Mingguan: Apa kedudukan Raja-Raja Melayu di sisi Perlembagaan?
Ini termasuklah peranan sebagai simbol bagi autoriti awam, perpaduan, kesinambungan dan identiti negara. Seperti di negara-negara lain, Raja dan sistem beraja menjadi jati diri negara yang merangkum sejarah dan intipatinya. Raja-Raja juga adalah pelindung kepada agama dan demokrasi.
Ini semua harus difahami apabila kita memperkatakan kuasa budi bicara Raja-Raja - dan Yang di Pertuan Agong - dalam soal agama, pelantikan kerajaan dan pembubaran dewan. Konsep dan peranan itu juga harus sentiasa diingati dalam kita memahami segala keistimewaan yang diberikan kepada Raja-Raja oleh perlembagaan dan undang-undang.
Hatta apa yang dikatakan sebagai kuasa budi bicara itu pun - contohnya kuasa melantik menteri besar - akan menjadi kuasa formal sahaja. Bagaimanapun di dalam keadaan yang tidak menentu, sebagaimana yang berlaku di Perak atau Perlis dalam pilihan raya umum lalu, kuasa raja akan menjadi signifikan.
Atau di Terengganu yang saya fikir lebih merupakan penggunaan kuasa simpanan atau reserve powers oleh pihak istana. Kita juga perlu ingat bahawa Raja-Raja boleh memainkan fungsi semak dan imbang sebagaimana yang diperlihatkan oleh istana di Perak dan juga Majlis Raja-Raja dalam beberapa insiden.
Saya fikir soal sama ada kuasa raja itu terhad atau sebaliknya juga bergantung kepada karisma, pengalaman dan kebijaksanaan Raja-Raja yang berkenaan. Sebab itulah ada orang mengatakan raja tetap raja; sama ada peruntukan kuasa atau tidak.
Dalam konteks inilah kita perlu memahami apa yang dikatakan oleh Sir Ivor Jennings dalam bukunya The British Constitution mengenai sistem beraja yang katanya tidak harus dilihat dalam konteks yang legalistis begitu. Sir Ivor Jennings yang merupakan guru perlembagaan Tun Mohamed Suffian adalah profesor undang-undang Perlembagaan di Universiti Cambridge dan menjadi salah seorang anggota Suruhanjaya Reid.
Begitu juga dengan soal sama ada Raja-Raja perlu sentiasa tertakluk kepada nasihat eksekutif. Secara mudah kita boleh melihat Perlembagaan dan mengenalpasti kuasa yang boleh dilaksanakan secara budi bicara serta dijalankan atas nasihat.
Tetapi seperti yang diperingatkan oleh Jennings tadi kita tidak harus melihat kuasa itu dalam konteks yang terlalu rigid dan legalistis. Mengenai nasihat di sisi Perlembagaan tidak semua tindakan perlu atau tertakluk kepada nasihat kerajaan; khususnya yang bersifat budi bicara seperti melantik kerajaan dan membubar dewan dan beberapa perkara lain yang dinyatakan oleh Perlembagaan.
Meskipun begitu kuasa ini tidaklah seharusnya dilihat secara harfiah sepanjang masa kerana Raja- Raja tidak mempunyai mekanisme untuk mengetahui dengan tepat apa yang berlaku sebagaimana kerajaan yang memerintah. Dan nasihat ini perlu untuk menyelamatkan Raja-Raja sendiri daripada terjebak dalam kontroversi. Dalam konteks demokrasi, nasihat itu ialah simbol kedaulatan rakyat dan kerajaan yang mempunyai mandat memerintah berhak menasihatkan Raja.
Saya berpendapat bahawa meskipun Perlembagaan memberi kebebasan kepada sultan sebagai ketua agama kuasa ini perlu dilaksanakan selaras dengan kehendak dan semangat Islam. Saya ingin menegaskan bahawa Perlembagaan memberi ruang untuk sultan berperanan sebagai ketua agama dan ini perlu dijalankan atas semangat itu.
Ia memang ada kelemahan; tetapi bolehkah kita sebut satu sistem yang tidak ada kelemahan langsung? Lagipun kita bercakap dan mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sesiapa yang mengait atau membayangkan soal feudal ini mungkin boleh dianggap menyindir dan memperlekehkan institusi beraja.
Pindaan 1983 juga cuba memindahkan kuasa mengisytihar darurat kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun kedua-dua pindaan ini ditolak oleh Majlis Raja-Raja dan sebagai komprominya Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan rang undang-undang ke Dewan yang berkenaan untuk dipertimbangkan semula.
Sementara itu pindaan kuasa darurat dibatalkan. Di peringkat negeri pula kuasa Raja dikembalikan kepada kedudukan yang asal. Pada 1993 pula pindaan Perlembagaan yang dibuat ialah mengenai keistimewaan imuniti dan kuasa pengampunan Raja-Raja. Saya berpendapat ia sekadar menjelaskan dan bukan memansuhkan peruntukan-peruntukan berkenaan. Pada 1994 pindaan dibuat di mana rang undang-undang akan menjadi undang-undang secara automatik hatta tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong atau Raja-Raja selepas tempoh 30 hari. Bagaimanapun saya rasa pindaan ini tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan di bawah Perkara 38(4).
Begitu juga dengan pindaan yang memaksa Yang di-Pertuan Agong menerima apa sahaja nasihat Kabinet yang dibuat pada tahun itu. Peruntukan-peruntukan ini sahaja yang dipinda dan seperti yang saya katakan ada beberapa keraguan yang menyelubungi pindaan-pindaan itu. Peruntukan-peruntukan lain, termasuk kuasa raja sebagai ketua agama, tidak pernah dipinda.
Kita perhatikan bagaimana Majlis Raja-Raja membuat beberapa inisiatif tertentu yang kadangkala tidak disebut langsung oleh Perlembagaan. Tetapi oleh kerana hasil dan maksudnya baik rakyat menerimanya. Dan ini bukan soal hendak kembali ke zaman feudal.
Begitu juga dengan perkhidmatan awam yang kadangkala sampai ke tahap menafikan hak rakyat. Jadi bukan raja sahaja yang autoritinya dipersoalkan. Bagi saya apa yang penting ialah hasilnya mesti sesuai dan selaras dengan semangat demokrasi dan perlembagaan.
Rencana Mingguan Malaysia 11/05/08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan