Popular Today

Selasa, November 03, 2009

Tuduhan palsu : Asri Jawab Jakim


Gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah




PETALING JAYA: Ternyata dakwaan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kononnya dia memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab, tidak lebih dari satu lagi fitnah yang terancang.

Ini terbukti dengan kiriman emel gambar sijil Sarjana Muda Kepujian Dr Mohd Asri daripada University Of Jordan yang menunjukkan pengkhususan beliau dalam Bahasa Arab dan Sasteranya serta Syariah Islamiyyah.

Bukti ini sekali gus menunjukkan ianya bercanggah dengan tuduhan pegawai JAKIM Zamihan Mat Zain yang tersiar dalam sebuah akhbar perdana hari ini.

"Tindakan pegawai JAKIM menuduh saya membuat sijil palsu amat hina dan jijik. Seakan tidak waras dan berfikir panjang. Masakan UIA, USM membenarkan saya menyambung Ph.D dan menjadi pensyarah jika sijil saya palsu.

"Saya sendiri rasa amat lekeh untuk jawab tuduhan yang seperti ini. Cukuplah dengan rakyat Malaysia melihat gambar sijil yang disertakan ini. Persoalannya, apakah JAKIM di belakang konspirasi ini?

"Jika JAKIM terlibat, nanti orang akan tanya apakah terdapat mereka dari Kerajaan Pusat juga terlibat? JAKIM jangan burukkan nama Kerajaan Pusat!," kata Dr Asri di kediamannya di Mengkuang, Bukit Mertajam. Semalam, penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zain Alghari, mendakwa Dr Asri memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa bidang pengkhususan Dr Asri hanya melibatkan bahasa Arab dan Sastera dan Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

"Universiti itu tidak meneruskan program itu sekarang tapi di waktu saya belajar dulu, memang ada program itu. Antara penceramah yang mendapat ijazah yang sama ialah Ustaz Erfino Johari dan ramai lagi guru-guru agama yang mengajar bahasa Arab.

"Tapi inikah kerja JAKIM, menyanggahi disiplin kerja, budi dan etika. Apakah tujuan JAKIM masuk campur? Juga menyalahi akhlak Islam?," kata Dr Asri.

Tuduhan memalsukan kelayakan merupakan tuduhan terbaru yang dilemparkan terhadap Dr Asri sejak dia ditahan oleh pihak JAIS malam Ahad lalu. Antara tuduhan lain ialah memberi ceramah agama tanpa tauliah dan menyebarkan fahaman Wahabi.

Dr Asri tertanya-tanya apakah motif di sebalik tuduhan terbaru ini.

"Adakah ini bermakna JAKIM termasuk dalam 'tangan ghaib' sedangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menafikan kerajaan pusat terlibat dalam hal ini.

"Adakah JAKIM ingin sabotaj saya atau Kerajaan Persekutuan? Dan Datuk Jamil Khir Baharom juga mahu kerajaan Selangor bertanggungjawab. Jadi jika JAKIM tidak terlibat dalam tuduhan pegawainya, saya ingin melihat bantahan terbuka dari pihak JAKIM.

"Saya juga difahamkan Dr Azwira Aziz turut menyaman pegawai yang sama untuk kes fitnah yang lain," kata Dr Asri yang akan mengadakan satu kuliah bertajuk 'Gelombang Fitnah' jam 8 malam ini di Institut Al Qayyim. Kuliah malam ini akan menyentuh tuduhan bohong pegawai JAKIM tentang sijil palsu.

Menurut Dr Asri, setelah berita 'pemalsuan ijazah' itu keluar, beliau telah menerima panggilan dari beberapa peguam ternama menawarkan khidmat mereka dengan percuma untuk menyaman Zamihan.

Dan Dr Asri berkata, dia tidak teragak-agak untuk menyaman.

"Cukuplah...mereka telah pergi ke peringkat yang keji iaitu, fitnah!," kata Dr Asri yang juga ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, di bawah Majlis Agama Islam Perlis..

Sumber: baca di sini

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bro, bukan fitnah.cuma nak menyatakan bidang utama pengajian dr asri ialah bahasa arab..

Jakim: Asri palsukan kelulusan Syariah

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin didakwa memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zain AlGhari mendedahkan, berdasarkan pemeriksaannya, bidang pengkhususan Asri hanya melibatkan Bahasa Arab dan Sastera.

"Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah. Sekiranya seseorang itu berkelulusan syariah, minor pengajian biasanya melibatkan bidang berkaitan seperti 'fiqh wa usul'.

"Pengajian Bahasa Arab dibenarkan untuk mengambil minor Syariah tetapi hanya sebagai subjek elektif.

Sekiranya ia diambil sebagai elektif, maka ia tidak dikira sebagai pelajar syariah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan Mohd. Asri selepas beliau menyampaikan kuliah di sebuah kediaman di Taman Sri Ukay semalam.

Penahanan Mohd. Asri pada pukul 12 tengah malam itu disebabkan beliau menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Dalam pada itu, Zamihan berkata, tindakan JAIS adalah berlandaskan Akta Kesalahan Syariah yang diguna pakai di seluruh negeri di bawah kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri.

Menurutnya, kebenaran mengajar agama di seluruh negeri memerlukan pentauliahan bagi menjamin keharmonian pegangan agama umat Islam di negara ini.

"Tidak kira seseorang itu professor sekalipun, dia perlu memohon dan menghadiri temu duga yang dijalankan oleh pihak agama Islam negeri," katanya.

Beliau turut mendakwa, pendekatan Asri banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.

Menurutnya, golongan tersebut tidak mengikut pendekatan mazhab yang diamalkan di negara ini.

"Bacaan talkin, tahlil, wirid, qunut dan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat semuanya dikatakan bidaah sekali gus mengelirukan masyarakat di negara ini.

"Selain itu, kebanyakan hujahnya juga banyak bertentangan dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan," katanya.

jawab berkata...

Zamihan kata "Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah". Tetapi jelas daripada sijil ada dua major, bahasa arab/syariah. Pemberatan keduanya adalah sama rata. Kebiasaannya universiti menawarkan ada single major, double major, major and minor atau double degree. Nak percaya kata Zamihan atau sijil?

C L J berkata...

Seorang Penolong Pengarah di ILIM membuat laporan akhbar mengenai perkara sensitif. Apa hal ni.

Hamba pun pegawai kerajaan juga dulu. Zaman hamba dulu perkara begini tak boleh berlaku. Ini kes desiplin dah ni.

Apa kata ILIM yang ditubuhkan oleh anuar dulu. Atau apa kata Jakim.

Kongsi Link Anda