Khamis, Julai 16, 2009

Manik Urai - Jika tiada faktor Nik Aziz, Pas kalah di Manik Urai

Sumber : PemudaUMNO

Tun Faisal Ismail Aziz

Pas menang tipis di Pilihan Raya Manek Urai. Hanya 65 undi. Walaupun Pengarah Jentera Pilihan Raya Manek Urai Pas, Abdul Fatah Harun begitu mendabik dada menyatakan bahawa PAS akan menang 2,000 undi, tetapi jelas kiraan Pengarah Jentera Pilihan Raya itu jauh (sangat-sangat jauh) terpesong.

Satu indikator bahawa dia bukan Pengarah Jentera Pilihan Raya yang bagus.

Seperti yang sering penulis sebutkan, Barisan Nasional (BN) melihat pilihan raya kecil ini sebagai sangat penting, sedangkan Pas, ia hanya `business as usual’. Ini jelas apabila, BN menamakan Datuk Mustapa Mohamad sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya dan Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon.

Tok Pa bukan sahaja seorang yang rajin bekerja, malah telah membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin yang disenangi rakyat di Jeli, selain membuktikan di Jeli, orang Kelantan tidak menolak pembangunan.

Pemilihan Tuan Aziz menunjukkan BN kali ini mendengar keinginan rakyat. Berbanding calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50 tahun, Tuan Aziz, 39 adalah pemimpin muda dan mempunyai latar belakang pendidikan yang jauh lebih baik.

Selain sifat mesra rakyat dan tiada kontroversi, Tuan Aziz merupakan seorang profesional dalam KESEDAR dan telah menabur bakti kepada penduduk Manek Urai.

Ini meletakkan Pas dalam keadaan yang sukar kerana mereka tidak boleh menyerang peribadi calon dan pengarah pilihan raya. Walaupun pada mulanya Pas cuba memainkan isu rasuah, bukan pilihan Perdana Menteri dan cah keting, namun semua ini tidak mendapat tempat kerana pengundi di Manek Urai lebih mengenali Tuan Aziz.

BN memulakan kempen sebagai underdog. Walaupun nampak Manek Urai ini seperti kubu kuat Pas, namun dari segi statistik ia tidak begitu. BN sebenarnya mempunyai “base” yang kuat di Manek Urai.

Dalam tahun 1990 misalnya, Pas menerima sekitar 5,900 undi dan BN sekadar menerima 2300 undi. Jumlah undi yang diterima BN meningkat dalam pilihan raya seterusnya, iaitu 2,438/Pas 4,285 (1995), 3,039/4,597 (1999), 4,363/4,308 (2004), 4,394/5,746 (2008) dan 5,283/5,348 (2009).

Dari segi kempen, seperti biasa, di Kelantan, Pas akan menggunakan dua pendekatan.

Pertama, menarik simpati rakyat kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Dalam ceramah-ceramah Nik Aziz digambarkan seperti ulama maksum yang begitu zuhud sikapnya.

Poster Nik Aziz berdoa menjadi bahan promosi. Dulu Nik Aziz digambarkan sebagai sering menjadi mangsa buli UMNO dan dia tidak boleh diserang kerana jika diserang, rakyat yang kononnya begitu menyayanginya akan marah dan memberi undi kepada calon Pas.

Menariknya, di Manek Urai kali ini ada satu elemen baru digunakan untuk menarik simpati rakyat.
Selepas beberapa hari kempen, mungkin kerana nampaknya simpati rakyat kurang, makan disebarkan cerita bahawa Nik Aziz akan meletakkan jawatan jika Pas kalah di Manek Urai.

Kedua, seperti biasa Pas akan memainkan emosi pengundi dan mengumpan kemarahan mereka terhadap BN.

Selain BN cuba digambarkan sebagai membuli Nik Aziz, Pas cuba menggambarkan BN sebagai kerajaan rasuah, UMNO sebagai tidak Islam, rakyat Kelantan dianak tirikan dan isu royalti minyak yang dikatakan hak rakyat Kelantan.

Sedangkan dalam kempen BN, BN konsisten dengan hasrat untuk membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi kepada pengundi Manek Urai.

BN berkempen untuk memperkenalkan kelebihan-kelebihan calonnya yang muda, berpendidikan, berpengalaman, mesra rakyat dan sudah pernah berjasa kepada penduduk Manek Urai.

Apakah yang baru di Manek Urai? Selain calon dan pengarah yang diterima rakyat, pendekatan perorangan setiap sayap menarik minat pengundi.

Pada waktu yang sama, Nik Aziz tidak dibenarkan selesa. BN mengambil pendekatan `menyerang’ Nik Aziz atau lebih tepat lagi pemikiran Nik Aziz dilihat sebagai yang menghalang kemajuan, menghalang perpaduan dan sikap autokratik dan angkuhnya (dalam menangani kes Nasharuddin Mat Isa).

Keadaan diburukkan lagi apabila pencapaian Nik Aziz dalam mentadbir negeri Kelantan dipertikaikan. Misalnya rakyat Kelantan tahu dalam masa 20 tahun ini, balak banyak ditebang dan menjadi isu dalam media.

Namun rakyat tidak dapat melihat banyak perubahan dari aspek pembangunan fizikal di Kelantan.

Pengundi yang lebih berpendidikan dan terbuka fikiran mereka mungkin mempersoalkan, jika dengan hasil balak pun tidak nampak kesan nyata dari segi pembangunan, maka tuntutan royalti minyak ini untuk apa atau siapa sebenarnya?

Pada waktu yang sama, gaya hidup kelompok tertentu dalam Pas nampaknya telah banyak berubah dan menjadi mewah. Pemimpin Pas juga dikaitkan dengan rasuah semasa Muktamar baru-baru ini.

Paling buruk, di Perak, pemimpin Pas telah menafikan perjuangan untuk membangunkan negara Islam. Segalanya ini menunjukkan Pas hanya sebuah parti politik dan bukan `Parti Islam’ seperti dulu lagi.

Terima kasih pengundi Manek Urai kerana telah memberikan kemenangan moral kepada UMNO dan BN. Namun UMNO TIDAK BOLEH MERASA TERLALU GEMBIRA kerana perjalanan masih jauh.

Jelasnya formula yang digunakan di Manek Urai adalah betul. Soalnya, mampukan PRESIDEN UMNO dan PERDANA MENTERI mengekalkan formula yang sama di tempat lain atau akan kembali lalai dan alpa seperti yang berlaku selepas kemenangan besar Pilihan Raya Umum tahun 2004?

Seperti biasa; seperti ketika keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi mereka; bila taqdir tidak menyebelahi Pas, mereka akan memberi pelbagai alasan (sebelum post-mortem). Kalau kebiasaannya alasan pengundi hantu timbul, kali ini Husam menuduh UMNO menggunakan wang.

Semalam, kemenangan Pas tidak disambut dengan takbir seperti biasa oleh para penyokong Pas di seluruh negara. Mungkin takbir (Allah Maha Besar) hanya dilaungkan oleh pemimpin dan penyokong Pas bila Allah SWT memberi kebaikan kepada mereka sahaja!

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda