Popular Today

Jumaat, Jun 06, 2008

Dr M: K'jaan mampu kekal subsidi

Syed Jaymal Zahiid | Jun 5, 08 8:59pm
Berdasarkan kepada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat minyak negara, Petronas, kerajaan sebenarnya mampu untuk mengekalkan subsidi bahan bakar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mantan perdana menteri itu yang juga penasihat Petronas menulis dalam blognya hari ini bahawa langkah mengurangkan subsidi secara berperingkat adalah pilihan lebih baik memandangkan beban kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Malaysia mengeluar lebih kurang 650,000 tong minyak sehari. Kita guna 400,000 tong dan selebihnya 250,000 tong dieksport, yang memberi pulangan RM27 juta.

"Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang.

"Selain minyak, harga minyak sawit, getah dan timah juga meningkat lebih kurang 400 peratus. Keuntungan syarikat perladangan dan bank-bank juga mencecah sehingga RM3 billion tiap satu. Cukai yang dibayar juga sudah tentu mengalami peningkatan yang tinggi.

"Saya percaya jika subsidi dikekalkan dan dikurangkan secara berperingkat ianya tidak akan mengekang kewangan kerajaan," tambahnya.

Ekoran kenaikan harga tersebut, katanya, semua barangan pengguna yang lain, perkhidmatan dan barangan mewah, akan turut mengalami peningkatan harga.

Ini, katanya, akan disusuli oleh peningkatan kos sarahidup, akan tercetus inflasi dan taraf hidup rakyat akan menurun.

"Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat," katanya.

Apung ringgit

Dr Mahathir juga menyifatkan keputusan kerajaan untuk mengapungkan ringgit sebagai satu keputusan yang tidak baik kerana kenaikan harga bahan api telah meningkatkan beban rakyat.

"Pertamanya, Kerajaan tidak patut mengapungkan Ringgit. Kadar apungan menyebabkan ketidak-tentuan nilai Ringgit dan kita tidak akan meraih apa-apa keuntungan daripada kekuatan Ringgit.

"Sudah tentu rakyat tidak menikmati peningkatan kuasa membeli walaupun terdapat peningkatan nilai Ringgit dari segi tukaran dengan Dollar Amerika," katanya.

Menjelas lebih lanjut mengenainya, Dr Mahathir berkata jika Kerajaan teruskan sistem tambatan kadar dan menaikkan nilai Ringgit pada kadar 10 peratus pada satu masa, kos import, dalam Ringgit boleh dipantau dan dikurangkan sebanyak 10 peratus. Pada kadar kenaikan 20 peratus, kos import patutnya turun 20 peratus.

"Tetapi kita tahu harga barangan import dan perkhidmatan tidak kurang. Ini bermakna kita bayar 20 peratus lebih tinggi untuk import termasuk bagi bahan mentah dan komponen untuk industri," tambahnya.

K'jaan tunduk pada IMF

Kerajaan, dakwa Dr Mahathir, sebaliknya hendak turut Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, dengan mengapung Ringgit dan akibatnya, kekuatan Ringgit hanya meningkatkan kos export tanpa memberi sebarang keuntungan kepada rakyat menerusi kekurangan kos import.

"Ini bukanlah kecerdikan selepas sesuatu itu terjadi. Saya telah beritahu seorang menteri kerajaan supaya Ringgit tidak diapungkan tiga tahun lalu. Memanglah saya bukan pakar dan saya hanya tahu serba sedikit tentang rejim kewangan antarabangsa," tambahnya dalam nada sinis.

Dr Mahathir berkata, dunia sedang menghadapi kecelaruan ekonomi akibat penurunan nilai Dollar Amerika, krisis pinjaman sub-prima, kenaikan harga minyak dan bahan mentah, kekurangan makanan.

"Malaysia juga akan terjejas kesan daripada semua masalah ini. Saya tertanya-tanya adakah Kerajaan bersedia untuk menghadapi semua ini," tulisnya.

Bagaimanapun, katanya, mesti mestilah ada cara untuk mengatasinya agar beban yang terpaksa ditanggung rakyat dapat dikurangkan.

"Saya harap yang kerajaan tidak akan melepaskan sahaja segala masalah ini kepada rakyat seperti yang digambarkan cadangan untuk menilai harga minyak setiap bulan," katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda