Popular Today

Rabu, November 26, 2008

Perintis Piawaian pengurusan berasaskan syariah

Biar apapun tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan, Melayu dan Islam. Sebagai sebuah negara Islam contoh, Malaysia bakal muncul sebagai negara Islam pertama memperkenalkan piawaian pengurusan organisasi berasaskan syariah apabila melancarkan Sistem Pengurusan Kualiti (MS1900:2005) pada pertengahan tahun depan.

Sistem piawaian itu diperkenalkan sebagai salah satu usaha kerajaan melalui Jabatan Piawaian Malaysia bagi meningkatkan tahap prestasi sesebuah organisasi meliputi pelbagai sektor di negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Piawaian Industri Halal, Nik Mustapa Nik Hassan berkata, sistem piawaian itu dijangka mampu menangani masalah ketidakcekapan serta kelemahan pentadbiran yang dialami oleh syarikat serta organisasi terutamanya yang dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.

Katanya, sistem itu berbeza dengan piawaian ISO 9001:2000 kerana ia dirangka berdasarkan prinsip-prinsip syariah yang menjadikan al-Quran dan hadis sebagai elemen utama piawaian pengurusan.

''Walaupun kita mengambil model piawaian ISO 9001:2000 sebagai asas kepada sistem ini, kita masukkan prinsip serta hukum syariah dalam pelaksanaan pengurusan sesebuah organisasi.

''Malah, sistem piawaian ini juga boleh dilaksanakan di organisasi yang dimiliki oleh bukan Islam. Kita yakin ia mampu meningkatkan produktiviti pengeluaran produk supaya boleh bersaing di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar "Quality Management Systems (MS1900:2005) Requirement From Islamic Perspective" yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nik Mustapa memberitahu, setakat ini, sebanyak lima buah syarikat telah menerima pakai sistem MS1900:2005 yang terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti pembuatan, industri makanan serta perkidmatan.

Pada masa yang sama, pihaknya turut mengadakan kerjasama dengan DPIM bagi memperkenal serta memperluaskan sistem piawaian tersebut di kalangan syarikat serta industri sama ada dalam mahupun luar negara.

''Sasaran kerajaan ialah menghasilkan sebanyak 6,000 dokumen piawaian dalam pelbagai aspek pada tahun 2010 bagi menaikkan tahap pembangunan negara.

''Sistem ini merupakan salah satu daripadanya. Kita harap dapat menarik minat lebih banyak syarikat dan organisasi untuk menyertai sistem piawaian bagi meningkatkan kemampuan mereka,'' ujarnya.

Hakikatnya usaha sentiasa dibuat untuk memertabatnya syiar Islam di negara ini. Dengan adanya paiwaian yang berasaskan Syariah, ianya merupakan antara produk yang dikeluarkan oleh kerajaan BN yang sentiasa akan mendokong Islam sebagai agama rasmi Persekutuan samapi bila-bila. Al-Quran dan as-Sunnah perlu terus digali bagi manfaat umat Islam keseluruhannya bukan untuk kepentingan politik sempit parti politik tertentu.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda