Dasar luar yang lemah perlu dikaji semula
Salman Hussin
Sun | May 11, 08 | 7:37:53 am MYT
BATU PAHAT, 11 Mei (Hrkh) - PAS Johor mendesak kerajaan mengkaji semula dasar luar negara yang dilihat sangat lemah dan tidak konsisten menyebabkan negara ini begitu mudah menyerah kalah dengan tuntutan negara asing.
"Kita mendesak kajian semula dasar luar ini dilakukan segera bagi melindungi kepentingan negara ini pada masa depan," kata Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, di sini.
Katanya, kesan dari kelemahan dasar luar ini boleh menyebabkan negara ini akan kehilangan lebih banyak lagi hak dan kepentingan kepada kuasa asing pada masa depan sekiranya dasar luar ini terus lemah dan pemimpinnya pula tidak tegas.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kegagalan kerajaan bertegas mempertahankan hak ke atas Pulau Batu Putih (PBP) yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura sehingga terpaksa diadili Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Katanya, PAS Johor menaruh kebimbangan terhadap keputusan yang bakal dibuat ICJ dalam isu PBP yang dijangka akan diumumkan pada 20 Mei ini.
"Kita sangat bimbang seandainya keputusan ICJ ini tidak memihak kepada Malaysia, jika ini berlaku maka bukan sahaja kita akan kehilangan wilayah yang strategik, bahkan maruah negara juga akan tercemar dengan begitu teruk berikutan kegagalan kita mempertahankan hak negara.
"Isi perjanjian awal antara Malaysia dan Singapura berkaitan PBP ini jelas memihak kepada kita, tetapi disebabkan pemimpin negara ini tidak tegas dan kononnya untuk menjaga keharmonian hubungan antara kedua negara, menyebabkan isu PBP ini diheret ke ICJ,"jelasnya.
Katanya, kenyataan Menteri Luar Malaysia, Dato' Seri Syed Hamid Albar, baru-baru ini, yang menyatakan pendirian Malaysia akan akur dengan keputusan ICJ, membuktikan betapa lemahnya pemimpin negara ini yang awal-awal lagi sudah menyerah kalah serta tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk berusaha dan mencari jalan bagi mempertahankan hak dan kedaulatan negara ini daripada terlepas ke tangan kuasa asing.
"Implikasi dari kegagalan Malaysia mempertahankan PBP ini dikhuatiri akan turut mempengaruhi pakej rundingan selepas ini yang membabitkan isu ruang udara, perjanjian air, tanah Singapura yang diwartakan di Johor, projek Iskandar Malaysia serta lain-lain isu lagi.
"Selain itu kesan dari kegagalan mempertahankan PBP ini juga akan membuka ruang seluas-luasnya kepada Republik ini untuk menuntut lebih banyak lagi hak untuk kepentingan negara mereka,"tambahnya lagi.
Mazlan yang juga AJK PAS Pusat, seterusnya berkata, sikap lembut dan mengalah pemimpin negara ini memungkinkan republik ini menuntut satu lagi pulau yang juga menempatkan rumah api milik republik itu di negara ini seperti di PBP, iaitu Pulau Pisang di Pontian.
"Sebelum insiden sama berulang lagi maka awal-awal lagi kita mendesak Kerajaan Malaysia bertegas bagi memastikan Pulau Pisang ini tidak diheret sama ke ICJ oleh Singapura.
"Kita tidak mahu rakyat negara ini khususnya rakyat Johor tertanya-tanya apabila Kerajaan Johor mengarahkan umat Islam di negeri ini mendirikan solat hajat selepas solat Jumaat bagi menyelamatkan PBP ini dalam keadaan rakyat tidak tahu apa-apa pun tentang PBP ini, akhirnya apa yang berlaku solat hajat yang dibuat ini hanya sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja,"tegasnya.
Katanya, PAS Johor mahu kerajaan mencontohi sikap dan pendirian negara luar yang bertegas mempertahankan hak mereka, mereka mengambil masa yang begitu lama untuk berunding sekiranya berlaku sebarang tuntutan pihak luar terhadap kepentingan negara mereka.
"Tetapi malangnya Kerajaan Malaysia begitu lemah dan mudah mengalah terhadap tuntutan kuasa asing, ini sesuatu yang sangat mengaibkan maruah rakyat dan negara ini.
"Justeru kerana itu sekali lagi kita mendesak Kerajaan Malaysia mengkaji semula dasar luar negara supaya kepentingan negara lebih terjamin pada masa depan, ini kerana kita melihat dasar luar yang diamalkan hari ini terlalu longgar dan sangat lemah sehingga dengan sewenang-wenangnya diambil kesempatan oleh pihak-pihak lain, khususnya kuasa asing," ujarnya lagi. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan