Popular Today

Rabu, Mei 28, 2008

Isu Islam Hadhari - Pembangkang cakap tak serupa bikin

0 Komen!!!
Semalam negara kita dimainkan isu penolakan pelaksanaan Islam Hadhari oleh kerajaan PKR Selangor dan diikuti dengan Pulau Pinang dan hari pakatan pembangkang menyeru kerajaan negeri Perak untuk menolak pelaksanaan Islam Hadhari.

Rupanya dalam diam-diam Islam Hadhari telah dilaksanakan. Apa yang dirisaukan sangat sebenarnya oleh pakatan pembangkang. Apa yang ada dalam Islam Hadhari yang mahu ditinggalkan adakah Keimanan dan Ketakwaan Kepada Allah, Kerajaan Adil dan Beramanah,
Rakyat Berjiwa Merdeka, Penguasaan Ilmu Pengetahuan, Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif, Kehidupan Berkualiti, Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita,
Keutuhan Budaya dan Moral, Pemeliharaan Alam Semulajadi dan Kekuatan Pertahanan.

Pakatan patut terangkan dengan lebih jelas di mana, prinsip apa Islam Hadhari yang perlu ditinggalkan.

Cuma hendak tanya PAS yang bising sangat konon hendak pertahankan Islam, bagaimana dengan hasrat mereka untuk penubuhan Negara Islam. Rasanya tidak selesai lagi dengan DAP. Takut sangat ke DAP dan karpal Singh tu ke?.. Sehingga Karpal pertikai kuasa Sultan pun masih mempertahankan lagi..

Dia pernah berada di dua parti...UMNO yang terbaik

0 Komen!!!
Kemas Kini : Agenda Daily

Bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor sah memohon untuk menyertai semula UMNO apabila menyerahkan borang permohonan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang Rabu dengan yuran sebanyak RM100 untuk menjadi ahli seumur hidup parti itu.

Abdullah dalam sidang media selepas pertemuan kita-kira setengah jam dengan Ezam berkata, kemasukkan Ezam boleh memperkukuhkan perjuangan UMNO.

“Ya dia mohon untuk masuk UMNO… pada saya kalau masuk UMNO tentu akan membantu untuk kebaikan dan kekuatan UMNO kalau tidak buat apa masuk UMNO tentu ada niat untuk sama-sama berjuang dalam UMNO… UMNO parti politik bukan syarikat kalau syarikat tentu nak cari untung,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan-soalan wartawan berhubung hasil pertemuan beliau dengan Ezam yang berlangsung di pejabatnya di bangunan Parlimen.

Menjelaskan kepada beberapa soalan, Abdullah berkata, Ezam ingin kembali kepada UMNO dan akan terus berjuang dalam parti sesuai dengan matlamat serta perjuangan parti itu.

Ditanya adakah Ezam akan menjadi ‘musuh dalam selimut’ kepada UMNO kerana beliau terlalu rapat dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah menjelaskan “ Tak de lah, saya ingat dia ikhlas…bila dia nak masuk saya terimalah dan boring yang diserahkan akan dihantar kepada cawangan berkenaan”.

Ditanya adakah Ezam akan diberikan tanggungjawab khusus untuk menawan semula Selangor, Abdullah menjelaskan, tiada tugas khusus diberikan kepada Ezam buat masa ini.

Kepada satu soalan apakah keistimewan Ezam hingga membawa kepada penerimaanya kembali semula ke UMNO, Presiden UMNO itu berkata “Keistimewaannya dia dah berada di kedua-dua parti dan akhirnya melihat UMNO lebih baik”.

Ditanya adakah akan ada bantahan khususnya dari Pemuda UMNO terhadap penerimaan kemasukan semula Ezam ke dalam UMNO, beliau berpendapat perkata itu tidak timbul.

Terdahulu semasa tiba di bangunan Parlimen, Ezam berkesempatan bertemu dengan beberapa ahli Jawatankuasa Pengurusan UMNO. Antaranya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Bendahari UMNO, Datuk Seri MOhd Azim Zabidi.

Ezam yang datang diiringi oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Wan Salleh.- 28/5/2008

Badrul tidak berhasrat masuk Umno

0 Komen!!!
May 28, 08 4:52pm (Malaysia kini)

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyertai Umno dan menolak sebarang kaitan dengan kemasukan semula bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor ke dalam Umno.

Ezam telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang tadi.

"Saya juga menafikan bahawa Ezam ada memujuk saya memasuki Umno dan jauh lagi menawarkan habuan untuk saya memasuki Umno atau keluar PKR," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini sebuah blog mendakwa "satu pertemuan sulit" berlangsung antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.

Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".

"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut dari mesej emel yang dikirimkan kepadanya.

"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno," kata blog itu lagi.

Enggan komen

Badrul Hisham dan Ezam aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.

Ketika dihubungi Malaysiakini Isnin lalu bertanyakan mengenai perkara tersebut, Badrul Hisham menjawab: "Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam. Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen."

Dalam kenyataan hari ini, Badrul Hisham berkata, beliau kurang pasti niat mengenai laporan pelbagai media yang melaporkan ada pertemuan sulit antara beliau dengan Ezam.

"Memang diakui saya ada bertemu beliau dan kerap berhubung dengan beliau mutaakhir ini, sebagai seorang teman. Tiada pertemuan sulit.

"Kami membincangkan secara serius mengenai masa depan GERAK sebuah gerakan muda yang memfokuskan usaha pembanterasan rasuah dan pemerkasaan demokrasi yang saya terlibat membantu Ezam menubuhkanya.

"GERAK telah diserahkan kepada sekumpulan anak muda untuk mengekalkan sikap non-partisan demi matlamat kelahirannya yang lebih besar," tambahnya.

'Ezam masih teman saya'

Sebelum ini, kata Badrul Hisham, beliau mengelak memberikan komen kerana melihat perkembangan Ezam yang sememangnya sudah setahun lebih keluar parti, tidak perlu diperbesarkan.

"Saya tidak mahu terperangkap untuk memberi komen dalam peristiwa yang kurang penting. Saya selaku MPT yang dipilih melalui pertandingan parti, tidak akan sekali kali mengkhianati mandat yang diberikan kepada saya oleh perwakilan parti.

"Ezam masih teman saya. Semoga beliau tidak 'hanyut' dalam Umno," tambahnya.

Badrul Hisham berkata, beliau percaya rakan-rakan MPT yang lain juga sedang secara serius dan bersungguh-sungguh mempersiapkan PKR dan Pakatan Rakyat yang berada di peringkat akhir untuk mengambil alih kerajaan pusat.

"Saya menyeru seluruh pimpinan, ahli parti dan aktivis reformasi terus bekerja keras demi merealisasikan agenda pemerkasaan kedaulatan rakyat," tambahnya.

Kemasukan Ezam dalam Umno tanpa syarat, keistimewaan: PM

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor kembali ke dalam Umno.

"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Ezam menemui beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata Majlis Tertinggi Umno tidak membantah kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.


Ditanya sama ada langkah Ezam itu memberi satu semangat baru kepada Umno beliau berkata kemasukan orang menyertai Umno tentulah membantu kepada kekuatan Umno.

"Kalau tidak, buat apa nak masuk Umno. Tentulah ada niat untuk berjuang sama-sama dalam Umno.

"Umno adalah parti politik bukan sebuah syarikat. Kalau syarikat, nak (cari) untung,” katanya.

Ditanya sama ada sumbangan daripada Ezam mungkin berbeza berbanding jika anggota biasa menyertai Umno kerana sebelum ini beliau memegang jawatan kanan dalam PKR, Abdullah berkata: “Oh gitu ka? Kita tengoklah nanti apa akan berlaku.” - Bernama

kemas kini

Ezam sertai semula Umno - Malaysia Kini
Muda Mohd Noor May 28, 08 11:54am
Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno hari ini.

Bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyerahkan borang keahlian tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini.

Beliau menyerahkan borang tersebut ketika mengadakan pertemuan dengan presiden Umno itu di bangunan Parlimen petang tadi.

Perkara tersebut diumumkan oleh Abdullah selepas pertemuan selama 30 minit dengan Ezam itu.

Ezam yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut tidak membuat sebarang kenyataan. Beliau dijangka mengadakan sidang akhbar esok.

Abdullah juga berkata, Ezam menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat atau keistimewaan.

Sebelum ini, Ezam dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas menyertai semula Umno.

Abdullah berkata, Ezam mahu kembali semula kepada Umno dan parti itu mengalu-alukannya.

"Dulu dia di luar dan kritikal terhadap parti. Kini sudah ubah fikiran, mungkin kerana merasa Umno adalah landasan lebih baik untuknya," kata perdana menteri.

'Kabinet reformasi' mesti luluskan PSM

0 Komen!!!
Jimadie Shah Othman (Malaysia kini)| May 28, 08 3:44pm
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula keputusannya menolak pendaftaran parti itu berikutan sikap kerajaan yang lebih positif dalam bidang reformasi sistem kenegaraan selepas pilihanraya umum lalu.

Gesaan itu disampaikan dalam satu memorandum yang diserahkan oleh pengerusi penaja PSM Dr Mohamed Nasir Hashim dan setiausaha agungnya S Arutchelvan kepada kementerian di Putrajaya pagi ini.

"Seluruh negara dan dunia mengakui wujudnya parti PSM. Ada wakil PSM (di dewan undangan negeri dan Dewan Rakyat, masing-masing) Dr Nasir dan Dr Jayakumar (Devaraj) di Sungai Siput.

"Semua pihak merujuk kita sebagai PSM. Masalahnya hanya menteri belum bagi kita pendaftaran,” kata Arutchelvan selepas menghantar memorandum itu.

Dr Mohamed Nasir dan Dr Jayakumar masing-masing menang di kerusi-kerusi negeri Kota Damansara, Selangor dan parlimen Sungai Siput, Perak atas tiket PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Memorandum itu menuntut PSM didaftarkan segera tanpa pilih kasih selepas menunggu sepuluh tahun dan setelah melalui proses mahkamah yang panjang.

Parti itu menganggap KDN "berniat jahat" dan mencabul hak berpersatuan apabila enggan meluluskannya sedangkan beberapa parti boleh didaftarkan dengan dalam beberapa bulan sahaja, seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) pimpinan Datuk KS Nallakaruppan.

Dalam usaha melemahkan PBS di Sabah pada 1994, menurut memorandum PSM lagi, beberapa parti mendapat kelulusan pendaftaran dengan begitu pantas antara 24 jam hingga dua minggu, masing-masing SPP, PDS dan SUPP.

Arutchelvan juga menyifkan keengganan KDN sebagai "diskriminasi, berniat jahat, pilih kasih dan bermotifkan politik."

"Kalau kita tengok baru-baru ini parti Nallakaruppan diberi pendaftaran hanya kerana parti itu akan menyertai BN. Semua parti yang dibenarkan pendaftaran adalah yang pro-BN.

"Jadi kita nak, apa yang dipanggil sebagai 'kabinet reformasi' ini dapat melihat hal sebagai sebuah hak," katanya.

Selepas BN tewas teruk dalam pilihanraya umum ke-12, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan barisan anggota jemaah menteri sebagai “kabinet reformasi”.

Abdullah turut mengambil langkah perubahan seperti tuntutan popular, antaranya meluluskan permit penerbitan akhbar PKR, membayar ex-gratia kepada bekas hakim-hakim kanan yang terlibat dalam krisis 1988, dan merombak semula Badan Pencegah Rasuah (BPR).

PM terima permohonan Ezam masuk Umno

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penyerahan borang itu disampaikan sendiri oleh Ezam kepada Abdullah yang juga Perdana Menteri di bangunan Parlimen, hari ini. - Utusan


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima permohonan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Nor kembali ke dalam Umno. - Bernama

Idris Jusoh letak jawatan Pengerusi UMNO Negeri

0 Komen!!!
28/05/2008 4:48pm


KUALA TERENGGANU 28 Mei _ Bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagi mengukuhkan kekuatan UMNO di negeri ini.- Utusan

Kecoh wakil pembangkang berbisik kepada Yang Dipertua

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 27 Mei - Selepas 'pesta suka ria' di lobi Parlimen minggu lalu, seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini melakukan satu lagi kejutan apabila bertindak naik ke tempat duduk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semasa dewan sedang bersidang untuk membisikkan sesuatu ke telinga beliau.

N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bertindak demikian dengan alasan untuk menjelaskan kepada Pandikar Amin perkataan Tamil 'okkaru' (bererti duduk) yang disebut oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron semasa meminta Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) untuk duduk.

Insiden itu menimbulkan bantahan penyokong kerajaan yang menyifatkan ia sebagai biadap dan ala samseng serta tidak boleh dimaafkan kerana perbuatan itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah Dewan Rakyat.

Perkataan Tamil itu digunakan oleh Idris pada sesi soal jawab bagi menyuruh Mohd. Nasir duduk setelah beliau terus bangun mencelah kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri itu.

Ia menaikkan kemarahan wakil rakyat pembangkang termasuk Gobalakrishnan dan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) kerana sebutan tidak tepat boleh membuatkan maknanya bertukar menjadi lucah.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang marah dengan perilaku wakil rakyat pembangkang itu yang disifatkan sebagai ala samseng bangun membangkitkan Fasal 36 (12) Peraturan Mesyuarat.

Fasal itu membolehkan Gobalakrishnan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk dikenakan tindakan.

"Saya sudah tiga penggal di Dewan ini, inilah pertama kali kejadian seperti ini berlaku," tegas Bung Mokhtar.

Desakan Bung Mokhtar itu mendapat sokongan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang menyokong supaya Gobalakrishnan dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Kulasegaran yang tidak berpuas hati kemudian bangun mencelah supaya Idris memohon maaf serta menarik balik kenyataannya itu.

"Bahasa lucah sudah digunakan. Mungkin Yang Berhormat (Idris) tak tau nak sebut dengan betul.

"Kalau tak tau jangan gunakan perkataan itu kerana bila salah sebut ia membawa maksud lain," kata Kulasegaran.

Bangun mempertahankan diri, Idris meminta dua wakil rakyat pembangkang berkenaan membetulkan sebutannya yang dianggap lucah itu kerana yang dimaksudkan sebenarnya ialah duduk.

Idris kemudiannya menggunakan perkataan Mandarin kepada Kulasegaran pula iaitu 'zuo xia' yang juga bermaksud duduk.

Kekecohan reda apabila Ketua Whip wakil rakyat pembangkang, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun dan meminta Gobalakrishnan meminta maaf kepada Yang Dipertua dan berharap perkara itu tidak berulang.

''Setelah saya merujuk kepada Ketua Pembangkang (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), saya dengan ini memohon Yang Berhormat Padang Serai untuk bangun meminta maaf atas tindakannya sebentar tadi," tegasnya.

Gobalakrishnan kemudiannya bangun dan meminta maaf dengan membuat kenyataan ringkas: '' Saya pohon maaf kerana saya buat tanpa sedar."

Pandikar Amin kemudiannya mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak menggunakan perkataan yang tidak selaras dengan etika Parlimen.

Katanya, Gobalakrishnan tidak perlu bertindak demikian kerana ia tidak selaras dengan etika Parlimen.

"Lama-lama Parlimen kita akan jadi macam Parlimen negara lain sehingga pembangkang dan wakil kerajaan melempar kasut, buku dan kerusi. Speaker juga diserang nasib baik yang berhormat Padang Serai tidak serang, dia cuma berbisik," katanya.

Sementara itu, Gobalakrishnan yang ditemui di lobi Parlimen mempertahankan tindakannya bukan perbuatan yang salah.

"Saya minta maaf kerana ini yang dimahukan penyokong kerajaan dan kerana tidak mahu kekecohan dipanjangkan sehingga 15 minit lagi," jelasnya.

Kongsi Link Anda