Popular Today

Jumaat, April 30, 2010

Isu Setinggan 8 Perkampungan di Johor Bahru : Kerajaan Johor tawarkan rumah pangsa

0 Komen!!!
isu ini banyak ditimbulkan dalam ceramah Pakatan rakyat yang mendakwa kerajaan negeri tidak membela nasib penduduk Melayu dan sebagainya.

Namun tuduhan ini melesat bahkan hanya berniat jahat semat-mata, Kerajaan negeri Johor telah mengambil tindakan untuk membantu penduduk setinggan tersebut. [Rujuk sini]

Berikut adalah beirta penuh yang dikeluarkan :

Penduduk di Lapan buah perkampungan setinggan di pinggiran Sungai Tebrau di sini akan ditawarkan rumah pangsa mampu milik yang dilengkapi dengan kemudahan lebih selesa di bawah program penempatan semula setinggan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman menyampaikan Sijil Kelayakan Memilik Rumah kepada ketua-ketua masyarakat lapan kampung yang terlibat di rumah contoh projek, bersebelahan PPR Sri Stulang bersempena lawatan beliau ke kawasan Parlimen Johor Bahru, hari ini.
Program RM303 juta ini merupakan antara yang terbesar di Johor buat masa ini. Ia bakal memperbaiki tahap sosio-ekonomi penduduk di sepanjang Sungai Tebrau yang sekian lama menghuni kawasan tersebut dalam keadaan kurang selesa dan tidak tersusun.

Perpindahan menyeluruh ini juga akan memberi laluan kepada Projek Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) yang akan melalui kawasan perkampungan terlibat. Kerja-kerja pembinaan lebuhraya kini sedang rancak dijalankan dan dijangka akan siap menjelang penghujung tahun 2011.

Di bawah program penempatan semula ini, Kerajaan akan membina 10 blok rumah pangsa setinggi 11 tingkat lengkap dengan kemudahan awam dalam lingkungan 5 km dari penempatan asal mereka yang terlibat.

Rumah pangsa ini akan dibina oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor (syarikat pelaburan kerajaan negeri) dengan Tebrau Teguh Berhad yang dilantik sebagai pemaju bersama dan kontraktor utama projek.

Kumpulan pertama penduduk dijangka akan berpindah ke rumah baru mereka pada awal tahun 2012.

Pembahagian unit-unit rumah pangsa ini berdasarkan kepada 2 katogeri utama.

Kategori pertama terdiri daripada 1,360 keluarga yang sebelum ini memiliki Lesen Pendudukan Sementara (TOL). Mereka layak membeli rumah yang bersaiz agak besar dengan subsidi lumayan pada harga RM35,000.00 seunit.

Harga pasaran bagi unit-unit ini melebihi RM80,000.00 seunit, berkeluasan lantai 850 kaki persegi dan dilengkapi 3 bilik tidur serta 2 bilik air.

Mereka yang dikenalpasti untuk kategori ini ialah dari Kg. Belantik, Kg. Desa Jaya, Kg. Desa Makmur, Kg. Desa Melayu, Kg, Tengah, Kg. Datuk Hajjah Hasnah, Kg. Tok Siak dan Kg. Bakar Batu.

Kerja-kerja pembinaan rumah-rumah pangsa ini sedang dilaksanakan di empat plot berbeza di persekitaran Kg. Bakar Batu, Kem Majidee, Kg. Tok Siak dan PPR Sri Stulang.

Bagi mengekalkan keakraban sesama keluarga, kerajaan akan cuba menempatkan mereka ini di plot dan blok yang sama mengikut kampung asal masing-masing.

Sejumlah 1,360 keluarga lain pula turut ditawarkan unit-unit di tingkat 6 hingga 10 di setiap blok yang berkeluasan 750 kaki persegi dengan harga jualan RM50,000.00 seunit.

Perbincangan sedang dijalankan dengan bank-bank komersil bagi merangka satu skim pinjaman perumahan yang khusus dalam usaha memastikan ke semua 2,720 buah keluarga ini mampu memiliki rumah berkenaan.

Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan sebuah “Dana Khas Penyelenggaraan Bangunan” sebanyak RM1 juta bagi setiap blok untuk membantu membiayai kos penyelenggaraan. Ianya juga bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan sempurna.

Dana hasil dari unit-unit yang dijual pula akan digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan kemudahan am seperti lif, surau, taman permainan, tadika, dewan orang ramai, kedai-kedai runcit, kedai-kedai makanan dan juga landskap.

MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB), syarikat yang melaksanakan projek EDL, juga telah menyediakan RM10 juta sebagai bantuan kepada 424 buah keluarga yang menduduki tanah di atas laluan EDL.

Mereka akan menerima subsidi sewa sebanyak RM13,680 atau bersamaan dengan RM380 sebulan bagi tempoh tiga tahun, juga kos semasa berpindah sejumlah RM2,000.

Keluarga ini akan ditempatkan di Perumahan Rakyat Desa Mutiara di Kempas, kira-kira 8 km dari rumah asal mereka, sementara menunggu perumahan tetap di Kem Majidee siap sepenuhnya.

Program pemindahan setinggan ini dilaksanakan hasil usaha Kerajaan Negeri Johor di bawah skim yang disediakan oleh Kerajaan Pusat bagi pembersihan 3 buah sungai iaitu Sungai Tebrau, Sungai Skudai dan Sungai Segget.

Kongsi Link Anda