Popular Today

Rabu, Mei 27, 2009

Jangan lupa kekejaman Chin Peng dan PKM!

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyelar usaha pihak tertentu untuk menyebarkan sentimen komunisme di negara ini.

Menurut Rais, beliau bimbang kerana sesetengah pihak kini didapati cuba membangkitkan sentimen itu di media cetak dan blog melalui isu membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke negara ini.

“Inilah yang kita anggap satu kedurjanaan, unsur-unsur ini langsung tidak peka dengan pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini di tangan gerila komunis antara tahun 1948 hingga 1960 dulu. Saya yakin rakyat Malaysia tidak mudah tertipu,” katanya semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, kementeriannya sedang bekerjasama rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membendung sentimen itu daripada terus merebak.

Selain PDRM, beliau yakin dengan kecemerlangan perisikan dalam ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang disifatkannya berada pada tahap tertinggi.

4 ulasan:

kifli berkata...

Roh Komunis Masih Kuat Dalam Umno!!









Saya tidak dapat menahan ketawa apabila membaca kenyataan Dr. Rais Yatim kelmarin yang menyatakan "tiada tempat untuk komunis di Malaysia".

Tiada tempat untuk komunis di Malaysia? Tiba-tiba saja Rais bercakap macam orang nyanyuk, orang yang tidak mengenali sejarah negara sendiri.

Komunis bukan saja ada tempat di Malaysia, tapi sudah lama bertempat di negara ini, lama sebelum Dato Onn pengasas Umno itu mendapat ilham untuk menubuhkan Umno. Partai Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan pada tahun 1930 iaitu 16 tahun sebelum Umno ditubuhkan pada 1946. Jika Umno menganggap ia parti tertua di negara ini tapi PKM adalah 16 tahun lebih tua berbanding Umno. Jika Umno menganggap ia berjuang menentang penjajah, PKM juga berjuang menentang penjajah 16 tahun sebelum Umno lagi. Malah PKM bukan saja berjuang menentang British, tetapi juga menentang Jepun dengan melahirkan sayap yang bersekutu dengannya bernama Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA). Yang membezakan perjuangan mereka menentang penjajah barangkali cuma satu - PKM berjuang dengan darah dan keringat, manakala Umno lebih kepada perjuangan menerusi persefahaman dan persahabatan dengan British. Jadi kenyataan Rais bahawa komunis tiada tempat di negara ini sangat lucu, kerana mereka telah wujud di sini sejak hampir 80 tahun dahulu lagi!

Walupun Umno ingin mahu kelihatan berbeza dengan komunis, tetapi antara dua parti itu banyak persamaannya. Persamaan itulah yang menyebabkan kerajaan membenarkan kedutaan negara-negara komunis dibina di negara ini bermula dengan Soviet Union pada 1967 dan akhirnya Republik Rakyat Cina pada tahun 1974. Jadi jika sudah begitu lama kita mengiktiraf negara komunis dan membenarkan kedutaan mereka bertapak dan bertempat di sini, mengapa Dr Rais kata tiada tempat untuk komunisme?

Dan yang lebih aneh tentang komunisme di negara ini ialah hubungan erat pemimpin-pemimpin Umno dengan gerakan komunis itu sendiri. Pada tahun 1976, dua tokoh Umno, Datuk Abdullah Ahmad (Setiausaha Politik Tun Razak dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Abdullah Majid (Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri) ditahan di bawah ISA kerana dituduh bersubahat dengan anasir komunis untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat. Tidak lama lepas itu, seorang lagi orang kuat Umno - Sidek Ghouse yang juga Setiausaha Politik Dr Mahathir juga ditahan polis atas tuduhan menjadi agen KGB iaitu polis rahsia Soviet yang sangat digeruni itu.

Jadi jika sejarah telah membuktikan komunisme itu begitu rapat dengan kepimpinan Umno, bagaimana Dr Rais boleh menyatakan fahaman yang telah lama bertempat di negara ini, malah bersarang dalam minda pemimpin-pemimpin Umno itu, sebagai tiada tempat? Apa yang tiada tempatnya jika komunisme sudah lama bertempat?

Satu lagi jika komunisme tiada tempat di negara ini mengapa ciri-ciri negara komunis masih diamalkan di Malaysia? Tahan tanpa bicara, tiada kebebasan akhbar dan pilihanraya tidak telus adalah antara ciri-ciri biasa di negara komunis dan perkara yang sama masih berlaku di Malaysia. Walaupun komunisme telah runtuh di Eropah Timur sejak awal tahun 1990an, namun sistem kediktatoran komunis masih dijadikan asas pemerintahan negara ini yang diterajui Umno dari dahulu sehingga sekarang. Dengan kata-kata lain roh komunis masih sangat kuat dalam jiwa Umno.

Justru Dr Rais, bacalah kembali sejarah negara, sejarah perjuangan komunis dan hubungan komunisme dengan Umno itu sendiri. Anda tidak perlu takut dan terkejut dengan blog pro-komunis yang baru muncul tersebut kerana ciri-ciri komunisme sememangnya masih kuat dalam roh Umno itu sendiri

kifli berkata...

Blog bekas gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang menjadi sasaran kecaman Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam menjawab balas kenyataan keras menteri penerangan hari ini.

Penulis blog tersebut yang memperkenalkan dirinya Mat Amin menyifatkan usaha menghalang penyebaran sejarah perjuangan bersenjata mereka sebagai "tidak demokratik" dan "tidak profesional."

Mat Amin - yang mendakwa bekas gerila Rejimen ke-10, seksyen tentera Melayu PKM - menjelaskan sumbangan, suka dua dan perkembangan pasukannya itu termasuk di kampung perdamaian di Sukhirin di selatan Thailand.

Selain mempertikaikan kenyataan Dr Rais yang ingin membawa penyebaran positif sejarah komunis ke jemaah menteri esok, blog yang sama memuatkan beberapa foto pertemuan pemimpin besar rejimen tersebut beberapa tokoh negara, termasuk Sultan Perak.

Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah dilihat bergambar dalam dua keping foto - masing-masing dengan bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar dan bekas menteri luar bandar Datuk Aziz Samsuddin pada Disember 2007 di satu majlis.

Sekeping lagi memuatkan gambar rombongan Abdullah diterima menghadap Sultan Azlan Shah pada Disember 1998.

Selain ingin membangkitkan isu blog komunis dalam mesyuarat kabinet, Dr Rais juga menggesa orang ramai agar tidak "terburu-buru mengikuti dan meminati penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme."

"Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," beliau dipetik berkata.

Dr Rais juga berkata "tiada tempat untuk golongan komunis di negara ini" sewaktu mengulas seruan agar kerajaan membenarkan pemimpin utama PKM Chin Peng kembali ke Malaysia.

Mat Amin sendiri tidak menduga blognya akan mendapat perhatian besar dan menjadi topik hangat. Akhbar Utusan Malaysia hari ini menjadikan kenyataan menteri itu laporan utamanya.

"Dengan tidak diduga, blog Kampung Perdamaian Sukhirin - Kini Dan Silam telah menjadi topik panas saat ini," katanya.

"Bahan-bahan yang kami paparkan adalah bahan asli yang tidak diputar belit. Apakah ini salah?

"Dalam zaman moden dan demokratik ini, rakyat patut diberi hak untuk mendapat atau menerima maklumat dari perspektif-perspektif yang berlainan malah bertentangan supaya mereka boleh membuat tafsiran-tafsiran yang lebih seimbang serta objektif."

Menurutnya lagi, dalam proses perjanjian damai PKM pada 1989, kerajaan Malaysia pernah menyatakan "ia mengakui sumbangan PKM untuk kemerdekaan, tetapi tidak boleh membuat kenyataan tersebut secara terbuka, biar ahli-ahli sejarah memberi penilaian masing-masing, kerajaan tidak sekat."

"Usaha-usaha yang menghalang mana-mana pihak menceritakan perjuangannya yang sebenar adalah tidak profesional, tidak demokratik dan tidak jujur serta tidak adil," coretnya lagi.

Sementara itu Bernama melaporkan menteri pertahanan menyelar usaha beberapa pertubuhan tidak berdaftar dan parti politik yang sengaja menggalakkan kemunculan semula ideologi komunis dalam negara.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata pihaknya mendapati ada pihak tertentu termasuk beberapa pertubuhan haram yang seakan-akan mengambil kesempatan dengan cuba menghidup dan menyebarkan sentimen mengenai ideologi itu melalui pelbagai cara.

Katanya, tambah mengejutkan apabila ada juga yang seakan cuba membangkitkan dan menyebarkan sentimen itu melalui parti-parti politik.

"Saya tidak dapat memaklumkan secara khusus tentang adanya gerakan untuk hidupkan ideologi komunis dalam negara, tetapi ada macam suatu usaha yang berbaur komunis yang cuba dihidupkan semula oleh beberapa badan yang tidak berdaftar dan ada juga yang mahu hidupkannya melalui parti politik," katanya selepas melawat Markas Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang.

WARIS PAHANG berkata...

Sedih orang Melayu sokong fahaman komunis tidak kiralah dari mana latarbelakang politiknya.

Apa yang penting, jangan beri muka kepada komunis dan orang yang simpati dgn Chin Peng.

kifli berkata...

Konspirasi Umno Barisan Nasional

Masih Ingat Peristiwa Al-maunnah dan KMM? Siapa dalangnya siapa perancang segala konspirasi. mengapa Konspirasi ini dilakukan? Mungkin sebahagian dari kita semua lupa tentang apa yang mampu dilakukan Umno takkala mahu meraih undi, mereka tidak pernah memulihkan perjuangan dan parti mereka, apa yang mereka sentiasa lakukkan merosakkan imej dan kredebiliti Parti lawan sammada dengan cara terang terangan melalui media mahupun konspirasi melibatkkan Polis dan unit cawangan Khas.

Itulah Umno yang sentiasa memperkudakan Polis bagi melanjutkkan talian hayat politik mereka. Peristiwa Al-Maunah dan KMM adalah Konspirasi Umno untuk mengambalikan keyakinan rakyat kepada Umno setelah 2 tahun mereka mengalami kekalahan teruk dalam PRU ke 10 pada tahun 1999 iaitu diera Reformasi. Tujuannya merosakkan imej PAS yang cuba dikaitkkan dengan kumpulan pengganas tak kira puak Taliban, KMM mahupun Al-Maunah.

Ketika itu siapa menteri pertahanannya? tidakkah Najib Tun Razak? masih ingat bagaimana tentera membuat lakonan semula memasukkan puluhan senjata dan pelancar roket didalam Pajero tentera bersama 15anggota? Ia dilakukan dihadapan Najib sebagai Menteri Pertahanan sebagai membuktikan ia bukan sandiwara, Namun semua orang tahu, Almaunah adalah sebuah Sandiwara Umno, dan puluhan bukti boleh kita lampirkan tetapi ketika ini saya bukan mahu membicara soal Al-Maunah tetapi Konpirasi baru Umno.

Anda percaya jika saya katakan Umno sedang merancang Sandiwara dan Konpirasi baru? apakah ia mustahil. Anda mungkin menyangkakan dia sedang cuba memulihkan imej parti , tetapi itu bukan cara mereka, tetapi kini sedang merancang satu Konpirasi baru. Tetapi bukan melibatkkan PAS tetapi DAP ataupun Hindraf. Jika Tahun 1999 Umno hilang sokongan Melayu tetapi berjaya dipulihkan dengan Konpirasi Almaunnah dan KMM, kini anda percaya Konspirasi terbaru mereka melibatkkan kes Komunis?

Ia cuba dilakukan untuk memulihkan Undi Cina , tetapi Umno akan tersilap besar kalau dia menyangkakan tahun 2001 masih sama dengan tahun 2009. Jangan ingat dia boleh menipu Rakyat. Minggu ini sahaja akhbar propaganda mereka Utusan sudah mula membangkitkan isu Komunis dan apakah mereka akan cuba mengaitkan DAP dan Hindraf?

Tujuannya menjauhkan undi melayu kepada DAP dan PKR sebelum mereka berani membubarkan Dun Perak.Anda perhatikan di Utusan semalam , 26mei 2009 dimuka hadapan dengan tajuk besar ” Tolak Komunis” dengan tajuk kecil ditepinya menulis tentang berita penemuan 8 senjata api berupa semi Mesinggan dan pelbagai senjata lain dengan beberapa kelopak peluru di sebuah kilang di Bercham.

Malangnya tiada siapa yang ditangkap. Apa tujuannya berita ini dan isu Komunis cuba digabungkan? Bercham dikenali sebagai kubu kuat DAP, jangan terkejut kalau selepas ini tangkapan ISA akan bermula melibatkan pemimpin DAP. Rais dan Zahid sudah mula membakarkan isu ini. ia seolah olah ada parti politik terlibat. Jangan terkejut dengan sebarang kemungkinan selepas ini. Mereka sudah memulakannya.

Jika mereka melakukan konspirasi Almaunnah dan KMM selepas 2 tahun kemenangan besar barisan Alternatif tahun 1999 kini sudah tiba masanya konspirasi baru dilakukan setelah 2 tahun kemenangan besar Pakatan Rakyat. Tujuannya satu, agar gabungan DAP dan PAS akan retak seperti mana yang berlaku pada Barisan Alternatif pada tahun 2001.

Jadi nasihat saya, DAP dan PKR harus berhati hati membuat kenyataan mengenai Chin Peng dan Komunisme. Kerana Umno sedang memasang perangkap. Mereka hanya menunggu masa memulakannya. Mereka hanya akan membubarkan DUN Perak setelah imej DAP dan PKR berjaya dirosakkan. Tunggu dan lihat..

Lawan tetap Lawan

Kongsi Link Anda