Popular Today

Memaparkan catatan dengan label Singapura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Singapura. Papar semua catatan

Rabu, April 20, 2011

Iktibar sikap pengundi Melayu Singapura

2 Komen!!!
PENULIS ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.

ISYARAT paling penting dan begitu jelas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak adalah pengundi bumiputera yang terdiri daripada masyarakat Melayu/Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu telah memberi sokongan tanpa belah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) sehingga mengekalkan majoriti dua pertiga.

Manakala pengundi masyarakat Cina pula terutama sekali di Miri, Bintulu dan Sibu telah mempamerkan kecenderungan yang bertentangan dengan memberi sokongan kepada parti pembangkang DAP.

Ramai yang beranggapan bahawa kecenderungan pengundi Sarawak adalah manifestasi kepada pola pengundi Malaysia secara umumnya dan bakal mempengaruhi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membuat keputusan mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13.

Tetapi sebenarnya jiran Malaysia iaitu Singapura memerhatikan dengan teliti apa yang berlaku di Sarawak kerana Perdana Menteri Lee Hsien Loong perlu mengadakan pilihan raya selewat-lewatnya Februari 2012. Besar kemungkinan pilihan raya Singapura akan dilaksanakan terlebih dahulu berbanding Malaysia dan ramai menjangkakan sama ada suku ketiga atau keempat 2011.

Singapura amat berminat dengan apa yang telah berlaku di Sarawak kerana pengundi masyarakat Melayu Singapura juga mampu memilih pendekatan seperti yang telah dipamerkan oleh pengundi Cina Sarawak. Walaupun parti Hsien Loong iaitu Parti Tindakan Rakyat (PAP) begitu dominan menguasai senario politik Singapura tetapi kerunsingan mengenai pengundi Melayu tidak pernah luntur.

Pilihan raya umum 2001 umpamanya telah menyaksikan PAP menerima sokongan undi Melayu paling sedikit kerana kegusaran masyarakat tersebut terhadap tindakan memerangi keganasan kerajaan PAP yang dinilai selari dengan sikap anti umat Islam. Tetapi pengundi Melayu Singapura cepat belajar daripada kesilapan 2001 kerana pada pilihan raya 2006, sokongan begitu tinggi telah diberikan kepada PAP.

Pada pilihan raya tersebut dianggarkan 80 peratus pengundi Melayu telah memberi undi mereka kepada PAP. Tidak keterlaluan jika dibuat penilaian bahawa pengundi Melayu sebenarnya telah banyak membantu Hsien Loong meraih 67 peratus undi popular.

Sokongan padu yang diberikan oleh pengundi Melayu kepada PAP pada tahun 2006 adalah kerana kepentingan jangka masa panjang masyarakat minoriti tersebut. Pengundi Melayu Singapura sebenarnya lebih menaruh harapan kepada PAP berbanding dengan parti pembangkang untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

Walaupun pengundi Melayu hanya merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan pengundi Singapura, tetapi sikap yang telah dipamerkan oleh mereka semasa pilihan raya begitu menarik perhatian berbanding dengan pengundi Cina Sarawak.

Melayu Singapura cuba menyampaikan isyarat kepada PAP bahawa kesetiaan mereka kepada Singapura tidak perlu dipersoal lagi. Terdapat tuduhan bahawa jika mereka menyokong pembangkang, PAP akan menuduh masyarakat Melayu sebagai tidak setia kepada negara. Ini adalah kerana wujud persepsi bahawa PAP itu adalah Singapura dan begitu juga sebaliknya yang sudah lama tertanam dalam jiwa rakyat mereka.

Pengundi Melayu Singapura juga dianggap begitu bersikap pragmatik kerana menggunakan kuasa politik untuk kepentingan masa hadapan mereka. Ini adalah kerana kerajaan PAP tanpa segan silu akan menghukum kawasan pengundi yang lebih cenderung kepada pembangkang.

Ketika melancarkan manifesto pilihan raya PAP beberapa hari lepas, Hsien Loong dengan terus terang menyatakan walaupun pembangunan akan dinikmati oleh semua rakyat Singapura, tetapi keutamaan hanya akan diberikan kepada pengundi yang menyokong PAP.

"Apabila saya perlu membuat keputusan siapa yang perlu didahulukan, maka faktor sama ada anda telah memberi sokongan kepada kerajaan atau tidak sudah pasti memainkan peranan," tegas beliau ketika menekankan kepentingan pengundi menyokong PAP.

Ada juga yang berpendapat bahawa pengundi masyarakat Cina Sarawak mahukan tadbir urus yang lebih baik sehinggakan mereka memilih DAP. Tetapi agak janggal analisis tersebut kerana selama tiga dekad BN telah membuktikan mereka mampu mentadbir Sarawak dengan baik dengan membawa pembangunan walaupun menghadapi cabaran fizikal yang begitu ketara.

DAP pula tidak mempunyai sejarah lampau yang mempamerkan mereka mampu mentadbir sebuah negeri dengan baik dan telus.

Dalam hal ini elok diperhatikan sikap pengundi Melayu Singapura apabila berhadapan dengan isu tadbir urus sebuah kerajaan. Sukar untuk menafikan bahawa ahli parlimen PAP adalah terdiri daripada kalangan yang terbaik kerana parti tersebut menggunakan segala ruang untuk mencari calon yang mampu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Pemilihan calon PAP untuk bertanding dalam pilihan raya adalah begitu panjang dan kadang kala memenatkan.

Malah sebelum Parlimen dibubarkan, Hsien Loong beberapa hari lepas telah memperkenalkan 24 muka baru yang akan menjadi calon PAP. Bukan sahaja setakat memperkenalkan muka baru, tetapi Hsien Loong dengan yakin menyatakan lima daripada mereka berkemungkinan besar akan dilantik sebagai menteri. Beliau dengan bangga juga memberi jaminan kesemua calon tersebut adalah yang terbaik dipilih dari golongan korporat, penjawat awam, akademik dan tentera.

Sebab itu pengundi Melayu Singapura tanpa berbelah bahagi memilih calon PAP, kerana kewibawaan tadbir urus adalah begitu terjamin sekali kerana bagi pengundi tersebut, kesinambungan pembangunan adalah begitu penting sekali.

Menarik juga jika diteliti pemerhatian Hsien Loong mengenai pengundi yang tidak menyokong PAP. Menurut beliau pengundi seperti ini sebenarnya juga memerlukan pembangunan dan yakin proses tersebut akan diteruskan oleh PAP.

"Mereka ini sebenarnya mengharapkan orang lain mengundi PAP supaya mereka boleh mengundi parti pembangkang. Singapura akan hancur jika semua pengundi mempunyai pendirian sedemikian rupa," sindir Hsien Loong.

Mungkin juga pengundi Cina Sarawak mempunyai pendirian di atas kerana mereka akur bahawa pembangunan tetap akan diteruskan oleh kerajaan BN walaupun mereka mengundi sebaliknya. Sebenarnya banyak iktibar yang boleh dipelajari daripada sikap pengundi Melayu Singapura.

Sumber : Utusan Malaysia

Selasa, Oktober 05, 2010

Nik Aziz semakin tunduk kepada Lee Kuan Yew

3 Komen!!!
Nik Aziz hari ini membuat kunjungan balas kepada Lee Kuan Yew sempena ziarah mendiang Isteri Lee Kuan Yew [rujuk sini].

Namun peliknya semasa Tuanku Sultan Kelantan gering di Singapura, Nik Aziz dan kepimpinan PAS negeri Kelantan langsung tidak melawat pun [rujuk sini]. Nampaknya Lee Kuan Yew lebih penting dari Sultan Kelantan dari pandangan Nik Aziz. Malangnya rakyat Kelantan dapat MB macam ni..

Lee Kuan Yew adalah Menteri Mentor Singapura yang bertanggungjawab terhadap penghapusan etnik Melayu di sana.

Etnik Melayu di sana bukan sahaja dipinggirkan bahkan ditindas akibat dasar yang dibuat Lee Kuan Yew. Akibatnya Melayu Singapura menjadi Melayu hina yang diberi jawatan tidak penting dalam kabinet Singapura dan lebih-lebih lagi tiada orang Melayu yang memegang jawatan penting dalam kerajaan Singapura akibat dasar diskriminasi ala aparteid yang diamalkan Lee Kuan Yew. Apatah lagi mengenai gerakan Islam Singapura yang terus mati akibat dasar Lee Kuan Yew.

Pada tahun lepas Lee Kuan Yew telah melawat beberapa negeri di Malaysia termasuklah negeri 'protege'nya Pulau Pinang dan Kelantan.

Pemergian Nik Aziz ke Singapura adalah satu pengiktirafan Nik Aziz terhadap segala tindakan jahat Lee Kuan Yew terhadap Melayu dan Islam... namun apa peduli bagi PAS.. apa yang penting bagi mereka ialah sokongan dan undi kaum Cina... pemergian Nik Aziz ini pastinya ada signifikan terhadap sokongan kaum Cina terhadap PAS.

Nik Aziz nampaknya kini semakin tunduk kepada Lee Kuan Yew dan Singapura..

Begitulah malangnya umat Islam di Malaysia ini apabila Tok Guru pun mengiktiraf tindakan jahat Lee Kuan Yew itu.

Khamis, Jun 26, 2008

Bukti wang S'gor masuk akaun PKR

0 Komen!!!
Oleh : Malaysia Kini


Bekas pegawai kanan menteri besar Selangor didakwa menunjukkan resit dan akaun penerimaan wang derma, sepatutnya untuk kerajaan negeri, yang dimasukkan ke akaun PKR sehingga mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

"Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata beberapa pemimpin parti yang turut hadir kepada Malaysiakini.

Wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri."

Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampasnya daripada BN.

Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Menurut menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Jumaat, Mei 23, 2008

Tenang Dan Bersikap Matang Dalam Menerima Keputusan ICJ,

0 Komen!!!
THE HAGUE, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim berkata rakyat Malaysia perlu tenang dan bersikap matang dalam menerima apa jua keputusan berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan yang akan disampaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat ini.

"Masyarakat Malaysia perlu tenang dan bersikap matang berhubung perkara ini supaya kita tidak menterjemahkan ia kepada pergolakan politik, walau apa keputusannya. Ini amat penting," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari Khamis.

Rais yang tiba hari ini bagi menghadiri saat ICJ menyampaikan keputusan berhubung pertikaian antara Malaysia dan Singapura mengenai perkara itu berkata beliau sudah memberikan taklimat kepada pemimpin-pemimpin negeri Johor, dan Sultan Johor berhubung perkembangan kes itu.

Beliau berkata Malaysia optimis dengan kes itu, yang dibawa kepada ICJ selepas kedua-dua negara menandatangani persetujuan khas pada 6 Februari 2003.

"Tetapi seperti yang saya nyatakan terdahulu kewaspadaan kita penting iaitu sekiranya kemenangan berada di tahap dan di tangan kita, maka kita sebaik-baiknya tidak begitu ghairah atau meluap-luap perasaan gembira sehingga melangkaui batas kebiasaan atau batas kewarasan," katanya.

"Dan jika tidak memperolehi penghakiman positif misalnya, kita harus pandai dan berkebolehan tidak menyinggung mana-mana perasaan," tambahnya.

Beliau berkata kadangkala unjuran awal mengenai siapa menang atau kalah tidak tepat.

"Dalam keadaaan sedemikian walaupun kita optimis, kita perlu berkebolehan untuk menyesuaikan diri kita selepas esok,” katanya.

Rais berkata Malaysia memiliki hujah yang mencukupi, berdasarkan kepada bukti, aspek sejarah dan kepentingan sosial, bahawa kes itu seharusnya berpihak kepada Malaysia.

"Orang ramai mungkin ingin tahu, apa yang ingin kita lakukan terhadap sebuah pulau yang bersaiz separuh keluasan padang bola, (mengapa) kita amat bimbang mengenainya, tambahan pula tiada apa tumbuhan diatasnya. Namun jawapannya kerana ia adalah sebahagian daripada Malaysia, itulah fakta yang ingin kami katakan dan apabila ia menjadi sebahagian daripada Malaysia, kami ingin dapatkan kepastian yang ia kembali dalam tangan kami," kata Rais.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Keputusan berhubung pertikaian itu akan disampaikan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, yang merupakan Pemangku Presiden kes itu pada kira-kira pukul 10 pagi (4petang waktu Malaysia).

Beliau dijangka selesai membaca keputusan penghakimannya dalam masa dua jam. Satu panel 16 hakim termasuk Al Khasawneh mendengar kes itu.

Semasa perbicaraan dari 6 hingga 23 November tahun lepas, Malaysia diketuai oleh Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, yang merupakan ejen Malaysia bagi kes itu manakala Datuk Noor Farida Ariffin adalah ejen bersama.

Turut sama di pihak Malaysia pada perbicaraan itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kumpulan peguam antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya professor dalam bidang Undang-undang Antarabangsa Universiti Cambridge; Nicolaas Jan Schrijver, professor Undang-undang Antarabangsa Awam Universiti Leiden; Marcelo G. Kohen, professor Undang-undang Antarabangsa Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah Downing College, Universiti Cambridge.

-- BERNAMA

Kongsi Link Anda