaskan kaum masih diperlukan kerana rakyat Malaysia belum bersatu sepenuhnya sehinggakan rancangan kerajaan untuk mewujudkan Sekolah Wawasan telah ditolak.

‘‘Hendak buka sekolah yang membolehkan anak-anak kita (pelbagai kaum) belajar bersama-sama pun ditolak, jadi macam mana kita hendak ketepikan kaum, anda tolak Sekolah Wawasan bermakna anda mahu kekalkan perasaan kaum, katanya.

Kongsi Link Anda