Sekali lagi mahkamah putuskan Sivakumar salah gunakan kuasa speaker!
Oleh itu, perintah penggantungan selama 18 bulan terhadap Zambry dan 12 bulan bagi ahli exco dibuat Speaker V Sivakumar adalah tidak sah dan batal kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya tidak boleh digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) atas dakwaan menghina kerana kesalahan itu tidak diperuntukkan di bawah perlembagaan negeri, demikian diputuskan Mahkamah Persekutuan, semalam.
Hakim Datuk Seri S Augustine Paul dalam penghakiman bertulisnya berkata, Perkara 44 Perlembagaan Negeri Perak dibaca bersama Perintah Tetap Enakmen Dewan Undangan Negeri (Hak Istimewa) 1959 tidak memperuntukkan kesalahan menghina dan hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang DUN.
"Kuasa menangani isu menghina, yang tidak diperuntukkan dalam Perintah Tetap DUN, bukan sesuatu yang Speaker boleh mengambil maklum kerana ia memerlukan satu undang-undang berkaitan dengannya," kata Augustine dalam penghakiman 64 muka surat bertarikh 3 Jun dan diperoleh semalam.
"Perlu ada pihak berkuasa undang-undang yang khusus untuk mengetahui dan memberi hukuman bagi kesalahan menghina. Ini khususnya ketara di mana dakwaan menghina dilakukan di luar DUN," katanya.
Pada 16 April lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan perintah penggantungan terhadap Zambry dan enam exco - Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon oleh Sivakumar adalah melampaui perlembagaan negeri dan oleh itu tidak sah dan batal.
Pada 2 Mac lalu, Zambry dan anggota exco terbabit memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Sivakumar kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.
Mereka juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang DUN dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.
Dalam penghakiman itu, Augustine berkata: “Penggantungan terhadap pemohon dilakukan berdasarkan Perintah Tetap 72 DUN. Tuduhan terhadap mereka menyatakan tindakan mereka itu diibaratkan sebagai menghina.
"Oleh kerana penghinaan tidak dinyatakan secara khusus, tindakan tidak boleh diletakkan di bawah Perintah Tetap 72.
"Perintah Tetap 72 memberi kuasa kepada Jawatankuasa Hak Istimewa mengambil maklum sebarang perkara yang nampak menjejaskan kuasa dan hak istimewa dewan itu,” kata Augustine. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan