Popular Today

Khamis, April 10, 2014

Penipuan PR mengenai tarikh prosiding terbongkar!!!

KUALA LUMPUR 9 April - Dakwaan pakatan pembangkang kononnya tarikh prosiding Mahkamah Rayuan berhubung rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sengaja dipercepatkan ke 7 Mac lalu adalah tidak benar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, berdasarkan rekod rasmi mahkamah, pengurusan kes berkenaan pada 28 Februari lalu telah menetapkan tarikh perbicaraan pada 6 dan 7 Mac 2014.

Menurut beliau, sebelum itu, tarikh pendengaran permohonan notis usul ketiga bagi menyingkirkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan telah ditetapkan pada 3 Mac lalu.

“Mahkamah meneruskan perbicaraan rayuan pendakwaan di atas pelepasan dan pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan antara 6 dan 7 Mac 2014 seperti yang ditetapkan.

“Tiada butiran yang mengesahkan satu tarikh rasmi yang lain telah dipersetujui terlebih dahulu," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dewan Rakyat meluluskan pindaan rang undang-undang tersebut yang memberi kenaikan pencen sebanyak dua peratus setahun dan membayar pencen kepada hakim yang berkhidmat tidak kurang daripada lima tahun setelah dibahaskan sejak semalam.

Semasa sesi perbahasan, beberapa wakil pembangkang termasuk Anwar mempertikaikan tarikh prosiding kes liwat tersebut sambil mendakwa kononnya tarikh sebenar adalah pada 7 hingga 10 April 2014.

Nancy menambah, fakta tentang penetapan tarikh prosiding kes tersebut diperoleh daripada pegawai-pegawai mahkamah.

“Sebelum menjawab hari ini, saya telah meminta fakta sebab terlalu banyak saya dengar pihak-pihak mengatakan tarikh sebenar adalah 7 hingga 10 April 2014.

“Adalah tidak baik untuk kita mengakui sesuatu yang tidak tepat kerana orang di luar sana percaya dengan apa yang dihujahkan di sini," jelasnya.


Beliau turut menegaskan, tidak timbul isu tarikh prosiding tersebut diubah semata-mata kerana Anwar yang juga Ketua Pembangkang ingin bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

“Saya berharap kita sebagai peguam yang selalu ke mahkamah, tolong hormati mahkamah. Kita semua menggunakan sistem yang sama, jangan merendah-rendahkan sistem kehakiman," ujarnya.

Berhubung tindakan wakil-wakil pembangkang mempersoalkan mengapa prosiding kes terbabit dilanjutkan selepas waktu bekerja, Nancy memberitahu, perkara itu bukan satu keadaan yang luar biasa malah turut berlaku kepada kes-kes lain.

“Mahkamah mempunyai budi bicara untuk meneruskan perbicaraan walaupun selepas waktu pejabat kerana tiada peruntukan undang-undang yang menghalang berbuat demikian," katanya.

Sumber ; Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda