Popular Today

Selasa, September 08, 2009

Mantan MB Kelantan meninggal dunia


Sep 8, 09 1:25pm
Mantan menteri besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaacob, 85, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur pukul 5.50 pagi ini akibat kanser paru-paru sejak dimasukkan ke pusat perubatan itu Jumaat lepas.

Anak ketiganya, Dr Idora Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya Puan Sri Nik Azizah Nik Ahmad dan lima orang anaknya.

Jenazah allahyarham kini ditempatkan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor hari ini.

Tinjauan Bernama ke rumah allahyarham di Taman Uda Murni di Kota Bharu juga mendapati rumah itu kosong dan tiada sesiapapun berada di rumah berkenaan.

Allahyarham menceburi bidang politik sejak tahun 1950 dengan menyertai Umno dan bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dengan memenangi kerusi parlimen Tanah Merah.

Beliau pernah memegang jawatan menteri kabinet sebelum dilantik sebagai menteri besar Kelantan pada 1978 dan kekal dalam jawatan itu sehingga PAS menewaskan Umno untuk membentuk kerajaan negeri baru pada 1990.

Allahyarham yang dilahirkan di Palekbang, Tumpat itu juga pernah dilantik sebagai yang dipertua Dewan Negara pada 1996.

Sebelum itu, allahyarham pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan kerajaan termasuk sebagai setiausaha sulit kepada Almarhum Sultan Kelantan, majistret, timbalan pendakwa raya dan penasihat undang-undang di Terengganu dan Johor. BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda