Pengikut Setia

IKLAN1

Rabu, Mei 27, 2009

Sejarah kekejaman Komunis Malaya

Parti Komunis Malaya

Pengenalan

Ideologi komunis tiba di Tanah Melayu pada tahun1920-an terutamanya di sekitar tahun 1925. Imigran Cina telah membawa buku-buku dan risalah-risalah mengenai ajaran komunis dan disebarkan di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. Hasil dari kegiatan mereka, guru-guru dan murid-murid sekolah Cina telah menubuhkan Liga Belia Komunis di Singapura pada tahun 1926. Sehingga 1927, komunis di Tanah Melayu bergerak di sebalik Parti Kuomintang (KMT) kerana wujudnya kerjasama antara Parti Komunis China (PKC) dan KMT di China. Perpecahan KMT-PKC pada tahun 1927 telah menyebabkan PKC menghantar 5 orang wakilnya ke Tanah Melayu. Mereka telah berjaya menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada tahun 1927. Agen-agen komintern yang tiba di Tanah Melayu pada tahun 1928 telah mencadangkan supaya Parti Komunis Nanyang disusun semula. Pada 6 April 1930, satu persidangan komunis telah diadakan di Singapura dan hasilnya lahirlah Parti Komunis Malaya (PKM) yang beribu pejabat di Singapura.

1930-1941
PKM telah diarah untuk menyelia gerakan komunis di Thailand dan Indonesia selain menjalankan kegiatannya di Tanah Melayu. PKM telah diletakkan di bawah Biro Komunis Antarabangsa Timur Jauh yang berpusat di Shanghai. Sejak ditubuhkan, PKM terpaksa menjalankan kegiatan mereka secara sulit kerana parti ini diharamkan disebabkan kegiatan anti-British yang dijalankan dianggap mengganggu ketenteraman awam.

Sejak 1930 agen-agen komintern mula dihantar ke Tanah Melayu untuk membantu kegiatan PKM. Pada Jun 1931, seorang agen kanan komintern dari Parsi iaitu Joseph Dacroux telah tiba di Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, beliau telah ditangkap tidak lama selepas ketibaannya di Singapura. Penangkapan dan pengakuannya telah mendedahkan maklumat penting mengenai PKM sehingga menyebabkan ramai anggota dan pemimpin termasuk 14 ahli jawatankuasa PKM ditangkap. Peristiwa ini telah melemahkan PKM.

Sejak tahun 1932, kegiatan PKM mulai pulih apabila mereka diarah untuk melatih pemimpin dan anggota baru. Pada 6 Mac 1933 satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura untuk merangka perlembagaan PKM. Mesyuarat tersebut telah membuat ketetapan bahawa matlamat utama perjuangan PKM ialah menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Sejak itu, mereka menjalankan gerakan aktif, mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja, sekolah-sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Mereka telah berjaya menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja semasa berlakunya kemelesetan ekonomi 1930-an. Bagi melumpuhkan ekonomi dan politik Tanah Melayu supaya PKM mudah merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan-kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya banyak permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada 1936-1937. Sebagai contoh, satu permogokan besar berlaku di lombong bijih timah Batu Arang, Selangor pada 1937 di mana 6000 pekerja telah berjaya merampas lombong tersebut dari pihak majikan. Berikutan dengan peristiwa permogokan, kerajaan telah mengisytiharkan Banishment Ordinance pada tahun 1937 yang mengharamkan permogokan. Akibatnya ramai pemimpin dan anggota PKM ditangkap kerana melanggar undang-undang tersebut. Mereka ini sama ada dipenjarakan atau dihantar pulang ke China. Peristiwa ini sekali lagi melemahkan PKM.

Apabia Jepun menyerang China pada tahun 1937, PKM memainkan peranan penting dalam membangkitkan perasaan anti-Jepun di kalangan orang Cina di Tanah Melayu. PKM telah menjalankan kutipan derma dan menggalakkan pemuda Cina di Tanah Melayu kembali ke China untuk menentang Jepun. Akibat dari kegiatan mereka, PKM mula mendapat sokongan ramai terutamanya daripada orang-ornag Cina. Buktinya pada tahun 1939, PKM sudah mempunyai anggota berdaftar seramai 37 ribu orang. Semasa Peperangan China-Jepun, PKC telah mengarahkan PKM menghentikan kegiatan anti-British dan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Arahan ini telah menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin dan anggota PKM kerana golongan radikal mahu mengambil kesempatan ini mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya. Akibatnya, komintern telah mengarahkan Setiausaha Agong Lai Teik menyatupadukan anggota PKM. Lai Teik telah berjaya meyakinkan mereka bahawa kerjasama dengan British hanya sebagai muslihat dalam usaha untuk mencapai matlamat PKM.

1941-1945

Apabila Jepun menyerang Tanah Melayu sikap orang ramai terutamanya orang Cina terhadap PKM telah berubah. PKM mula mendapat sanjungan dan pengikut yang ramai kerana PKM dianggap sebagai pelindung orang Cina daripada penindasan Jepun. Semasa Jepun menguasai Tanah Melayu, anggota PKM telah melarikan diri ke dalam hutan dan bekerjasama dengan British dengan menyertai Malayan Anti-Japanese Union (MAJU) yang dianjurkan oleh British. Sebelum Tanah Melayu dikuasai oleh Jepun, anggota-anggota PKM yang dipenjarakan oleh British telah dibebaskan oleh British dengan harapan PKM yang anti-Jepun akan bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. PKM telah menubuhkan pasukan tentera anti-Jepun yang dikenali sebagai Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Mereka mendapat latihan dan bantuan seperti makanan, senjata dan perubatan dari Pasukan Berikat. MPAJA juga mengadakan hubungan baik dengan pasukan 136 yang ditubuhkan oleh British. Henry Miller dalam bukunya “The Jungle War in Malaya” menegaskan terdapat kira-kira 200 anggota PKM mendapat latihan dari British sebelum jatuhnya Singapura pada 15 Februari 1942. Semasa pendudukan Jepun, PKM melakukan serangan hendap ke atas tentera Jepun dan menjalankan pengintipan untuk British. Pengalaman yang diterima semasa pendudukan Jepun amat menguntungkan PKM terutamanya ke arah menjayakan matlamat perjuangan mereka.

Apabila Jepun menyerah kalah, anggota PKM keluar dari hutan dan mengambil alih pentadbiran sebelum ketibaan pihak British. Pemerintahan PKM berlangsung selama 2 minggu dan dikenali sebagai “Bintang Tiga”. Mereka telah merayakan kekalahan Jepun sebagai kemenangan mereka dan mendakwa merekalah bertanggungjawab mengalahkan Jepun di Tanah Melayu. Mereka telah merampas senjata tentera Jepun untuk digunakan dalam perjuangan mereka. Seterusnya, mereka telah melakukan kekejaman ke atas orang yang enggan bekerjasama dengan mereka lebih-lebih lagi yang menjadi “tali barut” Jepun. Akibat tindakan PKM, berlakulah pergaduhan di antara kaum Melayu dengan Cina terutamanya di Perak dan Johor selepas pemerintahan Jepun.

Apabila British kembali ke Tanah Melayu, mereka telah mengambil alih pentadbiran dari Bintang Tiga dan MPAJA dibubarkan. Anggota-anggota MPAJA diminta menyerahkan senjata mereka kepada British. Pada 1 Disember 1945, 6800 anggota MPAJA telah menyerahkan senjata mereka dan dibayar sagu hati sebanyak $350 seorang. Walau bagaimanapun, dipercayai masih ramai anggota MPAJA yang tidak menyerahkan senjata kerana mereka tidak yakin dengan dasar British terhadap PKM.

1945-1948

PKM telah menuntut supaya merek diberi hak dalam pentadbiran. Kerana mengenangkan jasa PKM bekerjasama dengan British menentang Jepun, PKM telah diterima sebagai parti yang sah. Sejak itu, PKM mula menubuhkan cawangannya di seluruh Tanah Melayu untuk menambahkan anggotanya. Sejak tahun 1945, PKM berusaha mencapai matlamat menguasai Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis Malaya melalui perlembagaan. PKM akan menganjurkan “Gerakan Massa” untuk memaksa British memberi Tanah Melayu berkerajaan sendiri dan kemerdekaan. PKM juga menjalankan gerakan secara aktif mempengaruhi parti-parti politik, kesatuan-kesatuan sekerja, pertubuhan Cina dan sekolah Cina. Untuk mendapat sokongan pekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Buruh Am dan untuk mendapat sokongan belia, PKM menubuhkan Liga Belia Demokratik Baru pada tahun 1946. Bagi menguasai kesatuan sekerja, PKM telah menubuhkan Kesatuan Sekerja Pusat, contohnya, PKM yang menubuhkan Pan-Malayan Federation of Trade Union (PMFTU) telah menguasai semua kesatuan sekerja yang bergabung di bawah PMFTU. Bagi melumpuhkan ekonomi supaya memudahkan PKM merampas kuasa, mereka telah mempengaruhi kesatuan sekerja melakukan permogokan. Akibatnya 300 permogokan telah dipengaruhi oleh PKM telah berlaku di Tanah Melayu dan Singapura pada 1946-1947. Bagi menghadapi permogokan tersebut, British telah melaksanakan undang-undang kesatuan sekerja yang mendorong pemimpin parti politik supaya tidak menjadi pemimpin kesatuan sekerja. Tindakan tersebut telah menghancurkan PMFTU yang dikuasai oleh PKM.

Pada 15 Februari 1946, PKM telah menganjurkan satu perarakan besardi Singapura bagi memperingati kekalahan British di tangan Jepun pada 15 Februari 1942. Tujuannya ialah menjatuhkan maruah British serta menunjukkan kekuatan PKM. Pada 22 Disember 1946, PKM telah menyertai AMCJA bagi menggagalkan penubuhan PTM. Pada 6 Mac 1947, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM telah diadakan di Singapura bagi mengkaji semula dasar dan taktik PKM. Setiausaha Agong PKM, iaitu Lai Teiktidak menghadirinya dan beliau telah hilang diri bersama-sama wang parti. Akibatnya, pimpinan PKM jatuh ke tangan golongan radikal pimpinan Ong Boon Hua yang lebih dikenali sebagai Chin Peng. Pada 18 dan 19 Februari 1948, satu persidangan komunis telah diadakan di Calcutta, India dan dihadiri oleh perwakilan komunis dari Asia serta Australia. PKM diwakili oleh Lee Soong. Persidangan Calcutta telah membuat ketetapan bahawa pemberontakan bersenjata mesti dijalankan bagi menjayakan matlamat perjuangan komunis.







1948-1954

Berikutan dengan keputusan Calcutta, PKM mula mengubah dasar dan taktiknya sejak tahun 1948. Sejak itu, PKM berusaha untuk mencapai matlamat melalui pemberontakan bersenjata. Langkah ini juga diambil akibat kegagalan PKM untuk mencapai matlamat melalui perlembagaan yang dijalankans sejak tahun 1945. PKM menubuhkan pasukan tentera antu-British yang dikenali sebagai Malayan People Anti British Army (MPABA) yang di bawah pimpinan pengerusi jawatankuasa pusat tentera PKM iaitu Law Yew. Antara pemimpin lain ialah Law Lee dan Yeng Kuow. Kebanyakan anggota MPABA terdiri daripada bekas anggota MPAJA. Bagi menjayakan matlamatnya, PKM akan menggunakan strategi Mao Tze Tung. Mengikut strategi ini, PKM akan menguasai kawasan pedalaman di mana kawalan kerajaan amat lemah. Kawasan ini akan diwujudkan sebagai kawasan bebas daripada kawalan kerajaan. Dari kawasan ini, PKM akan menyerang dan menguasai bandar-bandar di sekitarnya dan seterusnya menyerang dan menguasai seluruh Tanah Melayu. Bagi melumpuhkan ekonomi, PKM mempengaruhi kesatuan sekerja mengadakan permogokan. Akibatnya banyak permogokan berlaku di Tanah Melayu termasuk Singapura pada bulan Mei dan Jun 1948. PKM meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Dalam keganasan tersebut, PKM telah berjaya membunuh 3 orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak pada 16 Jun 1948. Berikutan dengan peristiwa itu, kerajaan mengisytiharkan Darurat di seluruh Tanah Melayu pada 17 Jun 1948 dan Undang-undang Darurat dikeluarkan pada 23 Julai 1948 di mana PKM diharamkan. Akibat pengisytiharaan Darurat, anggota PKM melarikan diri ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka menyerang pasukan keselamatan dan juga orang awam terutamanya peladang-peladang dan pelombong-pelombong Eropah. Pejabat-pejabat kerajaan terutamanya Balai Polis menjadi sasaran PKM. Mereka memusnahkan sistem hubungan jalan raya dan jalan keretapi. PKM juga menyerang ladang-ladang bijih timah di mana pokok getah dan jentera perlombongan dimusnahkan untuk menyekat pengeluaran bagi melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Dalam usaha untuk mendapat bantuan, PKM menubuhkan pasukan propaganda “Min Yuan” yang terdiri daripada setinggan-setinggan Cina yang tinggal di pinggir hutan. Edger O. Balance dalam bukunya “The Communist Insurgent War 1948-1964” menegaskan terdapat antara 30-40 ribu anggota “Min Yuan” pada peringkat awal pemberontakan PKM. Dalam usaha untuk menakutkan orang ramai dan menjejaskan pasukan keselamatan, PKM menjalankan kempen membunuh pegawai tinggi kerajaan. Akibat dari kempen itu, mereka telah berjaya membunuh Pesuruhjaya Tinggi British, Henry Gurney pada 6 Oktober 1951 semasa beliau dalam perjalanan ke Bukit Fraser.

Pada September 1951, satu mesyuarat jawatankuasa pusat PKM diadakan di Pahang untuk mengkaji semula taktik PKM. Apabila menyedari keganasan mereka lakukan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap PKM menyebabkan mereka berusaha untuk mengelakkan serangan ke atas orang awam. Sejak September 1951, serangan hanya dilakukan ke atas pasukan keselamatan, orang Eropah, pengintip kerajaan dan bekas anggota PKM yang berpaling tadah. Pada 1950-an, mereka meneruskan usaha meresapi parti politik, kesatuan sekerja, sekolah Cina dan pertubuhan Cina. Menjelang tahun 1954, ternyata perjuangan PKM menemui kegagalan kerana ramai anggotanya dibunuh, ditangkap atau menyerah diri.

Terbunuh: 16 Jun 1953 6304 (1948-1953)
Jun 1954 9581 (1948-1954)

Tertangkap: 1948 5097
1951 11000
1954 2000

Dihantar pulang:1950 7000
1954 10000

2 ulasan:

-J- berkata...

tolong tgk link ini...
terima kasih...
selamat...

http://my.88db.com/my/Services/Post_Detail.page/Business/Business_Services/?PostID=243328

Aku_Budak_Jasin berkata...

Salam.. Mohon entri ini dunakan di blog pemudaumnojasin.blogspot .com kerana butiran yang sangat menarik... Terima kasih