Popular Today

Ahad, November 15, 2009

Pakatan senyap - Formula baru perpaduan Melayu?

'PAKATAN SENYAP’ antara UMNO dan Pas amat diperlukan untuk pembangunan Islam dan Melayu di negara ini kerana perbezaan politik tidak harus terbawa-bawa sehingga mengakibatkan perpecahan ummah dan merugikan Melayu secara keseluruhan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pakatan secara tertutup atau terbuka antara UMNO dan Pas adalah salah satu cara terbaik untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam serta menuntut ia dilakukan demi kepentingan bersama.

Menurutnya, ajaran Islam tidak pernah menggalakkan umat berbalah, malah menyeru semua pihak tidak kira fahaman, warna kulit dan agama agar berdamai demi membangunkan agama, bangsa dan negara.

“Tidak kira ia dipanggil `pakatan senyap` ataupun `pakatan terbuka`, tetapi pakatan ini perlu diadakan demi kepentingan umat Islam dan negara, biar kita berbeza pendapat dari segi politik tetapi hal-hal melibatkan hak bersama, kita bersatu, oleh itu pakatan ini akan menguntungkan kita.

“Bagi UMNO, kita tiada masalah kerana ajaran Islam secara jelas menyeru umatnya bersama-sama demi membangunkan agama, tanah air dan manfaat rakyat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, `pakatan senyap` antara kedua-dua parti itu boleh menjaga hak-hak kaum Melayu dan Islam kerana UMNO dan Pas mewakili orang Melayu yang beragama Islam.

“Suara yang melibatkan hak agama dan Melayu kita boleh perkuatkan kerana kita sudah lama berpecah dan sekarang adalah masanya untuk menyatukan semula suara orang Melayu menjadi satu,” katanya.

'Pakatan Senyap' ini mula diperkatakan apabila Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menulis satu artikel bertajuk ‘Untungnya bersatu dalam senyap’ dalam blognya di ridhuantee.blogspot.com.

Memetik artikel tersebut, Ridhuan menyeru agar UMNO dan Pas mencontohi pakatan senyap oleh DAP, MCA dan Gerakan yang bersama dalam satu suara sekiranya hak-hak kaum Cina dipersoalkan.

“Benar, mereka (DAP, MCA dan Gerakan) nampak seolah-olah berpecah. Mereka bertikam lidah sehingga gamat. Tetapi sebenarnya, mereka bersatu dalam senyap. Parti DAP akan lantang mendesak, mengkritik dan menghentam. Tetapi itu bukan hentaman kosong. Siapakah yang akan bekerjasama secara senyap?

“Dua parti komponen ini (MCA dan Gerakan) akan senyap-senyap menyampaikan kepada Barisan Nasional (BN) bahawa tuntutan dan desakan ini perlu dipenuhi. Jika tidak, undi akan lari, orang Cina akan marah dan beralih arah. Itulah sebenarnya mesej dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Inilah yang saya katakan bersatu secara senyap walaupun di luar nampak berpecah,” kata Ridhuan dalam blognya.

1 ulasan:

C L J berkata...

Senyap atau terbuka sebenarnya tidak ada beza kalau HATI ISLAM ITU IKHLAS DAN TULUS. Ini yang sukar ada dalam kehidupan akhir zaman ini.

Satu lagi hal yang penting ialah: Bijaksana dalam realiti kini. Realiti kini itu hendaklah dengan bijaksananya diterjemahkan juga bersama ancaman serta tekanan jarum jarum musuh dalam berbagai arena, lapis dan rupa.

Cuma kita jangan tewas mengaku kalah.

Banyak kali juga hamba mengulangi masaalah sebenar kita ialah kegagalan kita mengenal diri dan musuh sebenar kita.

Kongsi Link Anda