Popular Today

Rabu, Mei 07, 2008

Komen tidak bermaksud menghina Sultan: Karpal

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata kenyataannya bahawa Sultan Azlan Shah tidak mempunyai kuasa ke atas pertukaran seorang pegawai kerajaan tidak bermaksud untuk menghina Sultan Perak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, komen yang dibuatnya itu semata-mata berdasarkan kepada pandangan daripada sudut undang-undang tetapi dipolitikkan oleh ahli politik Umno.

“Ia adalah satu isu perundangan (tetapi) ahli politik Umno menjadikannya sebagai isu perkauman. Saya tidak menentang Sultan. Dalam apa cara sekalipun saya tidak mahu menghina Sultan Perak atau mempersoalkan kedudukan baginda,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Minggu lalu, Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar supaya melantik semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury memandangkan beliau ditukarkan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan, selaku ketua agama Islam negeri.

Bagaimanapun, semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata titah Sultan Perak itu selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta negeri dan kenyataan Karpal itu boleh membangkitkan kemarahan dalam kalangan mereka yang mempertahankan kuasa Sultan. — Bernama

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda