Jumaat, Februari 26, 2010

Johor News : Rakyat boleh buat aduan secara online

Mudah...Antaramuka sistem e-jawab yang mesra pengguna membolehkan rakyat membuat aduan secara online.
_____________________


ORANG ramai boleh membuat aduan, pertanyaan dan pandangan kepada Kerajaan Negeri Johor secara online iaitu secara langsung kepada jabatan dan agensi berkenaan apabila satu sistem dinamakan e-jawab akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Sistem 'Johor Aduan Awam Bersepadu' itu adalah inisiatif terbaru Kerajaan Johor selepas memperkenalkan beberapa kemudahan secara online untuk rakyat berurusan termasuk hal-hal berkaitan tanah, muat turun pelbagai borang dan pembayaran hasil.

Langkah terbaru itu diumumkan Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman hari ini, yang menyatakan ia akan diintegrasikan dengan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) bagi membolehkan rakyat membuat dan menerima maklumbalas melalui SMS.

Katanya, perkhidmatan itu sedang dibangunkan oleh Unit Sains Teknologi dan ICT Negeri Johor bersama pihak MAMPU melalui Perkhidmatan Gerbang SMS Kerajaan Malaysia atau dikenali sebagai 'My Sms 15888.

"Banyak perkhidmatan yang boleh kita tawarkan melalui SMS ini seperti semakan cukai tanah, semakan sesuatu permohonan, hebahan aktiviti kerajaan dan sebagainya," katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Laman Web Kerajaan Peringkat Negeri Johor, di sini.

Melalui e-jawab, rakyat boleh membuat semakan mengenai status aduannya dan menerima maklum balas dari agensi yang terlibat manakala Setiausaha Kerajaan boleh melihat pelaksanaan pengurusan aduan di setiap agensi.

Unit Audit Dalam diberi kuasa untuk memantau dan menguatkuasakan sebarang tindakan agar pengurusan aduan itu dilaksanakan dengan baik dan teratur oleh setiap jabatan. Dengan adanya sistem ini, serta dengan kerjasama semua agensi yang terlibat, kebanyakan masalah orang ramai dijangkan dapat diberikan perhatian dengan cepat.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda