Popular Today
Sabtu, Ogos 08, 2009
Arak, zakat dan Ronnie Liu
zaini.hassan@utusan.com.my
SYABAS Dr. Hassan Ali. Setelah sekian lama menyepi, tak kisah, buat- buat tak nampak, akhirnya Dr. Hassan, bekas pakar motivasi RTM, mula bersuara. Selama ini, mungkin beliau 'mahu menjaga hati' rakan-rakan DAPnya.
Tapi kini nampaknya hatinya sendiri sudah dirobek. Atau mungkinkah beliau didesak oleh ahli-ahlinya sendiri yang sudah tidak tertahan dengan gelagat DAP yang mulai bermaharajalela di Selangor ini.
Kasihan orang Shah Alam. Ia adalah bandar Melayu yang kini mula dikuasai puak-puak DAP. Sejak kerajaan pakatan ini memegang tampuk pemerintahan, banyak peristiwa yang tidak terfikir oleh orang Shah Alam telah berlaku. Mana ada dalam sejarah Shah Alam orang berdemo memegang lilin. Ia berlaku apabila salah seorang pemimpin DAP mati terjatuh dari bangunan SPRM dua minggu lalu.
Yang menyedihkan, demo pegang lilin itu berlaku hanya kira-kira 200 meter dari masjid besar berwarna biru yang menjadi mercu tanda kesucian Islam warga Shah Alam. Ikut pandangan ulama (bukan Nik Aziz), demo pegang lilin untuk memperingati orang mati itu adalah haram. Tapi kini ia berlaku di bandar raya kemegahan (satu masa dulu) orang Melayu. Di situlah terletaknya institusi ulung orang Melayu iaitu, UiTM - yang pernah disyorkan oleh kerajaan pakatan semasa mula memerintah Selangor, supaya dibuka kepada semua.
Nampaknya orang Shah Alam yang dulu begitu ghairah memberi undi kepada DAP, PKR dan Pas kini terpinga-pinga. Apa sudah jadi?
Penjual arak kini dibela oleh pemimpin DAP Ronnie Liu untuk diniagakan di sebuah kedai di Jalan Liku, Seksyen 8 Shah Alam. Menurut laporan akhbar semalam, Ronnie sendiri mengakui menggunakan kuasanya sebagai Exco Kerajaan Negeri mengarahkan arak yang dirampas oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipulangkan kembali ke kedai tersebut.
Wahai Ronnie cuba lihat di sekeliling seksyen 8 itu siapa yang menghuni di situ? Saya sendiri ialah warga Shah Alam yang telah tinggal dan belajar di situ sejak 25 tahun lalu. Saya lebih tahu siapa yang paling banyak menghuni di situ. Kira-kira 97 peratus ialah orang-orang Melayu - yang pada pilihan raya umum lalu memberi undi kepada pakatan saudara.
Semua mereka adalah orang Melayu. Jika di Malaysia orang Melayu ialah orang Islam dan orang Islam tidak minum arak kerana arak itu adalah haram seharam-haramnya macam makan babi juga. Apakah Ronnie yang hidup di Malaysia ini tidak faham?
Saya tidak pasti di mana Ronnie atau anggota Exco DAP lain yang kini berada di Shah Alam tinggal sebelum pilihan raya dulu? Apakah mereka ini hidup dikelilingi orang-orang Melayu? Atau hanya dikelilingi oleh bangsa mereka sahaja? Jika saudara hidup dengan orang Melayu, bersekolah Melayu mestilah saudara faham adat resam orang Melayu dan umat Islam.
Saya sedih (dan marah) kerana saudara Ronnie tidak sensitif langsung dengan isu orang Melayu dan umat Islam.
Ronnie juga tidak sensitif apabila 'turut campur tangan' dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway beberapa hari lalu. Kenyataan itu bukan dibuat oleh saya (yang terdedahkan dengan saman), tapi oleh Dr. Hassan sendiri. Mungkin kerana sudah 'tidak tertahan' Dr. Hassan mendesak Menteri Besar menarik balik portfolio Ronnie sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan. Ronnie dikatakan sering saja campur tangan dalam tugas PBT hingga menyukarkan penguatkuasaan dijalankan.
Tahniah sekali lagi Dr. Hassan. Saudara sudah mula bersuara.
Sebagai seorang bapa, saya tidak mahu anak remaja saya didedahkan dengan minuman arak atau mendekatinya. Saya juga tidak mahu anak saya terikut-ikut dengan budaya Kristian memegang lilin apabila ada kematian kelak. Saya tidak kisahlah jika ada orang Melayu lain yang mengikuti fahaman pakatan, tapi saya tidak sangggup melihat Ronnie atau sesiapa pun terus mencemarkan kesucian agama Islam yang saya anuti selama ini.
Selepas isu 'underworld' yang dikaitkan dengan kongsi gelap, isu Teoh Beng Hock, satu demi satu isu berat terus berlaku di Selangor. Isu wang zakat yang mahu dikongsikan untuk semua juga timbul dalam masa-masa kekelutan di Selangor sekarang.
Apakah orang Islam Selangor setuju supaya wang zakat (yang kita potong dari kantung gaji kita tiap-tiap bulan itu) dikongsi bersama-sama? Jika bersetuju saya tidak tahulah. Mungkin puak-puak pakatan bersetuju, saya juga tidak tahulah.
Wahai Menteri Besar Selangor yang bijaksana, di mana pertimbangan saudara? Saya hanya mahu wang zakat saya disalurkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan oleh Islam. Saya tidak tahulah jika wang zakat tuan Menteri Besar mahu diagih-agih kepada semua?
Jika Selangor sudah tidak cukup peruntukan seperti yang disebut iaitu kira-kira RM300 hingga RM500 juta setahun carilah dari punca yang lain. Saya syorkan pungutlah dari punca-punca perjudian, rumah-rumah urut, spa, rumah persundalan yang - menurut ketua pembangkang kena gantung Dr. Khir Toyo - tumbuh bercambah-cambah bagai cendawan di Selangor sekarang. Ia boleh ditukar menjadi 'sin taxes' (cukai dosa) daripada aktiviti-aktiviti seperti itu. Mengapa singkatnya akal mahu mengambilnya dari wang zakat. Orang Melayu di Selangor kan banyak yang miskin.
Satu lagi syor saya ialah majukanlah Selangor ini seperti yang telah dilakukan oleh menteri-menteri besar yang terdahulu. Apakah baru setahun memerintah, sudah beralah sehinggakan wang zakat pun mahu diambil? Dengar kata saudara ialah bekas CEO yang hebat dulu?
Apa akhirnya akan berlaku kepada negeri yang paling maju di Malaysia ini hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
Dan bagi Shah Alam ia sebenarnya sudah mulai dirobek sedikit demi sedikit. Sebagai warganya, saya sudah mula menghidu baunya dan unsur-unsurnya pun sudah kelihatan. Namun yang sedihnya warga Melayu di dalamnya masih belum sedar.
(Nota: Cuit akan disiarkan seperti biasa pada hari Rabu minggu depan - Pengarang)
Dulu lain sekarang lain - kalau akan datang macamana la pula?
KALAU diamati perubahan di sekeliling kita, nescaya kita akan terkejut dengan apa yang berlaku sekarang.
Dulu anak-anak minum susu ibu, sekarang ramai anak minum susu lembu. Dulu anak perempuan tidak boleh bebas, sekarang jumpa bayi dalam tandas.
Dulu 'jahat-jahat' anak muda, kacau anak dara balik mengaji; sekarang mat rempit dan bohsia menjadi-jadi.
Dulu guru didik anak murid macam anak sendiri, kalau nakal atau main-main kena pukul kena ketuk ketampi, balik rumah kena rotan lagi. Sekarang kalau anak murid kena jentik, guru sekolah akan kena 'titik'.
Dulu guru ramai yang tinggi hemah, sekarang guru ada yang hisap dadah dan moral rendah. Dulu budaya Timur jadi panduan, sekarang budaya Barat habis-habisan jadi tiruan, lelaki bersubang bertatu di badan.
Dulu dalam politik tolak menolak jawatan, sekarang cari tok cak, tok batin, tok sami dari sini sampai sempadan.
Dulu suasana politik negara stabil, sekarang dah nampak kucar-kacir. Dulu pembangkang sikit sangat, sekarang pembangkang riuh dan gamat.
Dulu semua negeri bawah Barisan, sekarang lima negeri di bawah Pakatan. Dulu fitnah tersebar dengan surat layang, sekarang ada blog, Internet, sms dan video pun tak kurang.
Dulu sebelum kahwin merisik, bertunang dan nikah, sekarang belum kahwin duduk sekali dah. Dulu yang buat perangai luar tabii sembunyi-sembunyi. Sekarang apa orang kata, dia orang tak peduli, ada kelab gay lagi.
Dulu mak bapa yang dah tua dijaga, sekarang mak bapa dihantar ke rumah orang tua.
Dulu tak ramai orang kita belajar di luar negeri, sekarang sudah ramai yang balik lupa diri.
Dulu hendak dapat biasiswa, kalau suruh sembah pun sanggup sembah, sekarang dah dapat ijazah penjamin yang susah.
Dulu orang Melayu ada P.H.D (perangai hasad dengki), sekarang pun masih tebal P.H.D.
Dulu Aceh kena langgar tsunami, sekarang kita kena selesema babi.
Dulu doktor gaji rendah, sekarang doktor masih lagi rendah. Dulu kebanyakan kita fasih bahasa Inggeris, sekarang ramai yang tak boleh.
Dulu ada dua tiga saluran tv, sekarang lebih 80 saluran disaji. Dulu pelajar rajin ulang kaji, sekarang tercongok depan tv.
Dulu filem Melayu hitam putih tetapi tinggi kualiti, sekarang nak cari yang berjenis susah sekali.
Dulu drama berbentuk bangsawan, sekarang drama penuh cerita tahyul dan syaitan.
Dulu para artis payah nak cari makan, sekarang ramai lumayan pendapatan.
Dulu orang Melayu ketinggalan ekonomi, sekarang orang Melayu masih ketinggalan di sana sini. Orang dah jauh sampai ke bulan, kita masih lagi "Engkau laksana bulan".
Tiga puluh tahun dulu gaji mula akauntan dua ribu, sekarang pun masih dua ribu. Tiga puluh tahun dulu rumah teres dua tingkat di Taman Tun Dr. Ismail harga RM60,000, sekarang harga dekat RM500,000.
Tiga puluh tahun dulu ekonomi kita lebih kurang sama dengan Taiwan, Korea dan Singapura, sekarang kita bukan lagi Asian Tiger. Dulu paras gaji kita sama mereka, sekarang kita dah ditinggalkan mereka.
Dulu Amanah Saham Nasional orang Melayu yang beli, sekarang orang Melayu tak larat nak beli. Dulu ada Bank Bumiputera sekarang yang ada Kelab Golf Rahman Putra.
Dulu duit kita dua ringgit setengah satu dolar Amerika, sekarang duit kita tiga ringgit setengah satu dolar Amerika.
Dulu orang Malaysia membeli-belah di Singapura, sekarang orang Singapura membeli-belah di sini pula.
Dulu rasuah adalah juga, sekarang ini sudah berleluasa. Sudah 52 tahun kita merdeka, masih ada kemiskinan tegar, Pasar Chow Kit tak bertukar.
Dulu sungai-sungai kita boleh mandi, sekarang semua dah dicemari.
Dulu kita banyak tanam padi, sekarang kita banyak import padi. Dulu terbongkok-bongkok kita tanam padi, sekarang pun masih terbongkok-bongkok tanam padi.
Dulu anak petani mahu kerja di sawah, sekarang buruh Siam yang jadi mewah.
Dulu pekerja asing adalah juga, sekarang dia orang dah melambak-lambak.
Dulu anak-anak muda rajin mengaji, sekarang anak-anak muda ramai yang ambil ekstasi.
Dulu di universiti ramai pelajar lelaki, sekarang entah ke mana pergi. Dulu pelajar asing datang nak belajar, sekarang dah banyak aktiviti luar.
Dulu dapat pink form jadi kaya sekelip mata, sekarang banyak kemudahan dah tak ada. Dulu pengerusi sini pengerusi sana, nama ada saham orang lain punya, sekarang pengerusi tak ada, saham pun tak ada.
Dulu tak ada duit ceti jadi payung, sekarang tak ada duit pergi jumpa ah long.
Dulu eksport jadi sandaran, sekarang yang penting ilmu pengetahuan. Dulu hasil keluaran bernilai rendah, sekarang kenalah tingkatkan nilai tambah.
Dulu orang Melayu tak pandai berniaga, sekarang banyak pula skim cepat kaya.
Dulu orang guna mesin taip lagi, sekarang orang dah guna PC. Dulu telefon bimbit berat nak angkat, sekarang seorang ada tiga dan empat.
Dulu jalan mana-mana pun selamat, sekarang silap haribulan beg tangan kena rembat. Dulu halal haram orang tak kisah sangat, sekarang sijil palsu 'Halal' pun orang buat.
Dulu Islam lalui zaman gemilang, para ilmuwan begitu terbilang. Sekarang umat Islam dah tinggal belakang, meletupkan diri untuk berjuang.
Dulu kita disuruh "Bekerja dengan Saya", sekarang konsep 1Malaysia. Dulu ramai pejuang bangsa, sekarang di mana mereka berada?
DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Islam ditindas bawah Kerajaan Pakatan Rakyat, PAS pula berdiam
Niat mereka sangat jelas. Tiada penyesalan jauh sekali mahu meminta maaf kepada umat Islam di negara ini.Ronnie Liu beria-ia mempertahankan arahannya supaya minuman keras yang dirampas kerana dijual secara terbuka dipulangkan semula.
Dengan angkuh dia mendabik dada tindakan tersebut dibuat menggunakan kuasanya sebagai Exco Negeri Selangor. Lebih daripada itu, tindak-tanduk Ronnie yang ternyata mengguris hati umat Islam bukan sahaja di Selangor malah di seluruh negara itu mendapat restu Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Selepas bermesyuarat, berbincang dan bertukar pandangan, mereka sepakat - tiada larangan jualan minuman keras di negeri itu, manakala kedai serbaneka seperti 7 Eleven diminta menggunakan budi bicara sendiri menjual arak (yang tidak memabukkan menurut Ronnie) itu berdasarkan permintaan.
Arak akan terus dijual secara terbuka dengan alasan kandungan alkoholnya tidak mencapai paras memabukkan - justeru minuman itu 'halal' dijual di kedai serbaneka berdasarkan permintaan penduduk di satu-satu kawasan. Begitu juga dengan operasi banteras maksiat yang juga berkaitan dengan portfolio Ronnie akan terus menerima 'gangguan'.
Senario yang sama berlaku di Pulau Pinang. Tidakkah Pas terusik apabila Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah digelar ekstremis agama. Gelaran itu pula berkaitan dengan dakwaan kononnya beliau mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang akan menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020.
Misi itu pula dikaitkan dengan keanggotaan Mohd. Razali dalam Jemaah Islamiah Malaysia.
Tidakkah Pas yang bercita-cita menjadikan undang-undang syariah tunggak pemerintahan berasa tersinggung, terhiris dan terhina dengan kenyataan dangkal Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi itu?
Pas masih bertolak ansur sebagai mana mereka merelakan kerjasama dengan pakatan pembangkang biar pun Karpal Singh sehingga sekarang masih berpegang kepada prinsip kerasnya 'over my dead body' berhubung pelaksanaan undang-undang Islam oleh Pas jika mereka berjaya mentadbir negara...
"Begitu rendah maruah Islam PAs ini...."
"Hina sangatkah atau bahaya sangatkah bagi pemimpin Islam yang bercita-cita untuk menegakkan undang-undang agamanya sendiri yang merupakan agama rasmi dalam Perlembagaan negara untuk dilantik ke jawatan itu."
Bukankah kenyataan Jeff itu bertujuan memberi gambaran betapa undang-undang Islam itu mempunyai ciri-ciri ganas dan bahaya sehingga pemimpin yang bercita-cita melaksanakannya disamakan dengan ekstremis.
Hakikatnya - idea yang dibentangkan oleh Ronnie dan Jeff sepatutnya cukup untuk menggambarkan masa depan Pas dalam pakatan pembangkang. Tidak ada gunanya Pas negeri itu beria-ia berkempen supaya Ronnie dipecat.
Sudah terang lagi bersuluh - bangsa Melayu beragama Islam di negara ini tanpa mengira parti apa yang diwakili sentiasa disimpulkan sebagai ancaman kepada bangsabangsa lain.
Sebab itu ada saja kenyataan, cita-cita dan idea yang dilemparkan oleh Melayu akan disifatkan sebagai ekstremis.
Sedangkan tindak-tanduk bangsa-bangsa lain yang jelas menyakiti, menghina bangsa Melayu dan umat Islam tidak dikategorikan sebegitu - buktinya Ronnie dan Jeff terlepas begitu sahaja.
3M untuk UMNO hadapi Pembangkang
Perdana Menteri berkata ketiga-tiga budaya itu penting bagi memastikan UMNO terus dapat mempertahankan kedudukannya sebagai parti memerintah dan mendapat sokongan padu daripada rakyat.
“Yang pertama, budaya mendengar - kita kena sentiasa mendengar suara rakyat, rintihan rakyat, sanggup sentiasa disisi rakyat dan bukannya jauh, bukan sombong tapi merendah diri dan jangan jadi golongan elit,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pekan di sini, hari ini.
Najib yang juga Ketua UMNO bahagian itu berkata budaya kedua ialah berkhidmat iaitu sentiasa memberikan khidmat yang terbaik sepanjang masa.
“Berkhidmat untuk rakyat, jangan berkhidmat kepada puak kita sahaja, berkhidmat mesti sepanjang masa, bukan masa dekat pilihan raya, (bila dekat pilihan raya), kepil biodata, harap-harap jadi calon.
Dah sampai masanya UMNO untuk bertindak, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan... budaya lama itu patut dibuang.. dan kini budaya itu mula menular dalam PKR dan PAS.. budaya elit dan sombong...
Jumaat, Ogos 07, 2009
Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor - Arak dikawal sendiri?

Selangor laksana sistem kawalan sendiri jual arak
07/08/2009 2:40pm
Oleh Azian Aziz
SHAH ALAM 7 Ogos – Kerajaan Selangor hari ini membuat keputusan melaksanakan sistem kawalan sendiri (self regulation) terhadap semua kedai serbaneka dan premis yang menjual minuman keras di Shah Alam.
"Beliau berkata, ini bermakna draf undang-undang kecil iaitu melarang kedai serbaneka dan premis perniagaan menjual minuman keras di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam ditolak."Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sistem ini merupakan percubaan dan selepas tempoh sebulan jika dilihat berjaya, ia akan diselaraskan di seluruh Selangor.
Apa PAS nak kata sekarang....
Khamis, Ogos 06, 2009
Arak - drama PAS Selangor untuk Pilihanraya Kecil Permatang PASir

Ramai berpendapat desakan PAS Selangor supaya kerajaan negeri itu mengugurkan Ronnie Liu sebagai Exco adalah satu sandiwara.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata “Ini semua sandiwara PAS sahaja. Tidak akan ada apa-apa yang berlaku. Ronnie Liu akan terus jadi Exco dan dia (Liu) akan terus guna kuasanya menghalang mereka yang melaksanakan operasi penguatkuasaan.
“Dia akan terus campur tangan dan PAS akan bersuara kononnya dia serius tapi `nothing happens’ (tiada apa-apa akan berlaku) selepas ini,” katannya.
Apatah lagi kini PAS akan hadapi satu lagi Pilihanraya Kecil di Permatang PASir... macam biasa promote diri awal-awal lah...
bagaimana?.. Konon perjuangkan Islam...
bila?.. masa nak Pilihanraya...
Habis.. sebelum ni buat apa?.. makan gaji buta...
PAS pejuang Islam hanya bila Pilihanraya nak tiba... selain itu... Pas masukkan Islam dalam bakul sampah....
