Rabu, Julai 29, 2009

Terkini Inkues kematian Teoh - Keluarga Teoh tetap mahukan Suruhanjaya diRaja

2.58 PM - Keluarga Teoh tetap mahukan Suruhanjaya diRaja

Walaupun telah mendengar penjelasan perdana menteri, keluarga Teoh Beng Hock tetap menuntut sebuah suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian mendiang.

"Kami tetap dengan pendirian meminta sebuah suruhanjaya yang bebas dan adil untuk menyiasat punca kematian abang saya," kata adik perempuannya Teoh Lee Lan.

Lee Lan menceritakan hasil pertemuannya dengan Datuk Seri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya selama setengah jam awal malam tadi.

Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi dilaporkan menyampaikan takziah kepada bapa mendiang Leong Hwee, emaknya Teng Shuw Hoi, abangnya Teoh Meng Kee dan juga tunangnya Soh Cher Wei.

Kit Siang menggesa Najib dan kabinetnya menghormati hasrat keluarga si mati supaya inkues ditangguhkan dan diwujudkan suruhanya diraja untuk mencari punca kematian Beng Hock.

Menurut tokoh DAP itu lagi, dapatan inkues "tidak dapat dipertahankan dan tidak boleh diterima" kerana ia tidak menjadi amalan di negara-negara Komanwel dan di peringkat antarabangsa.

Semalam, Najib dilaporkan menjelaskan kepada keluarga Teoh bahawa suruhanjaya diraja dan inkues merupakan pendekatan serentak bagi mengenal pasti punca kematian Beng Hock.

Najib berkata, pendekatan itu akan dapat memastikan sama ada mana-mana aspek atau tindakan yang diambil, mungkin ada kaitan atau menyebabkan kejadian itu.

Katanya, hasil penemuan siasatan itu akan dianggap sebagai input kepada suruhanjaya diraja itu.


12:36pm - Sampel DNA manusia di pakaian Teoh

Dua sampel DNA manusia dikesan di pakaian Teoh Beng Hock tetapi belum dapat dikenal pasti pemiliknya, kata peguam yang dilantik peguam negara untuk membantu inkues kematiannya.


Satu sampel DNA "manusia" dikesan di baju kot bekas setiausaha politik Ean Yong Hian Wah, dan sampel DNA "lelaki" ditemui di tali pinggangnya.

Polis menjalankan ujian DNA terhadap 90 orang untuk menjejak pemilik sampel DNA.

Pihak berwajib sedang berusaha mendapatkan ujian DNA daripada 12 lagi individu.


10.35 pagi - Mahkamah menangguhan sehingga 5 Ogos

Pada kira-kira jam 9.40 pagi ini, Gobind telah meminta mahkamah menangguhkan prosiding sehingga kabinet membuat keputusan untuk meluaskan skop siasatan suruhanjaya diraja yang akan ditubuhkan.

"Jika kerajaan bersetuju, inkues ini sudah tidak perlu," katanya.

Permohonan penangguhan tersebut dibuat mengikut Arahan Amalan No1/2007 Garispanduan Inkues - Seksyen C mengenai notis inkues.

Ia menyatakan majistret perlu memberi pemakluman kepada ahli dan waris si mati mengenai tarikh, waktu dan tempat inkues diadakan - dengan memberi notis dalam tempoh minimum dua minggu.

Bagi sebutan tarikh pula, tempoh maksimum untuk hadir di inkues, dikira dari tarikh menerima laporan dari pegawai perubatan kerajaan. (Gobind merujuk kepada laporan bedah siasat).

Gobind seterusnya berkata, peguam negara perlu mengkaji laporan siasatan dan hanya memanggil inkues apabila punca kematian tidak dapat ditentukan.

Peguam Malik Imtiaz yang mewakili kerajaan Selangor, menyokong permohonan Gobind, begitu juga Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Majlis Peguam.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik oleh peguam negara untuk membantu inkues tersebut, berkata beliau tidak ada bantahan terhadap permohonan penangguhan sekejap itu, tetapi menegaskan, mengikut amalan, inkues mesti dijalankan segera.

Gobind seterusnya meminta laporan DNA dan laporan forensik, serta kenyataan dua pegawai SPRM yang menyoal siasat Teoh kerana mereka merupakan orang terakhir melihatnya hidup.

Tan menjawab, set lengkap dokumen telah disediakan untuk tujuan prosiding tersebut, untuk diberikan kepada peguam keluarga Teoh, Majlis Peguam dan kerajaan Selangor.

Tetapi beliau enggan memberi kenyataan saksi kerana menurutnya, Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah tidak menyatakan perlunya berbuat demikian.

Azmil bersetuju bahawa semua laporan tersebut hendak diberikan, kecuali kenyataan saksi, buat masa ini.

Tan kemudiannya memberi kepada pihak peguam, laporan
bedahsiasat, laporan toksikologi, laporan forensik, laporan CCTV dan laporan DNA.

Gobind berkata beliau memerlukan 10 hari untuk meneliti dokumen tersebut secara terperinci.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan penangguhan itu selama seminggu sehingga 5 Ogos depan.



10.30 pg - Permohonan mengguhkan prosiding


Peguam keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo memohon prosiding inkues ditangguhkan bagi membolehkan pihaknya dibekalkan dokumen terlebih dahulu seperti laporan perubatan, bedah siasat, DNA mangsa daripada pendakwa mengikut Seksyen 51a Kanun Acara Jenayah.

Beliau menegaskan pihaknya berhak diberi peluang mengikut undang-undang sekurang-kurangnya seminggu bagi meneliti dokumen berkenaan.


9.05 pg - Prosiding Inkues dimulakan

Prosideng inkues kematian Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret di sini, bermula jam 9.05 pagi ini dengan saksi yang disapina mula mendaftar.

Seramai 77 saksi, termasuk 28 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disapina untuk hadir ke prosiding inkues bagi mencari punca kematian Teoh, setiausaha politik kepada seorang Exco Selangor.

Antara saksi itu, termasuk ahli keluarga Teoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat yang sebelum ini merakamkan keterangan mereka.

5.00 pagi - wartawan berkumpul

Lebih 100 wartawan tempatan dan asing mula berkumpul untuk membuat liputan prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock, di Mahkamah Majistret, di sini, sejak jam 5.30 pagi tadi.

Bagaimanapun, polis hanya mengeluarkan 40 pas untuk wartawan membuat liputan di dalam mahkamah.

Tinjauan Berita Harian Online sejak pagi tadi mendapat, urusan mengeluarkan pas kepada wartawan dan orang awam berjalan dengan lancar dan terkawal.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda