Popular Today

Selasa, Oktober 20, 2009

Caruman KWSP pekerja kembali kepada 11 peratus

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengkaji cadangan supaya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kembali kepada 11 peratus berkuat kuasa serta merta sekiranya ia keputusan majoriti pekerja di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kalau perkara itu dikemukakan, kerajaan akan teliti. Apa yang penting untuk kebaikan kepada pekerja kerana potongan bukan dibuat daripada sumber lain tetapi daripada pendapatan dan gaji mereka, itu kita kena ambil kira... kerajaan akan timbang ikut kehendak majoriti," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini, Muhyiddin bagaimanapun berkata setakat ini beliau tidak pasti sama ada cadangan itu telah dikemukakan secara rasmi kepada kerajaan atau tidak.

Semalam Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kerajaan supaya membenarkan 2.2 juta pekerja yang memilih potongan lapan peratus bagi caruman KWSP untuk kembali kepada 11 peratus berkuat kuasa serta merta.

Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam berkata kongres itu prihatin dengan 2.2 juta pekerja kerana mereka kini kerugian dalam bentuk dividen dan bayaran akhir apabila mereka mencapai umur persaraan.

Berikutan krisis ekonomi November tahun lalu, kerajaan membenarkan pekerja untuk memilih sama ada kekal dengan caruman 11 peratus atau mengurangkannya sebanyak tiga peratus kepada lapan peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun ini.

Menurut KWSP, sejumlah 2.2 juta atau 40 peratus daripada pekerja memilih untuk mengurangkannya kepada lapan peratus. - Bernama

1 ulasan:

YANG GAMBI berkata...

Salam, mana-mana pun baik, semuanya milik pekerja itu sendiri selepas tempoh bersara nanti.....

Kongsi Link Anda