Popular Today

Ahad, November 15, 2009

Penganalisis Politik : Strategi manupulasi isu PKR tidak lagi berkesan

Penganalisis politik Ahmad Masrizal Muhammad berkata, PKR dilihat memang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan imej parti di dalam peta minda setiap rakyat negara ini bahawa mereka sebuah parti yang amat relevan dengan kehendak semasa iaitu semua bersatu dalam satu parti.

''Namun begitu hakikat dan realiti sebenar adalah jauh berbeza dengan apa yang diuar-uarkan melalui slogan-slogan. Pertentangan kepentingan antara kaum wujud sama ada secara senyap ataupun terbuka. Masing-masing memasang strategi.

''Ini sekali gus menunjukkan bahawa untuk mencapai tahap wahdatul fikr (penyatuan fikiran) sesama saf dalam pimpinan dalam PKR bukanlah suatu yang mudah sebagaimana lakaran di atas kertas,'' katanya.

Menurut beliau, kekaburan terhadap teras utama dalam parti ini juga memberi impak yang besar kepada pencapaian hala tujunya pada masa akan datang.

Seperkara lagi yang tidak harus dilupakan bahawa PKR diwujudkan atas dasar populariti semata-mata. Mengikut penganalisis politik, sejak pilihan raya umum 1999 hinggalah 2008, faktor Anwar masih lagi menjadi 'barang yang didagangkan' untuk meraihkan sokongan rakyat.

Lebih daripada itu seperti mana kata Ahmad Masrizal, parti tersebut memberi fokus berlebihan kepada strategi memanipulasi isu demi meraih persepsi dan populariti. Tetapi PKR terlupa bahawa strategi seumpama itu sudah semakin tidak berkesan.

''Natijahnya, pelbagai polemik kepimpinan berlaku di negeri-negeri dan yang terbaru di Sabah dan lain-lain negeri, ia pastilah akan menjejaskan PKR pada masa akan datang,'' katanya.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut apabila PKR merancang untuk terus mengatur strategi bagi memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana itu sahaja cara mereka bagi menutup kelemahan sendiri.

Ia juga sekali gus memaparkan perangai PKR yang semakin 'bankrap' isu dan terus berusaha menjadikan persepsi sebagai 'senjata' untuk meraih sokongan di dalam pilihan raya. Kalau hendak bersandarkan kepada prestasi, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh parti itu.

Bagaimanapun rakyat tidak akan selamanya boleh diperbodohkan oleh mainan politik seumpama itu, justeru tersilap langkah boleh berlaku 'senjata makan tuan'. Berdasarkan keadaan itu, bukanlah sesuatu yang mustahil jika PKR akan mengalami nasib seperti mana sesetengah parti politik serpihan yang sebelum ini berkubur selepas menikmati kemenangan sementara.

Matlamat

Menyentuh perkara ini, Ahmad Masrizal berkata, peristiwa demi peristiwa dan drama demi drama yang dipersembahkan kepada rakyat telah menyebabkan rakyat semakin membuka mata dan sedar bahawa PKR semakin jauh untuk mencapai matlamat strategik yang dicipta oleh mereka sendiri.

''Matlamat dan hala tuju perjuangan PKR yang dikatakan lebih menekankan kepada aspek idealisme perjuangan dan meningkatkan khidmat kepada rakyat nampak semakin kabur. Inilah yang dimaksudkan dengan PKR sedang berhadapan dengan suatu fenomena baru dalam fasa kewujudan mereka iaitu kematian yang senyap dan halus atau lebih popular dikenali sebagai gangren politik,'' katanya.

Kita tidak pasti sejauh manakah fakta ini akan menjadi kenyataan tetapi dari semasa ke semasa PKR terus dilanda konflik dan tahap kepercayaan serta keyakinan di kalangan pemimpin dan ahlinya bahawa parti itu boleh menjadi parti utama semakin luntur. PKR mungkin boleh mengatur strategi dengan mengadakan apa juga konvensyen termasuklah pada hari ini di Shah Alam dengan slogan 'Menggilap Harapan Rakyat', tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa segala kekalutan dalamannya semakin terdedah.

Tidak mustahil PKR akan menamatkan riwayatnya dalam senyap kerana itulah akibatnya kalau pemimpin-pemimpin terlalu teruja untuk menampakkan mereka kelompok paling sempurna di muka bumi Allah ini, sedangkan 'di tubuh' parti itu 'penuh dengan penyakit'.

RENCANA 'Hayat' PKR berakhir dalam senyap?

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda