Popular Today

Selasa, April 22, 2008

Antara akal dan emosi

'Saya bukan penakut, tidak mahu pecah belahkan parti'

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) menegaskan, beliau bukan takut untuk bersuara dalam isu-isu politik, sebaliknya berpegang kepada prinsip penyerahan kuasa secara tersusun serta terhormat demi kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kepentingan UMNO tidak boleh terjejas dan sejarah membuktikan bahawa peralihan kuasa dalam parti itu berlaku dengan tersusun dan baik.

"Ia bukan masalah Mr. Yes Man, tak berani atau takut sebab saya berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah penyerahan kuasa secara tersusun dan terhormat.

"Itulah yang akan memberi makna dan menentukan kepentingan parti tidak terjejas dan tidak berpecah-belah," kata Timbalan Presiden UMNO itu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak seharusnya dilantik sebagai Perdana Menteri kerana 'tidak berani' mendedahkan sebab sebenar kekalahan BN di beberapa negeri dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak dan Surat Hasrat sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2008) di sini hari ini, Najib berkata, UMNO mempunyai tradisi peralihan kuasa yang lancar.

Menurut beliau, sejarah UMNO memperlihatkan penyerahan kuasa dilakukan dengan tersusun.

"Sudah ada tradisi dan cara baik yang diamalkan dalam parti.

"Pada hemat saya itulah cara terbaik dan kaedah untuk kita melakukan perubahan kepada kepimpinan negara seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Presiden parti," katanya.

Najib percaya peluang perlu diberikan agar peralihan kuasa tersebut berjalan dengan cara yang terhormat memandangkan segala keputusan politik dalam jangka masa terdekat akan memberikan kesan kepada UMNO.

"UMNO dan BN berada dalam keadaan yang lemah selepas pilihan raya umum, ia tidak sekuat dulu dan kita memerlukan masa untuk memulihkan kekuatan UMNO,'' katanya.

Perbalahan dan pergeseran dalaman, ujar Najib, jika berlaku pasti akan membentuk dua atau tiga puak dalam parti yang akan melemahkan UMNO dan BN secara langsung.

Ketika ditanya sama ada UMNO kini dilanda keretakan, beliau menyangkal dakwaan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan terjadi jika wujud pergeseran kuasa dan kepimpinan.

"Saya tidak kata wujud perpecahan tapi jika ada krisis kepimpinan, ia akan mengulangi (krisis) tahun 1987 dan krisis (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Persoalannya, apakah BN dan UMNO mampu melalui senario seumpama itu lagi?" kata Najib.

(Utusan Malaysia 22/4/08)

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda