Popular Today
Khamis, Ogos 20, 2009
Kenyataan Rasmi Majlis Fatwa berhubung kenyataan Nik Aziz
MERUJUK kenyataan yang dikeluarkan media pada 18 Ogos 2009 seperti Utusan Malaysia mengenai isu atau dakwaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa penyokong/ahli UMNO tidak akan masuk syurga.
Sebenarnya isu ini telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan sejak tahun 2000 lagi dan keputusan muzakarah itu telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali ke-188 pada 21 hingga 23 Mac 2001 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT.
Dari itu, dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti-parti tertentu diperlukan sebelum seseorang itu layak masuk ke syurga atau neraka adalah salah menurut ajaran Islam.
Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan juga berpendapat sesiapa sahaja yang mengajar atau menyebarkan pandangan atau fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.
Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan ingin menasihatkan kepada umat Islam terutamanya kepada mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan tentang Islam hendaklah berhati-hati dan tidak menimbulkan perkara-perkara yang tidak betul atau bidaah yang boleh mengelirukan dan memecah-belahkan umat Islam.
Kepada orang ramai, ingin saya nyatakan bahawa dalam ajaran Islam yang sebenar, tidak sesiapa boleh menentukan seseorang itu berhak masuk syurga atau neraka.
Hanya Allah SWT sahaja yang mempunyai hak mutlak dan boleh memasukkan seseorang itu ke syurga atau neraka berdasarkan kepada keimanan dan ketakwaan seseorang itu atau sebaliknya.
Oleh itu, janganlah kita mudah terpengaruh dengan pandangan-pandangan yang aneh, jauh dari kebenaran dan boleh menyesatkan kita.
Selasa, Ogos 18, 2009
Perangai Nik Aziz sama macam Firaun
Laporan Bernama, "Islam bawah Umno tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," kata Nik Aziz.
Begitulah mudahnya Nik Aziz mempermainkan hukum Allah SWT seumpama dianya 'tuhan' yang menentukan siapa masuk dan siapa tak masuk syurga. Sedangkan Allah SWT itu maha Pemurah dan Maha Penyanyang... Syurga itu ialah milik Allah SWT.. amal baik umat Islam bukanlah sesuatu yang pasti kerana masuk syurga hanya merupakan ehsan dari Allah SWT kepada hambanya. Begitu juglah neraka...
Apabila seorang manusia angkuh berlagak tuhan.. pasti kita tidak akan melupakan 'Firaun' yang menggap dirinya tuhan.. begitulah Nik Aziz dan Firaun sama sahaja... urusan tuhan yang menentukan siapa yang masuk syurga dan tidak. Manusia adalah hamba yang diperintah untuk beribadah kepada Allah ... Firman Allah SWT yang bermaksud 'tidak kau utuskan manusia dan jin hanya untuk beribadat kepadaKu'
Isnin, Ogos 17, 2009
Resolusi BPN 7 / 2009 : Anwar Pengkhianat Agama, Bangsa dan Negara kita !!
2. BPN sedar segala kecaman yang melampau batas terhadap institusi Raja dan agama Islam sejak kebelakangan ini adalah berpunca dari tindakan beliau yang membuka pintu kepada penghinaan tersebut samada nyata atau rahsia.
3. BPN mendesak agar si pengkhianat ini yang terus mengajak ke arah ketidakstabilan dan mengancam keselamatan awam agar ditahan dengan segera atau diusir dari Malaysia jika kita tidak ingin melihat negara kita akan terjerumus ke kancah peperangan saudara atau berlainan etnik agama dan fahaman politik mereka.
4. BPN juga meminta kerajaan turut mengusir sesiapa sahaja yang berkeras ingin menyentuh perkara sensitif seperti Raja dan Agama Islam agar turut diusir keluar dari negara kita tidak kira dari apa jua bangsa atau agama mereka.
5. BPN akan terus berkempen agar rakyat menolak si pengkhianat ini dan juga sesiapa sahaja yang menyokong idealisme perjuangan songsang beliau dari terus diberikan ruang di tanah Malaysia.
6. BPN menyeru rakyat Malaysia membantu usaha menolak tokoh pengkhianat moden ini yang terang terangan telah banyak melanggar undang-undang negara kita dan sibuk mencari idea untuk menjatuhkan pemimpin negara walaupun telah menyebabkan urusan kebajikan rakyat sudah tidak lagi terbela di negeri yang mereka telah diberi kuasa.
Yang benar,
Panglima Perang Cyber,
Taktik kotor PAS - 1000 pengundi hantu dikesan di Permatang Pasir
Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata ini berdasarkan laporan terdapat pengundi luar yang didaftarkan sebagai pemilih di kawasan itu.
"Kita dapati beberapa orang Melayu didaftarkan di rumah yang dihuni oleh orang Cina dan ada juga pengundi Cina didaftarkan alamatnya di rumah orang Melayu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Butterworth semalam.
Khairy berkata sejak pilihan raya umum lepas terdapat kira-kira 1,000
pengundi didaftarkan di Permatang Pasir dan trend itu adalah tidak normal kerana jumlahnya terlalu besar.
Beliau berkata perkara itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil bagi menangani isu itu.
"Kita akan kumpulkan bukti secukupnya dan kemukakan kepada SPR," katanya.
laporan Bernama.
Pilihanraya Kecil Permatang Pasir bermula
Rombongan Barisan Nasional (BN) mula bergerak ke pusat penamaan calon diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama calon BN, Rohaizat Othman, dan pemimpin Umno serta BN lain. Calon Pas, Salleh Man diiringi ribuan penyokong pakatan pembangkang tiba di pekarangan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini kira-kira pukul 8 pagi.
Salleh diiringi beberapa pemimpin parti pembangkang antaranya Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, dua Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Proses penamaan calon akan dibuka tepat pukul 9 pagi.
Jumaat, Ogos 14, 2009
Isu arak Selangor macam selesai tapi Isu Hasan Ali tetap tak selesai
SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Jawatankuasa disiplin sedang ditubuhkan bagi membolehkan wakil rakyat pakatan pembangkang membuat aduan terhadap sebarang salah laku ahli-ahli dari tiga parti pakatan itu, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Cadangan penubuhan jawatankuasa ini dikemukakan pada seminar Pakatan Rakyat hari ini. Jawatankuasa ini bukan tempat untuk menentukan hukuman tetapi sebagai tempat untuk berbincang mengenai aduan yang dikemukakan.
"Namun ahli parti masih boleh mengambil tindakan sekiranya mereka mahu," katanya kepada pemberita.
Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua baru-baru ini meminta pakatan itu supaya menubuhkan jawatankuasa disiplin untuk menghukum Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang mahukan exco kerajaan negeri dari DAP, Ronnie Liu dipecat berhubung isu rampasan arak.
Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah berkata parti itu masih mahu menubuhkan jawatankuasa tersebut walaupun Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata isu penjualan arak di Selangor telah selesai.
-- BERNAMA
Amaran DAP - tindakan mahkamah terhadap media
Berita harian melaporkan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata tindakan itu berikutan terdapat beberapa media yang cuba memfitnah pemimpin DAP membabitkan isu agama sehingga menimbulkan kontroversi di negara ini.
Rasanya kalau ikut media yang mainkan sentimen kebencian banyak lagi media Cina yang menimbulkan tidak puas hati kepada Bangsa Melayu... cuma orang Melayu tidak faham apa yang ditulis. itupun mujur Utusan malaysia mengambil langkah proaktif untuk menterjemahkan tulisan akhbar Cina di surat khabar tersebut.
DAP Fitnah Islam takpa ... tapi jangan DAP difitnah... tindakan mahkamah akibatnya.
Jahil bukan alasan hina Islam
rencana@utusan.com.my
KENYATAAN Mursyidul Am Pas kelmarin mungkin boleh ditafsirkan begini: Kita bebas berkata apa sahaja jika kita jahil mengenai sesuatu perkara. Dan mungkin memang begitulah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.
Jika dibaca secara tersurat mahupun tersirat, maknanya tetap sama.Pemimpin yang digelar Tuan Guru itu mengeluarkan kenyataan mengelirukan. Tetapi ia pasti dapat diterima oleh pakatan pembangkang.
Mengelirukan kerana beliau menegaskan, tidak salah sekiranya pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan menghina Islam. Alasannya mudah. DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.
"DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,'' tegasnya.
Jika kenyataan pembelaan oleh Nik Abdul Aziz terhadap DAP itu dijadikan pegangan, maka, maknanya kita juga boleh menghina agama lain. Jika ada yang melenting, berikan sahaja jawapan mudah. Kita jahil mengenai agama tersebut.
Sekiranya kenyataan Nik Abdul Aziz itu diterima pakai, maka "kejahilan" boleh menjadi alasan kuat untuk kita bebas menghina mana-mana agama.
Itu adalah hujah yang diberikan oleh Menteri Besar Kelantan itu ketika cuba menangkis kritikan hebat orang Melayu dan umat Islam terhadap sikap segelintir pemimpin DAP kebelakangan ini.
Bayangkan jika kenyataan tidak bertanggungjawab itu dipersetujui oleh semua orang. Soal sensitiviti akan diketepikan. Maka tidak akan ada lagi sebarang usaha untuk "menjaga hati". Kita bebas mengkritik apa sahaja walaupun sehingga ke tahap menghina.
Jika ada yang marah, jawab sahaja kita tidak faham tentang agama itu. Tidak perlu pun untuk mengeluarkan permohonan maaf.
Tetapi bayangkan sekiranya seorang pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan menghina agama Kristian, Buddha, Hindu atau Sikh.
Adakah Nik Abdul Aziz akan mengeluarkan kenyataan yang sama? Adakah beliau akan membela pemimpin UMNO tersebut dan memberitahu rakan satu pakatannya bahawa pemimpin UMNO itu boleh berbuat demikian kerana beliau tidak faham mengenai agama tersebut?
Adakah pembelaan itu akan dilakukan oleh Nik Abdul Aziz. Rasanya tidak mungkin. Jauh panggang dari api.
Penulis tidak faham apa sebenarnya yang dirasai oleh Nik Abdul Aziz. Adakah beliau tidak sensitif walaupun agama suci anutannya ini diperlekehkan dan dirujuk dalam ayat berbentuk makian dan carutan sekali pun? Adakah beliau tidak sedar kesan buruk yang sedang menanti?
Seperti biasa apabila timbul sesuatu isu membabitkan sensitiviti agama, Tuan Guru ini akan menempelak pemimpin UMNO. Dalam kenyataannya kelmarin, beliau menyalahkan sikap "pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam". Dan yang dimaksudkannya itu pastinya pemimpin dari UMNO. Menurutnya sikap itu menyebabkan agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.
Tidak sedarkan beliau bahawa pemimpin yang dikatakannya menolak Islam itulah, yang kini tampil mendesak tindakan tegas agar Islam tidak lagi dihina?
Namun apakah peranan Pas dalam soal ini? Ke mana perginya ulama-ulama dalam parti itu? Adakah fenomena menjaga hati rakan satu pakatan membuatkan mereka terus menjadi seperti harimau kehilangan taring? Sampai bilakah mereka akan terus diibaratkan seperti kucing yang telah dikembiri?
Sanggupkah mereka membiarkan penghinaan itu dibuat dari semasa ke semasa tanpa berani bersuara hanya kerana ingin menjaga perpaduan di dalam pakatan?
Sampai bila lagi ulama-ulama di dalam Pas akan terus berdiam diri? Adakah menjaga hati rakan di dalam pakatan lebih penting daripada mempertahankan maruah agama?
Kenapa Nik Abdul Aziz dan pemimpin Pas yang lain tidak boleh menjadi seberani Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Bukankah menegakkan kebenaran itu tuntutan agama? Jika salah perlu dikatakan salah, bukan sebaliknya. Ketepikan soal "menjaga hati", ini soal maruah Islam.
Harussani nampaknya sentiasa konsisten dalam semua kenyataannya. Tegas dan tidak pernah beralah pada desakan biar pun kedudukannya mungkin menjadi taruhan. Pastinya bagi beliau, yang penting adalah agama dan apa yang bakal dijawab olehnya di hadapan Tuhan nanti. Maka kenyataannya tidak pernah berunsur "menjaga batang leher sendiri".
Ketegasan Harussani boleh dilihat apabila beliau kelmarin menegaskan bahawa mereka yang tidak menghormati institusi raja dan agama Islam boleh keluar dari negara ini. Katanya, kedua-dua perkara termaktub di dalam Perlembagaan.
Seperti kata Harussani, setiap orang Islam wajib mempertahankan agama daripada dihina. Malah umat Islam tidak boleh menyokong penghinaan itu dengan apa pun alasan. Maka hujah bahawa orang bukan Islam boleh menghina Islam hanya kerana dia tidak memahami Islam tentu merupakan hujah yang tidak masuk akal.
Jadi, apa yang dilakukan oleh Nik Abdul Aziz untuk membetulkan keadaan ini? Beliau sekadar menegaskan Pas akan berusaha meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam.
Katanya, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpin-pemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam.
Jika kenyataan itu boleh diterima, maka maknanya Pas cuba memberi kefahaman tentang Islam kepada rakan-rakan bukan Islam di dalam pakatan dengan mendekati mereka melalui "forum, wacana dan perbincangan".
Namun rasanya Pas tidak melakukannya. Sekiranya ia mengambil pendekatan-pendekatan tersebut, sudah pasti apa yang dilakukan oleh Pas itu telah menemui kegagalan. Bayangkan pakatan Pas dengan PKR dan DAP telah pun dijalin sejak sekian lama.
Adakah tempoh tersebut masih belum cukup untuk Pas memahamkan pemimpin DAP mengenai Islam?
Atau mungkinkah pendekatan Pas itu tidak mendapat sambutan? Maka, rakan-rakan di dalam pakatan itu masih terus jahil tentang Islam dan akhirnya bebas menghina Islam hanya semata-mata kerana mereka 'tidak faham'.
Sepatutnya Nik Abdul Aziz telah memberitahu rakan-rakan di dalam pakatan bahawa lebih baik untuk mereka berdiam diri sekiranya mereka tidak arif mengenai Islam.
Tuan Guru ini sepatutnya memberitahu rakan-rakannya bahawa sikap bodoh sombong tidak menguntungkan sesiapa.
Namun nampaknya Nik Abdul Aziz dan Pas gagal berbuat demikian. Mungkin mereka tidak berani bersuara kerana bimbang tidak dapat merasai kuasa yang dijanjikan oleh DAP dan PKR.
Jadi, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Mursyidul Am Pas ini jika beliau menganggap isu serangan terhadap Islam hanya melibatkan serangan ke atas kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO.
Beliau sendiripun sejak awal-awal lagi telah menyatakan keengganan untuk campur tangan dalam isu kontroversi rakan-rakan sepakatannya sama ada di Selangor mahu pun di Pulau Pinang.
Mungkin umat Islam dan rumpun Melayu yang tercalar hati akibat penghinaan oleh segelintir pemimpin DAP ini hanya boleh mengharap tindakan undang-undang seperti yang disyorkan oleh Polis Diraja Malaysia.
Apa yang pasti, kita tidak lagi memerlukan permohonan maaf kerana ia pasti akan berulang jika tiada tindakan tegas dikenakan ke atas puak-puak yang biadap terhadap Islam ini.
Sumber: Utusan Malaysia